- 12.8KShare sekarang!
- Email371
- Facebook12.4K
- Share
M. Nasir merupakan seorang penggubah lagu yang mementingkan konsep Nusantara dalam lagu-lagunya. Beliau mula menceburi bidang muzik dengan menulis lirik untuk album Alleycats iaitu “Terima Kasih (1979)” dan menubuhkan kumpulan muziknya sendiri iaitu Kembara. Beliau juga telah membuka syarikat rakaman muziknya sendiri iaitu Luncai Emas dan dari sini jugalah beliau menjadi lebih terkenal lebih-lebih lagi dalam penulisan lirik dan penggubah lagu.
“Lirik dahulu cukup mendalam. Kita rasakan betapa bingitnya kehidupan. Kerap kali, orang tua kita dahulu memang tak tahu apa yang kita sebenarnya buat dalam kita bergelar anak seni.” – M. Nasir, dipetik dari Berita Harian.
Penulisan lirik beliau amat mementingkan konsep metafora, analogi, dan puitis sehingga ramai orang cuba untuk mentafsir lirik-liriknya, ada yang berjaya dan ada yang tidak berjaya mentafsirnya. Jadi, mari kami bongkarkan beberapa lagu-lagu M. Nasir yang mempunyai maksud tersirat sehingga menjadi bualan peminat-peminat muzik.
1. Lagu Hud-Hud: menceritakan tentang akhir zaman
Lagu “Tanya Sama Itu Hud-Hud” merupakan lagu dari album Canggung Mendonan (1993) dan berjaya menjadi finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) 1994 dalam kategori pop rock. Lagu ini menjadi bualan masyarakat selepas lagunya dikatakan mempunyai maksud tersirat yang menceritakan tentang Islam. Ahli Fiqir menyatakan bahawa lagu ini menceritakan tentang “Rukun Islam”. Terdapat bahagian lirik yang mempunyai maksud tersirat antaranya:
“Tujuh puluh tiga pintu
Tujuh puluh tiga jalan
Yang sampai hanya satu jalan”
Dalam rangkap pertama ini sebenarnya menceritakan tentang hadis Rasulullah SAW iaitu terdapat 73 kumpulan yang mempunyai ideologi dan fahaman masing-masing. 72 kumpulan akan masuk ke neraka dan satu kumpulan masuk ke syurga. Satu kumpulan itu ialah orang-orang yang mengikut jalan baginda dan sahabatnya yang mengikut petunjuk Allah S.W.T.
“Ribu-ribu Margasatwa
Mencari raja si Muraq
Yang sampai hanya tiga puluhUuh… Sang Algojo
Uuh… nanti dulu”
Seterusnya, rangkap ini merupakan analogi yang ditulis dalam syair lama parsi iaitu Mantiq Al-Tayr. Syair ini menggambarkan burung-burung yang melalui 7 lembah kehidupan dan hanya 30 burung sahaja yang berjaya berjumpa dengan Sang Khalik. Jadi, rangkap ini menceritakan tentang ramai manusia cuba mengenal Tuhan tapi hanya segelintir sahaja yang mendapat keredhaan-Nya.
Sang Algojo yang disebut merujuk kepada orang yang ditugaskan untuk membunuh pesalah yang dijatuhkan hukuman. “Nanti dulu” bermaksud manusia meminta kepada Allah S.W.T untuk mencari keredhaan-Nya supaya tidak tergolong dalam 72 kumpulan yang masuk neraka.
“Lihat dunia dari mata burung
Atau lihat dari dalam tempurung
Yang mana satu engkau pilih
Dalam kalut ada peraturan
Peraturan cipta kekalutan
Di mana pula kau berdiri
Di sini”
Metafora burung dan tempurung yang digunakan dalam rangkap ini menunjukkan bahawa mana satu yang kita akan pilih, sama ada menjadi burung yang terbang luas mencari keredhaan Allah S.W.T atau menjadi katak bawah tempurung iaitu terperap dengan kejahilan.
Rangkap ini juga mengaitkan tentang ajaran agama Islam merupakan ajaran yang lengkap dan sempurna (Syumuliyyah), maka umat Islam perlu mengamalkannya. Namun, zaman sekarang ramai yang bertengkar tentang ilmu-ilmu islam seperti Usul Fiqh dan ada juga yang bertentangan dengan agama Islam seperti golongan liberal dan atiesme.
“Berikan ku kesempatan akhir ini
Untuk menyatakan kalimah sebenar
Berikan ku kesempatan akhir ini
Lai lai la lai lai lai lai
Tanya sama itu hud-hud
Lang mensilang
Kui mengsikui
Kerana dia yang terbangkan aku ke mari”
Dalam rangkap ini bermaksud berikanlah sedikit waktu dan panjangkanlah umur umat Islam supaya mereka dapat kembali kepada keredhaan-Nya. Selain itu, lirik ini juga menceritakan kisah burung Hud-hud yang membawa utusan Nabi Sulaiman kepada Ratu Balqis supaya kembali ke jalan Allah S.W.T.
2. Lagu Nurnilam Sari: dicipta khas untuk pemergian isterinya
Mesti korang tahu lagu ini dinyanyikan oleh Awie bersama dengan kumpulan Search dalam album Bikin Wilayah (1996) tetapi sebenarnya lagu ini adalah kepunyaan M. Nasir. Lagu ini merupakan dari album Srikandi Cintaku (1999). Namun, lagu ini sebenarnya mempunyai kisah sedih yang pernah menimpa M. Nasir sendiri.
Pada 8 Ogos 1998, kita dikejutkan dengan pemergian seorang biduanita dari kumpulan Ideal Sisters iaitu Junainah Johari yang merupakan isteri kepada M. Nasir akibat penyakit lelah. Allahyarhamah Junainah atau nama panggilannya Nana, diserang penyakit lelah pada pukul 10 pagi lalu dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh. Namun, beliau menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur.
Kalau korang nak tahu, Allahyarhamah Nana menghembuskan nafas terakhir selepas melahirkan anak bongsunya iaitu Nur Nilam Sari yang berusia dua bulan. M. Nasir juga mempunyai anak lelaki iaitu Shafi’i, Hidayat, Ilham, dan Yasin. Bagi M. Nasir, Nur Nilam Sari merupakan pelengkap kepada keluarganya kerana mereka sebelum ini inginkan cahaya mata perempuan.
Pemergian Alllahyarhamah Nana sangat meninggalkan kesan kepada hidup M. Nasir, hidupnya dulu yang penuh dengan irama lagu dan kegembiraan tetapi digantikan dengan irama muzik hujan dan kesedihan selepas kehilangannya. Oleh itu, M. Nasir menciptakan lagu ini khas untuk kisah sedih ini dan Loloq sebagai penulis lirik.
“Nur Nilam Sari” , senyumanmu itu satu azimat! , lagu ciptaan M. Nasir dan lirik ditulis oleh Allahyarham Loloq”- M. Nasir, dipetik dari laman Facebook M. Nasir.
Dalam pada itu, lagu Hari Raya Hari Bahagia merupakan nyanyian dari Ideal Sisters. Cuba dengar dulu, mesti korang “familiar” dengan lagu ini :
3. Lagu Kupu-kupu: dikaji dengan menggunakan Teori SBP4L
Sewaktu M. Nasir bersama dengan Kembara, beliau berjaya menghasilkan sebanyak tujuh album ketika zaman 80-an. Mereka pernah mengeluarkan satu album iaitu “Seniman Jalanan (1984)” tetapi jarang didengari oleh masyarakat kerana tidak pernah atau jarang keluar di radio. Dalam album ini, terdapat satu lagu yang berjudul “Kupu-kupu” dikatakan mempunyai maksud tersirat.
Berdasarkan Teori Sistem Bersepadu 4L (SBP4L) iaitu teori sastera yang mementingkan empat pemikiran seperti luhur, lahir, logik dan lateral, lagu kupu-kupu mengisahkan tentang tujuan kehidupan manusia. Dalam teori ini menerangkan tentang umat Islam mempunyai dua peranan di muka bumi ini, iaitu sebagai hamba Allah dan sebagai khalifah.
“Aku kecil dan tak kuasa,
Ku tak kuasa,
Ku tak kuasa,
Namun mataku dapat terlindung,
Dari melihat akan kecurangan”
Dalam baris kedua lirik ini iaitu “Ku Tak Kuasa“, memberi maksud terdapatnya unsur luhur dalam lirik lagu tersebut. Hal ini menjelaskan kekuasaan Allah S.W.T iaitu hanya Allah S.W.T sahaja yang berkuasa manakala manusia hanya mengikut perintah-Nya.
