Tiada ibu tiada syurga? Ini dua fahaman sesat pasal syurga di era Empayar Islam

Sekalipun bulan Syawal kali ini tidak meriah seperti sebelum ni. Namun, rancangan-rancangan di TV tetap rancak dengan slot-slot berkaitan raya bagi mengubati kemeriahan yang hilang. Untuk kanak-kanak, siri-siri kartun tetap muncul dengan tema raya. Salah satunya adalah kartun Upin Ipin yang mengeluarkan Kompilasi Episod Raya Upin & Ipin.

Namun, seperti yang ramai tahu, salah satu babak dalam Syahdu Syawal telah menimbulkan kontroversi hingga dikecam orang Indonesia. Ini kerana dalam babak itu, watak Fizi mengatakan bahawa tiada syurga buat Upin & Ipin yang merupakan anak yatim piatu.

“Kalau tak ada ibu, tak adalah syurga.” – Fizi

Terkejut kembar ni…

Fizi cakap begitu selepas mendengar watak Mail yang mengatakan syurga seseorang anak itu berada di bawah telapak kaki ibu. Selepas kontroversi ini berlaku, pihak Les Copaque telah pun memohon maaf atas kertelanjuran tersebut.

Les’ Copaque menerusi Instagram rasmi Upin Ipin juga menjelaskan bahawa Fizi “sebenarnya lurus orangnya sehingga tidak tahu apa yang dikatakan kadang-kadang menyinggung perasaan orang lain“. – Petikan dari Berita Mediacorp

Untuk kita semua umat Islam wajiblah beriman mengenai kewujudan syurga dan neraka yang kekal abadi. Semua manusia akan ditempat ke dalam tempat tersebut. Tapi, korang tahu tak, pernah wujud fahaman berlainan mengenai hal syurga dalam empayar Islam dahulu?

Tidak masuk syurga pelaku dosa besar walaupun beriman menurut fahaman Muktazilah

Keluasan empayar Abbasiyah. Imej dari Slide Share

Dalam sejarah empayar Abbasiyah, fahaman Muktazilah telah berkembang pesat dalam kalangan golongan intelek pada pemerintahan Khalifah al-Ma’mun (198-218 Hijrah). Di samping itu, beliau sendiri tertarik dengan fahaman ini kerana memberi kebebasan penuh pada akal. Fahaman ini makin kuat diterima selepas Khalifah al-Ma’mun sendiri menjadikannya sebagai akidah rasmi negara.

Khalifah al-Ma’mun juga telah melantik orang-orang fahaman Muktazilah sebagai orang-orang yang dekat dengan khalifah. Ini menyebabkan fahaman Muktazilah mempunyai peluang untuk berkembang di dalam istana Baghdad dan memaksa manusia untuk menerima fahaman itu dengan dukungan dari negara.

Salah seorang tokoh ilmuwan Islam besar yang dipenjara kerana menolak fahaman Muktazilah ketika itu adalah Imam Ahmad Bin Hanbal. Beliau telah menolak fahaman bahawa Al-Quran adalah makhluk yang menyebabkan Khalifah al-Makmun memerintahkan agar beliau ditangkap, dipenjara dan dikenakan hukuman sebat. Beliau juga dilarang daripada mengajar.

Kahlifah al-Ma’mun menerima kunjungan duta empayar Byzantine. Imej dari Wikipedia

Sebenarnya, fahaman ini bukanlah wujud sewaktu Khalifah al-Makmun, ia muncul lama sebelum itu. Semuanya bermula apabila al-Hasan al-Basri sedang mengajar serta ditanya mengenai kedudukan pelaku dosa besar. Sama ia jatuh kufur atau tidak? Dalam al-Hasan al-Basri sedang memikirkan jawapan, tiba-tiba seorang anak muridnya, Wasil bin ‘Ata’ menjawab bahawa pelaku dosa besar itu tak mukmin dan tak kufur.

Lalu Wasil mengasingkan dirinya dan pergi duduk di salah satu tiang pada masjid tersebut kerana mempertahankan pendiriannya. Turut bersama dengannya adalah ‘Amru Bin ‘Ubayd. Pengasingan diri ini menyebabkan munculnya isitlah Muktazilah.

Bagi fahaman Muktazilah, pelaku dosa besar digelar fasiq tak masuk syurga dan akan kekal di dalam neraka walaupun beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Manakala azab yang dikenakan ke atas pelaku dosa besar di akhirat lebih ringan berbanding seksaan terhadap orang-orang kafir.

Syurga dan neraka akan musnah menurut fahaman al-Jahmiyyah

Imej dari Abu Faith

Pada akhir era empayar Bai Umayyah, aliran al-Jabariyyah dah muncul. Aliran ni secara ringkasnya berpendapat bahawa Allah adalah pencipta makhluk-Nya termasuk manusia dan perbuatannya. Ini bermakna manusia tak mempunyai kehendak dan kebebasan dalam melakukan perbuatannya secara sengaja atau tidak.

Atau, maksud lebih ringkas ialah manusia dikatakan dipaksa oleh Allah dalam setiap perbuatan. Dari fahaman al-Jabariyyah maka muncul pula fahaman al-Jahmiyyah. Fahaman ini diasaskan oleh Jahm Bin Safwan Al-Rasi dan para pengkikutnya di Tirmidh sebuah kota yang terkenal. Beliau juga dikenali sebagai salah seorang yang menyertai gerakan revolusi menentang Bani Umayyah.

Revolusi tu bertujuan menyeru pemerintah Bani Umayyah agar kembali dan mengamalkan ajaran Quran dan Hadith. Sepanjang penentangan yang berlaku, Jahm Bi Safwan dah pengikutnya telah dibunuh di Nahawand di akhir era Bani Umayyah. Walaupun begitu, fahaman ni masih disebarkan pada zaman Bani Abbasiyah oleh Bisyr Bin Ghiyath al-Marisi dan generasinya. Ini berlaku selepas zaman penterjemahan karya-karya Greek pada abad ke-2 Hijrah (200 Hijrah).

Ada siri TV mengenai Imam Ahmad Bin Hanbal. Imej dari Alchemiya

Namun, fahaman ini ditentang oleh ilmuwan terkenal ketika itu termasuk Imam Ahmad Bin Hanbal, Ibnu Qutaibah, al-Asy’ari, Ibnu Khuzaimah dan lain-lain. Akhirnya, fahaman ini hanya mampu bertahan hingga abad ke-5 Hijrah (500 Hijrah) di sekitar Tirmidh.

Kalau nak tahu, salah satu dasar fahaman al-Jahmiyyah adalah mempercayai bahawa syurga dan neraka akan musnah dan lenyap.

Mengimani bahawa syurga tempat bagi orang beriman dan ia kekal abadi

Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan serta syurga; mereka beroleh di dalam syurga itu nikmat kesenangan yang kekal. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisi-Nya pahala yang besar.” (Surah al-Taubah, ayat 20 hingga 22)

Dalam apa jua keadaan, kita wajiblah beriman bahawa syurga disediakan untuk mereka yang beriman dan beramal soleh. Setiap hamba Allah yang beriman itu mempunyai peluang yang terbuka luas ini. Perlu diketahui juga bahawa manusia yang sentiasa berubah menjadi orang yang semakin baik dan berhijrah di jalan Allah SWT adalah antara ciri bagi penghuni syurga.

Dalam hal kontrversi Fizi dalam Upin & Ipini ni, bagi sesetengah pihak, seperti industri animasi berkaitan kanak-kanak, perlulah dielakkan menimbulkan kekeliruan berkaitan hal ghaib sejak di bangku sekolah lagi.

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT