- 2.4KShare sekarang!
- Email36
- Facebook2.4K
- Share
Peperangan dan pembunuhan telah menjadi kebiasaan bagi manusia sejak zaman dahulu lagi dimana kebiasaanya berlaku akibat daripada perebutan kuasa, kekayaan dan juga pengaruh. Cubalah korang lihat, zaman ni je banyak peperangan yang kita saksikan dan di antaranya adalah perang Amerika dan sekutunya terhadap Iraq pada 1990 dan 2003, perang saudara di Syria, perang Vietnam 1955 dan juga peperangan dunia ke-2 yang telah melibatkan kita yang ada kat Malaysia ni jugak.
Tetapi ada satu peperangan yang dianggap paling rumit iaitu konflik di antara Israel dan Palestin yang pada hari ini dianggap mustahil untuk diselesaikan secara aman. Konflik ni dah mengorbankan banyak nyawa, tapi antara tragedi yang paling hitam adalah peristiwa di kem pelarian Sabra dan Shatila yang mungkin korang tak tahu.
Tapi sebelum tu, kita imbas balik macam mana konflik ni bermula…
Penubuhan negara haram Israel oleh Zionis
Sebenarnya konflik yang berterusan antara Arab Palestin dan Yahudi bukanlah sesuatu yang baru tetapi telah bertapak selama berdekad lamanya. Puncanya bukanlah semata-mata kerana perbezaan agama tetapi lebih kepada perebutan dan penguasaan ke atas tanah.
Sebelum tahun 1948, keseluruhan Israel dikenali sebagai Palestin dan kalau korang nak tahu tuntutan Israel terhadap bumi Palestin hanyalah berdasarkan daripada kitab suci agama mereka iaitu kitab TANAKH, di mana tuhan telah menjanjikan bumi Baitulmuqaddis kepada Nabi Ibrahim a.s dan keturunanya. Bagi pihak rakyat Palestin pula, mereka menuntut hak ke atas tanah tersebut dengan menyatakan bahawa mereka telah tinggal di sana selama berabad-abad lamanya dengan demografi majoriti.
Sebelum 1948, jumlah penduduk Yahudi di Palestin hanyalah sekitar 600 ribu orang atau 30% daripada jumlah keseluruhan penduduk pada ketika itu. Kini jumlah penduduk Israel adalah seramai 8 juta orang dan mereka telah menguasai hampir 80% tanah yang pada asalnya dimiliki oleh penduduk Arab Palestin. Sebenarnya pihak Zionis telah menggunakan British sebagai boneka mereka yang pada ketika itu telah merampas Palestin daripada penguasaan Kerajaan Turki Uthmaniyyah untuk menubuhkan negara Israel.
Mereka sebenarnya dah buat rancangan awal untuk menubuhkan negara Israel dengan menggunakan kuasa-kuasa besar dunia untuk mencapai cita-cita mereka. Selepas je pihak PBB, British dan Amerika menyokong penubuhan Israel, World Zionist Organization pun mengisytiharkan kemerdekaan Israel pada 14 Mei 1948. Penubuhan negara Israel telah menyebabkan satu penghijrahan besar-besaran bangsa Yahudi dari seluruh dunia ke Palestin.
Negara Israel dengan Zionis sebagai ideologinya telah ditubuhkan secara haram di mana kebanyakan tanah yang mereka miliki telah dirampas secara paksa daripada orang-orang Arab yang telah lama tinggal di situ. Perbuatan mereka inilah telah menyebabkan rakyat Palestin hilang tempat tinggal dengan sejumlah besar daripada mereka terpaksa berlindung di Lubnan dan hidup di kem-kem pelarian. Salah satunya adalah kem Sabra dan Shatila.
Menjadi pelarian kerana penubuhan negara Israel
Rakyat Palestin telah menjadi pelarian kerana mereka terperangkap akibat peperangan yang berlarutan di negara mereka sendiri. Banyak peperangan telah terjadi seperti perang Arab Israel pada tahun 1948, perang Enam Hari 1967, Gulf War 1991 serta perang Gaza pada 2008, dan 2014.
