- 74Share sekarang!
- Email21
- Facebook53
- Share
Apabila kumpulan pengganas Abu Sayyaf melepaskan empat rakyat Malaysia baru-baru ini, ada desas-desus yang mengatakan kerajaan membayar RM12 juta kepada Abu Sayyaf sebagai wang tebusan. Namun dakwaan ini disangkal sekeras-kerasnya oleh Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi. Beliau cakap kerajaan tak iktiraf pun tuntutan wang tebusan daripada mana-mana kumpulan pengganas, sebaliknya duit ini disalurkan kat badan kebajikan dan organisasi Islam di Filipina.
“[RM12 juta] itu diberikan kepada pihak polis bukan sebagai wang tebusan sebab kerajaan memutuskan tidak ada sebarang wang tebusan yang dibayar” – Zahid Hamidi, dipetik dari Harian Metro.
Apa yang peliknya, Ketua Polis Negara menafikan yang duit ini diberikan kepada pihak polis sebaliknya disalurkan terus kepada badan kebajikan tersebut. Nak pelik lagi? Bila kedua-dua TPM dan IGP menafikan yang wang tebusan dibayar kepada pengganas, Abu Sayyaf mengesahkan yang mereka dapat duit ni tapi bukan jumlah yang penuh!
Ok la, cerita pasal Abu Sayyaf sampai raya haji tahun depan pun tak sudah. Tapi sebenarnya la kan, ini bukanlah kali pertama rakyat kita ditawan pengganas. Pada 4 Ogos 1975, pengganas siap masuk ke dalam negara kita dan menawan sebuah bangunan! Penahanan ini berlangsung selama lima hari tanpa sebarang pertumpahan darah.
Jadi… apa yang berlaku sampaikan kisah ni menjadi bualan dunia waktu tu?
Kumpulan pengganas Jepun menawan bangunan tertinggi di Kuala Lumpur selama 5 hari
Pada 4 Ogos 1975, sekumpulan pengganas daripada Tentera Merah Jepun (atau bahasa omputehnya Japanese Red Army, JRA) menawan bangunan American International Assurance (AIA) di Kuala Lumpur dan menahan seramai 53 orang mangsa.
Kenapa bangunan AIA, bukan ke AIA ni jual insurans ke? Menurut dokumentari ni, ianya merupakan bangunan tertinggi kat KL (waktu tu KL Tower pun takde lagi) dan menempatkan pelbagai kedutaan termasuklah Jepun, Amerika, Kanada, Sweden dan Perancis.
Jadi tujuan mereka menawan kedutaan-kedutaan ini adalah supaya kerajaan Malaysia dapat berunding dengan kerjaaan Jepun, Sweden dan Amerika untuk membebaskan anggota JRA yang ditahan di Jepun dan Sweden. Malah kalau Malaysia gagal berunding, mereka akan tembah tebusan seorang demi seorang!
Eh kejap…. siapa sebenarnya kumpulan pengganas JRA ni, dana apa matlamat mereka?
JRA, kumpulan pengganas yang ingin menggulingkan monarki Jepun
Menurut Sejarahkini, nama lain bagi kumpulan JRA ni ialah Anti-Imperialist International Brigade (AIIB), Briged Perang Suci dan Barisan Demokratik Anti Peperangan. Pengasasnya adalah seorang wanita Jepun bernama Fusako Shigenobu.
Kumpulan ini berfahaman komunis dan tujuan perjuangannya adalah untuk menggulingkan kerajaan serta sistem monarki kat Jepun dengan melancarkan revolusi di seluruh dunia walaupun hanya mempunyai keahlian seramai 200 orang je. Selain tu, mereka pun memegang prinsip anti-Barat dan anti-Zionis.
Nama JRA ni memang cukup digeruni oleh masyarakat seluruh dunia sebab mereka ni jenis yang tak teragak-agak melakukan keganasan dalam setiap tindakan mereka. Antara ialah pembunuhan beramai-ramai kat Lapangan Terbang Lod Israel (kini dikenali Ben Gurion International Airport) di mana 24 orang terbunuh dan 80 orang cedera.
Selain itu, mereka pernah merampas kapal terbang (guna katana dan bom), mengebom pusast rekreasi tentera US di Itali, dan juga menembak kedutaan Jepun, Kanada, dan Amerika yang terletak di Indonesia dengan menggunakan mortar.
So, kiranya memang satu dunia JRA ni pergi jelajah. Jadi apa kaitannya pulak dengan Malaysia?
JRA ingin anggota mereka dibebaskan dan dihantar ke Malaysia
Seperti yang kami katakan tadi, bangunan AIA menempatkan banyak keduataan termasuklah Sweden dan Amerika. Jadi menurut beberapa blog yang kami temui, JRA ingin kerajaan Jepun membebaskan anggota mereka yang dipenjarakan sebagai pertukaran dengan tebusan-tebusan di kedutaan ini. Mereka menuntut agar banduan-banduan tersebut diterbangkan ke Malaysia sebelum dihantar ke negara lain untuk mencari perlindungan.
Menurut dokumentari 1975-KL under Seige, lepas mereka tawan banggunan AIA, mereka kumpulkan kesemua tebusan tu kat tingkat 9 selama 79 jam dan menyuruh kerajaan Malaysia untuk membuat rundingan. Sekiranya Malaysia gagal, tebusan akan ditembak satu-persatu. Demi menyelamatkan nyawa tebusan, Kerajaan Malaysia pun menubuhkan sepasukan perunding bagi menguruskan krisis tebusan tersebut.
Kerajaan terpaksa akur dengan permintaan pengganas
Perdana Menteri waktu tu adalah Tun Abdul Razak dan ketua polis adalah Mohammed Haniff Omar. Pada mulanya, Menteri Komunikasi iaitu Tan Sri Manickavasagam dilantik untuk mengetuai rundingan antara JRA dan kerajaan Jepun, Sweden dan Amerika.
Tapi oleh kerana ianya tak berhasil, perunding digantikan dengan Menteri Dalam Negeri iaitu Ghazalie Shafie yang juga dikenali sebagai King Shaz. Menurut Kosmo, King Shaz merupakan orang terpenting dalam kejadian ni kerana kebijaksanaannya yang menjadi perunding utama kerajaan dalam membebaskan tebusan dari pengganas.
Berikut merupakan kronologi perundingan King Ghaz:
- Hasil rundingan pertama King Ghaz dengan pengganas JRA berjaya membebaskan semua tahanan wanita kecuali setiausaha Kedutaan Sweden.
- Mulanya Jepun enggan bebaskan tahanan JRA sebab tak nak jatuh maruah, namun atas ketegasan dan diplomasi Ghazali Shafie, Jepun pun akur. Tahanan Jepun tu pun diterbangkan ke Lapangan Terbang Subang untuk ditukarkan dengan mangsa tebusan.
- Di Lapangan Terbang Subang, King Ghaz berunding dengan JRA untuk bebaskan kesemua tebusan. JRA setuju, tapi kena ganti dengan 4 wakil kerjaan (2 Malaysia, 2 Jepun) untuk turut serta dalam kapal terbang dan terbang ke Libya. Wakil dari Malaysia adalah Osman Cassim dan King Ghaz sendiri yang turut serta ke Libya.
Pergi Libya buat apa? Seperti yang disebutkan tadi, JRA ingin mencari perlindungan di sebuah negara ketiga. Dan setelah puas mencari, mereka berjumpa Libya di bawah pemerintahan Muamar Gaddafi yang menyokong segala jenis perjuangan kemerdekaan. Ok la tu, kiranya senang hati anggota JRA ye tak?
Tapi… ada satu lagi halangan buat JRA
Menurut dokumentari 1975: KL Under Siege, untuk ke Libya, pesawat kena berhenti isi minyak. Tapi takde satu negara pun yang sanggup membenarkan pesawat pengganas tu singgah kat lapangan terbang mereka.
Tapi melalui rundingan diplomasi King Ghaz akhirnya mereka berjaya mendapatkan kebenaran Sri Lanka untuk membenarkan pesawat berhenti mengisi minyak di Colombo, asalkan semua penumpang dalam pesawat tak keluar dari pesawat. Dan akhirnya pada 8 Ogos 1975, pesawat pun berjaya tiba di Libya dengan kesemua tebusan dalam keadaan selamat.
Namun serangan pengganas JRA pada Malaysia bukan tamat kat sini je…
Serangan-serangan JRA yang lain di Malaysia
Korang masih ingat lagi tak tragedi kapal terbang MAS terhempas dan rangka pesawat telah berkecai serta terbakar kat Tanjung Kupang, Johor? Berita ini menggemparkan dunia sekitar tahun 1977 di mana semua penumpang telah terkorban termasuk beberapa orang kenamaan.
Menurut Kosmo, terdapat desas desus mengatakan yang JRA merampas pesawat Malaysia Airlines 653 ketika dalam penerbangan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur. Tapi menurut Malaysianreview.com, kesahihan dakwaan tersebut tak dapat dipastikan malah ia turut dinafikan oleh King Ghaz.
Arkib Negara pula mengatakan yang pesawat tu diarah untuk mendarat kat Lapangan Terbang Changi, Singapura tapi ianya tiba-tiba jatuh terhempas selepas juruterbang dan seorang pegawai penerbangannya ditembak oleh perampas. Ini dapat dibuktikan dalam rakaman suara (kotak hitam) yang memperdengarkan bunyi tembakan sebanyak 3 kali.
Kalau korang nak baca beberapa serangan bersiri JRA kat seluruh dunia ni, korang boleh klik kat sini.
Walaupun terpaksa akur dengan permintaan penggnas, King Ghaz menunjukkan keberanian dan keboleh perundingan yang hebat
Pengalaman yang dilalui King Ghaz menunjukkan beliau seorang ikon negara yang hebat. Beliau (bersama Osman Cassim) bukan sahaja sanggup mengikut pengganas terbang ke Libya, malah berjaya menjalankan perundingan tanpa sebarang pertumpahan darah.
“… kemahiran rundingan Tun Ghazali Shafie kekal kepada objektif dan strategi” – Kapten Hassan Ahmad, Ketua Juruterbang MAS. Dipetik dari 1975- KL under Seige.
“.. Ghazali Shafie berpesonaliti dinamik. Dia Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan bekas Menteri Luar Negeri. Dia kenal dengan ramai pemimpin dunia” – Tan Sri Mohammed Hanif Omar, Ketua Polis Negara. Dipetik dari 1975 – KL under Seige.
Semoga Malaysia masih mempunyai pemimpin yang pintar, berjasa besar kepada bangsa,negara serta agama, tegas dan penuh beramanah, membenci amalan rasuah, membenci salahguna kuasa dan berani seperti King Ghaz. So takde lah kita ni terlalu tunduk bila diancam atau diugut oleh pengganas!
- 74Share sekarang!
- Email21
- Facebook53
- Share