Bila pengasas bank Melayu terbunuh, Bank Islam ditubuhkan sebagai bank patuh syarak

SOSCILI dapat penghormatan untuk berkunjung ke Merdeka Award beberapa bulan yang lepas, di mana anugerah diberikan kepada tokoh-tokoh yang berjasa besar kepada negara. Salah seorang daripada penerima anugerah ini adalah Bapa Perbankan Islam Malaysia, iaitu Datuk Dr Abdul Halim Ismail.

Datuk Dr. Abdul Halim Ismail, salah seorang yang menerima anugerah di Merdeka Awards. Imej dari The Sun

Siapa kat sini yang ada akaun kat Bank Islam? Kalau korang nak tahu, Bank Islam adalah institusi bank pertama di Malaysia yang mengamalkan sistem perbankan yang mematuhi syariah Islam. Dan dalam artikel ini SOSCILI berkesempatan menemubual Datuk Dr Abdul Halim yang memainkan peranan penting dalam penubuhan bank ini.

Tapi sebelum adanya bank Islam… kat mana orang Melayu dulu simpan duit?

Bank di Tanah Melayu dah wujud sejak lebih 158 tahun yang lalu

Datuk Dr. Abdul Halim Ismail adalah rakyat Malaysia pertama dinobatkan sebagai penerima Anugerah Diraja Kewangan Islam bersempena Forum Kewangan Islam Antarabangsa (GIFF) 2014. Dia memainkan peranan penting dalam merangka penubuhan Bank Islam pertama di Malaysia pada tahun 1983.

Menurut beliau, umat Islam di Persekutuan Tanah Melayu mula mengenali bank sekitar abad ke-19. Masa tu, bank di Tanah Melayu ditubuhkan oleh penjajah untuk pembangunan dan ekonomi. Bank berperanan untuk menyediakan kemudahan pinjaman kepada para pelabur untuk memajukan dan memesatkan lagi industri getah dan bijih timah.

Kalau nak tahu, bank pertama yang ada di Tanah Melayu adalah Mercantile Bank yang ditubuhkan pada tahun 1859. Mereka kemudiannya dibeli oleh HSBC Bank pada tahun yang sama dan mula beroperasi pada tahun 1860.

Mercantile Bank, bank pertama yang wujud di Malaysia semasa ekonomi kita berasaskan biji timah. Imej dari collections.lib.uwm.edu

Selepas 1874, lebih banyak bank Eropah membuka cawangan di Tanah Melayu seperti The Chartered Bank, The Hong Kong and Shanghai Bank (HSBC), dan Algemence Bank Nederland.

British yang menjajah Tanah Melayu masa tu juga membenarkan beberapa cawangan bank dari India, Hong Kong dan United Kingdom untuk masuk ke Tanah Melayu dan menjalankan urusan mereka. Negara-negara Islam yang lain pun tak ketinggalan, dan konsep bank mereka adalah bank konvensional, iaitu mengikut sistem barat dan bukan bank Islam yang mengikut syariah.

Bank pertama Melayu ditubuhkan pada 1947, tapi tak sempat bertahan lama

Pada tahun 1940-an pula, ada bank luar negara iaitu The Chartered Bank (milik British) dan Overseas Chinese Banking Corporation (OCBC) beroperasi di Tanah Melayu. Bagaimanapun, kedua-dua bank ni tak memberikan perkhidmatan pinjaman wang kepada orang Melayu. Jadi, orang Melayu terpaksa berurusan dengan ceti-ceti untuk mendapatkan pinjaman wang dan dikenakan kadar faedah yang tinggi.

Disebabkan itu, Maarof Zakaria, seorang peguam berhempas pulas untuk mengasaskan bank pertama yang dikhususkan untuk orang Melayu, iaitu The Malay National Banking Corporation Limited pada tahun 1947.

Malay National Bank yang membantu orang Melayu semasa penubuhannya. Imej dari Berita Harian

Tapi, bank tu tak bertahan lama kerana Maarof kemudiannya dijumpai mati dibunuh pada Disember tahun yang sama, dan terpaksa ditutup pada tahun 1952. Kisah pembunuhan Maarof masih menjadi misteri sehingga kini.

Tun Dr Mahathir Mohamad juga  menyifatkan kematian pengasas Malay National Bank, Maarof Zakaria, sebagai tragik dan sangat menyedihkan kerana ia berlaku ketika peguam itu berusaha membantu orang Melayu keluar daripada kepompong kemiskinan menerusi penubuhan bank.