Di sebabkan konflik ini jugalah, kem pelarian Sabra dan Shatila telah ditubuhkan pada tahun 1949 untuk rakyat Palestin yang menjadi pelarian. Kem kemanusiaan ini telah diwujudkan oleh Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah untuk menampung beribu-ribu pelarian yang datang ke sana selepas kewujudan negara Israel. Kebanyakan pelarian ini sebenarnya berasal dari kampung-kampung di sekitar kawasan Amka, Majd al-Krum dan Yajur di utara Palestin.
Untuk pengetahuan korang, konflik Arab-Israel ini telah mencetuskan perubahan demografi yang ketara di seluruh Timur Tengah. Dalam masa ini juga kira-kira 700,000 orang Arab Palestin telah melarikan diri atau diusir dari rumah mereka oleh Israel dalam apa yang mereka rujuk sebagai Al-Nakba ( “malapetaka”).
Kesengsaraan mereka bertambah teruk apabila dari tahun 1946 hingga 1990, Lubnan yang menjadi tempat perlindungan bagi kebanyakan pelarian telah menghadapi perang saudara yang berlarutan. Perbalahan dan pembunuhan beramai-ramai di antara kumpulan-kumpulan ini telah meragut nyawa ribuan mangsa termasuklah pelarian yang berlindung di negara mereka.
Selain melibatkan perang agama di antara fahaman sunni dan syiah, perang saudara Lubnan ini turut melibatkan negara-negara lain seperti Syria, Palestin dan juga Israel. Dianggarkan, jumlah kematian di Lubnan untuk seluruh tempoh perang saudara adalah sekitar 150,000 orang.
Kem pelarian dikepung dengan tipu helah Zionis
Penglibatan Israel dalam perang saudara di Lubnan bermula pada Jun 1982, apabila mereka menyerang kawasan utara Lubnan. Matlamatnya adalah untuk membasmi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), yang telah bertapak di utara Lubnan dan berperang untuk membebaskan Palestin daripada cengkaman Israel.
Perang ni juga membawa kepada campur tangan Amerika Syarikat di mana satu perjanjian damai telah diusahakan di antara pihak-pihak yang bergaduh pada 21 Ogos 1982. Melalui perjanjian damai ni, para perjuang Palestin bersetuju untuk meninggalkan Lubnan dengan jaminan Amerika Syarikat bahawa kem-kem pelarian yang menempatkan rakyat Palestin akan berada di bawah pengawasan dan perlindungan Amerika dan negara-negara barat.
Tapi pihak Amerika sendiri ditipu oleh sekutu rapatnya Israel apabila mereka telah melanggar perjanjian damai tersebut. Selepas je pejuang-pejuang Palestin ini meninggalkan Lubnan, kem-kem tersebut telah dikepung oleh tentera Israel dan angkatan bersenjata Kristian Lubnan “Phalange” di bawah arahan Menteri Pertahanan Israel ketika itu iaitu Ariel Sharon.
Tanpa pengetahuan Amerika, dia telah mengarahkan mereka untuk menyerang kem pelarian Sabra dan Shatila yang akhirnya telah mengorbankan ribuan nyawa yang tidak berdosa.
Penyembelihan ribuan nyawa yang mengerikan
Memang semua orang tahu rasanya yang pihak Zionis tak suka dan bersifat kejam terhadap penduduk Palestin, tetapi macam mana pula pihak tentera dari Lubnan ni boleh sama masuk campur?
Menurut sumber, penyembelihan kejam ini telah dilakukan oleh kumpulan radikal Phalangists Lubnan hanya kerana khabar angin bahawa pengasas kepada kumpulan tersebut Bachir Gemayel telah mati dibunuh oleh pejuang PLO.
Tanpa soal selidik dan termakan hasutan daripada Israel, mereka pun membalas dendam dengan menyerang kem pelarian ini dengan cara yang paling kejam. Sebenarnya, PLO ni tak bunuh pun ketua pihak sana, sebaliknya hal ini telah diakukan oleh orang-orang Syria yang menghadapi masalah dalaman politik dengan pemerintah Lubnan pada ketika itu.
Selain itu, salah satu faktor yang menyumbang kepada kejadian ini juga adalah kerana dendam yang terpendam. Kalau korang nak tahu, penduduk Lubnan masa itu tak kaotim sangat dengan Palestin mahupun masyarakat yang beragama Islam.
Hal ini kerana terdapat beberapa insiden sebelum itu yang membuatkan mereka berdendam dan di antaranya adalah kejadian pembunuhan orang Kristian pada tahun 1976 dan diikuti dengan serangan balas di kem pelarian Palestin Tal Al-Zadtar pada Ogos 1976. Namun, kekejaman yang berlaku ke atas kem pelarian Sabra dan Shatila ini telah menutupi kejadian-kejadian lain kerana kekejaman dan penyeksaan yang melampau dihadapi oleh mangsa.
Lepas je pejuang-pejuang Palestin ni meningalkan Lubnan di atas jaminan Amerika. Israel yang pada ketika itu sudah pun mengawal bandar Beirut telah mengepung 2 kem pelarian Palestin iaitu Sabra dan Shatila. Tujuanya tidak lain tidak bukan adalah untuk mengawal pelarian ini daripada melarikan diri.
Bila je dorang dah kepung, Ariel Sharon telah memberikan arahan kepada tentera Israel dan “Phalanges” Lubnan untuk memasuki kem-kem pelarian tersebut.
Kumpulan yang dilengkapi senjata canggih ini pun memasuki kem dengan melakukan pelbagai perbuatan kejam terhadap mangsa yang tidak mampu untuk melawan. Keadaan huru-hara ini dipercayai telah berlaku selama 40 jam di mana mereka telah merogol, membunuh, dan mencederakan sebilangan besar orang awam yang tidak bersenjata.
Untuk pengetahuan korang, pada ketika itu kem pelarian Sabra dan Shatila, kebanyakannya dihuni oleh kanak-kanak, wanita dan orang tua yang tak ada kudrat nak melawan pun. Yang kejamnya, semasa pembunuhan beramai-ramai ni berlaku, mereka telah menghalang orang awam daripada melarikan diri dari kem-kem tersebut dengan menghalakan puluhan mortar, kereta kebal dan senapang ke arah mangsa dan menembak sesiapa sahaja yang cuba untuk melarikan diri.
Hasil jumlah kematian dari peristiwa ini berbeza-beza mengikut laporan daripada beberapa suruhanjaya yang telah ditubuhkan. Menurut siasatan kerajaan Lubnan jumlah yang terkorban adalah seramai 460 orang,
Suruhanjaya KAHAN yang ditubuhkan Israel pula menganggarkan seramai 700-800 orang terkorban dan Pertubuhan Palang Merah Palestin melaporkan seramai 2000 orang telah menjadi mangsa di dalam kes penyembelihan beramai-ramai ini.
Bayi menjadi hitam dengan perut yang terburai
Apa kekejaman yang berlaku sebenarya pada hari kejadian? Di sini kami kita akan lihat beberapa pendedahan mangsa dan orang-orang yang telah menyaksikan peristiwa hitam ni.
Menurut wartawan The Indipendent UK, Robert Fisk yang berada di kem tersebut selepas kejadian berlaku, dia telah melihat sesuatu yang amat menakutkan dan penuh dengan kezaliman. Dia juga jumpa ramai mayat wanita yang telah menjadi mangsa rogol.
Kanak-kanak dengan kerongkong mereka yang terkoyak, mayat barisan pemuda yang ditembak dari belakang selepas mereka berbaris di dinding. Terdapat juga mayat bayi yang menjadi hitam dengan perut terburai walaupun pembunuhan tersebut berlaku kurang daripada 24 jam.
Ini pula pendedahan daripada mangsa yang terselamat, Hamad Mohammed Shamas:
“Beberapa orang tentera Israel dan Phalangist telah memaksa kami untuk menghadap ke dinding. Aku telah dipukul dan berpura-pura mati. Mayat kawan-kawan yang lain telah jatuh dan menimpa jasad ku. Mereka telah mati. Pada kira-kira lima pagi. Aku mendengar tentera Israel melalui mikrofon berkata: ‘Berikanlah senjata anda, anda tidak akan di apa-apakan’. Aku cuba untuk mendaki mayat-mayat yang menghimpit untuk menyerah diri.
Kemudianya aku melihat mereka mengasingkan lelaki dan perempuan sebelum mereka juga ditembak. Itulah sebabnya aku kembali menyembunyikan diri. Aku bersembunyi di sana sehingga petang.
Mereka duduk di sekeliling meja sambil meminum arak, hanya terdapat dinding yang memisahkan aku daripada mereka, dinding itu retak; aku dapat melihat apa yang berlaku. Mereka berkata kepada yang lain: ‘Jangan tinggalkan apa-apa yang bergerak’. – Hamad Mohammed Shamas.
Kengerian yang telah diceritakan oleh mangsa, Najib Abdel Rahman Al Khatib:
“Aku hanya melihat bangkai yang bertaburan di tanah, dan aku melihat tentera Israel dan Phalangist melintas. Selepas semuanya reda, aku pergi melalui taman rumah kami; aku melihat bapa mati di situ. Aku pergi ke rumah dan aku ternampak sebuah baldi. Ia penuh dengan kepala saudara-saudara ku. Aku melarikan diri.” – Najib Abdel Rahman Al Khatib.
Deborah Thornton-Jackson seorang warga British yang menetap di Lubnan turut melihat kekejaman yang berlaku terhadap mangsa. Selepas hari kejadian, Deborah dengan beberapa aktivis lain telah pergi ke kem-kem tersebut untuk menyaksikan perkara yang sebenar.
Sampai je kat sana, dia nampak mayat yang menimbun, bau busuk dan jasad yang dirosakkan di mana dia percaya mangsa telah diseksa sebelum dibunuh. Kanak-kanak, wanita, haiwan, apa-apa saja yang bergerak telah dibunuh tanpa sifat keperimanusiaan langsung.
Kejadian ini telah menyebabkan Deborah mengalami trauma yang berpanjangan :
“Daripada semua kengerian, kekejaman & banyak perkara yang telah berlaku di serata dunia, tiada apa yang boleh dibandingkan dengan apa yang aku lihat di kem-kem ini.” – Deborah Thornton-Jackson
Bagi Muhammad Ibrahim Faqih yang berjaya melarikan diri ketika serangan ini belaku telah menceritakan:
“Apabila aku datang ke sini semula aku melihat anak perempuanku Fatima telah dipukul dengan kapak bersama-sama dengan anak kecilnya. Aku melihat bayi telah dikelar. Aku juga melihat wanita hamil dengan isi perutnya terburai. Di rumah jiran kami Ali Salim, mereka telah membunuh isteri dan anak-anaknya dan mayat Ali aku temui telah terbelah dua dengan kepalanya putus dari badan. Ya Allah, apa yang boleh aku katakan, apa yang boleh aku katakan?” – Muhammad Ibrahim Faqih.
Ada ke pihak yang cuba bawa kes ini ke mahkamah?
Rentetan daripada peristiwa ini, Suruhanjaya KAHAN telah ditubuhkan oleh kerajaan Israel sendiri dan menyimpulkan bahawa Menteri Pertahanan Israel ketika itu, Ariel Sharon bersalah kerana tidak mengambil langkah-langkah yang sesuai bagi mengelakkan pertumpahan darah. Suruhanjaya ini juga menggesa Ariel Sharon dipecat sebagai Menteri, tetapi malangnya ia tak pernah berlaku malahan dia telah diangkat sebagai Perdana Menteri Israel.
Untuk pengetahuan korang, kes ini telah dibawa ke mahkamah Belgium pada tahun 2001 oleh waris kepada mangsa-mangsa pembunuhan dan pada 12 FebruarI 2003, Mahkamah Agung Belgium telah memutuskan bahawa Ariel Sharon didapati bersalah berkenaan peranannya dalam peristiwa penyembelihan ini.
Namun begitu, Belgium telah gagal mengheret Sharon untuk menerima hukuman apabila tiada kerjasama daripada negara antarabangsa yang lain. Kerajaan Israel juga telah mempertahankan Sharon dengan mempersoalkan hak mahkamah Belgium untuk membicarakan kes ini.
Kesimpulanya, sudah 35 tahun peristiwa ini terjadi, tetapi sehingga ke hari ini masih tiada keadilan terhadap mangsa-mangsa kekejaman di kem pelarian malang Sabra dan Shatila. Pelangaran hak asasi manusia yang sering dilaungkan barat hanyalah retorik semata-mata dan tidak terpakai apabila ianya melibatkan Israel.
- 2.4KShare sekarang!
- Email36
- Facebook2.4K
- Share