Agama

Ada trend baru WANITA ORANG ASLI berkahwin dengan warga asing di Malaysia

(This article is a translation. For the original, visit our sister site, CILISOS)

Ada trend baru dalam kalangan perempuan Orang Asli di Cameron Highlands. Sekarang ni, lebih ramai wanita Orang Asli berkahwin dengan warga asing! Bila sebut warga asing ni semestinya Bangladesh, Pakistan dan Indonesia! Dilaporkan mereka berkahwin dengan Orang Asli untuk mendapatkan kemudahan bantuan kewangan kerajaan serta perkara-perkara yang lain.

Semua nak ni, kerja pun nak, sekarang wanita Orang Asli pun nak sapu juga. Apa yang membimbangkan menurut laporan berita bahawa trend ni dah menyebabkan perempuan Orang Asli berasa tak selamat dalam komuniti diorang serta sebahagiannya dilaporkan diculik oleh warga asing. Contohnya, Orang Asli Temiar di Kampung Sendrop bernama Sani Along mendakwa anak perempuannya diculik oleh warga asing.

Suasana perkampungan Orang Asli kini. Imej dari Berita Harian

“Anak gadis saya pernah dilarikan lelaki warga asing yang bekerja di ladang sayur berhampiran rumah hingga terpaksa melancarkan operasi mencari.”- Sani, petikan dari BH Online

Bukan tu je. Apa yang menjadikan ia lebih menakutkan, kami juga ada dengar adanya sekatan jalan di Cameron Highlands dan khabar angin mengatakan ada dua warga asing dipenggal oleh…Orang Asli!

Kemudiannya, kami membuat pengesahan dengan Rizal Samsuri, seorang pegawai dari Jabatan Orang Asli (JAKOA) yang mengatakan bahawa insiden pancung tu tak berlaku. Jadi, kami tak pasti apa punca sekatan jalan tu.

Jadi, untuk menyiasat kebenaran mengenai warga asing berkahwin dengan Orang Asli untuk mendapatkan bantuan kerajaan, kita perlu faham dulu kenapa mereka boleh ada di Cameron Highlands.

Sebenarnya…ada 15,000 pekerja asing di Cameron Highlands!

Kalau korang pergi Cameron Highlands, mungkin korang ada melawat ladang strawberry, ladang teh dan ladang sayur! Walau macam mana pun, tahun lepas dilaporkan bahawa Cameron Highlands berdepan dengan masalah kekurangan pekerja yang tinggi bagi kebanyakan ladangnya.

Kutip apa tu mak cik? Imej dari FMT

Menurut seorang ahli perniagaan Datuk P Kanatazan, kebanyakan orang tempatan termasuk Orang Asli tidak mahu bekerja di ladang lagi.

“Ada dalam kalangan penduduk Orang Asli di sini tidak mahu buat kerja kotor. Mereka mahu kerja senang, seperti dalam bidang perhotelan. Mereka juga lebih berminat bekerja sebagai pemandu lori.”- Kanatazan, petikan dari FMT

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Disebabkan ni, lebih ramai pekerja asing membanjiri Cameron Highlands untuk bekerja. Pada tahun lepas, Presiden People’s Progressive Party (MyPPP), Tan Sri M Kayveas menjangkakan ada 15,000 pekerja asing di Cameron Highlands! Nombor ini adalah jumlah bagi pekerja sah dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Kebanyakan mereka juga bukan sahaja bekerja di ladang tapi juga di ladang sendiri yang disewa dari peladang atau Orang Asli yang dah bersara. Menurut Rizal, Orang Asli memiliki sebahagian tanah di Cameron Highlands.

Jadi, kalau warga asing boleh memilki ladang hanya dengan hanya menyewa dari Orang Asli, maka ada laporan berita menyatakan yang mereka mengahwini wanita Orang Asli untuk mendapatkan lesen perniagaan dan bantuan dari kerajaan??

Lagi pun, mereka tak boleh mendapatkan sebarang bantuan kerajaan hanya dengan mengahwini Orang Asli. Rizal meberitahu walaupun warga asing mengahwini Orang Asli, bantuan dan aset milik Orang Asli tetap akan menjadi milik Orang Asli.

“Tak ada siapa yang mempunyai hak ke atas aset Orang Asli (seperti tanah atau bantuan kewangan).”- Rizal memberitahu CILISOS

Walau bagaimanapun, sebahagian warga asing dilaporkan memanipulasi atau mempergunakan nama isteri mereka untuk memohon lesen perniagaan dan bantuan kewangan seperti Bantuan Sara Hidup yang dikhaskan untuk Orang Asli. Ini bermakna warga asing mungkin mendapatkan bantuan secara tak langsung melalui isteri dan anak-anak.

Bantuan kerajaan yang diberikan kepada Orang Asli. Imej dari Utusan

Itulah yang berlaku kepada wanita Orang Asli, jadi ia barangkali masuk akal kenapa komuniti Orang Asli membawa isu ni. Tapi berapa kerap agaknya kejadian ni? Apa yang mengejutkan…

JAKOA mengatakan perkahwinan ni tak sebanyak orang Melayu mengahwini Indonesia!

