- 943Share sekarang!
- Email43
- Facebook900
- Share
Kebelakangan ni banyak pulak berita pasal pembuangan pekerja. Kat peringkat antarabangsa, media online terkenal Buzzfeed membuat keputusan memecat 100 orang pekerja di US. Kat dalam negara sendiri, antara syarikat media terbesar Malaysia iaitu Media Prima pun turut menawarkan kakitangannya pilihan untuk rehat sementara tanpa gaji.
Sebelum ini, Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) pernah bagi amaran yang tiga sektor paling berisiko tinggi berdepan dengan pembuangan pekerja ialah sektor pembuatan, peruncitan dan kewangan.
Dan baru-baru ni pulak ada berita yang mengatakan kerajaan akan bagi elaun sebanyak RM600 untuk dorang yang diberhentikan kerja. Tapi kenapa kerajaan nak bagi elaun sorang sampai RM600? Berapa ramai pulak yang diberhentikan kerja?
Tapi memang teruk ke kes pengangguran sekarang?
Seramai 99,840 orang telah dibuang kerja dari 2015 hingga Jun 2017
Menurut PERKESO, statistik pemberhentian pekerja untuk tiga tahun kebelakangan ini ialah:
- Pada tahun 2015: 44,343 orang
- Pada tahun 2016: 37,699 orang
- Pada tahun 2017 (sehingga Jun): 17,798 orang
Namun, berdasarkan kajian oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (International Labour Organisation, ILO) jumlah sebenar adalah lebih tinggi daripada yang dilaporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja Malaysia. Menurut ILO lagi, kadar pengangguran belia kat Malaysia ni akan terus meningkat
Memandangkan teknologi semakin bertambah maju dan lebih banyak fungsi pekerjaan dijalankan secara automatik dalam pelbagai industri, pemberhentian kakitangan akan terus berlaku pada masa hadapan. – Dipetik dari MStar.
Sebab itu lah, Kementerian Sumber Manusia dan PERKESO telah menggubal Rang Undang-Undang (RUU) untuk melaksanakan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP). SIP ini dibuat untuk melindungi para pekerja yang diberhentikan kerja di sektor swasta. Apa yang SIP ni tawarkan?
Skim insurans bagi pekerja swasta yang kehilangan pekerjaan
Untuk pengetahuan korang, SIP ni merupakan satu jaringan keselamatan sosial, dan akan dilaksanakan pada Januari 2018 ni. Tapi macam mana? Menurut PERKESO, majikan dan juga pekerja akan membayar caruman bulanan iaitu:
- Majikan bayar 0.2% daripada gaji pekerja
- Pekerja pun bayar 0.2% daripada gaji masing-masing
- Jadi keseluruhannya, caruman setiap bulan adalah 0.4%
Kiranya, SIP ni macam KWSP tambahan la buat pekerja-pekerja swasta. Dan kalau korang risau makin bertambah jumlah yang kena potong tiap bulan, 0.2% ni tak banyak pun! Sebagai contoh, korang cuma akan dipotong RM1.90 sebulan jika bergaji RM1000, dan dipotong RM7.90 jika bergaji RM4000.
Malah , Menteri Sumber Manusia ada cakap yang kadar caruman 0.2% tu adalah yang terendah di dunia. Menurut PERKESO sendiri, Thailand mencarum sebanyak 1.25%, Vietnam 3%, Arab Saudi 2% dan Korea Selatan 2.15%.
Malah caruman ni jugak dikecualikan bagi penjawat awam, perkhidmat domestik dan jugak bagi korang yang bekerja sendiri. Skim ni adalah untuk semua pekerja yang berumur dari 18 tahun dan boleh mencarum sehingga berumur 60 tahun. Tapi kalau sekarang ni pekerja dah berumur 57 tahun ke atas, takde caruman bagi dorang.
Macam mana nak mulakan caruman? Ok sebenarnya korang sebagai pekerja tak perlu susah-susah pikir camne sebab korang semua dibawah tanggungjawab majikan. Majikan korang yang akan daftar pencaruman tersebut dengan melalui internet banking, electronic fund transfer, online portal, ejen mahupun di kaunter PERKESO.
Menurut PERKESO, melalui skim ni, korang akan terima bantuan kewangan segera iaitu 7 hari selepas pengesahan hilang pekerjaan.
Tapi adakah semua pekerja yang diberhentikan berhak untuk dapat elaun ni?
Ia tak layak bagi korang yang ada masalah disiplin
Dengan adanya skim ni, ia akan memberi bantuan kewangan sebanyak RM600 sebulan dengan tempoh maksimum tiga bulan kepada mereka yang hilang pekerjaan.
Bukan setakat bantuan kewangan je yang diberikan, malah SIP ni pun turut menyediakan perkhidmatan carian pekerjaan baru yang bersesuaian melalui program penempatan semula pekerjaan termasuk bantuan mobiliti.
“Dalam tempoh tersebut, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) boleh membantu menghubungkan mereka dengan bakal majikan bagi memastikan mereka dapat mencari pekerjaan lain secepat mungkin.” – Datuk Seri Richard Riot Jaem, Menteri Sumber Manusia. Dipetik dari MStar.
Walau bagaimanapun, bukan semua pencarum akan terima kelebihan ni. Antaranya ialah mereka yang….
- Meletakkan jawatan secara sukarela
- Tamat tempoh kontrak perkhidmatan
- Penamatan kontrak atas persetujuan bersama (majikan dan pekerja tanpa terma dan syarat)
- Persaraan
- Mereka yang diberhentikan atas kesalahan salah laku/ disiplin.
Adakah korang tersenarai seperti kat atas ni? Kalau semua clear, so camne nak apply ye?
Pastikan korang apply dalam tempoh 30 hari lepas hilang kerja!
Orang berinsuran yang kehilangan pekerjaan boleh terus pergi ke PERKESO untuk memohon SIP ni. Korang hanya perlu mengemukakan tuntutan dalam tempoh 30 hari dari tarikh kehilangan pekerjaan bersama apa-apa bukti yang mengesahkan penamatan pekerjaan/perkhidmatan.
Dalam tempoh tersebut, korang kena aktif dalam program yang disediakan. Tapi kalau korang mempunyai dua pekerjaan dalam satu masa. Korang tak layak untuk terima insurans ni. Tapi kalau korang hilang kedua-dua pekerjaan tu, baru korang boleh menerima insurans ni.
Korang jugak hanya layak terima sekali je insurans ni dalam tempoh setahun (Januari 2018 hingga 31 Disember 2018). Untuk kali kedua kehilangan pekerjaan dalam tahun yang sama, PERKESO tak kan berikan bantuan.
Tapi apa je faedah yang akan diperolehi oleh pencarum SIP ni?
Bukan hanya RM600 je, tapi korang boleh dapat elaun sehingga RM10,800!
Kalau korang dah diberhentikan, korang boleh terus pergi ke PERKESO untuk memohon SIP. Sekiranya layak, korang juga akan menerima EMP iaitu Elaun Mencari Pekerjaan sebanyak RM 1,700 sehingga RM10,800 antara 3 hingga 6 bulan. Jumlah elaun adalah berdasarkan caruman tadi, bermakna berdasarkan gaji korang dulu.
Tapi dalam masa yang sama, korang jugak kena menunjukkan usaha gigih mencari kerja secara aktif untuk terus menerima elaun ni pada setiap bulan.
Apa yang menariknya lagi ialah, untuk membantu korang mencari kerja, latihan-latihan kemahiran dan vokasional turut disediakan dan dibayar oleh SIP. Bukan tu je, setiap kali korang datang latihan pun korang akan dapat elaun sebanyak RM10-RM20
Tunggu jap, kami tak habis lagi! Kalau korang dapat pekerjaan baru dengan awal, korang akan dapat inisiatif lain dari SIP iaitu Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) sebanyak 25% daripada jumlah baki Elaun Mencari Pekerjaan (EMP). Hah kira lah sendiri.
SIP meringkankan beban korang dalam tempoh mencari kerja baru
Mungkin salah satu benda yang paling meresahkan bila diberhentikan kerja adalah korang tak sure boleh survive tak sementara nak cari kerja baru. Jadi SIP ni dilaksanakan untuk membantu rakyat Malaysia dalam keadaan macam ni, bukan je dari segi kewangan, malah dalam melengkapkan korang dengan kemahiran-kemahiran baru supaya sentiasa kompetitif.
“SIP adalah sistem yang sangat terancang dan komprehensif yang melibatkan kira-kira 430,000 majikan dan memberi manfaat kepada 6.6 juta pekerja sektor swasta.” – Datuk Seri Richard Riot Jaem, Menteri Sumber Manusia. Dipetik dari MStar.
Dengan adanya insurans pekerjaan ni, sedikit sebanyak ia dapat jugak mengurangkan kesusahan dan kemiskinan serta mengelakkan konflik keluarga disamping memberikan peluang untuk korang mendapatkan pekerjaan yang bersesuai dengan kemahiran yang ada.
“Dalam erti kata lain, majikan juga mendapat manfaat daripada skim ini kerana pekerja sedang dilatih semula dan disediakan latihan tambahan sebelum mereka memasuki alam pekerjaan sekali lagi.”-Datuk Seri Richard Riot Jaem, Menteri Sumber Manusia. Dipetik dari MStar.
Selain tu, dengan adanya program penempatan pekerjaan semula di bawah SIP ni secara tak langsung ia dapat membantu korang daripada terus menganggur tanpa pekerjaan.
- 943Share sekarang!
- Email43
- Facebook900
- Share