 “Jasa Maarof sangat besar dan beliau orang Melayu yang berani menubuhkan bank untuk membantu kaumnya, ketika itu. Ketika itu, orang Melayu jauh ketinggalan dari segi ekonomi dan hidup dalam kemiskinan.

Bank yang ada ketika itu tidak mahu memberi bantuan atau pinjaman modal kepada orang Melayu. Justeru, ada suara yang meminta dan mendesak supaya sesuatu dilakukan untuk membantu orang Melayu” – Tun Dr Mahathir Mohamad

Maarof merupakan bapa kepada seniman negara, Mustapha Maarof. Imej dari serimenanti.blogspot

Sejarah penubuhan The Malay National Banking Corporation Limited juga pernah diterangkan dalam buku terbitan ISRA/Maybank Islamik (2014), iaitu “The Historical Roots of Islamic Finance in Malaysia”

Boleh baca di sini. Imej dari ISRA

Bank konvensional tak mengamalkan konsep patuh syariah, sejajar dengan pembangunan Islam di Malaysia

Selepas penubuhan bank untuk Melayu yang tak dapat bertahan lama, orang Islam di Malaysia kemudiannya beralih ke arah bank konvensional, iaitu bank sistem barat. Perkhidmatan bank jadi lebih penting dari masa ke semasa. Sebabnya, selain daripada boleh letakkan duit simpanan, bank juga boleh tolong untuk buat pelaburan dan pembiayaan untuk mengukuhkan ekonomi, terutama sekali bagi peniaga.

Tapi dalam masa yang sama mereka juga tahu yang  hampir semua jenis perkhidmatan bank, perjanjian atau kontrak yang dimeterai antara bank dan pelanggan mengandungi unsur-unsur yang ditegah dalam agama Islam, khususnya membayar atau menerima faedah. Macam yang kita tahu, faedah adalah riba, dan riba adalah haram dalam syariah Islam.

Kami bukan Ahlong, kami cuma nak tolong! Imej dari ilhammarsetyoword

“Dan sesuatu Riba (tambahan) yang kamu berikan agar Dia bertambah pada harta manusia, Maka Riba itu tidak menambah pada sisi Allah. dan apa yang kamu berikan berupa zakat yang kamu maksudkan untuk mencapai keridhaan Allah, Maka (yang berbuat demikian) Itulah orang-orang yang melipat gandakan (pahalanya).”-QS. Ar-Ruum: 39

Pada zaman tu juga, banyak je bank-bank konvensional yang lain dah wujud. Tapi disebabkan umat Islam di Malaysia semakin peka dan betul-betul cuba untuk berpegang teguh dengan agama Islam, mereka merasa was-was.

Disebabkan perkara ni lah, ada beberapa tuntutan dibuat melalui tulisan dalam pelbagai
akhbar dan majalah. Ada juga perjumpaan, seminar dan kongres diadakan untuk  membincangkan perkara ini dan membuat resolusi.

Bank Islam berjaya ditubuhkan pada 1983, dan menjadikan Islamic Development Bank (IDB) dari Jeddah sebagai role model

Walaupun menemui kegagalan, Malaysia mengambil iktibar dan belajar daripada negara lain. Pada awal tahun 1970-an, kejayaan penubuhan sebuah bank Islam di Jeddah, iaitu Islamic Development Bank (IDB) telah mencetuskan aktiviti yang pesat.

Islamic Development Bank yang masih lagi beroperasi sehingga kini. Imej dari isdb-pilot.org

IDB pada masa tu ialah sebuah revolusi di negara-negara Timur Tengah, dan kebanyakan negara Islam bercadang untuk menubuhkan bank perdagangan Islam di negara masing-masing. Malaysia tak ketinggalan dalam idea ni, jadi sebuah kajian ditubuhkan yang terdiri daripada Tabung Haji, Perkim, dan beberapa individu yang mencadangkan kerajaan untuk menubuhkan Bank Islam.

Perniagaan perbankan Islam ditakrifkan sebagai “perniagaan perbankan yang misi dan operasinya tidak melibatkan apa-apa unsur yang bertentangan dengan agama Islam.”– laporan Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan mengenai penubuhan sebuah bank Islam di Malaysia.

Cadangan tersebut diterima oleh Jabatan Perdana Menteri, yang kemudiannya menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan Mengenai Bank Islam pada tahun 1981. Jawatankuasa Pemandu ini mengemukakan laporan pada tahun 1982, dan mencadangkan penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).

Kerajaan menerima cadangan ini dan BIMB pun ditubuhkan pada 1 Mac 1983, dan Datuk Dr Abdul Halim Ismail dilantik sebagai Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia Berhad.

Bank islam ketika pembukaan pertamanya, dilancarkan oleh Tun M. Imej dari BIMB

Malah disebabkan bank-bank konvensional yang wujud tak boleh diselaraskan dengan syariah Islam sebab negara kita berbilang kaum dan agama, jadi kita sebagai orang Islam sendiri la yang kena tubuhkan satu bank yang patuh syarak.

Jadi menurut Datuk Dr Abdul Halim Ismail lagi, pada anggapannya, hukum menubuhkan Bank Islam merupakan kewajipan, bukan lagi harus.

“Dalam situasi seperti ini, saya kira, hukum menubuh dan melaksanakan Bank Islam sudah menjadi Fardhu Ain dan bukan lagi Fardhu Kifayah.”

Berkenaan dengan persaingan dengan bank-bank sedia ada, perkara ini tidak dirunsingkan
sangat kerana perbezaan produk yang amat ketara, iaitu bank-bank ini adalah konvensional
sedangkan Bank Islam adalah selaras dengan syariah.

Bank dah ikut syarak, tapi insurans belum, menyebabkan insurans patuh syariah mula dijalankan

Selepas pembukaan Bank Islam pertama di Malaysia, bank ni mendapat sambutan oleh umat Islam di negara ini. Segalanya berjalan lancar pada tahun pertama, tapi macam mana-mana syarikat baru, masih ada kekurangan yang ditemui.

Walaupun kemudahan pembiayaan yang diperolehi daripada Bank Islam ni berlandaskan syariah, ada satu lagi perkara yang tak ikut syariah, iaitu perlindungan insurans yang masih lagi beroperasi di bawah sistem konvensional. Disebabkan perkara ni, munculnya idea untuk memperkenal khidmat-khidmat insuran yang patuh syariah kepada umat Islam, yang lebih dikenali sebagai ‘Takaful’.

Jadi, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) pun menubuhkan anak syarikat “Syarikat Takaful
Malaysia Berhad” pada tahun 1984. Syarikat Takaful menawarkan kedua-dua jenis khidmat,
iaitu Takaful Am dan Takaful Keluarga.

Sebelum tertubuhnya Syarikat Takaful, umat Islam menghadapi dilema bila berurusan dengan syarikat-syarikat insuran konvensional. Mereka tahu yang khidmat insurans ni penting, tapi dalam masa yang sama mempunyai unsur-unsur yang ditegah syariah. Disebabkan perkara ni la ramai yang mengelak daripada mengambil insurans.

Sultan dan Tengku Ampuan Selangor juga tak ketinggalan membuka akaun di Bank Islam. Imej dari bankislam.com

Khidmat insurans yang disediakan syarikat Takaful ada matlamat tersendiri, iaitu mambantu dari segi kestabilan individu, dan juga pembangunan  ekonomi masyarakat. Contohnya seperti:

Takaful Am: Sesiapa yang dapat pembiayaan dari Bank Islam untuk membeli rumah atau membeli kenderaan mestilah mengambil sekali  takaful kebakaran atau takaful kemalangan yang bertujuan memberi perlindungan bagi mengurangkan risiko dan bebanan kepada individu berkenaan apabila berlaku kebakaran atau kemalangan.

Takaful Keluarga: Memberi perlindungan dari sudut simpanan dan pelaburan individu, jika tidak panjang umur.

“Lagi tinggi tahap kemajuan ekonomi dan sosial sesuatu masyarakat lagi berkembanglah produk-produk takaful yang dikehendaki. Di kebanyakan negara maju, industri insuran (takaful) merupakan satu bahagian yang penting dalam sektor kewangan negara tersebut.”-  Datuk Dr. Abdul Halim Ismail.

Datuk Dr Abdul Halim Ismail didalam pelancaran buku pertama mengenai kewangan Islam di Malaysia yang bertajuk Historical Roots of Islamic Finance in Malaysia. Imej dari Harian Metro.

