- 6.5KShare sekarang!
- Email209
- Facebook6.2K
- Share
(This article is translation. For the original, visit our sister site, CILISOS)
Sebagai rakyat Malaysia, kita sememangnya tahu yang negara ni terkenal dengan pelbagai jenis makanan yang sedap-sedap belaka. Dan salah satunya yang kita kena kenal (kalau tak kenal tak layak jadi orang Malaysia) adalah Nasi Lemak. Kalau dulu ia hanya dihidangkan waktu pagi, sekarang ni Nasi Lemak dah jadi makanan sepanjang masa tak kira pagi, tengah hari, petang atau malam.
Tak hairan jugalah kalau Nasi Lemak ni boleh diterima oleh semua bangsa yang pernah merasanya. Kalau korang nak tahu, ada seorang Mat Salleh ni suka sangat dengan Nasi Lemak, sampaikan dia memperkenalkan makanan Melayu tu ke dunia Barat. Orang tu adalah…
R.O. Winstedt: Pegawai British yang menghabiskan masanya mengkaji budaya Melayu dan bercinta dengan Nasi Lemak
Jika korang peminat sejarah atau pelajar sejarah, nama Mat Salleh ni memang tak asing lagi dalam pensejarahan Malaysia. Dilahirkan pada 1878, Richard Olaf Winstedt pada mulanya masuk ke Perkhidmatan Kolonial (perkhidmatan kerajaan British yang menguruskan tanah-tanah jajahan) pada tahun 1902 selepas tamat pengajian di Oxford University. Pada tahun sama juga, permintaannya untuk ke Tanah Melayu dah diluluskan, di mana dia dilantik sebagai pegawai pentadbir di Perak.
Menariknya, disebabkan dia ni selalu ditugaskan pergi ke sekolah-sekolah di kampung terpencil, dia jarang berjumpa/melepak dengan Mat Salleh lain. Sebaliknya, dia banyak bergaul dengan orang tempatan, sampaikan dia tenggelam dalam budaya Melayu tu sendiri.
Antara yang membuatkan Winstedt kagum dengan orang Melayu ni adalah bahasa yang menurutnya cukup kaya dengan perbendaharaan kata. Ini membuatkan Winstedt tergerak hati nak jadi pembantu kepada seorang pengkaji British, Richard Wilkinson yang seterusnya membawa Winstedt ke dalam dunia sosiologi.
Walkinson lepas tu, ada galakkan Winstedt untuk kaji tatabahasa Melayu dan ia berhasil apabila munculnya buku Malay Grammar pada 1916. Dia juga ada hasilnya tiga jilid kamus Inggeris – Melayu dari tahun 1914 hingga 1917.
Seperti mana yang dikatakan di awal tadi, Winstedt ni dah selesa sangat dengan budaya Melayu, sampaikan…
Dia perkenalkan Nasi Lemak kepada dunia Barat
Salah satu penulisan Winstedt yang terkenal adalah ‘Life and Customs: The Circumstances of Malay Life‘ yang ditulis pada tahun 1909. Penulisan ni sebenarnya salah satu dokumen akademik terawal yang pernah ada tentang budaya Melayu dengan membawakan gambaran menyeluruh mengenai rumah, kampung, makanan, pakaian dan perabot orang Melayu.
Dan antara yang tak terlepas disentuh oleh Winstedt sudah semestinya adalah makanan. Ini kerana, dia ada menulis satu bab khusus mengenai makanan orang Melayu, siap dengan resepi lagi. Antara makanan yang tersenarai dalam tu termasuklah kari, pencuci mulut, kudapan dan perasa. Tentang Nasi Lemak, Winstedt memberitahu:
“Dia (tukang masak Melayu) akan menanak nasi bersama dengan rempah seperti jintan, cengkih, pala dan halia dan bawang putih, dalam titisan atau minyak kelapa; atau dia akan menanaknya dengan santan dan bukannya air…” – R.O. Winstedt (1909), dipetik dari ‘The Circumstances of Malay Life’, ms. 62.
Winstedt juga ada cerita yang hidangan ni (makanan orang susah seperti petani dan nelayan) selalunya dimakan bersama ‘ikan laut’ dan belacan, yang digambarkannya sebagai ‘perasa berbau yang terkenal dari Bangkok sampai ke Burma’.
Selain tu, dia turut menerangkan dengan teliti tentang adat makan orang Melayu, dengan berkata:
“Untuk renungan awal paginya, orang Melayu akan mengambil pisang goreng manis sejuk; atau kacang hijau, direbus, digula, digulung tepung geras dan akhirnya digoreng dalam minyak.”
______
“Jika dia sakit, dia boleh mengambil tepung beras yang ditumbuk, digoreng dalam minyak dan dicampurkan dengan kelapa parut dan sedikit garam.”
______
“Tetapi resepinya yang paling berharga disediakan untuk kebiasaan malam puasa, untuk perkahwinan dan kenduri-kenduri lain. Yang paling lazim di antaranya adalah manisan yang diperbuat daripada beras pulut: cara memasaknya hampir pelbagai, ada yang disediakan untuk perayaan, ada yang sederhana dan sebahagiannya makanan harian petani.” – R.O. Winstedt (1909), dipetik dari “The Circumstances of Malay Life”, ms. 68
Selain terlibat dalam kajian Alam Melayu, Winstedt juga memainkan peranan dalam…
Merancang dan membangunkan pendidikan orang Melayu
Dengan kepakarannya dalam budaya dan bahasa tempatan, Winstedt kemudiannya dah dilantik sebagai Penolong Pengarah Pelajaran, Negeri-Negeri Selat dan Bersekutu Tanah Melayu. Antara tugas utamanya adalah menambah baik sistem pendidikan orang Melayu. Dia seterusnya memberikan penekanan besar kepada kraftangan dan pertanian. Walaupun usahanya tu diakui sebagai ‘merevolusikan‘ pendidikan orang Melayu, dasar ini kemudiannya dikritik kerana dianggap ‘menghalang kemajuan pelajar‘.
Dalam tempoh tu, dia juga dah dilantik sebagai Presiden Kolej Raffles yang pertama di Singapura. Selain tu, dia turut memainkan peranan bagi menubuhkan Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak, sebagai salah satu usaha menangani kekurangan guru Melayu untuk pendidikan bahasa Inggeris. Malah, Winstedt adalah orang di sebalik Biro Terjemahan maktab itu yang memainkan peranan dalam penghasilan buku teks untuk sekolah-sekolah Melayu.
Selepas dilantik sebagai Pengarah Pelajaran pada 1924, Winstedt telah membuat pelbagai lagi penambahbaikan seperti memusatkan bekalan buku teks, pengambil lebih banyak pemeriksa dan menggubal kurikulum yang lebih inklusif kepada pelajar perempuan. Dia juga tak berhenti belajar, bila mana ada sepasukan pakar yang selalu membantunya dalam setiap sudut pendidikan.
Selepas kembali ke London pada 1935, Winstedt memulakan karier sebagai pengajar bahasa Melayu dan berbahasa Melayu dalam siaran radio berbahasa Melayu di BBC ketika terjadinya Perang Dunia Kedua (WWII). Malah, selepas tamat peperangan – Winstedt masih lagi bagi tumpuan kepada Tanah Melayu. Ia termasuklah apabila dia menjadi antara bekas pegawai British yang cukup kuat menentang cadangan pembentukan Malayan Union. Sehinggakan dia menulis sepucuk surat kepada Raja George VI, untuk menyatakan penolakan itu.
Winstedt memberikan sumbangan besar dalam rekod pensejarahan Malaysia
Sepanjang hidupnya, boleh dikatakan Winstedt menghabis hidupnya mengkaji dan menulis tentang Melayu. Dikhabarkan, Winstedt dah menulis hampir 27 buah makalah dalam pelbagai aspek kehidupan orang Melayu, dari sejarah, bahasa, makanan, sastera, mahupun perbomohan.
Salah satu sumbangan besarnya adalah dengan memelihara Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) yang sehingga kini menjadi bahan kajian utama tentang sejarah Melayu, walaupun dia menolaknya kerana dianggap ‘tidak benar dan mitos belaka‘.
Dia turut menerima pelbagai pengiktirafan dari Britain dan Tanah Melayu seperti – Doktor Persuratan dari Oxford (1920), Profesor Bahasa Melayu dari Persatuan Kesusasteraan Melayu Diraja Johor dengan gelaran ‘Pendita Bahasa Johore’ (1935), Doktor Kehormat Undang-undang dari Universi Malaya (1951) dan banyak lagi.
Dikhabarkan sehingga tahun 1966 (tahun kematiannya), Winstedt masih lagi menulis dan ada penulisannya yang diterbitkan selepas dia meninggal dunia. Ketika kematiannya, Tun Abdul Rahman berkata:
“Rakan saya, Sir Richard, telah banyak melakukan sepanjang hidupnya untuk orang Melayu, yang selalu dia sayangi. Semoga jiwanya tenang. ” – Tunku Abdul Rahman (1966), petikan dari telegramnya kepada Lady Winstedt.
Walaupun kini, Winstedt dikenali sebagai seorang orientalis dan tidaklah semua pandangannya diterima, tetapi sumbangannya kepada pensejarahan dan perkembangan pendidikan tidaklah dapat dikuburkan sama sekali. Namanya tetap disebut dalam pengkajian Melayu sehingga ke hari ini. Bahkan, terdapat sebuah jalan di Singapura yang diabadikan dengan namanya. Apa yang pasti, Winstedt pernah berpesan:
“RO Winstedt, menegaskan sekiranya mahu kenali orang Melayu, bacalah pantun serta sasteranya kerana di situ ada roh, jiwa, perasaan, nilai dan sejarah.” – Dr Muhammad Hj Salleh, Sasterawan Negara. Dipetik dari BH Online.
- 6.5KShare sekarang!
- Email209
- Facebook6.2K
- Share