Ada pelajar hampir gila gara-gara terlibat dengan eksperimen kontroversi ini

Kalau diberi peluang, sanggup tak korang secara sukarela terlibat dengan salah satu eksperimen paling terkenal tapi antara paling disturbing dalam sejarah? Dulu, ada satu eksperimen psikologi yang dinamakan Eksperimen Penjara Stanford (Stanford Prison Experiment) yang dijalankan pada 1971 di Universiti Stanford.

Plak sempena tempat di mana eksperimen ini dijalankan. Gambar daripada Wikipedia.

Eksperimen tu memang terkenal sebab ia mengundang banyak kontroversi yang melibatkan hal kemanusiaan. Tapi apa yang kontroversinya?

Eksperimen yang ditaja oleh Tentera Laut Amerika Syarikat

Eksperimen Penjara Stanford ni merupakan satu kajian psikologi di mana beberapa orang pelajar kolej yang terpilih akan menjadi banduan dan pengawal penjara. Diorang akan reka satu tempat macam dalam penjara sebenar untuk eksperimen ni. Ia telah ditaja dengan geran kerajaan daripada Pejabat Penyelidikan Tentera Laut Amerika Syarikat untuk mengkaji tentang sikap anti-sosial.

Eksperimen ini dikendalikan di Universiti Stanford (ranking nombor dua dunia sekarang) pada 14-20 Ogos 1971 yang diketuai oleh Philip Zimbardo yang merupakan profesor psikologi. Zimbardo pernah mengajar di Universiti Yale sebelum jadi profesor psikologi di Universiti New York sehingga tahun 1967. Selepas setahun mengajar di Universiti Columbia, dia berhijrah ke Universiti Stanford pada tahun 1968.

Zimbardo rasa berminat nak tahu sama ada kes kekejaman pengawal di penjara-penjara Amerika Syarikat ni disebabkan oleh personaliti pengawal tu yang memang sadis atau ada kena-mengena dengan keadaan persekitaran penjara itu sebenarnya.

Cukuplah sekali je sebut ‘do’ tu. Gambar daripada Grouchoreviews.

Diupah $15 sehari untuk terlibat dengan eksperimen psikologi ini

Masa diorang nak jalankan kajian ni, pasukan pengkaji telah buat satu iklan di Palo Alto Times dan The Stanford Daily. Diorang tawarkan upah sebanyak $15 sehari kepada para pelajar lelaki di kolej untuk kajian terhadap psikologi pemenjaraan. Para pelajar diberitahu yang diorang akan diarahkan untuk melakonkan peranan sebagai banduan atau pengawal. Diorang juga akan diperhati dan difilemkan. Maknanya, diorang ni akan melibatkan diri sepenuh masa sepanjang kajian dijalankan.

Lebih daripada 75 orang yang respons dengan iklan tersebut, hanya 24 orang pelajar sahaja yang terpilih. 12 orang akan memainkan watak banduan (9+3 orang pengganti) dan 12 orang akan jadi pengawal (9+3 orang pengganti). Para pelajar ni dipastikan tak ada rekod jenayah, masalah kesihatan atau gangguan psikologi.

Sama ada kena jadi banduan atau pengawal, pilihan akan dibuat secara rawak dengan membaling wang syiling. Para pelajar yang jadi banduan akan duduk dalam penjara siang dan malam, tapi pengawal pula akan bergilir-gilir berjaga setiap 8 jam. Jadi, ada 3 orang pengawal yang akan menjaga 9 orang banduan.

Iklan yang diorang letak untuk cari peserta. Gambar daripada Prisonexp.

Banduan dibogelkan dan dibuang identiti masing-masing

Para peserta yang jadi banduan dilayan sama seperti penjenayah biasa. Diorang ditahan di rumah masing-masing tanpa diberi amaran terlebih dulu. Kemudian, semua banduan ni dibawa ke stesen polis. Cap jari dan gambar masing-masing diambil. Diorang akan dibawa ke Jabatan Psikologi Universiti Stanford dengan mata tertutup. Dekat situ, Zimbardo dah jadikan kawasan bawah tanah jabatan psikologi sebijik sama macam dalam penjara. Masa inilah proses membuang individualiti banduan bermula.

Malu tau kena tahan depan rumah sendiri. Gambar daripada Prisonexp.

Bila para banduan ni tiba je di penjara tersebut, diorang dibogelkan. Segala barang kepunyaan diorang ditanggalkan dan diberikan uniform penjara serta peralatan tidur je. Banduan-banduan ni takkan dipanggil guna nama sendiri tapi dipanggil guna nombor ID yang ditetapkan.

Tujuannya untuk jadikan diorang ni tanpa nama (anonymous). Setiap banduan kena rujuk diri sendiri guna nombor ID yang memang ada tertulis kat uniform diorang. Cap juga dipakai untuk tutup rambut dan salah satu kaki akan dirantai.

Aduh malu kuasa dua sebab kena bogel pulak! Gambar daripada Prisonexp.

Para peserta yang jadi pengawal pula semuanya pakai uniform yang sama. Diorang gantung wisel kat leher dan belantan yang dipinjam daripada pihak polis. Pengawal-pengawal ni akan pakai satu cermin mata hitam khas supaya diorang tak ada eye-contact dengan banduan.

Pengawal-pengawal diarahkan untuk buat apa saja yang diorang rasa perlu supaya banduan patuh dengan peraturan penjara, tapi dilarang melakukan kekejaman fizikal. Zimbardo akan melakukan pemerhatian terhadap sikap para banduan dan pengawal. Secara tak langsung dia juga bertindak sebagai warden penjara.

Inilah rupa banduan di Penjara Stanford. Gambar daripada Prisonexp.

Dalam penjara tersebut, para banduan diejek dan diarah buat benda-benda yang entah apa-apa. Selalunya pengawal akan suruh banduan-banduan ni buat push-ups sebagai hukuman fizikal. Ada juga yang pijak belakang banduan masa diorang tengah buat push-ups.

Pihak pengkaji beritahu, masa banduan-banduan dipaksa buat push-ups, diorang rasa itu hukuman yang kurang sesuai untuk penjara. Tapi lepas tu diorang dapat tahu yang push-ups ni selalu digunakan sebagai salah satu cara hukuman di kem tahanan Nazi.

Mommy! Tak tahan. Nak keluar gak!

Para pengawal cuba putuskan semangat kesatuan antara banduan

Pada hari pertama eksperimen, tak ada apa-apa insiden yang berlaku. Tapi pihak pengkaji terkejut bila tiba-tiba banduan memberontak pada pagi hari kedua. Diorang tanggalkan cap, cabut nombor daripada uniform dan letak tilam masing-masing dekat depan pintu sel. Diorang juga mengejek dan menyumpah seranah pengawal-pengawal yang ada menyebabkan para pengawal ni jadi sangat marah.

Jadi, para pengawal ni guna alat pemadam api karbon dioksida untuk paksa banduan-banduan ni jauhkan diri daripada pintu sel. Alat pemadam api ni memang diletak untuk keperluan jika ada ugutan kebakaran. Diorang pecah masuk setiap sel dan bogelkan banduan-banduan tersebut.  Semua tilam diambil dan paksa ketua pemberontak untuk duduk kat bilik pengasingan. Bukan tu je, para pengawal ni juga cuba takut-takutkan dan ganggu banduan-banduan tersebut.

Tilam pun kena rampas. Gambar daripada Prisonexp.

Ada salah sebuah daripada tiga sel penjara kat situ yang direka sebagai ‘sel istimewa’ (privilege cell). Tiga orang banduan yang paling kurang terlibat dengan pemberontakan itu akan diberi sel istimewa. Diorang dapat pakai semula uniform, dapat balik tilam dan dibenarkan berus gigi masing-masing. Banduan lain semua tak dapat. Banduan-banduan istimewa ni juga dapat makan makanan istimewa sedangkan yang lain tak dibenarkan makan. Tujuan sel istimewa ni ialah untuk putuskan solidariti (kebersamaan) dalam kalangan banduan.