“Yang salah tetap salah,
Walau diselindungkan,
Dari itu jangan kau tangkap aku,
Aku di sini hanya sementara waktu.”
Unsur kemanusiaan juga terdapat dalam lirik lagu ini, rangkap terakhir ini menceritakan bahawa manusia hanya hidup sementara di dunia dan tidak kekal. Apabila dijemput oleh Allah S.W.T, kita tidak boleh meminta-Nya supaya kembali ke dunia untuk melakukan amalan walaupun seminit. Kita sebagai manusia harus menerima pemergian seseorang walaupun perit tetapi sudah tertulis dalam Luh Mahfuz.
“Aku di sini hanya sementara waktu membawa kepada huraian bahawa wujudnya sifat luhur.” – Mohd Yusuf Hassan, Penulis Buku, dipetik dari Pemikiran Luhur dalam Lirik Lagu Nyanyian M. Nasir.
Nah, cuba korang dengar dulu lagu Kupu-kupu ini, mana tahu memberi sedikit keinsafan dalam diri:
https://www.youtube.com/watch?v=j5KXeusFAWc
4. Lagu Ada: mengisahkan tentang kesengsaraan dan penderitaan manusia
Selain daripada lagu Hud-hud, terdapat satu lagi lagu dari album Canggung Mendonan (1993) iaitu “Ada”, juga dikatakan mempunyai maksud tersirat disebalik liriknya. Lagu ini menjelaskan tentang kesengsaraan dan penderitaan yang dialami tanpa dihiraukan oleh golongan tertentu.
“Ribut datang memperkosa,
Sesal nyawa dalam jiwa,
Beli roti kering,
Jalan pulang,
Yang kau fikirkan. “
Rangkap pertama ini mengisahkan tentang kesengsaraan dan penderitaan yang dihadapi oleh manusia. Di samping itu, dalam setiap kehidupan menunjukkan bahawa setiap manusia mempunyai hak yang sama iaitu hak asasi manusia. Setiap kehidupan masih ada lagi hak ke atas golongan-golongan ini, cuba korang lihat dalam rangkap lirik ini:
“Dalam hutan,
Ada taman,
Ada puterinya.
Dalam baju,
Ada cinta,
Dan dalam cinta,
Ada segala-galanya.
Dalam awan,
Ada hujan.”
Dalam rangkap keempat ini, ayat “Ada segala-galanya” membawa maksud bahawa manusia tidak mempunyai kuasa kerana setiap situasi ada pemilik dan ada pencipta yang menguasai segalanya. Walaupun kita mempunyai jawatan dan kuasa yang besar tetapi tidak boleh melawan kekuasaan Allah S.W.T.
Sebelum itu, cuba layan seketika lagu Ada dan cuba fahami liriknya dengan teliti:
Kehadiran muzik moden menjadikan muzik Nusantara semakin dilupai
Kini, muzik Nusantara semakin hari semakin dilupai oleh masyarakat di negara kita kerana hadirnya muzik moden dalam industri muzik Malaysia. Muzik moden ini tidak memberikan impak kepada pendengar dalam memartabatkan Bahasa Melayu kerana kebanyakkan liriknya dicampur dengan Bahasa Inggeris.
“Betul, dah tak ada lagi orang-orang macam Fredo dan David yang menyanyi dan mempopularkan lagu Melayu. Sayang sekali rasanya sebab kerencaman itu tiada lagi.” – M. Nasir, dipetik dari Berita Harian.
Kita juga mendapati stesen radio juga mengasingkan genre lagu mengikut usia. Contohnya, di Malaysia ada stesen radio yang memainkan lagu sesuai untuk golongan muda dan ada stesen radio yang memainkan lagu sesuai untuk golongan tua. Hal ini menyebabkan golongan muda tidak mahu mendengar muzik Nusantara kerana bagi mereka muzik ini sangat lapuk. Jadi, Adakah muzik Nusantara wajar dimartabatkan semula?
- 12.8KShare sekarang!
- Email371
- Facebook12.4K
- Share