Datang dari sekolah luar bandar, semua terkejut bila dorang memang pertandingan robotik!

Pop kuiz! Dalam banyak-banyak kerja, kerja apa yang korang akan pegang title tu sampai mati?

Sila tekan buzzer untuk jawab soalan. Gif dari Giphy.

Tak payah pikir panjang, jawapannya mestilah… CIKGU!!! Walaupun pencen dah lama, walaupun umur dah tua, tapi satu kampung tetap jugak akan panggil cikgu. Bila anak murid sayang, sampai bila-bila pun orang kenang. Contohnya baru-baru ni, seorang wanita Sabah menderma sebahagian besar daripada hatinya kepada bekas cikgu dia! Korang jangan kata nak derma, nak pergi melawat cikgu time raya pun liat…

Cikgu ni mungkinlah bukan first choice bagi orang yang memilih gaji. Gaji awal bagi cikgu sekolah kebangsaan adalah RM1,200 (rujuk fail PDF), bandingkan pulak dengan gaji purata fresh graduate kat Malaysia ni iaitu sebanyak RM2,800; mana tak rambang mata dengan godaan duniawi.

Hashtag millenial amirite. Gambar dari memegenerator.net.

Kami pun nak jugak tahu – dah lah gaji sikit, kerja pulak banyak, jadi apa yang membuatkan guru-guru terus gigih untuk mengajar? Kami pun contact member kami kat 100% Project untuk interview beberapa orang cikgu. Untuk pengetahuan korang, 100% Project adalah website di mana korang boleh hulurkan bantuan kepada cikgu-cikgu Malaysia untuk meningkatkan suasana pembelajaran kat kelas dorang.

Dan cerita cikgu-cikgu kat bawah ni memang buat kitorang kagum…

1. Tiap hari naik motor meredah hutan belantara untuk sampai ke sekolah

Cikgu Nawi mengajar di SK Pos Musoh Landing Zone yang terletak kat perkampungan Orang Asli di Tapah. Oleh kerana ia terletak kat kawasan pedalaman, nak sampai ke sekolah biasanya makan masa 1-2 jam, bila-bila masa je boleh berjumpa dengan ular, tanah runtuh dan macam-macam bahaya! Hari-hari Amazing Race.

Bukan Cikgu Nawi. Tapi Guru Besar kat SK Pos Musuh, Cikgu Azman. Gambar dari GPSBestari.

Cikgu Nawi sendiri sampai kena belajar bawak motor sebab nak ulang-alik dari rumah:

“Tanah runtuh, pokok tumbang, ancaman binatang buas plus kerosakan motosikal kami (tayar pancit la, motor rosak la) semua itu kami redah demi mendidik anak bangsa yang tercinta walau jauh nun di pedalaman sana.” – Cikgu Nawi, dalam interview dengan SOSCILI.

Ini baru Cikgu Nawi. Bersama dengan pelajar-pelajarnya. Gambar dari 100% Project.

Pelajar-pelajar Cikgu Nawi adalah dari suku Semai, sebuah kumpulan Orang Asli yang kebanyakannya menetap di sekitar Perak dan Pahang (rujuk fail PDF).

Cikgu Nawi berhasrat nak jadikan pembelajaran lebih seronok untuk budak-budak dengan menggunakan alat multimedia macam projektor. Masalahnya projektor ni bukan boleh beli ikut kati kat Daiso ye, tak dapatnya beli satu percuma satu. Jadi Cikgu Nawi pun letak page dia kat 100% Project dan syukurlah, Cikgu Nawi berjaya membeli sebuah projektor, speaker, dan skrin!

Tahniah Cikgu Nawi!

Bukan Cikgu Nawi sorang je yang bekerja keras untuk budak-budak kat sekolah ni. SK Pos Musoh ada jalankan program Mong Skulah Mong Cak yang memberi makanan percuma untuk pelajar. Program ni telah menggalakkan mak bapak untuk hantar anak masing-masing ke sekolah, sampaikan sekolah catat rekod kedatangan 100% pada tahun 2014!

2. First day jadi cikgu, dia sampai ke kelas yang kosong!

Lepas keluar maktab, Cikgu Nik yang berasal dari Semenanjung telah ditugaskan untuk mengajar di Pulau Bum Bum di Sabah. Hah nama pun dah comel nak mampus. Tapi bukan setakat nama pulau je yang unik, pengalaman Cikgu Nik pun memang lain daripada yang lain…

Pulau Bum Bum. Gambar dari Google Maps.

Waktu first day, Cikgu Nik sampai ke sebuah kelas yang kosong! Bukan kosong secara metafora macam lagu Najwa Latif ye, tapi kosong secara harafiah. Takde meja, takde kerusi, takde satu batang hidung budak-budak pun. Cikgu Nik pun terus beli cat, berus dan apa-apa yang patut, ajak dua member dia dari Semenanjung untuk datang tolong, dan berkampung kat sekolah selama 8 hari 7 malam untuk renovate kelas tu. Dedication!

Nampak je kelas yang kosong, Cikgu Nik terus start buat kerja! Gambar dari 100% Project.

Apa yang Cikgu Nik buat ni bukan sebab nak dapat pingat kelas tercantik. Niat dia lebih besar. Oleh kerana kelas yang dia dapat merupakan bilik pemulihan, Cikgu Nik nak tukar branding kelas tersebut supaya ia tak buatkan budak-budak rasa lemah semangat. Guru besar dia pun bagi cadangan untuk nama baru: Akademi IQ.

Lagi best kalau korang baca terus cerita Cikgu Nik yang dia tuliskan kat 100% Project. Hasil daripada sumbangan orang ramai kat 100% Project, Cikgu Nik berjaya raih RM8,300 untuk kelengkapan kelas! Dari kelas yang kosong, kini penuh dengan kasih sayang <3

Minion sebagai tunjang pendidikan negara. Gambar dari 100% Project.

Cikgu Nik berkongsi dengan kami akan jurang yang ada antara Semenanjung dan Sabah/Sarawak. Buat mereka di Pulau Bum Bum, setiap pertolongan yang kita anggap kecik membawa makna yang sangat besar bagi pelajar:

“Ketika kawan-kawan mereka Tahun 1 yang bersekolah di Ampang, KL sudah belajar menggunakan interactive whiteboard serta pembelajaran langit terbuka, murid di sekolah Pulau Bum-bum, Semporna masih bergelut dengan masalah bangku dan meja tidak mencukupi, kelas yang penuh sesak, bangunan tidak mencukupi, buku-buku di perpustakaan terhad.

Hal-hal fundamental begini isu yang panjang tetapi dibiarkan begitu lama.” – Cikgu Nik, dalam interview dengan SOSCILI.

Akademi IQ kini dah mula menunjukkan kesan, sampaikan ada budak-budak yang bukan dari kelas pemulihan pun nak join sama! You go Cikgu Nik!

3. Daripada student yang noob tak tau apa, kemudiannya menang pertandingan robotik!

Cikgu Tham merupakan salah seorang dalam senarai ni yang bukan merupakan lepasan maktab, sebaliknya jadi cikgu melalui program Teach For Malaysia. (So siapa-siapa pun boleh jadi cikgu melalui program TFM ni, klik sini untuk maklumat lanjut!)

Ok kisah Cikgu Tham ni memang buat kami semangat. Cikgu Tham mengajar kat SMK Valdor, sebuah sekolah di kawasan luar bandar Penang. Nak dijadikan cerita, bulan Mei hari tu beberapa student Form 1 dan Form 2 pergi ke Bengkel Pengenalan Robotik. Oleh kerana dorang dah pergi dah workshop, dorang wajib untuk masuk pertandingan robotik. 

