- 1.3KShare sekarang!
- Email17
- Facebook1.2K
- Share
UPDATE 20/8/2021: Pemilihan Perdana Menteri ke-9 agak sengit, dengan Ismail Sabri yang mendahului Anwar Ibrahim dengan 114 undian dan dikatakan mempunyai majoriti. Masih tiada pengesahan dari istana setakat artikel ini dikemaskini.
________________________________________________________________________
UPDATE 13/10/2020: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim nampaknya telahpun menghadap YDP Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah di Istana Negara. Anwar kata beliau dah mempersembahkan dokumen sahih membuktikan sokongan lebih 120 Ahli Parlimen (MP) kepadanya. Bagaimanapun, kenyataan Istana Negara memaklumkan yang Anwar tak mengemukakan sebarang senarai nama MP yang menyokongnya.
__________________
*Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 26 Jun 2020.
Kalau korang perasan, nampaknya sekarang ni wujud konflik di kalangan parti komponen Pakatan Harapan (PH), khususnya tentang calon Perdana Menteri. Sebabnya, PKR dah pun buat keputusan muktamad mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai PM, sedangkan DAP dan AMANAH masih memilih Dr Mahathir.
Sebenarnya, keputusan DAP dan AMANAH ni agak mengejutkan jugalah sebab sebelum ni diorang yang beriya sangat nak ada peralihan kuasa daripada Dr Mahathir ke Anwar. Kita juga rasa pelik dengan kepimpinan AMANAH macam Mohamad Sabu (Mat Sabu) yang terkenal sebagai orang yang berjuang lama dengan Anwar.
Tapi sebenarnya, hubungan antara Mat Sabu dan Anwar ni ada je pasang surutnya, dan sebab itulah pentingnya catatan sejarah untuk kita semua tahu. Ini kerana…
Mat Sabu keluar ABIM, sebab tak puas hati dengan tindakan Anwar
Rasanya, korang mesti pernah baca tentang latar belakang Mat Sabu, lebih-lebih lagi masa dia dilantik jadi Menteri Pertahanan dulu. Mungkin apa yang kitorang ceritakan ni hanya mengulang sedikit apa yang korang pernah dengar atau baca. Karier politik Mat Sabu sebenarnya bermula selepas dia menyertai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada tahun 1975.
Seperti yang kita semua tahu, ramai tokoh hebat yang menyertai pertubuhan ni antaranya seperti Prof Dr Razali Nawawi, Dr Siddiq Fadzil, Sanusi Junid, Hadi Awang, Ustaz Fadzil Noor dan termasuklah Anwar yang kemudiannya menjadi Presiden ABIM dari tahun 1974 sampai 1982. Jadinya, boleh dikatakan yang Mat Sabu masuk ABIM ketika Anwar mengetuai pertubuhan tu.
Bagaimanapun, keadaan mula berubah pada tahun 1982, apabila Anwar buat keputusan untuk masuk UMNO. Tindakan Anwar tu dah membuatkan ramai anggota ABIM rasa tak puas hati dan ‘makan hati’. Orang tu termasuklah Mat Sabu yang rasa kecewa dan akhirnya buat keputusan meninggalkan ABIM sebagai tanda protes terhadap tindakan Anwar.
“Hinggakan, beliau (Mat Sabu) sanggup memanggil Anwar yang merupakan Timbalan Perdana Menteri pada masa itu dengan gelaran ‘Anwar Al-Juburi’ dalam satu sidang Dewan Rakyat, ketika isu skandal liwat tersebut memuncak.” – Dipetik dari Malaysiakini.
Dikatakan yang Mat Sabu cukup hebat menyerang Anwar ketika tu, sehinggakan muncul perkataan ‘tak sedap’ dalam sesi ceramah-ceramahnya. Pimpinan PAS kemudiannya menasihati Mat Sabu supaya berhenti dari buat panggilan tu dan barulah Mat Sabu berhenti menyebutnya.
Malah, pada PRU-1986 Mat Sabu sendiri dah mencabar Anwar di Parlimen Permatang Pauh, namun kalah dengan majoriti lebih 10 ribu. Tapi tu menghentikan Mat Sabu daripada terus mengkritik Anwar, sehingga dia pernah mengatakan…
“Anwar lebih ganas daripada Mahathir”
Sebenarnya, kenyataan ni keluar dalam satu wawancara antara majalah Tamadun dengan Mat Sabu pada Julai 1998. Boleh dikatakan yang wawancara ni berlaku dua bulan sebelum Anwar dipecat pada 2 September 1998. Dari apa yang disiarkan dalam majalah tu, Mat Sabu ada kata yang gejala nepotisme cukup berleluasa dalam pemerintahan negara dan jika nak dibandingkan antara Anwar dan Dr Mahathir – Anwar nampaknya lebih ganas.
Menerangkan perkara tu, Mat Sabu kata:
“Ya, ini kerana Anwar masih lagi berjawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang belum berkuasa penuh, tapi suku sakatnya telah mencipta kekayaan lebih hebat.” – Mohamad Sabu, Majalah Tamadun (Julai 1998).
Ditanya pula tentang imej Anwar yang dikatakan bersih ketika tu, Mat Sabu kata yang dia tak rasa macam tu sebab – imej umum dikuasai oleh media yang dia dakwa dikuasai oleh orang nombor dua negara (Anwar). Tambahnya, media dikuasai tu sangat jelas kelihatan apabila ada TV yang menyiarkan berita tentang PM di tempat keempat, sedangkan berita TPM pula yang diutamakan. Malah, Mat Sabu juga kata yang…
Dia bimbang kalau Anwar jadi PM
Bila ditanya tentang berlakunya peralihan kuasa kepada Anwar daripada Dr Mahathir masa tu (1998), Mat Sabu kata – dia lebih suka kalau Dr Mahathir yang mengepalai PRU-1999 dan bukannya Anwar. Sebabnya, dia sifatkan Anwar sebagai seorang yang cukup pandai dan licik menggunakan agama untuk mengambil sentimen Melayu berbanding Dr Mahathir.
“Minggu pertama dia menjadi PM misalnya, Anwar berkhutbah di Masjid Negara akan disiarkan di seluruh negara.
___
Lelaki pergi ke masjid sembahyang Jumaat dan wanitanya yang berada di rumah akan melihat bagaimana selepas merdeka, inilah Perdana Menteri yang pertama membaca khutbah tanpa teks pada minggu pertamanya menjadi PM.” – Mohamad Sabu, Majalah Tamadun (Julai 1998).
Dalam masa sama, Mat Sabu turut kata yang Anwar lebih bijak daripada Dr Mahathir dalam isu berkaitan agama, seperti Hudud. Memberi contoh kenyataan Dr Mahathir yang menolak hukum tu secara total, Anwar sebaliknya lebih lunak dengan mengambil pandangan ulama seperti Yusof al-Qaradawi yang berbicara soal al-awlawiyat (keutamaan).
Akan tetapi, Mat Sabu tetap kata Anwar seorang yang istimewa kerana hubungannya yang baik dengan kawan dan lawan. Malah, dia mengakui Anwar seorang yang cukup bekerja keras dan berdisiplin sejak memimpin ABIM lagi.
Selepas Anwar dipecat, Mat Sabu kembali bekerjasama dengannya
Dalam laporan Malaysiakini pada 2011, Mat Sabu ada kata – walaupun dia dah kembali bekerjasama dengan Anwar selepas peristiwa pemecatannya pada 1998, dia sendiri tak pernah mengadakan pertemuan dengan Presiden PKR itu melainkan di “pentas-pentas ceramah”.
Dalam masa sama, dia juga anggap yang kisah pertelagahannya dengan Anwar hanyalah kisah lama dan perkara sebegitu biasa saja dalam politik. Tapi dengan perkembangan terbaru ni, nampaknya parti pimpinan Mat Sabu sendiri menolak Anwar sebagai calon Perdana Menteri, berbanding Dr Mahathir.
Mat Sabu dalam kenyataan terbarunya menegaskan bahawa tetap akan ada peralihan kuasa daripada Dr Mahathir kepada Anwar selepas 6 bulan sekiranya PH kembali membentuk kerajaan.
“Kami konsisten menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri Malaysia sejak 1998 dan akan terus berbuat demikian.” – Kenyataan Mohamad Sabu, dipetik dari Facebook-nya.
Bagaimanapun, Dr Mahathir pula kata yang dia tak akan bekerjasama dengan Anwar lagi, sebab Presiden PKR tu tak nak bekerja dengannya. Sebaliknya, Dr Mahathir memutuskan hanya berkerjasama dengan AMANAH dan DAP. Jadi, adakah korang rasa kita akan ada pembangkang yang kuat selepas ni atau perkembangan ni bermakna PH telah menemui jalan penamatnya?
- 1.3KShare sekarang!
- Email17
- Facebook1.2K
- Share