“Sebenarnya bilangan wanita Orang Asli mengahwini warga asing taklah tinggi berbanding orang Melayu. Mungkin satu atau dua dalam setahun. Di sana lebih ramai orang Melayu mengahwini Indonesia berbanding Orang Asli mengahwini warga asing.”- Rizal memberitahu CILISOS

Kenyataan ni betul berdasarkan beberapa fakta ni. Pada tahun 2013, 20,000 warga asing Muslim dilaporkan mengahwini orang tempatan Sabah dan kebanyakan mereka dari Filipina dan Indonesia.

Menurut fakta, kami juga mendapati ada ramai wanita Malaysia secara umumnya mengahwini lelaki Bangladesh. Terlalu ramai sampai terbentuknya kelab yang dipanggil Malaysian Wife to Bangladesh Club pada tahun 2015.

Sala seorang isteri kelab yang disebut bersama suaminya dari Bangladesh. Imej dari The Daily Star

Walau bagaimanapun, tak macam orang Malaysia lain, ia tak jadi kebiasaan untuk Orang Asli mengahwini warga asing. Rizal juga bagitau yang komuniti ni siap bagi amaran kat Tok Batin (Ketua Kampung) untuk tak mengahwini warga asing. Sekalipun ada amaran, sebahagian wanita Orang Asli tetap mengahwini warga asing. Apabila perkara ni terjadi, ada Tok Batin yang menghalau keluar mereka dari komuniti.

Inilah sebab kenapa kebanyakan pasangan melarikan diri dan tak mendaftarkan perkahwinan kepada pihak autoriti. Dan apabila ini berlaku, banyak masalah yang bangkit seperti melahirkan anak-anak tanpa negara (stateless).

Macam disebut awal tadi, warga asing datang ke Cameron Highlands untuk bekerja di ladang. Dan apabila kontrak kerja mereka tamat, mereka akan pulang ke negara asal. Jadi korang boleh bayangkan apa akan terjadi kepada pekerja asing yang berkahwin dengan wanita Orang Asli, terutamanya apabila mereka tak boleh duduk lama di Malaysia, walaupun mereka masuk ke sini secara sah.

“Apabila warga asing kembali ke negara asal, kanak-kanak yang lahir tanpa sebarang pengenalan yang lengkap atau status warganegara akan menyebabkan kesulitan ketika pendaftaran sekolah awam selain dianggap sebagai orang asing, seperti yang berlaku kepada skim penempatan semula di Rompin, Pahang.”- Petikan dari Malay Mail

Pada tahun 2010, lebih kurang 80 Orang Asli di Rompin, Pahang dilaporkan stateless kerana mereka tak mempunyai sijil kelahiran. Perkara yang sama berlaku kepada anak-anak Orang Asli yang dilahirkan atas perkahwinan antara Orang Asli dan warga asing, terutamanya apabila mereka tak mendaftar perkahwinan.

Kami ada menulis artikel megenai anak-anak stateless di alam peresekolahan. Klik gambar untuk baca artikel

Jadi, kenapa wanita Orang Asli berkahwin dengan warga asing??

Selain dari masalah ni yang akan meningkat, pasangan tersebut juga takkan dapat bantuan kerajaan menurut JAKOA, jika diorang tak mendaftarkan perkahwinan! Jadi, ia sangat berlawanan dengan dakwaan yang warga asing kahwin dengan wanita Orang Asli untuk mendapatkan bantuan kewangan kerajaan atau lesen.

Soalan yang paling penting sekarang ni adalah…kenapa diorang berkahwin sekalipun ada stigma masyarakat yang perlu diorang lalui. Stigma yang dimaksudkan ni adalah stigma yang mengatakan diorang kahwin dengan orang Malaysia untuk dapatkan bantuan kerajaan.

Sebenarnya, menurut ekspatriat Bangladesh bernama Mohammad Faisal, stigma ni mungkin betul sebab sebahagian orang Bangladesh dah tinggalkan isteri orang Malaysia mereka 20 tahun yang lalu. Tapi, dengan penubuhan kelab macam Malaysian Wife to Bangladesh Club, orang Bangladesh dan isteri-isterinya secara perlahan-lahan melawan stigma ni.

Siapa nak join the club? Imej dari The Daily Star

“Kami tak rasa yang kami dilayan dengan layanan berbeza. Kami nak katakan yang kami adalah keluarga bahagia dan orang Bangladesh adalah suami yang baik.”- Shahida Sasha Mohd Rashidi, seorang isteri ekspatriat Bangladesh, petikan dari The Daily Star

Jadi, walaupun ada rasa tak puas hati, tak ada sebab untuk seseorang mengahwini orang lain, kami ulang, tak kira bangsa dan negara apa, kecuali untuk…cinta. Dan ini juga terpakai kepada wanita Orang Asli yang dipilih untuk mengahwini warga asing.

Rizal bagitau pihak autoriti macam diri mereka dan Tok Batin hanya boleh memberi didikan kepada masyarakat Orang Asli yang berisiko untuk mengahwini warga asing tapi sekali Orang Asli buat keputusan untuk kahwin dengan warga asing, JAKOA dan Tok Batin tak boleh mengelak untuk perkahwinan tu berlaku.

“Ia adalah hak bagi setiap individu untuk mengahwini siapa yang mereka suka. Kita tak boleh halang mereka.”- Rizal

 

Popular

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend