6 orang terkenal antarabangsa TAK TERSANGKA berlatar belakang Malaysia

Ke mana kita pergi, kita tetap bawa nama Malaysia walaupun sekadar melancong ke negara orang. Mungkin ada yang rasa bangga sebab nama Malaysia sentiasa dihormati. Tapi kalau kita sebut orang-orang Malaysia yang pernah berjaya di luar negara secara besar-besaran, kebanyakan kita hanya boleh ingat Yuna kot.

Sampai rancangan luar negara pon Yuna dah masuk. Imej dari NBC Seth Meyers.

Namun, selain daripadanya, ada juga beberapa orang yang telah menemui kejayaan di luar negara bertahun-tahun tetapi berlatar belakang Malaysia secara tak tersangka. Jadi, kali ni kami dari SOSCILI akan keluarkan beberapa senarai nama orang ternama itu bermula dengan…

1) Henry Golding: Bintang filem Crazy Rich Asians yang mengamalkan tradisi Iban

Kalau semua orang putih takpe pulak ye? Hurm…Imej dari Next Shark.

Mesti ramai yang tak sangka, disebalik cerita Crazy Rich Asian yang menempah nama di persada filem antarabangsa, pelakon utamanya adalah rakyat Malaysia. Dia adalah Henry Golding yang memegang watak Nicholas Young dalam filem tu.

Lama sebelum tu, dia adalah host untuk The Travel Show BBC sejak tahun 2014. Dia juga pernah jadi host kat TV Malaysia, iaitu The 8TV Quickie dan beberapa lagi rancangan di 8TV. Macam mana pelakon antarabangsa ni boleh bekerja kat Malaysia pulak? Ini ceritanya…

Dia lahir di Betong, Sarawak yang mana bapanya Clive Golding adalah orang putih dan ibunya pula Margaret Likan Golding merupakan orang Iban. Dia membesar di Sarawak dan 5 tahun menghabiskan zaman kanak-kanak di Terengganu sebelum berpindah ke Surrey, England. Pada umur 21 tahun, dia kembali ke Kuala Lumpur dan aktif dengan dunia penyiaran.

Taste kita sama! Imej dari Kosmo.

Pada Mac 2017, dia dah diumumkan untuk membintangi Crazy Rich Asians keluaran Warner Bros Pictures. Macam mana dia boleh dapat? Semuanya bermula apabila seorang akauntan, Lisa-Kim Ling Kuan membawa dia berjumpa dengan pengarah filem, Jon M. Chu. Personaliti dan ketampanannya dah menyebabkan pengarah memilihnya untuk berlakon. Apa yang membanggakan, filem yang ditayangkan bermula 15 Ogos di AS dan Kanada ni menjadi filem nombor satu selepas seminggu penayangannya.

Bukan satu filem je dia berlakon, akan ada beberapa filem Hollywood yang bakal ditayangkan termasuk A Simple Favor, lakonan bersama pelakon sensasi Blake Lively (Gossip Girl) dan Anna Kendrick (Pitch Perfect). Walaupun kita dengar dia ni macam sibuk je, dia sebenarnya tak pernah lupa adat tradisional Iban. Buktinya, sebelum dia berkahwin, dia dah balik ke Sarawak untuk melakukan adat berjalai. Bejalai ni adalah satu pengembaraan ke tanah yang jarang orang teroka bagi seorang Iban sebelum berkahwin.

Pengembaraan ni juga bukan biasa-biasa, siap shooting sekali dengan Discovery Channel dalam siri dokumen Surviving Borneo yang mengandungi 6 episod.  Dia dah mengembara ke kawasan pergunungan Bario serta masuk ke dalam hutan ke kawasan misteri orang Penan. Dia juga dah mengenakan tattoo tradisi kaum mereka.

Henry tabah menyelesaikan berjalai. Imej dari Rojak Daily.

“Saya fikir orang ramai memerlukan perubahan dalam hidup dan hanya selangkah dari realiti untuk merasa pelukan alam semulajadi, untuk keluar ke sana

dan menggunakan firasat sendiri untuk terus hidup dan kembali ke pada asal-usul, jauh dari semua gangguan, adalah cara terbaik bagi membantu melihat dunia dari sudut yang berbeza.”- Henry Golding, petikan dari Malaysia Tatler.

2) James Wan: Pengarah filem The Conjuring yang sukakan laksa

Siapa sangka, pengarah filem seram macam Insidious dan The Conjuring serta filem aksi sehebat Fast & Furious 7 adalah orang kelahiran Malaysia. Pencapaian James Wan dalam bidang filem ni amatlah membanggakan. Contohnya, filem Fast and Furious 7 menjadi filem terpantas mendapat kutipan 1 billion US dollar seluruh dunia mengalahkan filem Avatar. Sekarang ni pulak, dia tengah mengarah filem superhero komik DC, Aquaman yang akan ditayangkan pertengahan 2018. Filem seram The Nun yang kini baru keluar di panggung wayang juga telah diterbitkan olehnya.

Sehebat mana pun kerjayanya, dia ni lahir dan berasal dari Kuching, Sarawak sebelum berpindah bersama keluarga ke Perth, Australia waktu berumur 7 tahun. Menurut SEA Globe, ibunya adalah faktor utama yang mengisi imaginasinya waktu kecil dengan cerita-cerita seram di hospital. Ada antara cerita itu disaksikan sendiri ibunya sewaktu menjadi jururawat. Minatnya terhadap filem semakin bertambah sebab ibunya selalu bawa pergi tengok wayang.

James Wan dengan pasangan yang lawan hantu Conjuring. Imej dari SEA Globe.

Walaupun dah bertahun-tahun bekerja di luar negara serta tinggal di Australia, dia mengakui sangat gembira untuk pulang dan melawat Malaysia. Pada tahun 2015, lepas 20 tahun, dia kembali ke Malaysia untuk lawat tempat asalnya.

“Disitu tempat saya lahir. Saya perlu pulang semula dan membiasakan diri saya dengan ahli keluarga yang jauh dan untuk hanya melihat dan merasai apa yang telah berubah.”- James Wan, petikan dari Star2.

Walaupun busy buat filem seram, durian tetap disayangi James Wan. Imej dari Star2.

Selain berjumpa saudara-saudara lama, dia juga berpeluang untuk merasai budaya dan makanan Malaysia.

 “Saya ingat lagi yang saya suka durian di mana merupakan salah satu perkara kegemaran saya. Saya tahu orang berasa pelik, tapi saya sukakannya dan saya suka rambutan dan semua buah-buahan tropika ini, dan saya suka laksa. Saya juga teringat waktu menyambut perayaan Tahun Baru Cina.”- James Wan, petikan dari Star2.

3) Nasarudin Mohd Yusof: Orang Malaysia pertama mendapat Hadiah Nobel Keamanan

“Sangat berbangga dengan Nasarudin Mohd Yusof, pemenang Hadiah Nobel Keamanan kita. Teruskan kerja bagus dengan OPCW (Organisasi untuk Larangan Senjata Kimia).”- Ucapan Najib Tun Razak dalam twitternya, petikan dari NST.

Syukur Alhamdulillah. Imej dari Milo Suam.

Dia yang merupakan bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia mengakui pada mulanya agak sukar untuk dia tinggalkan Malaysia. Tempat dia bekerja, OPCW tu pulak terletak di Hague, Belanda yang agak jauh dari Malaysia. Di OPCW, dia bekerja sebagai pakar senjata dan kimia. Menurut Nasarudin, disebabkan kehidupan di Malaysia yang masyarakatnya pelbagai budaya menjadikan dirinya mudah untuk biasakan diri dengan perbezaan budaya di Belanda.

Sepanjang pengalaman dia di sana, dia berasa lebih menghargai Malaysia berbanding sebelum ni. Dia juga ada berjumpa dengan beberapa orang Malaysia yang dah menggugurkan kerakyatan mereka. Tapi baginya,

“Sekali menjadi orang Malaysia, selamanya menjadi orang Malaysia.”- Nasarudin Mohd Yusof, petikan dari The Star.

Kebanggaan Malaysia. Imej dari The Star Online.

