Bakar rokok guna piston? Ini 3 teknologi Melayu dulu yang buat korang kagum!

Bila cerita pasal teknologi, mesti dalam kepala secara automatik terfikirkan alatan-alatan canggih macam laptop, gajet, robot dan macam-macam lagilah barang berkaitan elektronik canggih ciptaan orang barat.

Untuk pengetahuan korang, teknologi ialah penggunaan pengetahuan sainstifik dalam kehidupan harian kita. Tapi, teknologi ni tak semestinya ada elemen eletronik dan sains pula tak semestinya di makmal je.

Kalau korang tak percaya, teruskan membaca artikel kat bawah ni pasal teknologi-teknologi orang Melayu suatu masa dulu.

1. Pemetik api tinggalan Nusantara ni jadi inspirasi enjin kereta

Kalau zaman sekarang kita nak dapat api kemain mudah. Pergi dapur ada api, takpun pergi ke kedai membeli cincau… Eh, bukan! Beli mancis ataupun pemetik api je.

Bukanlah nak kata zaman dulu susah nak jumpa api, contohnya dalam filem-filem P.Ramlee pun ada je guna mancis nak bakar rokok. Betapa mudahnya, dengan sekali petik dah dapat api.

Cuma kami nak kongsikan satu alat teknologi pemetik api tinggalan orang Melayu dulu-dulu yang tak kurang menariknya. Tapi, memerlukan lebih usaha nak hasilkan api tu.

Nama alat tu ialah gobek api atau lantak api, Bahasa Inggerisnya pula fire piston. Gobek api ni fungsi dia sama je dengan lighter iaitu untuk menyalakan api rokok daun atau cerut.

Lighter zaman dulu nampak cool. Imej dari Iluminasi.

Kebiasaannya, gobek api diperbuat daripada kayu, tapi ada juga diperbuat daripada tanduk kerbau. Alat ni ada pelbagai rupa dan design yang bergantung kepada kreativiti si pembuat.

Gobek api ni ada dua komponen iaitu batang pengepam yang berupa seakan jarum suntikan dan batang yang berlohong atau sarung kepada jarum tersebut. Kedua-dua komponen ni dipam banyak kali sampai terhasilnya api.

Secara saintifiknya, gobek api atau lantak api ni menggunakan prinsip omboh atau piston iaitu udara dimampatkan berulang kali sehingga menghasilkan suhu yang tinggi dan terjadinya api.

Nak tambah power sikit, daun-daun kering diletakkan ke dalam omboh tu untuk dijadikan sebagai bahan bakar. Maka, terhasillah api di pangkal jarum tu. Dah boleh buat bakar rokok daun.

Tapi bukan senang nak hasilkan api dengan gobek api ni, perlukan teknik yang betul dan ketangkasan juga. Kalau korang nak feeling-feeling orang Melayu zaman dulu, boleh lah try guna gobek api ni.

Sayangnya, alat  tinggalan Nusantara ni makin dilupakan mungkin disebabkan kemajuan teknologi zaman sekarang. Iya lah, dah ada yang senang, buat apa nak susah-susah, kan?

Gobek api ni juga dikatakan menjadi sumber inspirasi kepada pembuatan enjin kereta selepas menyaksikan penggunaan gobek api oleh orang asli/asal.

2. Wukok kain teknologi dry cleaning zaman dulu

Korang pernah tahu tak, sebelum penggunaan mesin cucian kering (dry cleaning) digunakan secara meluas, kita memang dah ada teknologi ni dari dulu lagi. Tapi, of course lah tak secanggih mesin sekarang.

Dry cleaning ni bukanlah betul-betul kering pun, cumanya cucian kering menggunakan air dengan kadar yang minima atau cecair kimia yang tertentu.

Tak semua jenis pakaian perlukan cucian kering ni. Cucian ni cuma digunakan kepada fabrik yang tertentu macam kapas, kulit dan sutera.

Tengok je kat label kalau tak tau nak guna cucian yang mana. Imej dari ihateironing.

Macam kami bagitahu tadi, kita dulu pun dah pernah menggunakan teknologi dry cleaning ni. Menariknya, orang Melayu dulu menggunakan cucian ni betul-betul kering tanpa setitis cecair pun.

Nama kaedah ni ialah wukok kain iaitu mewangikan kain dengan asap. Tujuan mewukok kain ni bukanlah untuk membersihkan kain yang diasapkan macam cucian kering sekarang ni, sebab kaedah ni tak melibatkan setitis air pun. Sekadar kepada mewangikan kain saja.

Cara mewangikan kain dengan asap. Imej dari Twitter.

Cara orang dulu-dulu mewukok kain ni adalah mereka menghamparkan kain yang nak diwangikan ke atas saji atau kubah yang diperbuat daripada rotan. Tapi kain tu dialaskan dengan kain kapas sebab nak elakkan fabrik tu rosak terkena permukaan rotan yang kasar.

Manakala dalam saji tu pula diletakkan setanggi iaitu pewangi kain yang diperbuat daripada campuran ramuan yang berbau wangi. Ada daun pandan, gula batu, kayu kasturi dan lain-lain lagi.

Di bahagian tengah setanggi tu pula diletakkan arang. Apabila arang dibakar, asap yang terhasil akan membawa bau-bau wangi dari ramuan tadi tu melekatkan pada kain.

Tapi kenapa tak basuh je macam biasa, kan lagi bersih dan wangi ? Ha… sama juga macam konsep dry cleaning zaman sekarang ni. Tujuan kaedah mewukok ni dilakukan adalah nak menjaga kualiti kain tu.

Ini disebabkan kain songket, kain limar atau kain tenun yang lain zaman dulu menggunakan pewarna asli. Jadi, nak mengelakkan warna kain tu luntur, kaedah wukok kain ni digunakan.

Tapi, kami tak pasti pula berapa lama molekul asap arang tu melekat pada kain. Mungkin sama sahaja macam asap rokok yang mampu bertahan selama enam bulan pada permukaan sekeliling kita, walaupun baunya dah takda.

3. Keris boleh didirikan walau tanpa amalan ilmu mistik

Keris merupakan senjata zaman dulu yang dah jadi sebahagian dari budaya orang Melayu. Senjata unik ni bukan saja kebanggaan negara kita, malah negara Nusantara yang lain juga.

Korang yang tengah baca ni, pernah tak dengar pasal keris yang boleh berdiri? Ha… macam mana pula tu? Sedangkan hulu keris lebih berat dari bilahnya.

Mungkin kejadian keris berdiri ni nampak tak masuk akal, ia selalu dikaitkan dengan kebolehan mistik yang diamalkan oleh tuan kepada keris tu.

alaaa… takuttt. Imej dari giphy.

Amalan mistik yang dikatakan seperti keris mereka ‘dimasukkan’ jin atau khadam yang membolehkan keris tu didirikan. Tapi, ada pula menyangkal kejadian keris berdiri dengan kajian saintifik.

Siti Noor Aisyah Nazarudin merupakan seorang Kurator Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau mendakwa yang dia sendiri mampu untuk mendirikan senjata hebat tu tanpa sebarang amalan mistik dalam tempoh kurang 60 saat.

Seseorang tu boleh mendirikan keris kalau ada kemahiran dan daya fokus yang tinggi. Kalau macam Siti Noor Aisyah, beliau mengambil masa selama tiga minggu berlatih untuk mendirikan keris ni sejak tahun 2016.

Kenyataan tersebut disokong oleh Pengarah Yayasan Warisan Johor (YWJ), Sharil Nizam Abdul Rahim,

“seseorang itu tidak perlu ada kemahiran dalam mendirikan keris, dia cuma perlu fokus untuk mendirikan keris” – Sharil Nizam, petikan dari Harian Metro

Pengarah YWJ menunjukkan kemahiran mendirikan keris. Imej dari Mykmu.net

Keris mampu didirikan kerana teknologi pembuatannya yang hebat dan teliti yang memberi keris keseimbangan yang sempurna. Namun, taklah pula dinafikan amalan mistik yang dilakukan oleh tuan keris tu.

Bilah keris

Selain keseimbangan keris yang menakjubkan tu, bilah keris tu sendiri juga dah cukup mangagumkan. Penghasilan bilah keris menurut satu kajian bagitahu bahawa bilah keris ni dibuat daripada 17 jenis besi yang berbeza. Antaranya ialah Pulasani, Mangangkang Jaler, Malelaruyun, Walulin, Tumbuk dan Balitung.

Tapi, ada juga tukang empu atau pembuat keris ni dikatakan mengguna tiga jenis besi utama iaitu besi mentah, tawar dan melela serta besi baja sebagai pengukuh bilah. Hm… mungkin bergantung juga pada tukang empu.

Seorang tukang empu, Rusli Abdul mengatakan beliau menggunakan empat jenis besi tersebut yang diikat bersama kemudian dibakar pada suhu 1200 darjah Celsius sampailah kesemua besi bercantum.

“Kemudian saya akan ketuk besi ini untuk dijadikan ‘bekalan’ berdasarkan jenis keris yang ingin dihasilkan sama ada keris Luk Tiga atau keris Luk Tujuh,” – Rusli Abdul, petikan dari Harian Metro

Antara bilah keris yang berluk. Imej dari SOSCILI.

Proses seterusnya pula, bilah keris digosok bagi menghaluskan bilah kemudian direndam ke dalam asid getah yang menyebabkan besi bilah menjadi bahan arsenik yang berbisa. Kemudian, diteruskan pula dengan proses membersihkan bilah dan pembuatan hulu dan sarung.

Senjata orang Melayu masih kekal sebagai budaya masa kini

Orang Melayu memang hebat. Bukan saja hebat bertarung menentang penjajah, malah hebat juga dalam mencipta teknologi-teknologi mudah yang berguna walaupun tak secanggih teknologi zaman sekarang.

Alatan-alatan buatan mereka dulu tu semua boleh disokong dengan ilmu sains walaupun tak dapat dipastikan sama ada mereka memang ada mengkaji sendiri dari sudut sains, tapi memang mengagumkan.

Walaupun zaman sekarang kita dah tak menggunakan keris sebagai senjata pertarungan, kita tetap kena menjaga dan menghargai keris sebagai budaya kita. Macam sekarang, orang Melayu lebih menggunakan keris sebagai aksesori dalam busana Melayu.