Konsep Bank Islam pernah dikritik oleh golongan “Islamic Economists”

Sepanjang usaha penubuhan Bank Islam, sektor kerajaan, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan lain-lain memberikan sokongan yang padu. Segala permohonan yang berkaitan dengan penambahan atau penambah baikan akta-akta baru juga diterima dan dilaksanakan dengan kadar segera.

“Saya difahamkan pihak kerajaan berhasrat menyediakan gelanggang permainan yang sama rata bagi pemain-pemain bank Islam dan pemain-pemain bank konvensional.”

Bagaimanapun, tak lama lepas tu munculnya sekumpulan orang yang memanggil diri mereka sebagai “Islamic Economists”, yang membawa hukum yang berbeza, iaitu bank Islam kononnya tak boleh menggunakan konsep untung rugi (Al-Mudharabah dan Al-Musyarakah) dalam semua jenis transaksinya. Tapi, kumpulan Islamic Economists ni bukanlah ahli syariah. Malah, kajian yang dilakukan seterusnya menunjukkan yang hukum yang mereka sebutkan tu adalah ciptaan sendiri sahaja.

Perbezaan perbankan Islam dan Konvensional. Imej dari duithangus.

Padahalnya di Malaysia, kata putus tentang hukum-hakam syariah sebenarnya berada di tangan Majlis Pengawasan Syariah, yang terletak di Bank Negara Malaysia. Disamping itu, bank-bank Islam juga perlu mempunyai Majlis Penasihat Syariahnya sendiri. Di negara-negara Islam lain, ada yang mempunyai majlis di peringkat pusat, dan ada juga yang hanya mempunyai majlis di peringkat bank sahaja.

Selain tu, hukum-hukum Syariah juga ditanda tangani oleh badan-badan penyelidikan antarabangsa seperti Majma’ al-Fiqh di Jeddah dan Accounting and Auditing Organisation for Islamic Financial Institution di Bahrain. Sebahagian besar ahli-ahli majlis dan badan ini adalah terdiri dari ulama-ulama syariah yang terkenal dari negara-negara berkenaan.

Perbankan Islam kini berkembang maju, setanding dengan masa

Menurut Datuk Dr. Abdul Halim Ismail, masa pembukaan Bank Islam pada 40 tahun yang lepas, sambutan yang diterima adalah lebih baik daripada yang dijangka. Selain pengguna beragama Islam, orang bukan Islam juga turut menggunakan bank ni.

Bukan individu semata-mata, malah ada syarikat dan institusi milik orang bukan Islam yang menubuhkan bank Islam sebagai anak syarikat mereka. Ini kerana, mereka tak mengambil kira asas keagamaan bank tersebut, tapi lebih kepada ciri-ciri kebaikan yang ada kepada bank Islam untuk dijadikan bank alternatif mereka. Bank Islam mengembangkan perkhidmatannya dengan lebih meluas kepada pengguna bukan Islam bagi memenuhi prinsip “Perbankan untuk Semua”.

“Saya yakin bahawa perbankan Islam sudah bergerak berada pada asas yang kukuh, dan akan bergerak maju lagi pada masa hadapan.”

Besarnya sumbangan Datuk Dr. Abdul Halim dalam sistem bank dan kewangan Islam di Malaysia

Datuk Dr. Abdul Halim sebenarnya juga merupakan anak Melayu pertama yang berjaya menjadi graduan Universiti Oxford, United Kingdom (UK) di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Ekonomi pada tahun 1969.

Imej dari wief.org

Pada tahun 2001, beliau dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Kewangan Islam oleh Persatuan Bank-Bank Islam Malaysia (AIBIM) atas pencapaian yang berterusan dalam bidang kewangan Islam. Datuk Abdul Halim juga merupakan Tokoh Maal Hijrah peringkat kebangsaan pada tahun 2004.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Syarikat Takaful Malaysia Bhd, iaitu syarikat takaful pertama di negara ini yang berkembang pesat di Malaysia. Sistem Kewangan Islam kini merupakan alternatif yang semakin menarik dan menjadi pelengkap kepada kewangan konvensional.

Antara hasil kajian dan tulisan Abdul Halim yang telah diterbitkan adalah BIMB: Penubuhan dan Operasi yang diterbitkan BIMB, The Role of Islamic Instruments in Deepening Equity Markets pada tahun 1999 dan The Capital Market Masterplan: A Roadmap for Sustainable Growth & Development (2002).