Perasaan bangga dia terhaadap Malaysia bukanlah sekadar cakap kosong. Pada tahun 2013, organisasi tempat dia bekerja, OPCW dah dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan yang mana dia salah seorang yang menerimanya. Pengiktirafan terhadap OPCW adalah sebab kerja-kerja mereka untuk memastikan negara anggota mematuhi Konvensyen Senjata Kimia. Konvensyen tu melarang penggunaan senjata kimia dan melakukan kebinasaan. Apa yang membanggakan, dia dah mengibarkan jalur gemilang waktu menerima anugerah tu.

“Apabila anda bekerja di luar negara, tidak kira betapa kecil tugas anda, anda sebenarnya membawa bendera negara.”- Nasarudin, petikan dari Mstar.

Nasarudin segak bergaya untuk bekerja. Imej dari Min-def blogspot.

Dia jugak berharap yang kemenangan dia bersama organisasinya ni dapat membangkitkan semangat orang muda Malaysia untuk memenangi Hadiah Nobel dalam bidang -bidang lain.

4) Dr. Amani Salim: Menjadi ketua projek dalam program satelit NASA

Dalam dunia ni, kajian angkasa lepas semestinya diterajui oleh NASA dengan teknologi-teknologi canggih yang diorang ada. Walaupun Malaysia pernah hantar angkasawan pertama ke ISS, kita mesti tertanya-tanya, adakah orang Malaysia yang pernah bekerja di pusat penyelidikan angkasa lepas macam NASA ni?

Kalau angkasawan pertama Malaysia adalah lelaki, orang Malaysia pertama yang bekerja di NASA adalah wanita iaitu Dr. Amani Salim. Kalau nak diikutkan, dia ni belajar agak lama di Amerika Syarikat. Pada tahun 2001, dia menerima Ijazah Sarjana Muda Sains dan kemudiannya menerima Ijazah Sarjana Kejuruteraan Elektrik pada tahun 2003. Dia menerima pendidikan tertingginya iaitu PhD dalam bidang BioMEMS dan Mikroelektronik  di Universiti Purdue pada tahun 2009. Habis belajar, dia bekerja sebagai ahli akademik di Universiti Purdue. Jodohnya dengan NASA bertemu beberapa tahun lepas tu.

Dr. Amani yang pandai dan cantik. Imej dari Magazine Scientific Malaysian.

“Saya terpilih untuk temuduga dan menunjukkan kepandaian membuka dan memasang semula komponen radio dan mungkin sebab itu saya terpilih.”- Dr. Amani Salim, petikan dari Utusan.

Pada tahun 2014, NASA lancarkan projek NASA Small Satelite (SporeSat) yang mana dia dilantik sebagai Principal Investigator lepas ditemuduga. Akhirnya, disebabkan macam-macam latar belakang pendidikan yang dia ada, menjadi sebab dia dilantik mengetuai projek SporeSat tu. Tapi itu semua berlaku lepas dia tunjuk bakatnya yang luar biasa.

Bekerja untuk SporeSat NASA bukanlah biasa-biasa. Dia bekerja dalam makmal sehari dalam 16 hingga 18 jam dan siap tidur dalam sleeping bag lagi tau!. Ini semua berlaku selama tiga tahun setengah. Kalau nak dikira dari zaman dia belajar sampai bekerja dengan NASA, adalah dalam 18 tahun atau lebih dari satu dekad. Lepas tu, barulah dia balik ke Malaysia dan berkihdmat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sleep walking masa tidur dalam sleeping bag memang bahaya.

Kerja pun dah hebat, memang banyaklah dia dapat anugerah. Antaranya apabila American Society for Gravitional and Space Research (ASGSR) bagi Thora W. Halstead Young Investigator’s Award kepadanya pada tahun 2012. Pada tahun 2015, dia jadi wakil Malaysia ke Persidangan Komanwel lepas menerima Malaysia National L’Oreal – UNESCO Fellowship for Women.

Sempat senyum walaupun tengah buat kerja. Imej dari Utusan.

Walaupun bekerja dalam satu organisasi yang berprestij, dia menghargai negara dengan caranya tersendiri. Di Malaysia, dia buat penyelidikan saintifik untuk tujuan bantu masyarakat. Buktinya, lepas dia melawat perkampungan di Kelantan yang terkena banjir, dia mendapat ilham untuk mencipta sensor mikro mudah alih. Alat ni akan memudahkan proses mengesan air tercemar di kawasan pedalaman tanpa perlu buang masa untuk uji kat makmal. Kalau dah dalam pedalaman, celah mana nak cari makmal kan.

“Sensor ini akan menyelamatkan nyawa hidupan dengan mengesan sumber minuman yang dicemari oleh E. Coli, sejenis bakteria yang datang dari sisa buangan manusia dan haiwan.”- Dr. Amani Salim, petikan dari Star2.

5) Kiki Poh: Ketua projek lakaran filem animasi Cars 3

Dalam dunia filem, Pixar tak mengecewakan dalam menyediakan filem-filem animasi kepada kita semua. Disebalik kehebatan Pixar ni rupanya ada orang kelahiran Malaysia yang menyumbang dalam syarikat tu. Sumbangan itu datang dari Kiki Poh yang menjadi anak Malaysia pertama bekerja di sana.

Kiki Poh tak tinggalkan bendera Malaysia. Imej dari The Iskandarian

Perjalanan dia untuk terpilih bekerja di Pixar ni bukanlah biasa-biasa. Semuanya bermula lepas dia menonton Jurassic Park pada tahun 1993. Dari situ dia mula minat dengan bidang animasi ni. Dia sebenarnya tak tahu macam mana nak bergerak ke arah tu. Jadinya, dia memulakan langkah belajar dalam bidang seni di Universiti Katolik Fu Jen di Taiwan. Tamat je belajar, dia bekerja dalam industri grafik animasi beberapa tahun di Taiwan dan Singapura. Tapi, nampaknya tak berkembang dengan baik.

Waktu tu dia rasa yang hidup dan kariernya makin malap. Kerana minat yang mendalam, dia memberanikan diri untuk masuk belajar balik pada usia 30 tahun di Savannah College of Art And Design, Amerika Syarikat. Dari situ dia bina kerjayanya sekali lagi perlahan-lahan. Pada tahun 2009, Pixar ada datang tempat dia belajar untuk buat bengkel animasi. Dia tak lepaskan peluang untuk sertai bengkel tu sambil bawa semua hasil lakaran dalam simpanannya.

Cantik lukisan awak Kiki.

Tapi, salah seorang pereka animasi Pixar yang ada ternampak hasil kerjanya dan minta untuk menelitinya. Akhirnya, pada tahun 2010, dia dah terpilih sebagai pelatih kat Pixar terletak di San Francisco dan terlibat dengan filem animasi macam Finding Dory, Toy Story 3 dan Monsters University. Permulaan kerjaya dia kat sana sangatlah mencabar.

“Selain tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik, saya juga mendapati budaya kerja di sana sangat mencabar. Bagaimanapun, saya cekalkan diri untuk mengadaptasi dengan corak kerja mereka sebaik-baiknya.”- Kiki Poh, petikan dari Hmetro.

Sekarang ni, dia bertugas sebagai ‘shading artist’ serta menjadi ketua projek lakaran bagi filem Cars 3. Pada tahun 2017, dah enam tahun dia bekerja di sana. Kira lama jugaklah dia duduk luar negara. Tapi, beberapa tahun lepas tu, ada beberapa orang Malaysia masuk kerja kat syarikat tu.

“Kini ada beberapa lagi warga Malaysia masuk kerja di sana. Sekurang-kurangnya dapat juga saya melepaskan kerinduan terhadap kampung halaman apabila bersama mereka.”- Kiki Poh, petikan dari Harian Metro.

Logo Pixar bergambar bersama Kiki. Imej dari NST.

Walapun lama duduk di luar negara, perasaannya terhadap Malaysia memang tak boleh dinafikan. Sebabnya, dia mengakui sumber inspirasinya adalah Malaysia tu sendiri. Kalau orang biasanya sumber inspirasi adalah tokoh atau orang ternama, tapi, dia memilih bunga raya yang kita tahu bunga kebangsaan sebagai sumber inspirasi jugak.

“Hal ini kerana bunga raya terkenal dengan kemampuannya untuk tumbuh mekar dalam iklim apa sekalipun, maka saya mahu menerapkan elemen serupa dalam diri yang mampu membawa nama Malaysia walau di mana saya berada.”- Kiki Poh, petikan dari Kosmo.

Harapanya, selaku orang Malaysia yang paling lama bekerja di Pixar, dia berharap kejayaannya mampu menjadi inspirasi untuk anak-anak muda Malaysia yang ada impian yang sama. Baginya, setiap kejayaan bermula daripada angan-angan kosong dan mimpi yang mustahil.

Ada orang guna bunga raya untuk mengundi. Imej dari Sinar Harian.

6) Nick Kyrgios: Pemain tenis antarabangsa dengan ibu ahli kerabat diraja Pahang

Kalau korang peminat tenis, mesti korang tengah ikut kejohanan ATP Terbuka AS yang kini berlanjutan di New York. Dan antara pemain-pemain tenis yang sedang bersaing dalam kejohanan ini adalah Nicholas Hilmy Kyrgios – pemain tenis Australia yang kini berada di tempat ke-30 dalam senarai pemain-pemain tenis terbaik di dunia. Namun, apa yang mungkin mengejutkan tentangnya adalah ibunya merupakan ahli kerabat diraja Pahang.

Tengok muka pun boleh nampak ada melayu-melayu sikit. Imej dari Mashable.

Mengikut laporan di New York Times, datuk ibunya merupakan sepupu Sultan Pahang maka ibunya pula adalah Tengku Pahang. Walau bagaimanapun, Norlaila Kyrgios telah melepaskan gelaran itu apabila mengahwini suaminya dari Yunani dan menetap dengannya di Australia. Kini, Norlaila masih menganggap Malaysia sebagai tempat asalnya dan sering memulang melawat keluarganya di Shah Alam bersama dengan Nick.

“Saya mahu rakyat Malaysia berbangga dengan kejayaan Nick kerana darah Malaysia mengalir dalam uratnya.” – Norlaila Kyrgios, dipetik dari The Star.

Sebagai pemain tenis, Nick memang telah menemui pelbagai jenis kejayaan. Selain disenarai sebagai salah satu pemain tenis terunggul di dunia, Nick juga merupakan salah satu daripada hanya DUA pemain tenis yang berjaya mengalahkan Roger Federer, Rafael Nadal dan Novak Djokovic dalam perlawanan pertama menghadapi mereka. Bagi yang tak tau pula, Federer, Nadal dan Djokovic pernah digelar “The Big Three” kerana dianggap ketiga-tiga pemain tenis yang terbaik di dunia.

Nick bersama pemain tenis nombor satu di dunia, Rafael Nadal, selepas mengalahkannya di Wimbledon. Imej dari GiveMeSport.

Baru-baru ni, dia telah menjadi berita heboh di pertandingan Terbuka AS selepas dianggap dibantu oleh pengadil perlawannya. Namun buat masa sekarang, Nick yang berumur 22 dianggap mempunyai masa depan dalam bidang tenis yang amat cerah.

Setiap orang Malaysia kena seimbangkan antara perasaan kesetiaan dan patriotik

Kalau diikutkan, perasaan Muhkriz Tun Mahathir waktu berada di luar negara adalah berbeza dengan pendekatan keempat-empat ikon ternama dari Malaysia yang kami senaraikan. Mungkin ianya berbeza sebab latar belakang kerjaya dan karier yang berbeza.

Namun, setiap rakyat Malaysia semestinya ada semangat sayangkan negara sendiri dalam apa jua keadaan. Dalam ilmu sosial psikologi, ianya dipanggil sebagai nasionalisme yang mana seseorang tu akan ada rasa kesetiaan kepadanya. Dalam masa yang sama, perasaan setia ni perlulah diseimbangkan dengan sikap constructive patriotisme supaya kita tak jadi orang membuta tuli.

Kalau dalam stadium, perasaan sayangkan negara lagi membuak-buak. Imej dari TV14.

“Matlamat constructive patriotism adalah untuk penambahbaikan dan peningkatan sistem sosial semasa, seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.”- Petikan kajian Tuan Pah Rokiah Syed Hussain dan lain-lain.

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT