BN dapatkan bantuan firma yang Trump pernah guna. Tapi kenapa pembangkang disalahkan?

(This article is a translation. For the original, please visit our sister site, CILISOS)

Mungkin korang ada dengar cerita pasal satu syarikat dikenali sebagai Cambridge Analytica yang kecoh sejak beberapa hari ni. Kecoh tu bukan setakat kat media Malaysia je, tapi jugak kat media-media antarabangsa. Kalau korang masih tak berapa tahu, Cambridge Analytica ni sebenarnya satu syarikat yang korek data dan buat analisis untuk orang politik dan korporat.

Tapi apa yang jadi masalah, bila syarikat ni didakwa dah curi berjuta data dari pengguna Facebook dan gunakan data-data tu untuk manipulasi pilihan raya sesebuah negara. Hal ni dah dibongkarkan dalam satu video yang disiarkan kat Channel 4 News. (Boleh tengok kat sini dan sini).

Dalam video tu, Pengarah Urusan dan CEO Cambridge Analytica dah mengaku yang diorang sebarkan berita palsu dan guna macam-macam cara untuk tolong klien diorang menang pilihan raya.

Apa yang lagi mengejutkan, Malaysia jugak jadi antara yang pernah gunakan khidmat Cambridge Analytica ni. Kat website diorang, ada dibagitau macam mana diorang tolong BN untuk menang pilihan raya kat Kedah.

Cambridge Analytica kata diorang tolong BN untuk menang kat Kedah. Imej dari ca-political.com

Kalau korang tengok kat website Cambridge Analytica, korang akan nampak alamat ofis diorang kat Kota Damansara, tapi bila orang pergi sana, tempat tu cuma rumah dan orang kat rumah tu tak tahu yang alamat dia digunakan.

Betul ke pilihan raya kita dimanipulasi dengan campur tangan asing? Hal ni jadi kat Kedah je ke? Jadinya, kitorang cuba korek dan cari apa sebenarnya yang dah berlaku.

BN nafikan diorang guna khidmat Cambridge Analytica, Mukhriz pulak dituduh bohong sebab nafikan peranan syarikat ni

Bila isu ni mula naik dan kecoh, maka banyaklah perhatian dan spekulasi yang muncul. Antara yang tak terlepas mestilah bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sekarang ni bersama blok pembangkang. Tapi Muhyiddin kata – dia tak tahu apa-apa pasal Cambridge Analytica dan ni kali pertama dia dengar pasal syarikat tu.

Pihak kerajaan juga keluarkan kenyataan dalam isu ini. Dalam kenyaatan tu, kerajaan ada kata yang Barisan Nasional (BN) tak pernah buat apa-apa urusan dengan SCL (syarikat induk Cambride Analytica). Tapi, syarikat ni dikatakan terlibat secara peribadi dengan Mukhriz Mahathir yang seterusnya jadi Menteri Besar Kedah lepas PRU-13.

Kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Mukhriz nafikan yang dia terlibat dalam buat apa-apa kontrak dan urusan dengan Cambridge Analytica. Tapi Mukhriz mengaku – dia kenal dengan Azrin Zizal (ketua SCL Group Asia Tenggara). Azrin juga adalah bekas pegawai media Mukhriz masa Mukhriz jadi Timbalan Menteri Perdangangan dan Industri Antarabangsa (MITI).

“Kalau dia kata yang dia kakitangan mereka (Cambridge Analytica) semasa dia berkerja dengan saya, itu satu kenyataan yang salah. Dia hanya berkerja untuk saya dari tahun 2009 – 2013, ketika saya bersama dengan MITI.” – Mukhriz Mahathir, dipetik dari The Star.

Tapi lepas tu, Azrin balas balik kenyataan tu dengan kata Mukhriz bohong dan dakwa pada tahun 2013 – Cambridge Analytica dah jadi penasihat pilihan raya untuk Mukhriz.

