Bukan 64, tapi 97 transaksi penjualan tanah DBKL tak ikut SOP? Ini dia hasil siasatan PAC

Sejak kebelakangan ni, isu tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) nampaknya kembali diperkatakan. Antara yang terbaru adalah tindakan undang-undang yang bakal diambil oleh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) terhadap Ahli Parlimen Ipoh Timur yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh. Menurut kenyataan YWP, tindakan tu dibuat kerana Wong didakwa dah menjatuhkan kredibiliti badan berkenaan.

Ia berkait dengan kenyataan Wong yang mengaitkan YWP dengan penjualan tanah DBKL, serta mengatakan Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur secara otomatik dilantik menjadi Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan terlibat dalam penjualan tanah-tanah DBKL, selain dakwaan bahawa badan itu tak dipantau pihak berkuasa.

Sebenarnya, pada 17 November lalu PAC dah keluarkan laporan terhadap isu penjualan tanah DBKL ni. Hasil dari prosiding PAC mendapati…

Sejak 2010, jumlah lot tanah DBKL yang telah dijual sebanyak 97 transaksi

Isu tentang penjualan lot tanah DBKL ni mula kedengaran pada Mei 2018 apabila Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan penjualan 64 lot tanah milik DBKL. Dia mendakwa tanah seluas 171.71 hektar dan bernilai lebih RM4.28 billion tu dah dijual tanpa melalui proses tender terbuka.

Jadinya, bila perkara ni mula menjadi perdebatan masyarakat – PAC pun jalankan prosiding bagi menyiasat dan mengetahui dengan lebih lanjut tentang isu yang dibangkitkan ni. Dalam prosiding tu, PAC dah panggil beberapa pihak yang dirasakan patut seperti Menteri Wilayah Persekutuan (YB Khalid Samad), Datuk Bandar KL, Peguam Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan sebagainya.

Senarai saksi yang hadir. Imej dari Laporan PAC.

Menteri Wilayah Persekutuan (masa tu), Khalid Samad memaklumkan yang pihaknya ada menubuhkan Jawatankuasa Transaksi Tanah Milik DBKL (JTTMDBKL) bagi menyemak dan meneliti transaksi tanah-tanah yang dijual. Hasilnya, PAC dimaklumkan bahawa jumlah lot tanah DBKL yang telah jual sejak tahun 2010 adalah sebanyak 97 transaksi iaitu lebih dari apa yang dibangkitkan oleh MP Kepong sebelum ini. Daripada jumlah tu…

Tindakan yang telah diambil. Imej dari Laporan PAC.

Berdasarkan laporan, 14 transaksi tu dibatalkan kerana perjanjian jual beli belum lagi dibuat, selain mendapat bantahan penduduk setempat, persetujuan bersama dengan syarikat dan nilai tawaran yang terlalu rendah. Hasil dari pembatalan tu juga berjaya mengekalkan pemilikan tanah DBKL sebanyak 53.98 ekar dan mengurangkan kerugian sebanyak RM159 juta.

“Secara keseluruhannya, Jawatankuasa Transaksi Tanah Milik DBKL berjaya menambah hasil dan mengurangkan defisit kerugian berjumlah RM466 juta.” – Dipetik dari Laporan PAC.

Senarai transaksi itu turut sampai ke tangan SPRM ketika itu. Walaupun DBKL masa tu hanya minta SPRM bagi tumpuan kepada 20 transaksi yang meragukan – SPRM tetap siasat kesemua 97 transaksi yang pernah dijalankan. Hasilnya, SPRM dapati 15 transaksi mempunyai unsur rasuah, manakala 82 lagi tak ada unsur rasuah.

Dari prosiding ni, PAC juga mendapati…

Kesemua transaksi penjualan tanah DBKL ni tak rujuk sebarang SOP

Bukan SOP ni. Imej dari Harian Metro.

“Kaedah penyelesaian terhadap 97 transaksi penjualan tanah milik DBKL yang telah terjual sejak tahun 2011 tidak merujuk kepada sebarang SOP. Proses tersebut adalah terlalu longgar, terdedah kepada penyalahgunaan kuasa dan kurang melindungi kepentingan DBKL dan warga kota Kuala Lumpur ” – Dipetik dari Laporan PAC.

Itulah dapatan PAC yang dimuatkan dalam laporan setebal 333 muka surat. Menurut PAC, sebelum tahun 2015 –  DBKL tak ada sebarang prosedur operasi standard (SOP) penjualan tanah dan prosesnya pula hanya berasaskan kepada permohonan oleh pihak-pihak yang berminat. Bila ada permohonan, DBKL akan proses permohonan tu dan bawanya kepada Jawatankuasa Penswastaan untuk kelulusan.

Cuma pada Disember 2015, DBKL mula menambahbaik proses tu dengan sediakan prosedur yang lebih terperinci dalam urusan penjualan tanah. Ia kemudiannya ditambahbaik lagi pada tahun 2018 dengan menambah elemen tender terhad dan terbuka.

“…pada 18 Julai 2019, prosedur berkenaan sekali lagi dibuat beberapa penambahbaikan setelah menerima teguran daripada SPRM. Antara penambahbaikan yang dilakukan ialah dengan mengguna pakai Garis Panduan Perolehan Hartanah Unit Perancang Ekonomi (EPU) tahun 2014 serta menggunakan sepenuhnya penilaian yang dibuat oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) MOF. DBKL juga telah memperkasakan Jawatankuasa Pengurusan Pelupusan Tanah DBKL.” – Dipetik dari Laporan PAC.

Dalam masa sama, PAC turut dimaklumkan yang DBKL ada tolak cadangan Peguam Negara bagi penyelesaian 20 transaksi tanah yang dalam kategori siasatan lanjut. Ia termasuklah cadangan Peguam Negara supaya semakan dan tuntutan dibuat terhadap 20 transaksi tanah berkenaan. Tapi, DBKL ada bagi sebab kenapa menolak, yang antaranya kerana:

  1. Ada tanah yang dah pun dipindah milik
  2. Ada yang dah dapat Perintah Pembangunan
  3. Ada yang tengah dibangunkan
  4. Ada unit yang dah pun dijual.

Hal ini juga seterusnya membawa kepada isu…

PAC dimaklumkan yang Jabatan Audit Negara tak boleh audit YWP

Maklumat lanjut di laman DBKL (klik sini).

Berdasarkan kenyataan dari PAC, didapati bahawa draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 yang diluluskan menteri berbeza dengan draf pelan dibentang kepada orang awam pada 2008. Malah, dikatakan terdapat lebih 200 perubahan dalam pelan yang diluluskan tu. Tambahan lagi, , lebih 200 arahan pembangunan (DO) juga dah dikeluarkan DBKL sementara menunggu kelulusan Menteri Wilayah Persekutuan pada pelan tu.

Dalam pada itu, peranan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) juga ditimbulkan di pihak PAC. Menurut laporan PAC, pengurusan yayasan tu terdedah kepada konflik kepentingan kerana Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur juga memegang jawatan sebagai Pengerusi dan Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya.

Wisma YWP di Jalan Raja Abdullah, KL. Imej dari The Edge Markets.

Sebenarnya, YWP ni adalah sebuah syarikat dengan jaminan yang ditubuhkan pada tahun 1986 dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Objektifnya adalah untuk membantu menaiktaraf hidup golongan yang berpendapatan rendah dan memerlukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Namun, dimaklumkan yang YWP bukan syarikat di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan DBKL. Tapi, ia membantu KWP dan DBKL melaksanakan program-program sosial dan kebajikan di Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, Khalid Samad ada beritahu PAC yang DBKL tak beri sebarang tanah kepada YWP, sebaliknya badan tu lalui proses pembelian sama seperti syarikat-syarikat lain. Bahkan, YWP pun ada mohon tanah daripada kerajaan dengan proses biasa dan bayar premium kepada kerajaan.

Isu lain yang dibangkitkan adalah tentang status YWP kerana Jabatan Audit Negara (JAN) kata mereka tak ada kuasa untuk mengauditnya.

“…YWP tidak tertakluk di bawah definisi ‘Pihak Berkuasa Awam’ seperti yang dinyatakan dalam seksyen 5(1)(f) Akta Audit 1957. Oleh itu, JAN tidak boleh melaksanakan pengauditan terhadap YWP seperti yang diminta oleh PAC Parlimen dalam prosiding Bil. 29/2019 bertarikh 20 Ogos 2019. – Dipetik dari Laporan PAC.

Jadinya…

PAC kemukakan beberapa syor untuk penambahbaikan

Wong Kah Woh, Pengerusi PAC sekarang. Imej dari Malay Mail.

Disebabkan laporan tu panjang sangat dan tak larat kitorang nak ceritakan segalanya di sini, korang bolehlah baca sendiri kalau nak tahu lebih lanjut (klik sini PDF). Pun begitu, apa yang pasti PAC dah senaraikan beberapa syor supaya adanya penambahbaikan dalam isu ini:

  1. Urusan penjualan tanah DBKL perlu dilakukan secara telus, terbuka berdasarkan SOP yang komprehensif.
  2. Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL kena kaji semula Pelan Bandaraya KL 2020 dengan mengambil kira pelan asal.
  3. Kerajaan kena kaji semula fungsi dan kesesuaian YWP yang pada asalnya ditubuhkan untuk melindungi kebajikan warga KL. YWP tak boleh melibatkan Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar KL supaya tak wujud konflik kepentingan.
  4. Status YWP kena diubah sebagai badan berkanun supaya boleh dipantau oleh pihak kerajaan.

Seperti yang dikatakan di awal tadi, pihak YWP nampaknya nak ambil tindakan undang-undang terhadap Pengerusi PAC, Wong Kah Woh yang didakwa dah mengeluarkan kenyataan menjatuhkan kredibiliti badan berkenaan. Bagaimanapun, ada pihak yang kata Wong tak boleh disaman kerana dilindungi imuniti sebagai Pengerusi PAC.

Namun, YWP dalam satu kenyataan pula kata yang pihaknya ambil tindakan terhadap Wong atas kapasiti peribadi dan bukannya terhadap PAC. Mungkin yang kita boleh buat sekarang adalah tunggu dan lihat perkembangannya nanti.