Kisah darurat di Malaysia yang berterusan selama 12 tahun

Kalau sebut je darurat apa yang terlintas kat kepala korang? Dan korang tahu tak waktu bila kerajaan boleh isytiharkan darurat?

Ok darurat tu adalah keadaan yang mencemaskan (berlaku secara tiba-tiba) tapi ia jugak boleh diisytiharkan sekiranya kejadian-kejadian yang buruk dijangka akan berlaku.  Selain Malaysia, negara-negara lain yang menyediakan peruntukan mengenai perisytiharan darurat dalam perlembagaan dorang ialah India, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Serangan dan kebakaran yang dilakukan oleh 80 pengganas di Pekan Simpang Tiga, Setiawan, Perak. Imej dari Jabatan Penerangan Malaysia.

Tapi…. korang masih ingat lagi tak yang Malaysia ni pernah dilanda darurat? Bukan darurat yang kat Sabah pada tahun 2014 tu tau, ataupun kisah darurat akibat kemarau tapi SOSCILI nak cerita pasal darurat yang melanda selama bertahun-tahun kat Malaysia.

Mak aih bukan setahun dua ye, tapi 12 tahun! Tapi kan… macam mana darurat ni boleh terjadi?

Darurat disebabkan oleh pemberontakan komunis terhadap British

Parti Komunis Malaya. Imej dari sejarah k2.

Sebelum cerita lebih lanjut mengenai darurat, jom kita kenal gerakan yang memaksa darurat ini diisytiharkan, iaitu Parti Komunis Malaya (PKM). PKM ditubuhkan di Tanah Melayu pada tahun 1930 dan merupakan pecahan daripada Parti Komunis Nanyang, yang pulak adalah cawangan daripada Parti Komunis China. Antara orang penting PKM yang selalu disebut adalah Chin Peng, Rashid Maidin, dan Shamsiah Fakeh.

Parti ni sebenarnya diharamkan sepanjang pemerintahan British. Tapi bila Jepun datang menjajah pada 8 Disember 1941, kerajaan British pun kaotim dengan PKM dan bersetuju untuk menerima bantuan ketenteraan mereka. PKM pun membentuk Tentera Anti-Jepun Tanah Melayu (MPAJA) dan British pulak tukang sponsor senjata, latihan, dan kewangan.

Ching Peng menerima pingat OBE dari kerajaan Inggeris. Imej dari Matamin.

Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945. Kerajaan British memuji sumbangan MPAJA dalam menentang Jepun, tapi puji ada makna la sebab mereka mintak MPAJA dibubarkan. Seramai 6800 ahli dibubarkan, tapi ada sebahagian senjata yang disorok secara senyap-senyap.

“Kami gali lubang, cerai-ceraikan dan tanam senjata kami” – Ah Hai, Ahli Parti Komunis Malaya. Dipetik dari Youtube, The Malayan Emergency.

Hah, awatnya pergi sorok senjata pulak? Apa motif?

Ketidakpuasan hati terhadap kelemahan ekonomi yang ditinggalkan British

Polis memeriksa seorang lelaki Cina bagi mengenalpasti samada tali barut komunis atau tidak.

Antara sebab British berkenan sangat dengan Tanah Melayu dulu adalah kerana kita penuh dengan sumber terutamanya getah dan biji timah. Menurut perofesor dari Oxford, Nicholas J White, ini apa yang difikirkan pihak British tentang sumber negara kita yang kaya:

“Pengeluaran getah di Tanah Melayu… adalah lebih daripada jumlah keseluruhan eksport domestik Britain ke US.

Jika atas sebarang sebab, operasi industri getah yang hebat (di Tanah Melayu) terganggu, situasi dolar di Britain adalah sangat kurang menyenangkan.” – Nicholas J. White, dipetik oleh kajiselidik dari UM (fail PDF).

Tatkala sebahagian besar sumber di Tanah Melayu dimiliki orang British, rakyat biasa pulak dikenakan cukai yang meningkatkan tahap kemiskinan. Keadaan jadi lebih teruk di bawah pemerintahan Jepun sebab mereka banyak abaikan sumber-sumber negara yang takde kepentingan untuk negara mereka.

Bila British ambil alih semula kuasa kat Tanah Melayu, situasi ni makin parah. Inilah antara sebab utama yang digunakan oleh Parti Komunis Malaya untuk menentang pemerintahan.

Pertempuran bersenjata antara komunis dan British

Imej dari Jabatan Penerangan Malaysia.

Pada 16 Jun 1948, tiga pengurus ladang berbangsa British telah dibunuh oleh ahli daripada Parti Komunis Malaya. Inilah peristiwa yang mencetuskan pengisytiharaan darurat yang memberi kuasa kepada polis untuk menahan, memenjara dan menghukum tanpa perbicaraan, termasuklah hukuman mati! 

Pada 23 Julai 1948, British mengharamkan kembali PKM serta parti berhaluan kiri yang lain. Time ni PKM mula menggunakan keganasan termasuklah memusnahkan harta awam, terutamanya kebun getah dan lombong biji timah untuk menyakitkan sumber wang British (rujuk fail PDF). Sampaikan orang awam yang tak mau bekerjasama atau disyaki bersubahat dengan British pun turut dibunuh dengan kejam.


Jadi untuk melawan balik pemberontakan komunis, ini apa yang cuba dilakukan British..