Nak join? Gif dar Giphy.

Kena ingat yang sebelum ni dorang noob habis eh, tak tau apa pasal robotik. Mula-mula student dia macam takut-takut jugak, tapi setelah dileteri Cikgu Tham setiap hari dorang pun join (begitulah hebatnya kuasa leteran seorang guru). Satu demi satu pertandingan, dorang makin excited dengan robot dorang. Malah bila bersembang dengan member lain yang tak tau pasal robotik, boleh tengok berapi-api semangat dorang berkongsi ilmu.

Dalam pertandingan peringkat negeri, dorang gagal melepasi suku akhir. Frust memang la frust, tapi dorang masih bersemangat dan nak belajar dari kesilapan, dan terus merancang strategi yang seterusnya. Dan dalam Al-Amin Robotic Challenge 2016 yang merupakan peringkat kebangsaan, mereka jadi juara!

Ini budak-budak, bukan robot. Kat tangan dia tu baru robot. Gambar dari 100% Project.

Malah dorang bukan jenis kedekut ilmu. Student ni semua berniat nak menubuhkan kelab robotik untuk berkongsi pegetahuan dengan member lain. Hasil daripada sumbangan orang ramai kat 100% Project, dorang berjaya mengumpul RM6794 untuk kelab robotik!

Kecik-kecik dah pandai buat robot. Kami kat SOSCILI nak repair WiFi pun tak reti. Gambar dari 100% Project.

4. Gunakan Google Street View untuk dedahkan murid-murid kepada dunia luar

Meh tengok dulu video budak-budak kat bawah ni. Comel sungguh rasa nak lempang-lempang.

https://www.youtube.com/watch?v=HVyz3YhXL7s

Cikgu Umi mengajar sebuah kelas pemulihan kat SK Bagan Terap, Selangor. Kebanyakan anak murid dia datang daripada keluarga petani, jadi dorang memang tak terdedah sangat dengan pekerjaan-pekerjaan lain. Cikgu Umi nak bagitau murid-murid yang dorang boleh jadi apa saja yang dorang nak. Dia bercerita pasal member dia yang kerja jadi akauntan, pelukis pelan. Dia guna Google Instant Street View untuk bawak murid-murid dia ke Putrajaya, Legoland, Sunway, dan sebagainya… 

Gambar dari Disney Sheet Music.

Sepanjang 6 tahun kat Bagan Terap, macam-macam taktik Cikgu Ummi guna untuk jadikan kelas tu seronok. Habis barang-barang rumah dia bawak ke sekolah sampaikan suami dia kata sudah-sudahlah tu, haha. Tapi semuanya berbaloi bila dapat lihat murid-murid berubah:

“…[ada yang] berasa sedih dan rendah diri kerana merasakan tidak berdaya saing dengan rakan-rakan sekelas yang lain. Ada murid yang terlalu malu untuk berkomunikasi tetapi setelah mengikuti kelas saya Alhamdulillah murid ini semakin mendapat keyakinan. Ada murid yang mengalami masalah keluarga dan sering termenung dan khayal di dalam kelas tetapi apabila saya sering berbual dan bertanyakan permasalahan nya murid ini semakin bersemangat datang kesekolah dan tidak ponteng.

Bagi pendapat saya kejayaan akademik itu penting tetapi perlu dimantapkan dengan kesediaan murid itu terhadap proses pembelajaran itu sendiri.” – Cikgu Ummi, dalam interview dengan SOSCILI.

Malah Cikgu Ummi turut mendapat sokongan ibu-bapa dan guru-guru lain…

“Apa lagi yang perlu saya katakan jika ada ibu kepada anak murid saya memeluk saya dengan mengatakan jutaan terima kasih kerana mendidik anak mereka.

Guru besar saya amat membantu saya dan sentiasa memberi galakan dan perbincangan dari masa ke masa jika saya mempunyai masalah berkaitan murid. Dan dengan kekuatan tenaga dari guru-guru lain juga menaikkan semangat saya untuk terus menguatkan jiwa saya sebagai pendidik yang berjaya.” – Cikgu Ummi, , dalam interview dengan SOSCILI.

Dengan kutipan daripada 100% Project, Cikgu Ummi berjaya raih RM1515 untuk bawak budak-budak ke Kidzania! Sekarang ni Cikgu Ummi ada projek kedua untuk kelas dia, korang boleh check out kat sini!

Apa yang seorang guru lakukan jauh lebih besar daripada apa yang kita nampak

Kalau korang pernah tengok filem Freedom Writers, mesti korang menitis air mata sulung melihatkan perngorbanan Hillary Swank. Sanggup guna duit poket sendiri dan bekerja lebih masa untuk budak-budak. Tapi bila kami dengan cerita-cerita kat atas ni…. ternyatalah perngorbanan guru bukanlah sekadar fiksyen semata-mata.

Gambar dari Teach For Malaysia.

Tapi kenapa sampai kena guna duit sendiri? Sekolah takde duit ke? Hakikatnya, Malaysia sebenarnya mempunyai akses pendidikan awal yang sangat baik, kebanyakan rakyat boleh masuk sekolah kebangsaan tanpa kos tinggi. Tapi of course, sentiasa ada ruang untuk kita membantu, nak lagi buat budak-budak yang kurang pendedahan disebabkan kemiskinan.

Dan bagi yang fikir, “Eh at least dorang balik rumah awal…. ada cuti sekolah pulak tu,” tugas cikgu bukan berenti bila loceng berbunyi je ye. Malah sebelum kelas mula lagi dah kena start, bak kata Cikgu Roy (sorang lagi Cikgu dari TFM yang mengajar di Pasir Gudang):

“Kebanyakan orang (termasuklah kawan saya) ingat jadi cikgu ni setakat pergi kelas, mengajar, itu je. Sebenarnya banyak usaha, buah fikiran, dan persediaan diperlukan sebelum masuk kelas.

Kebanyakan masa di luar sekolah saya gunakan untuk menyediakan pembelajaran… termasuklah isi-isi, bahan bantu mengajar, dan power point untuk kelas tersebut.” – Cikgu Roy, dalam interview dengan SOSCILI.

Malah hari-hari Cikgu Roy risau sebab takut tak cukup masa nak ajar budak-budak:

“Dalam sebulan, murid-murid cuma dapat belajar English selama 10 jam. Sebagai seorang guru Bahasa Inggeris, sangat mencabar untuk saya ajar mereka empat kemahiran (bertutur, mendengar, membaca, dan menulis) hanya dalam 10 jam sebulan.” – Cikgu Roy, dalam interview dengan SOSCILI.

Punyalah tak tenang tidur seorang guru memikirkan murid dorang hari-hari. Tapi korang pergi pulak pontent kelas sebab nak pergi Cyber Cafe. Ish ish…

Tapi takpe, masih belum terlambat untuk kita menghargai seorang guru. Pergi la lawat cikgu korang sementara cuti panjang ni, tak pun bagi Whatsapp selamat tahun baru. Sejukkkk jugak hati dorang sebab tau ada orang ingat.

Selain daripada tu, of course korang boleh menyumbang seberapa banyak yang boleh ke 100% Project! 100% Project ada kempen BIG GIVE yang akan mengagihkan sumbangan kepada sekolah-sekolah yang terlibat, termasuklah dari segi alat bantu belajar, multimedia, sukan, dan kit digital maker.

Klik untuk membantu!

Sumbangan RM10 pun boleh mengubah hidup seorang pelajar. Jadi pergi la kongsi link ni dengan member korang, mak korang, dan member mak korang. Selamat memberi!

About MK Zainal 36 Articles
Editor di SOSCILI, hari-hari tengok movie.