Lepas setengah hari dapat layanan istimewa, banduan-banduan yang ‘baik’ ni kena duduk kat dalam sel ‘jahat’ pula dan pengawal bawa banduan-banduan ‘jahat’ duduk dalam sel ‘baik’ menyebabkan banduan-banduan ni jadi keliru. Ada sesetengah banduan yang ingat banduan-banduan dari sel istimewa ni adalah informer. Jadi diorang mula rasa tak percaya antara satu sama lain. Cara itu sama macam taktik yang digunakan oleh pengawal di penjara sebenar untuk putuskan ikatan antara banduan.

Banduan yang dapat ‘sel istimewa’ boleh lah tidur lena. Gambar daripada Prisonexp.

Ada banduan yang hampir jadi gila

Tak sampai 36 jam eksperimen ni dijalankan, banduan #8612 mula mengalami gangguan emosi, tak dapat berfikir dengan teratur, menangis yang tak terkawal dan marah-marah. Masa ni, pihak pengkaji dah fikir yang #8612 ni mesti nak tipu diorang supaya dia dapat dilepaskan. Tak lama lepas tu, #8612 mula berkelakuan macam orang gila. Dia menjerit, menyumpah seranah dan marah-marah sampai tak dapat dikawal. Masa tu la ahli psikologi sedar yang #8612 ni kena dibebaskan.

#8612 dah boleh balik rumah. Hooray! Gambar daripada Prisonexp.

Keesokan harinya, keluarga dan kawan-kawan datang melawat banduan-banduan tersebut. Para pengawal risau kalau ibu bapa tengok keadaan penjara tersebut, diorang akan berkeras nak bawa anak-anak diorang balik. Jadi, pengawal-pengawal ni bersihkan banduan dan suruh pula diorang bersihkan sel masing-masing. Diorang juga diberi makan malam besar dan siap ada muzik dimainkan melalui interkom.

Lepas waktu lawatan tamat, ada khabar angin mengatakan akan berlaku rancangan melepaskan diri. Jadi, para pengawal dan pengkaji cuba minta tolong daripada Jabatan Polis Palo Alto. Khabar angin ni menyebabkan diorang paksa banduan-banduan ni buat macam-macam kerja seperti bersihkan tandas dengan tangan kosong berulang kali.

Dah macam makan dalam hotel. Gambar daripada Prisonexp.

Paderi dijemput untuk lihat keadaan penjara

Zimbardo menjemput seorang paderi katolik untuk menilai sejauh mana realistiknya keadaan penjara yang dibina tu. Separuh daripada banduan perkenalkan diri guna nombor ID berbanding guna nama sendiri. Masa tu la diorang dapat bercakap dengan paderi seorang demi seorang. Tapi tak semena-mena, banduan #819 menangis beria-ia. Ahli psikologi terpaksa tanggalkan cap dan rantai kat kaki dia supaya dia dapat berehat dalam satu bilik khas.

Masa tu, #819 terdengar ada pengawal beritahu dengan suara kuat yang dia ni adalah banduan jahat. Ini menyebabkan #819 menangis sampai tak dapat dikawal. Zimbardo terpaksa sedarkan dia semula dengan beritahu semua ni hanyalah eksperimen je. Lepas tu, tiba-tiba je banduan #819 terus berhenti menangis macam tak ada apa-apa yang berlaku.

Paderi tengah bercakap dengan salah seorang banduan. Gambar daripada Prisonexp.

Zimbardo tersedar yang dia dah keterlaluan dalam eksperimen tersebut

Zimbardo cadang nak jalankan eksperimen tersebut selama dua minggu, tapi pada hari keenam eksperimen dibatalkan. Christina Maslach yang masa tu baru dapat PhD di Stanford dibawa untuk menjalankan temuramah dengan para pengawal dan banduan kat situ. Dialah yang menentang keras apabila nampak banduan-banduan didera oleh pengawal-pengawal kat penjara tersebut.

Dia sangat marah dengan Zimbardo dan beritahu apa yang Zimbardo buat kat diorang adalah sangat teruk. Daripada 50 orang luar yang dijemput melihat penjara tersebut, hanya dia seorang je yang mempersoalkan tentang moraliti eksperimen tersebut. Lama selepas tu barulah Zimbardo sedar yang dia dah keterlaluan menjalankan eskperimen tersebut. Dia seolah-olah fikir yang dia ni penguasa penjara bukan pengkaji psikologi.

