Covid-19: Ini pandangan ulama dalam soal lafaz azan, urus jenazah dan Solat Jamak

Seperti mana yang kita tahu, kerajaan dah pun mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Perjalanan di seluruh negara bermula pada 18 Mac hingga 31 Mac 2020 ni. Hal ni diambil sebagai langkah berjaga-jaga dan diharapkan dapat mengurangkan jangkitan Covid-19 yang setakat artikel ni ditulis dah meragut 2 nyawa.

Boleh dikatakan, antara pihak yang mendapat perhatian selain daripada Kementerian Kesihatan adalah Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Sebabnya, kita dah dengar beberapa pengumuman dari badan-badan ini, termasuklah dalam soal – penutupan masjid, menggantikan Solat Jumaat dengan Solat Zohor dan sebagainya.

Penutupan masjid di seluruh negara. Imej dari Harian Metro.

Jadinya kali ni, SOSCILI nak membincangkan beberapa perkara sekitar isu agama sepanjang penularan wabak ini. Antaranya…

1. Ubah lafaz azan yang menimbulkan persoalan

Bila tersebarnya video menunjukkan laungan azan yang diubah di Kuwait, ramai yang tertanya-tanya sama ada hal tu dibolehkan atau tak. Sebabnya, selalu kita akan dengar lafaz ‘hayya ‘ala al-Salah’ (marilah menunaikan solat), tapi sebaliknya ia ditukar kepadaal-Salatu fi buyutikum’ (tunaikanlah solat di rumah anda).

Mengulas hal itu, Dr Rozaimi Ramlee berkata – perkara ni berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas yang memberitahu muazzin ketika hari hujan, bermaksud:

“Apabila engkau menyebutkan (dalam azan) Asyhadu alla ilaha illallah, asyhadu anna Muhammadan Rasulullah, janganlah engkau sebut: Hayya ala al-solah, sebaliknya sebutlah: sollu fi buyutikum (solatlah di rumah kalian). Katanya: manusia seolah-olah pelik dengan perkara itu.

Kata Ibn Abbas: adalah kalian pelik dengan perkara ini sedangkan ia pernah dilakukan oleh orang yang lebih baik dari aku (Nabi sallallahualaih wasallam). Sesungguhnya Jumaat itu kewajipan, sesungguhnya aku tidak suka untuk mengeluarkan kamu lalu kamu berjalan dalam tanah selut dan jalan licin.” – Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim. 

Arab Saudi dah menggantung aktiviti mengerjakan ibadah umrah di Makkah dan Madinah. Imej dari Middle East Eye.

Disebabkan hal ini jugalah, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dah buat keputusan supaya laungan azan di negeri tu diubah kepada sollu fi buyutikum. Perkara ni bermula pada 16 Mac 2020 sehingga 30 Mac 2020 yang sekaligus menghentikan solat secara berjemaah, Solat Jumaat, kuliah dan sebagainya untuk seketika. Penutupan masjid ini juga disokong oleh ulama tersohor, Dr Yusuf al-Qardawi

Manakala, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) pula mencadangkan supaya:

  1. Azan seperti biasa kerana ia syiar agama.
  2. Kalimah hayya ‘alassolah diperlahankan.
  3. Setelah azan, bilal hendaklah berpesan, “Solatlah di rumah atau tempat kamu.” dalam Bahasa Melayu kerana ia lebih difahami oleh umat Islam di Malaysia.

2. Cara pengurusan jenazah pesakit Covid-19 sama seperti pesakit Ebola

Dalam satu kenyataan dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada 16 Mac lalu, dah dinyatakan yang pengurusan jenazah akibat Covid-19 mengikut cara pengurusan jenazah akibat Ebola. Dengan itu, jenazah tu nanti akan ditayammum di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik yang membalut jenazah tersebut. Tatacaranya macam ni:

https://www.facebook.com/drzulkiflialbakri/posts/3179316108798836?__tn__=-R

Hal ni selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-107 yang bersidang pada 10-11 Februari 2015. Proses pengurusan jenazah ni juga melalui prosedur yang ketat. Malah, ahli keluarga juga akan dilarang daripada mencium jenazah dan tak boleh sambut jenazah ahli keluarga dalam liang lahad.

Dalam masa sama, muncul juga persoalan di kalangan kakitangan kesihatan…

3. Staf-staf hospital yang terlibat merawat pesakit Covid-19, diharuskan solat Jamak tanpa Qasar

Ada jururawat yang terpaksa bekerja 16 jam sehari, selain cuti yang dibekukan. Imej dari Suara Merdeka.

Walaupun solat lima waktu pada masanya itu diwajibkan kepada setiap umat Islam, masih ada kelonggaran yang diberikan pada keadaan tertentu. Dan sebab itulah adanya solat Jamak dan Qasar. Ada beberapa jenis solat dengan cara ini antaranya:

Jamak Takdim dan diqasarkan (dipendekkan)

Melakukan Solat Asar dalam waktu Zohor itu di namakan Jamak Takdim. Lakukan sembahyang Zohor 2 rakaat selepas itu diikuti pula solat Asar 2 rakaat.

Jamak Takhir dan diqasarkan (dipendekkan)

Melakukan Solat Zohor dalam waktu Asar itu dinamakan Jamak Takhir. Tapi dengan syarat kita mesti niatkan dahulu dalam hati sebelum habis waktu Zohor.

Sebenarnya, kita juga boleh jamakkan Solat Maghrib dengan Isyak atau sebaliknya. Tapi waktu Maghrib tak boleh diqasarkan dan ia tetap 3 rakaat. Dalam isu untuk kakitangan kesihatan yang terlibat dengan pesakit Covid-19 ni, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis ada mengeluarkan pandangan iaitu dengan melaksanakan Jamak Suri.

“Jamak cara ini ialah dengan melewatkan solat pertama ke hujung waktu dan menyegerakan solat yang kedua pada awal waktu. Kelihatan seperti jamak dalam satu waktu, padahal pada waktu yang berbeza.” – Dipetik dari Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Solat 5 waktu tetap wajib. Imej dari e-Solat.

Tapi, kalau diorang tak mampu buat Jamak Suri, maka dibenarkan untuk melakukan solat Jamak (tanpa qasar) sama ada jamak taqdim atau takhir, bergantung kepada kesesuaian kakitangan yang bertugas.

Majlis perkahwinan dan nikah pun dinasihati ditangguhkan dulu

Untung la yang dah buat majlis awal-awal. Imej dari The Vocket.

Walaupun pada mulanya ada pihak yang seolah-olah mempertikaikan tindakan negeri tertentu membatalkan Solat Juamaat dan sebagainya. Kini telah terbukti yang kaedah itu memang diperlukan bagi membendung penularan wabak ini. Malah, segala saranan dari Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) nampaknya mula diterima dengan baik sekarang.

Selain dari perkara yang dinyatakan di atas, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga nampaknya ada menetapkan larangan mengadakan kenduri untuk meraikan majlis perkahwinan. Manakala, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) pula menasihatkan pasangan yang bakal berkahwin dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan supaya menangguhkan majlis akad nikah sehingga arahan itu tamat.

Semua ni dibuat untuk kepentingan masyarakat juga, dalam membendung penularan Covid-19. Selain dari berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT, kita juga diwajibkan untuk berusaha. Seperti mana yang pernah dikatakan oleh Imam Ibn Rajab:

“Ketahuilah bahawa penghasilan tawakkal tidak menafikan usaha pada sebab yang ditentukan oleh Allah pada semua takdir yang ditentukan dengannya… Berusaha berinteraksi dengan sebab melalui anggota adalah ketaatan kepada-Nya dan bertawakkal dengan jiwa adalah keimanan kepada-Nya.” – Jami’ Al-‘ulum Wa’l-hikam

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.