“Mungkin ketika Mukhriz terus menafikan tugas saya untuknya dan menafikan manfaat yang diperolehnya daripada nasihat yang saya berikan daripada Cambridge Analytica dan SCL Group bagi Kedah semasa pilihan raya umum 2013, adakah beliau juga akan menafikan kemenangan dengan menawan Kedah dan menjadi Menteri Besar?” – katanya dalam satu kenyaatan.

Masing-masing tuduh menipu. Jangan rakyat ditipu sudah. Imej dari Astro Awani.

Tapi Mukhriz tetap dengan kenyataannya dan kata dakwaan ni dibuat untuk alih perhatian terhadap taktik kempen haram yang dibuat oleh BN. Jadinya, cakap siapa yang betul ni?

Cambridge Analytica didakwa dah curi 50 juta data pengguna Facebook

Screenshot dari video Channel 4.

Sebenarnya, nama Cambridge Analytica ni dah pun terkenal sebab ia jugalah yang tolong kempen pilihan raya Donald Trump, sampai buatkan Trump menang. Caranya adalah diorang gunakan apa yang dipanggil sebagai ‘big data‘, kaji tentang tingkah laku dan psikologi berjuta-juta orang dan kaitkannya dengan tingkah laku mengundi. Dengan cara ni, lebih senang untuk diorang tetapkan sasaran dan sampaikan mesej kepada orang ramai.

Sebenarnya, BN dan pembangkang pun mengaku yang diorang buat benda yang agak sama macam upah cybertrooper atau syarikat pemantau. Tapi apa yang Cambridge Analytica ni buat lebih dari tu, sebab diorang siap sebarkan berita palsu dan pasang perangkap kat pihak lawan untuk manipulasi pilihan raya.

“Cara mudahnya ialah dengan pergi jumpa dan cakap dengan penyandang jawatan tu, dan kemudiannya buat tawaran yang “too good to be true” kepada mereka dan pastikan ia dirakam… dan jadikan video tu sebagai bukti yang rasuah berlaku.” – Alexander Nix, CEO Cambridge Analytica, dipetik dari Channel 4.

Diorang juga dakwa tahu spy yang masuk kat sesebuah negara untuk cari rahsia kotor pihak lawan politik. Malah diorang juga mengaku yang diorang buat kontrak tertentu dengan guna nama entiti lain supaya Cambridge Analytica tak direkod terlibat.

Klik imej kalau nak baca artikel ni.

Selain dari tu, syarikat ni juga didakwa dah curi 50 juta data dari pengguna Facebook untuk operasi diorang. Menurut Christopher Wylie (bekas Pengarah Penyelidikan Cambridge Analytica), curi data tu dibuat dengan cara bayar beribu pengguna Facebook untuk download satu aplikasi dan isi survey personaliti yang dikatakan sebagai kajian akademik.

Apa yang lebih menarik, aplikasi ni bukan je dapat data dari orang yang download tu, tapi juga dapat data-data dari kawan Facebook diorang yang tak adjust privacy setting. Dia juga kata yang Facebook sebenarnya tahu pasal benda ni sejak 2015, tapi diorang tak ambil berat sangat.

“Satu-satunya hubungan yang saya ada (dengan Facebook) ialah ‘ini adalah satu form, isikannya dan hantar semula’. Kemudian selesai.” – Katanya kepada Channel 4 News.

Hati-hati dengan Facebook. Imej dari Giphy.

Keputusannya sekarang, Facebook dah pun gantung akaun Cambridge Analytica dan Christopher Wylie. Disebabkan hal ni juga, saham Facebook dah jatuh USD37 bilion dalam masa sehari je. Buat masa sekarang, siasatan dah pun dijalankan oleh pihak berkuasa US, UK dan Brazil, CEO Cambridge Analytica pun dah digantung tugas.

Ada dua perkara asas yang diorang guna untuk tarik perhatian korang

Menurut laporan Channel 4, Cambridge Analytica ni juga pakar dalam buat mesej dan iklan sebelum target mana-mana orang berdasarkan profil tingkah laku diorang. Apa yang lagi menakutkan, mesej dan iklan yang diorang hantar ni tak semestinya betul.

“Tak bagus untuk kita berlawan dalam kempen pilihan raya dengan fakta, kerana sebenarnya ia semua adalah tentang emosi.” – Mark Turnbull, Pengarah Urusan Cambridge Analytica.

Fake news di mana-mana. Imej dari Giphy.

Turnbull juga terangkan macam mana diorang nak dapatkan maklumat dari minda pengundi, dua perkara asas tu adalah harapan dan ketakutan.

“Anda tak tahu itu adalah ketakutan sehingga anda nampak sesuatu yang membangkit rasa itu dalam diri.” – Kata Mark Turnbull.

Senang cerita macam ni, kita biasanya tak risau kena baham dengan harimau, tapi mungkin kita akan risau bila baca berita ada harimau terlepas dari zoo yang dekat dengan rumah kita. Sama juga dengan kita yang tak risau pasal khabar angin yang kata data kita boleh kena curi, tapi bila baca pasal Cambridge Analytica ni, kita baru sedar yang ianya serius.

Kalau yang terlepas macam ni, tak takut sangat. Imej dari mStar.

Cambridge Analytica juga dituduh terlibat dalam kempen pilihan raya Kenya dan diorang dah terbitkan satu video kempen politik untuk negara tu. Tapi hakikatnya, ia penuh dengan berita palsu dan cara kempen negatif.

Selain dari Facebook dan Cambridge Analytica, ada lagi ke yang patut dipersalahkan?

Cambridge Analytica dalam reaksinya ada kata yang dakwaan dan laporan yang dibuat tu dah diedit dan disalahguna. Diorang juga kata yang eksekutif syarikat diorang cuma bergurau dengan klien untuk dapatkan maksud sebenar klien tu. Diorang juga kata yang masyarakat terlalu bijak untuk sesuatu iklan mengubah tingkah laku mereka.

Tapi slogan diorang…

Disamping tu, pengasas Facebook Mark Zuckerberg dah buat kenyataan yang Facebook mengaku silap sebab benarkan semua ni terjadi. Dia juga janji akan buat siasatan kat platform aplikasi diorang, sekat developer dari akses data pengguna Facebook dan bagi kemudahan kepada pengguna untuk halang data diorang dari diakses.

Walaupun macam tu, ada juga yang ambil langkah radikal dengan skandal ni, bila kita nampak munculnya gerakan #DeleteFacebook. Gerakan ni dah ajak orang ramai supaya tak guna lagi Facebook demi keselamatan privasi diorang. Malah, pengasas bersama WhatsApp pun join sekali dalam gerakan ni.

Kerajaan Malaysia juga nampaknya dah ambil serius pasal masalah berita palsu ni. Sebab itulah kerajaan sekarang ni cuba nak perkenalkan Undang-Undang Anti Berita Palsu yang dah pun dibentangkan kat Parlimen.

Datuk Ahmad Maslan pun pesan kat kita supaya perangi fitnah media sosial. Imej dari BH Online.

Akhirnya, kita juga mungkin kena munasabah diri sendiri kita sendiri. Senang sangat ke kita ni percaya dengan apa yang kita nampak dan baca kat media? Adakah kita ni dah tak bijak untuk menilai mana yang palsu dan mana yang sahih? Atau juga kita salah sebab selama ni buat tak kisah dengan maklumat peribadi kita sendiri?

Jadinya, jadilah pengguna yang bijak dan bertabayyun dalam menerima apa-apa berita dan maklumat. Dan jagalah maklumat peribadi tu baik-baik, sebabnya siapa tahu kalau benda buruk terjadi nanti?

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.