- 1.1KShare sekarang!
- Email5
- Facebook1.1K
- Share
30 November setiap tahun merupakan Hari Memperingati Mangsa Perang Senjata Kimia. Mesti ramai yang terfikir tentang nasib mangsa perang di Iraq mahupun Syria. Tapi, jangan kita lupa rakyat negara jiran kita yang pernah menjadi senjata terkutuk ni. Nak tahu? Sambung baca.
Bila sebut pasal peperangan je, mesti kita akan terus terbayang pelbagai kesengsaraan yang dialami oleh negara-negara bergolak. Kemusnahan yang berlaku kebanyakannya adalah disebabkan pelbagai senjata api dan bom yang merbahaya.
Tapi, pernah tak korang terfikir pasal penggunaan senjata kimia untuk melumpuhkan musuh?Tak lama dulu, berlakunya Perang Dingin dan antara salah sebuah negara yang terlibat adalah Vietnam. Perang tu sebenarnya antara dua kubu ideologi besar, iaitu iaitu Amerika Syarikat (Blok Barat) dan Soviet/Komunis (Blok Timur).
Antara tahun 1961 sehingga 1971, Amerika menggunakan sebuah senjata kimia yang dipanggil Agent Orange, yang nampaknya dah menunjukkan kekuatan senjata kimia yang tak kurang hebatnya berbanding senjata api. Atau sebenarnya, dah memberi kesan yang lebih buruk daripada senjata-senjata api yang ada.
Agent Orange, sejenis senjata kimia US yang digunakan masa Perang Vietnam
Kalau sebelum ni kita pernah cerita pasal Polonium-210, Projek 4.1 di Marshall Island dan radioaktif di Bukit Merah, Agent Orange yang kita cerita pada kali ni pulak adalah satu bahan kimia herbicide dan defoliant, iaitu sejenis kimia yang disembur pada tumbuhan untuk menghalang pertumbuhan pokok. Bahasa mudahnya, racun rumpai.
Tapi, bukankah racun rumpai ni selalunya digunakan oleh pemotong rumput supaya rumput tak tumbuh cepat? Betul la tu. Agent Orange ni digunakan untuk merosakkan hutan dan tanaman yang menjadi makanan dan tempat tinggal musuh, yang pada masa tu merupakan tempat perlindungan gerila Vietnam Utara dan Viet Cong.
Percaya atau tak, senjata kimia ni sebenarnya pertama kalinya digunakan di Tanah Melayu masa Darurat Tanah Melayu, iaitu masa serangan komunis. British la negara pertama yang menggunakan herbisida dan defoliants ni untuk menghalang pemberontakan komunis. British masa tu sasarkan tanaman makanan untuk melumpuhkan para pemberontak dalam hutan.
Amerika kemudiannya ambik idea British ni dan buat kat Vietnam. Tapi, kenapa pulak rakyat di Tanah Melayu tak mengalami kesan yang sama dengan rakyat Vietnam kalau senjata kimia ni dah mula digunakan di negara kita?
Sebabnya, British gunakan Trioxone di Tanah Melayu. Walaupun komposisinya antara kedua-dua senjata kimia ni hampir sama, tapi Amerika Syarikat gunakan Agent Orange yang kepekatannya adalah 20 kali ganda berbanding apa yang disarankan oleh pengeluar.
Penyemburan Agent Orange sebenarnya atas permintaan Presiden Vietnam Selatan
Nak tahu siapa yang minta supaya semburan ni dibuat? Dia adalah Presiden Ngo Dinh Diem dari Selatan Vietnam, yang meminta supaya Amerika buat semburan senjata kimia ni kat negara dia melalui udara. Dalam bulan Ogos tahun tu juga, Angkatan Udara Republik Vietnam terus menjalankan operasi ni dengan bantuan Amerika.
Pada pertengahan sampai akhir tahun 1960-an, Amerika Syarikat dah menyemburkan kira-kira 72 juta liter racun ini di atas kira-kira 1.7 juta hektar kawasan pedalaman di Vietnam Selatan, dan ia bertambah dari semasa ke semasa, sampai mencecah lebih 20 juta gelen sehingga 1971.
Korang bayangkan je la, banyak tak banyaknya jumlah tu, adalah bersamaan dengan lima hingga enam buah kolam renang saiz Olimpik adalah jenis kolam renang yang digunakan pada setiap Sukan Olimpik, atau 650 buah kolam biasa.
Pada mulanya perkara ni menjadi debat antara White House dengan Jabatan Pertahanan dan Negeri, tapi sebab British dah pernah guna pada tahun 1950-an, John Kennedy yang merupakan Presiden AS pada masa tu pun tandatangan Operasi Ranch Hand. namecode untuk program racun herba Tentera Udara A.S. di Vietnam ni.
Rakyat Vietnam dalam masa yang sama tak halang perkara tu sebab sebelum penyemburan dilakukan, pesawat Amerika dah pun menggugurkan risalah-risalah yang ditulis dalam bahasa Vietnam. Diorang dah jamin petani yang bahan-bahan kimia tu tak berbahaya kepada manusia dan haiwan.
