- 1.3KShare sekarang!
- Email58
- Facebook1.3K
- Share
Keputusan SPM 2019 dah pun diumumkan pada 5 Mac 2020. Tahniah dari kami SOSCILI untuk semua pelajar SPM 2018 yang dah berjaya menghabiskan alam persekolahan. Lepas ni, semua pelajar akan ke alam menara gading pulak.
Apa-apa pun keputusan yang korang dapat, ini ada beberapa senarai pinjaman, bantuan dan biasiswa yang korang boleh rebut. Kami harap artikel ini boleh bantu korang atau saudara mara yang baru nak masuk universiti nanti.
1. Badan Zakat Negeri
Kalau korang dah berjaya menerima tawaran ke universiti, korang wajib tahu yang setiap badan zakat negeri ada menyediakan bantuan pendidikan untuk korang. Syarat dan bentuk bantuan zakat itu pula tak sama. Ada negeri yang bagi banyak, ada negeri yang beri bantuan sedikit. Korang kena rajin untuk menghubungi badan zakat negeri korang untuk mendapatkan maklumat tentang bantuan pendidikan ni.
Tak tahu nak cari kat mana? Jangan risau kami berikan korang link, korang tinggal klik je ikut negeri masing-masing.
- Lembaga Zakat Negeri Perlis
- Lembaga Zakat Negeri Kedah
- Lembaga Zakat Pulau Pinang
- Lembaga Zakat Terengganu
- Lembaga Zakat Kelantan
- Lembaga Zakat Pahang
- Lembaga Zakat Selangor
- Lembaga Zakat Melaka
- Lembaga Zakat Perak
- Lembaga Zakat Negeri Sembilan
- Lembaga Zakat Johor
- Lembaga Zakat Sabah
- Lembaga Zakat Sarawak
- Lembaga Zakat Wilayah Persekutuan
Kami ada menghubungi dua badan zakat iaitu Lembaga Zakat Sabah dan Lembaga Zakat Selangor untuk mendapat gambaran bentuk bantuan yang akan diberikan oleh badan zakat negeri. Kedua-dua badan zakat ini memberikan bantuan kewangan dan tajaan tiket pergi dan pulang.
Antara syarat umum yang dikenakan adalah seorang pemohon wajib untuk menetap di negeri di mana pemohon itu memohon zakat. Contohnya, kalau korang nak mohon Zakat Selangor, korang kenalah tinggal sekurang-kurangnya tiga tahun kat Selangor. Badan zakat juga akan mengutamakan golongan pelajar yang datang daripada keluarga yang miskin.
Seperti yang kami katakan tadi, setiap negeri ada syarat dan bentuk bantuan yang berbeza-beza. Kalau korang rasa korang layak untuk menerima bantuan zakat, cepat-cepat hubungi mereka dan tanya segala keraguan korang.
2. Bantuan Pelajaran Tunku Abdul Rahman
Pada tahun 1966, Utusan Melayu (sekarang kita dah kenali sebagai Utusan Malaysia) telah memperkenalkan tabung pendidikan dengan nama Perdana Menteri pertama kita, Tunku Abdul Rahman. Sempena ulang tahun keputeraan Tunku Abdul Rahman yang ke 63 pada 18 Februari 1966, Utusan Melayu mdlancarkan kutipan derma untuk tabung pendidikan ini. Kutipan itu mendapat sambutan yang hangat dari pelbagai golongan masyarakat, ahli politik, kerajaan negeri dan syarikat-syarikat.
Yayasan Tunku Abdul Rahman menawarkan pelbagai bentuk bantuan pendidikan seperti Biasiswa Tunku Abdul Rahman, Dermasiswa Tunku Abdul Rahman, Pemberian Pengajian Tunku Abdul Rahman dan Bantuan Pelajaran Tunku Abdul Rahman. Kalau dah nama biasiswa atau dermasiswa mestilah nak result yang gempak.
Jadi hari ini kami akan fokus tentang Bantuan Pelajaran Tunku Abdul Rahman, result biasa-biasa pun boleh mohon.
Bantuan Pelajaran Tunku Abdul Rahman adalah satu bentuk bantuan untuk bantu korang hadapi hidup di kampus selama dua semester (10 bulan). Untuk memohon, korang kenalah datang daripada keluarga yang berpendapatan rendah. Korang juga wajib berdaftar sebagai pelajar sepenuh masa di universiti awam, kalau korang ada pinjaman lain, takpe pohon je.
Berbeza dengan kebanyakan bantuan pelajaran, bantuan pelajaran ini akan diuruskan sepenuhnya oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti korang nanti. Maksudnya, korang tak perlu susah-susah nak hantar borang permohonan ke Yayasan Tunku Abdul Rahman, hantar kat pejabat HEP je. Kalau korang ada soalan tentang bantuan ni, jangan segan-segan telefon HEP.
Untuk maklumat, permohonan bantuan pelajaran ini akan dibuka pada 1-30 September setiap tahun. Korang boleh download borang permohonan dekat website Yayasan Tunku Abdul Rahman. Lengkapkan borang, dan hantar kat HEP. Nanti HEP akan hubungi korang kalau permohonan berjaya, kalau korang dah hantar tapi dalam masa tiga bulan korang tak kena hubungi, maksudnya permohonan korang gagal.
3. Dermasiswa Yayasan Sime Darby
https://www.youtube.com/watch?v=hAJgTa26ckY
Yayasan Sime Darby dimiliki sepenunhnya oleh Sime Darby Berhad. Visi dan misi utamanya adalah untuk memberikan impak dan membawa perubahan kepada kehidupan orang ramai. Kalau korang nak tahu, ada lima cabang yang ditumpukan oleh Yayasan Sime Darby untuk mencapai visi dan misi mereka iaitu pendidikan, alam sekitar, komuniti dan kesihatan, belia dan sukan dan akhir sekali seni dan budaya.
Ada tiga dermasiswa yang ditawarkan oleh Yayasan Sime Darby. Dermasiswa itu adalah untuk pelajar diploma, pelajar ijazah dan pelajar yang mempunyai kelainan upaya. Jadi, jika korang ada sedara mara yang kelainan upaya (OKU), pastikan mereka memohon dermasiswa ini. Menurut Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd yang merupakan ahli majlis tertinggi Yayasan Sime Darby;
“Lebih 95 peratus pelajar yang menerima bantuan ini merupakan mereka yang mempunyai kekurangan namun memiliki keupayaan yang istimewa. Apa yang paling penting adalah untuk membantu mereka mencari jalan keluar daripada kesusahan yang dihadapi, sekali gus memajukan diri dan potensi mereka.” – Laporan Akhbar Utusan
Jika korang adalah pelajar diploma, korang sekurang-kurangnya kena dapat PNGK 3.0 dan dapat 5 kredit dalam SPM. Untuk pelajar ijazah pun lebih kurang sama, korang kena ada minima PNGK 3.0. Kedua-dua biasiswa ni hanya boleh dipohon untuk mereka yang datang daripada keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.
Bagi dermasiswa untuk pelajar yang kelainan upaya pula, pemohon kenalah habiskan STPM, Matrikulasi atau yang setaraf dengan minima PNGK 2.50. Dermasiswa ini kena dipohon ketika pelajar itu berada pada tahun pertama pengajian mereka. Untuk keterangan lebih kanjut, korang boleh hubungi Yayasan Sime Darby.
4. Biasiswa Sukan IPT Kementerian Pendidikan Tinggi
Untuk makluman korang, Kementerian Pendidikan Tinggi ada sediakan satu biasiswa untuk atlit yang cemerlang dan ada potensi untuk menyambung pelajaran ke peringkat pengajian tinggi. Atlet yang ingin memohon mestilah terlibat dengan sukan yang diiktiraf Kementerian Pendidikan Tinggi atau Majlis Sukan Negara.
Syarat akademik untuk biasiswa ini takdelah tinggi mana, cuma korang kenalah jadi atlit yang betul-betul berkelayakan untuk memohon. Korang kena menang sekurang-kurangnya pingat dekat acara sukan seperti SUKMA, Sukan Universiti ASEAN atau pingat emas dalam Sukan IPT (SUKIPT). Bagi had umur pula, untuk pelajar diploma tak melebihi 25 tahun, pelajar ijazah 30 tahun dan untuk master dan PhD tak lebih 40 tahun.
Korang tahu tak, pemain bola sepak negara Bunyamin Omar dan Mahali Jasuli ada Ijazah dalam kursus Sains Pembangunan Sumber Manusia?
“Kelulusan yang dimiliki boleh digunakan untuk mengintai peluang pekerjaan lain dalam bidang pengurusan sukan atau sektor korporat setelah kita tidak lagi bergelar atlet profesional.”- Mahali Jasuli, pemain bola sepak. Dipetik dari Utusan.
Untuk kelayakan akademik pula, pemohon kenalah mendapat minima PNGK 2.50 jika pemohon tu atlet IPT dan kalau pemohon tu atlet negara macam Mahali ni, cuma perlu mendapat minima 2.0 PNGK untuk layak memohon. Tak tinggikan? Manfaat yang diterima pun bukan calang-calang, memang hidup mewahlah bagi sesiapa yang berjaya menerima biasiswa ini.
Kalau korang ada pertanyaan tentang biasiswa ni, jangan segan-segan hubungi Encik Rizam bin Rahmat di talian 03-88706142. Jangan lupa bagi salam taw, tanya baik-baik, mesti Encik Rizam akan jawab semua soalan korang.
5. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
Masa kami hubungi PTPTN, mereka kata masih ramai pelajar yang tak tahu tentang hal-hal asas untuk memohon PTPTN. Ye lah, kalau korang cari website macam mana nak mohon PTPTN, kadang-kadang sampai rasa nak terbalikkan komputer sebab arahan mereka beri tu mengelirukan. Jangan risau, dilema korang akan tamat pada hari ini.
Ini cara mudah nak mohon PTPTN:
- Korang kena ada akaun SSPN-i sebelum memohon PTPTN. Untuk membuka akaun SSPN-i korang boleh pergi pejabat PTPTN terdekat atau ke kaunter Bank Rakyat, RHB Bank atau Maybank. Kalau korang nak tahu tentang SSPN-i, korang boleh lawati website PTPTN tentang SSPN-i.
- Kemudian korang kena beli Pin PTPTN melalui ATM atau kaunter Bank Simpan Nasional. Harga untuk Pin PTPTN lima ringgit, dan boleh digunakan selama 6 bulan selepas dibeli. Alaa, pin macam korang nak mohon UPU hari tu. Pin ini korang akan guna untuk masuk website PTPTN buat kali pertama nanti.
- Lepas tu korang kena buat permohonan melalui website PTPTN. Lengkapkan segala maklumat dan hantar permohonan korang.
- Tadaaa, permohonan korang dah selesai. Korang kena selalu semak status permohonan korang, apabila dah diluluskan korang kena buka akaun bank mengikut universiti korang.
Ramai juga yang tak tahu, sebelum mendaftar ke universiti, PTPTN akan tawarkan korang Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) yang bernilai RM1,500. Mereka akan hantar waran kat alamat korang dalam tempoh dua minggu sebelum tarikh pendaftaran.
Korang akan terima WPP ni dalam bentuk waran. Waran ni korang kena bawa ke CIMB Bank untuk ditebus. Korang kena datang sendiri dalam tempoh 60 hari selepas waran ni dikeluarkan untuk ambik RM1500 tu dari akak bank. WPP akan bantu korang untuk belanja persiapan sebelum daftar universiti.
Kalau korang tebus waran WPP, PTPTN akan tolak RM500 pada semester 2, 3 dan 4 duit pinjaman PTPTN korang. Nanti bila dah naik semester 4, barulah korang akan dapat pinjaman penuh. Korang boleh semak kelayakan korang untuk WPP kat website PTPTN.
Satu benda lagi kami nak sebut pasal PTPTN adalah Dana Endowmen Pelajar Miskin Satu Malaysia. Idea asal program ni, adalah untuk kumpul dana daripada syarikat korporat untuk bantuan kewangan tambahan kepada pelajar miskin. Tak adalah mereka terpaksa ikat perutkan?
“Dengan adanya bantuan ini nanti, pelajar miskin tak perlu lagi buat pinjaman yang banyak daripada PTPTN jika ingin melanjutkan pengajian ke IPT (institusi pengajian tinggi).”- Ismail Mohamed Said, bekas Pengerusi PTPTN. Laporan Akhbar Utusan.
Apabila pihak kami menghubungi pegawai PTPTN untuk bertanya tentang bantuan ini, mereka memberitahu kami bahawa bantuan ini dah tak ada. Hmmm. jadi duit banyak-banyak yang dikumpulkan dari syarikat korporat tu, dah ke mana agaknya yer? Jadi bagi mereka yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan, skim ni dah tak ada.
Korang kena proaktif dan pandai rebut peluang
5 tempat yang kami kongsikan ni merupakan tempat-tempat yang popular untuk mendapatkan bantuan kewangan dengan result yang biasa-biasa. Sebenarnya ada banyak tempat yang korang boleh memohon biasiswa atau bantuan kewangan kalau korang rajinkan diri mencari dan bertanya.
Kalau result korang biasa-biasa, korang kena tingkatkan soft skill korang untuk pikat para penaja. Jangan cepat putus asa walaupun result korang tak berapa cemerlang, rezeki ada di mana-mana. Cehh. kami dah bercakap macam pakar motivasilah pulak kan?
Kalau korang rasa ada tempat yang boleh mohon bantuan kewangan dengan result biasa-biasa, korang beritahulah kami, nanti kami hubungi mereka untuk dapatkan kepastian. Kami harap tak adalah pelajar yang tak dapat sambung study sebab masalah kewangan. Apa-apa pun, selamat memohon dan maju jaya guys!
- 1.3KShare sekarang!
- Email58
- Facebook1.3K
- Share