- 424Share sekarang!
- Email18
- Facebook406
- Share
Kontroversi tentang Tabung Haji (TH) memang dah jadi lama, dan dah jadi buah mulut orang sejak sebelum PRU-14 lagi. Macam-macam yang dibangkitkan dengan TH, macam berlakunya skandal dan sebagainya.
Bila Pakatan Harapan (PH) mula mentadbir lepas menang PRU-14, antara agenda utama yang diangkat adalah Pelan Penstrukturan dan Pemulihan TH. Boleh dikatakan ramai juga yang terkejut bila laporan juruaudit bebas kata – TH mengalami defisit RM4.1 bilion setakat 31 Disember 2017 dan pembayaran hibah tahun itu juga dianggap melanggar Akta Tabung Haji 1995.
Antara pelan pemulihan ni adalah dengan memindahkan aset yang tak menguntungkan bernilai sekitar RM19.9 bilion kepada syarikat tujuan khas (SPV), Urusharta Jamaah Sdn Bhd, milik penuh Kementerian Kewangan. Dalam masa sama, kerajaan juga ada buat suntikan dana bersih sebanyak RM17.8 bilion kepada TH untuk membiayai agensi tu selama tempoh 10 tahun dari 2020 sampai 2030.
Walaupun begitu, masih banyak benda yang melingkari TH bila agensi tu didakwa dah menjual banyak asetnya dan hal ni dah pasti menimbulkan kebimbangan masyarakat. Mungkin, kita boleh mula dengan isu terbaru bila…
1. Rangkaian hotel TH dijual kepada syarikat bawah Kementerian Kewangan
Beberapa hari lalu, dah tular satu surat yang didakwa menyatakan penamatan operasi dan perkhidmatan empat buah hotel di bawah Kumpulan TH yang akan berkuatkuasa pada 1 April 2020 ni. Dalam surat tu juga dinyatakan terdapat pekerja yang akan ditamatkan pekerjaan di bawah skim – Staff Separation Scheme (SSS).
Tapi, beberapa hari lepas surat dan khabar angin ni tersebar – TH muncul menafikannya dan kata operasi 4 hotel mereka akan diteruskan (selain di Kelana Jaya), tapi di bawah pengurusan baru, atau ada orang kata – dijual kepada syarikat baru. Dan syarikat tu pula adalah, UJ Property Management Sdn Bhd yang sebenarnya anak syarikat kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd.
Tapi kalau nak kata rangkaian hotel TH ni dijual kepada syarikat bawah Kementerian Kewangan pun agak mengelirukan juga, sebab berdasarkan kenyataan TH – aset-aset hotel mereka memang dah dipindah milik kepada Urusharta Jemaah sejak Disember 2018 lagi. Cumanya, kali ni ia dipindahkan pula kepada kepada anak syarikat Urusharta Jemaah iaitu UJ Property Management.
Bagi sesetengah pemerhati apa yang dilakukan oleh TH ni sebenarnya patut sebab memang tugas syarikat SPV untuk memulihkan syarikat-syarikat yang tak berdaya saing. Dan bila aset-aset tu nanti boleh jana keuntungan – kemungkinan besar TH adalah entiti pertama yang ditawarkan untuk membelinya.
Bagaimanapun, masih ada pihak yang mempersoalkan rasional di sebalik penjualan ni. Sebab mereka mempersoalkan ketelusan di sebalik pelbagai aset TH yang dah dijual. Jadinya, ada desakan supaya kerajaan menubuh Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) bagi menyiasat penjualan aset-aset Tabung Haji.
2. TH jual lebih 6 ribu hektar ladang sawitnya di Sarawak
Sebelum dikenali sebagai TH Plantations Berhad (THP), lembaga perladangan Tabung Haji ni dikenali sebagai Perbadanan Ladang-Ladang Tabung Haji Sendirian Berhad. Sehingga tahun 2006, ia masih lagi dikenali sebagai sebuah syarikat ladang bersaiz kecil yang masa tu cuma ada sekitar 15,000 hektar ladang.
Tapi berganjak pada tahun 2012 ke 2014, THP dah bergerak secara lebih agresif dengan membeli ladang-ladang tambahan sehingga ia melebihi 100,000 hektar. Bagaimanapun kedudukan THP mula sukar pada tahun 2015 akibat kos pelaburan yang tinggi sehingga memaksanya menjual dua buah anak syarikat – TH Bakti Sdn Bhd (pada 2015) dan THP Gemas Sdn Bhd (pada 2016).
Bagaimanapun, bila Pelan Pemulihan TH diperkenalkan – nampaknya sekali lagi aktiviti jual beli ni dibuat. Kali ni, THP mengumumkan pelupusan keseluruhan kepentingan ekuitinya dalam Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (BSV) dan Maju Warisanmas Sdn Bhd (MW) kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd dengan harga RM170 juta.
Selaras dengan tindakan tu, ia sekaligus melibatkan penjualan 6,513.9 hektar ladang kelapa sawit di Bintulu dan Sibu yang dimiliki kedua-dua unit ni. Dengan penjualan ni, keluasan ladang THP yang ada sekarang hanya tinggal sekitar 94,462.08 hektar, yang terdiri daripada ladang kelapa sawit dan getah.
Selain tu pada akhir tahun 2019, THP juga ada memeterai satu perjanjian dasar induk (HoA) dengan TDM Bhd untuk menjual keseluruhan kepentingan (70 peratus) dalam THP-YT Plantation Sdn Bhd.
“Selepas pengambilalihan selesai, jumlah kawasan kelapa sawit yang ditanam kepunyaan TDM di Terengganu akan meningkat kepada 33,653 hektar daripada 31,346 hektar…” – Dipetik dari BH Online.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif THP, Muzmi Mohamed, langkah yang diambil ni perlu untuk memulihkan kedudukan kewangan dan mengelakkan diisytiharkan bankrap akibat gagal membayar hutang. Ini kerana, dia kata – THP menanggung hutang sebanyak RM1.24 bilion pada tahun kewangan 2018 dan meningkat kepada RM1.29 bilion pada suku ketiga tahun kewangan 2019.
“Apa yang kami lakukan kini adalah rasionalisasi aset dengan mengenalpasti aset tidak berprestasi untuk dijual bagi memantapkan semula kedudukan kewangan, mengurangkan paras hutang dan kembali mencatatkan untung yang munasabah.” Katanya, kepada BH Online.
3. TH jual tanah di TRX, tapi masa BN dulu hampir dijual juga atas arahan Najib Razak
Dilaporkan pada 23 April 2015, telah termeterainya Perjanjian Jual Beli (SPA) di antara Tabung Haji (TH) dengan 1MDB berkaitan pembelian tanah seluas 0.63 hektar (1.56 ekar) di kawasan pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX).
Tanah itu dibeli pada harga RM188.5 juta yang dikira harga diskaun pada masa tu (harga asal ditawarkan melebihi RM200 juta). Tujuan pembelian adalah untuk membangunkan bangunan kediaman setinggi 40 tingkat dalam tempoh 3 tahun.
Jumlah keseluruhan untuk membangunkan projek berkenaan serta kos tanggungan lain termasuk pembelian tanah berjumlah RM462 juta. Hal ni menjadi isu sebab dikaitkan pembelian itu adalah untuk menyelamatkan 1MDB, tapi dah dinafikan.
Namun pada bulan depannya, Mei 2015, PM ketika itu, Najib Razak menasihatkan agar tanah itu dijual supaya nama TH tak tercemar kerana terlibat dengan transaksi perniagaan 1MDB. Ketika itu, menurut Azeez Rahim (Pengerusi TH waktu tu) memang dah ada tiga pihak tawarkan diri untuk beli tanah tersebut.
Pada tahun depannya, Februari 2016, pihak TH melalui Azeez Rahim mengumumkan tak jadi jual tanah tersebut. Ini adalah atas persetujuan pemimpin BN dan pembangkang ketika itu. Dan tanah itu akan dibangunkan oleh anak syarikat TH, TH Properties untuk bina pangsapuri. Namun, projek ini belum lulus serta tiada perintah pembangunan (DO) dari kerajaan BN ketika itu.
Selepas berlaku pertukaran kerajaan, maka telah diumumkan mengenai penstrukturan semula TH kerana dikatakan terdapat salah laku pengurusan kewangan sebelum ini. Jadinya, salah satu tanah yang dijual adalah tanah TH di TRX yang kita sembang panjang dari awal tadi.
Tanah ini dijual kepada SPV Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. dalam bentuk sukuk dengan harga RM400 juta. Mesti korang pening apa itu sukuk kan? Sukuk ni maksudnya bon (pinjaman) dalam kewangan Islam.
Ini kerana bon yang menghasilkan riba tak dibenarkan Islam. Maka sukuk diwujudkan agar dapat memenuhi prinsip-prinsip pelaburan yang patuh Syariah. Nak mudah faham, sukuk ni dibuat dengan menjual sijil sukuk kepada para pelabur dan kemudian menggunakan hasil jualan sukuk itu untuk membeli sesuatu aset.
Dan dari jualan tanah TRX oleh TH kepada SPV dalam bentuk sukuk ada sesuatu yang boleh berlaku yang mana TH boleh beli balik tanah tu.
“Sekiranya nilai tanah tersebut naik secara luar biasa dalam dua tiga tahun akan datang sehingga mencecah nilai RM 400 juta dan kelihatan boleh terus meningkat lagi,
TH mempunyai ‘first rights of refusal’ atau hak istimewa untuk membeli semula dan mendapat tawaran jualan oleh SPV UJSB dan berhak untuk menebusnya dengan menggunakan sukuk sedia ada.” – Dr Zaharudin Abd Rahman, Pengkaji Isu Penstrukturan Tabung Haji
Selesai semua cerita pasal jual aset ni, kita nak tahu juga apa lagi aset TH yang masih ada setakat ni.
Aset-aset TH yang masih ada lagi, tapi ramai tak tahu
Banyak berita pasal jual aset TH yang kita dengar, tapi sebenarnya ada banyak lagi yang masih ada. Melalui anak syarikat TH, iaitu TH Properties, ia ada beberapa aset dan projek yang sedang dibangunkan antaranya:
- Kawasan pembangunan di Bandar Enstek seluas 5,119 ekar tanah: Bandar Enstek mempunyai Nilai Pembangunan Kasar (GDV) bernilai RM9.2 billion jika siap sepenuhnya pada tahun 2025
- Hartanah di Bandar Warisan Puteri, Serembah: Ini termasuk 99 unit teres dua tingkat di Eliya@Warisan Puteri, perumahan di Sutera@Bandar Warisan Puteri, pejabat kedai di Warisan Puteri BizCentre
- Perumahan di Persisiran Residences @ Bukit Pelindung, Kuantan
Selain tu, TH masih lagi terlibat dengan industri makanan halal melalui TH Global Services Sdn. Bhd. (TGHS). Ia menguruskan pengeluaran dan pengedaran produk-produk makanan halal dan toyyiban.
Tak lupa juga, melalui TH Travel & Services Sdn. Bhd., ia menjalankan perkhidmatan perjalanan dan pelancongan yang lengkap untuk umat Islam. Ini termasuklah pakej haji dan umrah, pakej pelancongan, carter haji, carter kapal terbang, pembelian tiket, katering makanan halal dan perkhidmatan kargo.
Melalui Theta Edge Berhad (Theta Edge) pula, ia memberi perkhidmatan ICT bagi memenuhi permintaan dan jangkaan pelanggan menerusi produknya. Antaranya ialah Sistem Maklumat Menyeluruh Hospital, Sistem Pengurusan Tenaga, Sistem Pengurusan Bersepadu Bangunan, Penyelesaian Pertahanan & Keselamatan dan Sistem Sokongan Logistik Bersepadu.
TH kekal kukuh kerana Bank Islam adalah ‘sauh’ terbesarnya
“Saya rasa kepentingan dalam Bank Islam bukan saja dari segi pemegang saham, tapi juga Bank Islam boleh menjadi ‘sauh’ kepada Tabung Haji.“- Prof. Barjoyai Bardai, pakar ekonomi ketika dihubungi
Kalau nak tahu, TH memiliki lebih 50 peratus saham dalam Bank Islam. Jadi, ia sebenarnya dah dikira memiliki sebuah bank. Menurut Prof. Barjoyai lagi, TH boleh menggunakan bank ini untuk memastikan pengukuhan pendepositnya.
Apa pun tindakan yang dilakukan, semuanya mestilah kembali kepada tujuan asal Tabung Haji yang merupakan idea Prof. Diraja Ungku Aziz. Antaranya membantu orang Islam pergi tunai haji dan perbelanjaan lain yang bermanfaat, memastikan pendeposit menerima keuntungan dari simpanan dan memberikan kemudahan dan perkhidmatan kepada jemaah haji.
Jadi masihkah lagi TH meneruskan tujuan asalnya ketika ini?
- 424Share sekarang!
- Email18
- Facebook406
- Share