Pada waktu tu, Maslach ni merupakan awek Zimbardo yang akhirnya menjadi isterinya. Apa yang menarik, Maslach beritahu disebabkan hubungan dia dengan Zimbardo, ia membuatkan dia berani bersuara. Kalau dia hanya rakan sekerja je, dia sendiri pun tak pasti sama ada dia berani untuk berhadapan dengan Zimbardo.

Untung jadi awek profesor, senang nak kawtim. Gambar daripada Psychology Berkeley.

Ada eksperimen yang lebih kurang sama tapi hasilnya berbeza

Kalaulah Eksperimen Penjara Stanford dijalankan dalam persekitaran yang kurang kejam, adakah para banduan dan pengawal yang terlibat akan berkelakuan berbeza?

Pada Disember 2001, dua orang pakar psikologi iaitu Stephen Reicher dan Alexander Haslam cuba mencari jawapan tersebut. Diorang ni bekerja dengan BBC di unit dokumentari. Diorang reka semula sebahagian eksperimen yang Zimbardo pernah buat dan melakukan eksperimen tersebut dalam masa lapan hari. Kajian tersebut dinamakan Kajian Penjara BBC (The BBC Prison Study).

Para pengawal juga diberi uniform dan kebebasan untuk agih-agihkan ganjaran dan hukuman. Para banduan pula diletakkan tiga orang dalam satu sel sama seperti di penjara Stanford. Apa yang beza ialah pengkaji tak menjangka apa-apa pun. Para pengawal diarahkan untuk siapkan peraturan sebelum banduan tiba. Kemudian, diorang cuma diberitahu untuk kendalikan penjara tersebut dengan lancar. Tak ada pengkaji yang akan jadi ketua dan bagi arahan kepada para pengawal macam mana nak bertindak.

Pun nak dua kali ‘do’ jugak. Gambar daripada alchetron.com

Hasil kajian yang diorang dapat ialah individu tak menurut secara membuta tuli terhadap peranan-peranan yang ditetapkan. Hasil paling jelas yang diorang nampak daripada kajian ini ialah hubungan antara kumpulan identiti, kumpulan organisasi dan kumpulan kuasa.

Daripada kajian tersebut, apabila sekumpulan manusia berkongsi identiti yang sama (contohnya identiti banduan), diorang akan berkongsi nilai dan matlamat yang sama juga. Ia akan meningkatkan respek dan sokongan antara sesama sendiri. Jadi, ia akan menjadikan manusia dapat bekerja bersama-sama sebagai satu unit yang efektif.

Pendek kata, organisasi atau kuasa yang berkesan datang daripada kumpulan yang ada identiti sosial yang sama. Kalau tak, organisasi tu gagal diuruskan dengan baik. Korang boleh juga baca lebih lanjut pasal The BBC Prison Study kat sini.

Dah macam gambar wakil pasukan bola keranjang sekolah. Gambar daripada Exeter.

Sikap seseorang itu bergantung kepada situasi bukan ciri-ciri pada dirinya

Eksperimen ni menjadi inspirasi kepada pembikin-pembikin filem untuk diadaptasi ke layar perak. Antaranya ialah filem Jerman, Das Experiment (2001) dan The Experiment (2010) yang diinspirasi daripada eksperimen di Stanford. Sebuah lagi filem yang berjudul The Stanford Prison Experiment (2015) adalah berdasarkan Eksperimen Penjara Stanford itu sendiri.

Korang bolehlah cari dan tonton filem ni. Gambar daripada Amazon.

Hasil daripada eksperimen ni menyatakan yang manusia bersedia menurut peranan sosial yang dimainkan oleh mereka terutamanya peranan-peranan yang sangat stereotaip seperti pengawal penjara. Keadaan ‘penjara’ tersebut menjadi faktor penting yang menyebabkan pengawal-pengawal tersebut bersikap ganas. Sebelum eksperimen ni dijalankan, semua pelajar baik je. Maknanya Zimbardo menyatakan yang sikap kita banyak bergantung kepada situasi di mana kita diletakkan, bukannya disebabkan oleh ciri-ciri yang ada pada seseorang itu.