Pepper Labs, sebuah perusahaan sosial terakreditasi di Malaysia, telah melancarkan inisiatif dapur digital untuk menyokong usahawan mikro wanita B40 dengan kemahiran kulinari melalui latihan praktikal. Sebagai rakan kongsi kepada pihak swasta dan awam, Pepper Labs bekerjasama dengan Kementerian Kewangan sebagai penaja utama, serta disokong oleh Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dan yayasan berasaskan impak Yayasan Hasanah untuk menubuhkan inisiatif Dapur Digital – usaha terbaru dalam pelbagai program yang bertujuan memacu transformasi sosial bagi komuniti terpinggir melalui pemerkasaan ekonomi mampan dan pertumbuhan inklusif.
Inisiatif ini diwujudkan untuk memperkasakan usahawan mikro wanita dari kalangan komuniti PPR (Program Perumahan Rakyat) di Kuala Lumpur, memberikan mereka akses kepada lima dapur digital lengkap yang disediakan khas untuk tujuan ini. Model ini mengambil inspirasi daripada perkembangan pesat konsep dapur digital dalam industri F&B masa kini – menawarkan penjimatan kos operasi dan sewa, sambil memanfaatkan pertumbuhan pesat dalam permintaan penghantaran dalam talian. Unit PPR yang kosong dan kurang digunakan telah dikenal pasti dan diubah suai menjadi dapur komersial melalui kerja pengubahsuaian dan pemasangan peralatan terkini.
Melalui inisiatif Dapur Digital, program ini bertujuan untuk melatih wanita daripada komuniti kurang berkemampuan bukan sahaja untuk mempertajam kemahiran dan mengasah bakat dalam bidang kulinari, tetapi juga untuk memberi bimbingan menyeluruh dalam pelbagai aspek pengendalian dan pengurusan perniagaan makanan. Dari pembangunan produk sehingga pemasaran digital, peserta akan dibimbing dalam memanfaatkan teknologi dan platform dalam talian secara strategik. Selain itu, model ini turut mendorong pendekatan sinergi dengan kerajaan dalam menyelaraskan program pemerkasaan ekonomi melalui ekosistem yang dibangunkan bersama Pepper Labs. Ini menjadi contoh kerjasama erat antara sektor kerajaan dan perusahaan sosial dalam memacu transformasi sosioekonomi yang mampan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pepper Labs, Gevi Ananda Roe, menegaskan bahawa visi utama inisiatif dapur digital ini adalah untuk memperkasakan usahawan mikro wanita daripada komuniti terpinggir dan berpendapatan rendah, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan PPR, dengan membuka peluang pendapatan mampan kepada golongan ini. “Inisiatif ini bukan sahaja melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan melalui program latihan komprehensif kami, tetapi juga menyediakan laluan jelas menuju kebebasan kewangan selepas tamat latihan. Ini membolehkan mereka terus maju dan berkembang sebagai usahawan berjaya dalam ekonomi makanan digital,” jelas beliau.
Dapur Digital bertujuan untuk menyokong usahawan mikro wanita melalui bimbingan praktikal dan latihan komprehensif dalam mengendalikan operasi dapur digital secara menyeluruh, dari belakang tabir hingga ke barisan hadapan dalam aspek penting penjualan – setanding dengan mana-mana restoran komersial,” kata Gevi.
“Kami sangat berbesar hati dan bersyukur dapat bekerjasama dengan empat rakan kongsi ternama dari sektor kerajaan dan swasta, termasuk UNITAR, yang telah bersetuju untuk menawarkan pensijilan kelayakan mikro dalam Teknologi Dapur Digital. Ini adalah satu langkah penting dalam mengiktiraf para peserta dengan kelayakan yang bukan sahaja meningkatkan kepakaran kulinari mereka tetapi juga memberi mereka keterlihatan yang lebih luas di platform teknologi makanan,” tambahnya. Gabungan dinamik seni bina teknologi, teknologi awan, Internet of Things (IoT), pensijilan kelayakan mikro, dan usaha pembasmian kemiskinan menyokong keseluruhan program ini. Program akar umbi ini memberikan impak nyata kepada golongan yang memerlukan, iaitu penerima manfaat utama dari komuniti yang terpinggir melalui keusahawanan berasaskan komuniti.
Seperti beberapa inisiatif subsidiari yang berjaya memberi impak di bawah seliaan Pepper Labs, termasuk Masala Wheels berfokus pada pembinaan kapasiti dan penyediaan peluang pekerjaan melalui sektor F&B untuk komuniti terpinggir. Pepper Labs mempunyai harapan yang tinggi serta sasaran besar bagi inisiatif Dapur Digital mereka.
“Kami menjangka untuk menjana pulangan ekonomi sekitar RM1.2 juta dalam tempoh dua tahun melalui manfaat digital daripada lima dapur digital kolektif ini. Di masa hadapan, kami berharap dapat memperluaskan inisiatif ini dalam pelbagai bidang untuk memberi manfaat kepada lebih ramai wanita,” kata Pengasas Bersama Pepper Labs, Ir. Kuhan. Beliau turut memetik kenyataan bahawa di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 Malaysia Madani (2021–2025), negara akan terus membangun ke arah kemampanan, kemakmuran, dan berpendapatan tinggi. Polisi digital yang lebih inklusif akan diwujudkan bagi memperluas pendedahan dan kesedaran teknologi kepada semua lapisan masyarakat, termasuk golongan miskin di kawasan bandar, luar bandar, dan pedalaman, melalui pembangunan infrastruktur yang kondusif serta penambahbaikan garis panduan bagi memperkasa ekonomi digital.
Aspirasi ini juga seiring dengan misi Pepper Labs, yang berteraskan nilai-nilai untuk membina komuniti yang kukuh dan mampan sambil memacu inovasi sosial yang berpandukan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Selain membangunkan perniagaan, program ini turut memupuk sikap berdikari dan sara diri yang memberi manfaat langsung kepada keluarga dan komuniti. Dengan peningkatan penyertaan dan sokongan daripada para peserta dan pihak berkepentingan, ekosistem yang berkembang pesat ini mampu mengubah bakat kulinari terpendam menjadi usahawan wanita yang bijak dan berdaya saing, yang bukan sahaja dapat menyumbang kepada ekonomi tetapi juga menyediakan makanan untuk keluarga melalui perniagaan kecil yang mampan. Inisiatif ini tidak mengenepikan peranan dan tanggungjawab wanita terhadap keluarga di rumah, sebaliknya menawarkan pilihan bagi mereka untuk terlibat dalam bidang keusahawanan mengikut jadual dan keperluan sendiri, menjadikan keusahawanan satu jalan fleksibel dan sesuai untuk kesejahteraan mereka.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Dapur Digital atau meneroka peluang kerjasama, sila layari https://linktr.ee/dapurdigital. Anda juga boleh mengikuti perkembangan Pepper Labs di saluran media sosialnya iaitu Facebook: https://www.facebook.com/pepperlabssocialenterprise dan IG: https://www.instagram.com/pepperlabsmy