- 51Share sekarang!
- Email0
- Facebook51
- Share
Kalau selalunya kita akan dengar ada saudara-mara, jiran tetangga atau rakan-rakan kita yang pergi haji. Tapi kali ni, suasana lain sikit sebab dunia berdepan dengan pandemik Covid-19 yang membataskan perjalanan kita semua.
Kesannya, seramai 31,600 jemaah dari Malaysia yang sepatutnya menunaikan haji tahun ni terpaksa menangguhkan ibadah tu untuk tahun depan. Itupun Tabung Haji (TH) ada kata – yang mereka tak jamin sama ada jemaah haji tu dapat tunaikan haji tahun depan atau tak.
Pada tahun ni, dilaporkan yang kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan sekitar 1,000 hingga 10,000 orang saja untuk menunaikan haji di Mekah. Mereka tu pun kena lalui SOP yang ketat. Antaranya…
1. Jemaah kena kuarantin di rumah dulu sebelum pergi ke Mekah
Pada pertengahan Jun lalu, kerajaan Arab Saudi ada mengumumkan yang negara tu hanya membenarkan penduduk (Saudi) dan rakyat negara asing yang tinggal di negara tu je yang boleh menunaikan ibadah haji.
Tapi, dengan syarat-syarat tertentu seperti mereka kena buat ujian Covid-19 dan kuarantin di rumah selama 14 hari sebelum melakukan perjalanan ke Mekah. Bila dah habis tunaikan ibadah haji, mereka sekali lagi kena kuarantin di rumah selama 14 hari.
2. Jemaah kena pakai gelang GPS untuk pengesanan kontak
Menurut laporan Al-Jazeera, jemaah haji pada tahun ni kena pakai gelang GPS bagi pengesanan kontak sepanjang mereka berada di sana. Maklumat terperinci tentang gelang tu tak la diketahui sangat, tapi kalau ikut laporan Al-Arabiya – Saudi dah bangunkan gelang GPS untuk jemaah haji sejak tahun 2016 lagi.
Gelang elektronik tu dikatakan akan menyimpan maklumat peribadi dan perubatan jemaah bagi membantu pihak berkuasa di sana memberi rawatan dan mengenal pasti jemaah.
“Tahan air dan disambungkan ke GPS, peranti itu juga akan memberi petunjuk kepada para jemaah mengenai waktu solat dan bantuan pelbagai bahasa untuk membantu terutama jemaah yang bukan berbahasa Arab mengenai pelbagai rukun dalam ibadah tahunan Islam itu.” – Dipetik dari Al-Arabiya.
3. Diwajibkan pakai pelitup muka sepanjang masa
Satu lagi peraturan yang diperkenalkan oleh Arab Saudi adalah mewajibkan setiap jemaah memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial. Berkenaan dengan persoalan sama ada sah atau tidak ibadah haji dilakukan dengan menutup muka – mungkin kita boleh merujuk Fatwa yang diterbitkan oleh Dar al-Ifta al Misriyyah.
Menurut fatwa berkenaan, adalah dibenarkan untuk jemaah memakai pelitup muka bagi melindungi diri mereka dari sebarang penularan penyakit. Fatwa serupa juga ada dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor bahawa:
“… dalam keadaan di mana sesuatu penyakit itu telah menjadi wabak, Islam memberi pengecualian dan kelonggaran kepada para jemaah untuk menutup sebahagian muka walaupun ia merupakan perkara yang dilarang semasa menunaikan ibadah haji atau umrah.” – Dipetik dari Jabatan Mufti Negeri Selangor.
4. Dilarang menyentuh Kaabah sama sekali
Selain itu, para jemaah juga nampaknya dilarang dari menyentuh Kaabah dan itu juga bermakna jemaah tak boleh mencium hajarul aswad.
“Menyentuh Kaabah, tempat paling suci dalam Islam, akan dilarang semasa haji tahun ini, dan jarak sosial 1.5m antara setiap jemaah semasa melakukan ibadah…” – Dipetik dari The Straits Times.
Disebabkan kawalan yang ketat, bermula pada 19 Julai lepas hingga 2 Ogos ini, hanya mereka yang ada permit haji saja dibenarkan masuk ke Mina, Muzdalifah dan Padang Arafah.
Semua peraturan ni untuk keselamatan kita bersama
Menurut laporan Arab News, daripada 10,000 jemaah haji tahun ini – 70 peratus daripadanya bukanlah rakyat Saudi, tapi warganegara lain yang tinggal di negara berkenaan. Daripada jumlah tu, mereka yang belum pernah menunaikan haji dan berumur antara 20 hingga 50 tahun je yang dibenarkan menunaikan ibadah tersebut. Jumlah ni sebenarnya sangat kecil jika kita nak dibandingkan dengan jemaah haji seramai 2.5 juta pada tahun 2019.
Berkurangnya jumlah jemaah secara drastik ni juga memberikan kesan ekonomi kepada Saudi, sebab biasanya musim haji akan menambah USD12 bilion keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara kaya minyak itu setiap tahun.
Apa yang pasti, tindakan ini memang tak dapat dielakkan sama sekali demi menjaga kemaslahatan dan keselamatan masyarakat. Sehingga 28 Julai 2020, Arab Saudi telah mencatatkan lebih 260 ribu kes Covid-19 dan mengorbankan 2,760 nyawa.
- 51Share sekarang!
- Email0
- Facebook51
- Share