Kalau korang terfikir lagi, kenapa Agent Orange, takde warna lain ke nak guna? Jawapannya sebab gas ni memang berwarna oren. Dan satu lagi, wujud juga kimia lain yang bernama Agent Pink, Agent Green, Agent Purple, Agent White dan Agent Blue. Kesemua bahan kimia ni dihasilkan oleh Monsanto, Dow Chemical dan beberapa syarikat lain yang ada pelbagai bahan kimia yang ada kesan tersendiri.
Tapi dalam banyak-banyak Agent dengan nama warna ni, Agent Orange la yang paling kuat, dan paling banyak digunakan di Vietnam. Disebabkan Amerika buat beberapa campuran juga, maka terhasillah Agent Orange I, Agent Orange II, Agent Orange III dan Super Orange.
Tapi, Agent Orange jadi bahaya bila ada campuran DIOKSIN
Disebabkan rakyat Vietnam percaya dengan risalah, diorang pun tak membantah keputusan Amerika untuk penyemburan tu. Tapi, apa yang diorang tak tahu sebenarnya adalah salah satu campuran yang ada dalam sebatian Agent Orange ni mengandungi bahan kimia berbahaya yang dipanggil dioksin. Menurut saintis, campuran bahan kimia termasuk dioksin ni boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius pada mereka yang terdedah kepadanya.
Menurut kajian daripada The Aspen Institute, jangka hayat bagi dioksin ni bergantung kepada lokasi-lokasinya.
- Dalam badan manusia – 11 hingga 15 tahun, dan kadang-kadang sampai 20 tahun,
- Pada tumbuhan dan tanah – 3 tahun
- Dalam sungai – 100 tahun
Dioksin yang wujud dalam Agent Orange ni bukanlah ditambah dengan sengaja pada mulanya, tapi adalah disebabkan kesan sampingan yang terhasil semasa pembuatan herbicide ni. Dioksin ni juga boleh terhasil melalui pembakaran sampah; pembakaran gas, minyak dan arang batu, rokok dan macam-macam lagi. Tapi, dioksin yang wujud dalam Agent Orange ni la yang paling bahaya berbanding yang lain sebab pencemaran dioksin ni dikaitkan dengan kanser, kencing manis, kecacatan kelahiran dan ketidakupayaan yang lain.
Dalam hal ni pulak, dioksin dah jadi sebatian kimia yang masih bertahan selama bertahun-tahun dalam persekitaran, terutamanya di tanah, tasik, sungai dan dalam rantaian makanan. Dioksin ni rupanya dah terkumpul dalam tisu lemak di badan ikan, ayam, produk tenusu, telur, dan macam-macam lagi. Jadi kalau sesiapa yang tak terdedah kepada semburan, tapi termakan antara rantaian makanan yang terdedah ni pun akan kena juga.
Ia kemudiannya terbukti menyebabkan masalah kesihatan yang serius termasuk kanser, kecacatan kelahiran, ruam dan masalah psikologi dan neurologi yang teruk di kalangan orang Vietnam serta antara para anggota kerahan A.S. dan keluarga diorang. Malah negara-negara bersempadan macam Vietnam, Kemboja dan Laos juga dapat tempiasnya sebab hutan diorang bersambung.
Peace Village, menempatkan kanak-kanak kurang upaya
Sepanjang 10 tahun penyemburan bahan kimia tu dilakukan, seramai 4.8 juta rakyat Vietnam telah terdedah, dan menyebabkan 400,000 kematian. Menurut Palang Merah Vietnam, kira-kira 100,000 daripadanya adalah anak-anak Vietnam sendiri. Kebanyakan mangsa juga mengalami sakit mata, masalah kulit serta gangguan gastrointestinal (masalah usus). Laporan saintifik juga menunjukkan yang 92% mangsa tu mengalami keletihan yang tak berkesudahan.
Tahun demi tahun selepas peperangan tu berakhir, hampir setiap kelahiran di kawasan Selatan Vietnam mengalami kecacatan. Atas sebab ni, sebuah penempatan dibina bagi menempatkan kanak-kanak ni di Hoa Binh Peace Village, yang juga merupakan sebahagian daripada Tu Du Hospital, Ho Chi Minh City.
“Idea untuk menubuhkan tempat untuk kanak-kanak mangsa Agent Orange ni asalnya daripada ramai bayi yang dilahirkan cacat telah ditinggalkan oleh keluarga mereka di Hospital Tu Du,” kata Dr Chung.
Ditubuhkan sejak tahun 1990, kira-kira 400 kanak-kanak ditempatkan di Peace Village ni setakat tahun 2015. Malah, di sinilah tersimpannya badan-badan yang diawetkan dari kira-kira 150 janin bayi yang cacat, dan mati sejak lahir. Ada yang mempunyai dua kepala, sesetengahnya mempunyai badan yang cacat dan anggota badan yang tak sempurna. Mayat-mayat diawet dan disimpan sebagai rekod, dan juga sempena mengingati akibat buruk dari senjata kimia.
Ramai bayi yang dilahirkan sama ada mengalami kecacatan otak, dan juga kecacatan pada anggota tubuh yang dahsyat.
Ada yang dilahirkan cacat
Ada yang dapat masalah kulit
Malah, ada juga yang dilahirkan tanpa mata.
Yang paling menyedihkan, ada pasangan yang letakkan anak diorang yang cacat kat sini sebab malu, dan tak pernah datang jenguk langsung lepas tu.
Ramai veteran perang yang minta pampasan
Bukan rakyat Vietnam je yang terkesan dengan senjata kimia ni, tapi Veteran Perang dari Amerika pun tak kurang yang kena. Tindakan undang-undang kemudiannya difailkan bagi pihak veteran AS dan Vietnam meminta ganti rugi.
Askar veteran Amerika yang terlibat dengan Perang Vietnam kemudiannya memfailkan tindakan undang-undang dan menuntut ganti rugi terhadap syarikat-syarikat kimia yang membekalkan racun tu, sebab tak boleh nak saman kerajaan Amerika yang ‘kebal’.
Kes tu kemudiannya diselesaikan di luar mahkamah pada tahun 1984, dan jumlah bayaran pampasan tu dikatakan lebih kurang $180 juta dolar, iaitu pampasan yang paling tinggi pernah dilaporkan untuk kes pada zaman tu.
Mana tak nya, plaintiff (pihak yang menuntut ganti rugi) adalah seramai 10 juta orang, dan kesemuanya adalah ahli keluarga veteran perang tu. Syarikat-syarikat macam Dow, Monsanto, (dan banyak lagi) yang dah buat keuntungan selama 10 tahun tu akhirnya bayar sejumlah wang untuk menyelesaikan tuntutan veteran.
Kalau veteran dan keluarga diorang tu pun dan 10 juta orang, macam mana pulak dengan rakyat Vietnam yang masih lagi terkesan ni?
Dalam Perjanjian Keamanan Paris 1973 di bawah pentadbiran Nixon, dia berjanji akan menyumbang sebanyak $3 bilion pampasan kepada semua yang terlibat dalam Vietnam. Tapi janji tinggal janji je. Tiga juta penduduk Vietnam yang masih hidup tak dapat pampasan atau apa-apa bantuan kemanusiaan daripada kerajaan A.S. Apatah lagi kanak-kanak yang menderita akibat kecacatan sejak lahir.
Amerika Syarikat sebenarnya dah langgar Undang-Undang Perang
Kalau nak diikutkan, penggunaan bahan kimia sebagai senjata perang terhadap penduduk awam tu pun dah melanggar undang-undang perang. Undang-undang perang ni termaktub dalam Konvensyen Hague dan prinsip Nuremberg, dan dikodifikasikan dalam Konvensi Geneva 1949 dan Protokol Opsional 1977, serta undang-undang Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Tapi, kerajaan Amerika Syarikat sikit pun tak mengaku salah.
Kajian meta-analisis yang dikeluarkan akhirnya menunjukkan ada hubungkait yang kuat antara Agent Orange dan kecacatan kelahiran, di mana salah satu ibu atau bapa yang pernah terdedah dengan racun ni akan ada kemungkinan yang tinggi membawa genetik yang cacat pada anak diorang. Malah, kecacatan kelahiran ni juga dibawa selama tiga generasi, atau lebih.
Lepas desakan demi desakan, Agensi Pembangunan Antarabangsa A.S. dan kerajaan Vietnam pun memulakan pembersihan sisa toksik di sebahagian Lapangan Terbang Antarabangsa Danang, Vietnam pertama kalinya pada 2012.
Amerika juga kata yang diorang dah habiskan lebih dari 120 juta USD (RM494.22mil) untuk menyahkan sisa kimia tu. Sama ada Amerika betul-betul komited untuk pembersihan tu sampai habis, perkara tu masih menjadi persoalan.
Vietnam menjadi pentas pertembungan dua kuasa dunia, Soviet vs Amerika Syarikat
Bagi kita semua, Perang Vietnam mungkin hanyalah satu sejarah. Tapi, macam mana pulak bagi sebahagian rakyat Vietnam yang sampai sekarang masih lagi menderita dengan kemusnahan hutan, pencemaran toksik di beberapa wilayah dan pelbagai kecacatan kelahiran yang masih berlaku kesan daripada Agent Orange tu?
Dalam kes ni, Vietnam dijadikan pentas bagi perebutan kuasa antara Amerika dan Soviet. Ia ibarat gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah.
Tapi malangnya, kesan yang dialami ‘pelanduk-pelanduk’ ni masih boleh dilihat dengan mata kasar walaupun sudah hampir 50 tahun bebas daripada peperangan antara dua buah kuasa dunia.
- 1.1KShare sekarang!
- Email5
- Facebook1.1K
- Share