Strategi yang diambil untuk melemahkan kegiatan komunis

Antara strategi-strategi yang digunakan British untuk menangani komunis:

Kad pengenalan mula diperkenalkan: Pada tahun 1948, kad pengenalan mula diperkenalkan kepada semua penduduk Tanah Melayu yang berumur 12 tahun ke atas diwajibkan mempunyai kad pengenalan. Ia bertujuan bagi mengesan dan mengehadkan pergerakan pengganas komunis dan hanya diguna pakai kat Semenanjung Malaysia je.

Ia jugak dikenali sebagai ‘kad beras’ kerana sewaktu catuan makanan pada zaman darurat bermula, kerajaan memerlukan bukti pengenalan diri bagi mendapatkan bantuan beras. 

Ciri-ciri kad ni ialah tak bersalut, gambar hitam putih, cap ibu jari kanan je, maklumat asal penduduk dan takde taraf kewarganegaraan.

Rancangan Briggs diperkenalkan: Ia merupakan rancangan penempatan semula setinggan kat perkampungan baru bagi mengasingkan penduduk daripada pengaruh dan ancamann komunis. Ia turut menyekat bekalan makanan dan memutuskan perhubungan, maklumat dan ubat-ubatan kepada Parti Komunis Malaya (PKM).

Dua orang anggota komunis, Kim Fook (kiri) dan Lim Kong (kanan) menyerah
diri di Kepong, Selangor. Imej dari foto antik

Pasukan keselamatan  diperkukuh: Antara pasukan yang ditubuhkan ialah Pasukan Mata-Mata Khas SC (Special Constable) , Polis Bantuan (Auxiliary Police), Polis Cawangan Khas (Special Branch) dan Pegawai Kampung (Home Guard). Tentera dari negara Britain, Australia, New Zealand, Fiji dan Afrika Timur turut dibawak masuk bagi membantu Tanah Melayu membanteras Komunis.

Home Guard wanita. Imej dari Amylia Shameera.
Home guard lelaki. Imej dari Arkib Negara.

Perang saraf – Menghapuskan pengganas komunis melalui kempen “memenangi hati dan fikiran rakyat” dengan cara :

  1. Mengadakan “Bulan Penduduk Tanah Melayu Menentang Komunis”.
  2. Mengedar risalah menentang komunis.
  3. Mengadakan konsep kawasan putih dan hitam (kawasan hitam ialah kawasan yang aktif dengan kegiatan komunis dan dikenakan perintah berkurung manakala kawasan putih ialah kawasan bebas daripada ancaman komunis)
  4. British memberi hadiah berupa wang ringgit bagi sesiapa yang berjaya tangkap Chin Peng atau orang kanan Chin Peng dan diserahkan kat British.
  5. Sultan dan Menteri Besar berperanan mengingatkan rakyat tentang kekejaman komunis.
  6. Kerajaan membuat catuan makanan.
Kad catuan makanan. Bagi mengelakkan bekalan disalurkan kepada pihak komunis. Imej dari foto antik.
Imej dari Youtube

Pengampunan beramai-ramai: Ia bertujuan bagi memujuk pihak komunis supaya menyerah diri. Kerajaan telah menyebarkan risalah dan pas pengampunan dalam bahasa Melayu, Cina dan Tamil.

Risalah mula diedarkan. Imej dari foto antik

Pertemuan Baling: Chin Peng telah menulis surat kat Tunku Abdul Rahman untuk berunding. Pertemuan dorang diadakan kat Sekolah Inggeris Baling, Kedah. Masa dalam perundingan, Tunku Abdul Rahman minta Chin Peng bubarkan PKM, letak senjata dan serah diri. Tapi Chin Peng pulak letak syarat, dorang akan letak senjata dan serah diri bila kerajaan setuju akui PKM sebagai parti yang sah. Permintaan ini tidak dipersetujui oleh Tunku Abdul Rahman.

Chin Peng pada sesi rundingan kat Baling pada tahun 1955

Akhirnya, tentera British seramai 35 ribu orang berjaya mengalahkan pemberontak yang berjumlah kira-kira 8 ribu orang. Namun ramai jugak yang terkorban termasuklah 1,345 askar dan 2,478 rakyat Tanah Melayu.

Tamatnya pemberontakan komunis

Kemerdekaan Tanah Melayu. Imej dari wikimedia

Pada 6 Oktober 1951, pegawai tinggi British Henry Gurney telah dibunuh dan perkara ini dikatakan menjadi faktor utama kurangnya sokongan terhadap komunis (di samping kekejaman yang lain), tambah lagi dengan sentimen “Kalau High Commisioner pun tak selamat, apakan lagi kita.”

Penggantinya Gerald Templer diarahkan untuk mempercepatkan proses yang membenarkan masyarakat Cina untuk mengundi, di samping melaksanakan rancangan Briggs.

Selepas Rundingan Damai Baling, Tunku Abdul Rahman pun terus berangkat ke London bagi meneruskan rundingan kemerdekaan dengan British. Akhirnya Tanah Melayu berjaya mencapai kemerdekaan tapi undang-undang darurat hanya ditamatkan pada tahun 1960.

Tanggal 2 Disember 1989, PKM telah menandatangani perjanjian perdamaian dengan kerajaan Malaysia di Haadyai, Thailand. So dengan perjanjian tersebut maka perjuangan PKM untuk mendirikan sebuah kerajaan komunis kat Malaysia secara rasminya telah pun berakhir.

About Irma Musliana 73 Articles
Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan :)