- 74Share sekarang!
- Email4
- Facebook70
- Share
Bulan ramadhan dah pun menjelma. Pastinya, ia menjadi peluang besar umat Islam untuk kembali fokus kepada aktiviti kerohanian. Kita pun tahu, ia bukan sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga, falsafah ramadhan itu lebih luas dari yang kita sangka.
Dalam kita tekun menghadapi ramadhan, mungkin kadang kala kita leka seketika. Sebab dah tiap-tiap tahun berpuasa kan. Macam mana kalau kita baca pengalaman orang bukan Islam yang cuba berpuasa? Rasa semangat tak?
Jadi, kat sini nak kongsi sikit pengalaman-pengalaman orang bukan Islam yang cuba berpuasa. Apa yang mereka dapat bukan sekadar lapar dan dahaga. Malah, lebih daripada itu yang menyebabkan kita rasa lebih bersyukur.
1) Victoria Marie Goulding – Penyakit tulang belakang menjadi lebih lega sepanjang berpuasa
Victoria Marie Goulding ni waktu 2018, dia dah 4 tahun berpuasa walaupun bukan Islam. Katanya, dia memang seorang yang ringkas dan buat semua ni kerana sifat ingin tahu serta belajar benda baru. Setiap tahun dia berpuasa, bukan sahaja mengajarnya pasal agama Islam, malah mengenai dirinya dan orang lain. Selain tu, tunang dan rakan-rakannya juga adalah orang Islam.
Ada banyak perkara yang dia belajar semasa berpuasa. Antaranya, dia mengatakan bahawa mindanya jadi lebih kuat berbanding biasa.
“Setiap kali perut saya sakit dan rasa dahaga, saya mengatakan pada diri sendiri bahawa pada akhirnya saya akan dapat makan, jadi kesakitan saya hanya sementara berbanding mereka yang kurang bernasib baik daripada saya.
Memikirkan orang lain dalam fikiran saya menjadikan saya jauh lebih bermotivasi daripada saya semata-mata berbuat sesuatu untuk kepentingan saya sendiri.” – tulisnya, petikan dari Medium
Selain tu juga, dia merasakan boleh buat kerja dengan lebih fokus dan produktif, boleh mengawal emosi dengan cara yang sihat, layanan orang beragama Islam yang sangat baik menjadikan ia menghormati dengan lebih mendalam agama orang lain. Apa yang menariknya, dia turut mengatakan ada merasa kelegaan terhadap sakit belakang kroniknya sepanjang berpuasa.
“Pada penghujung 4 minggu, saya dengan senang hati dapat mengatakan bahawa saya bebas dari rasa sakit. Sudah tentu, saya harus melihat bagaimana keadaan saya sekarang apabila kembali makan secara normal, tetapi dari apa yang saya pelajari mengenai puasa tahun ini, nampaknya tempoh puasa yang teratur sangat bermanfaat untuk melindungi tubuh dari kesakitan kronik atau penyakit serius pada masa akan datang.
Ini bukan untuk mengatakan bahawa puasa adalah jawapan yang tepat untuk semua orang, tetapi saya fikir ia adalah pilihan yang berbaloi dan mudah yang patut diterokai dengan lebih mendalam.” – katanya, petikan dari Medium
2) Kseniya Sovenko – Pengalaman berbuka puasa di masjid yang mengasyikkan
Kseniya Sovenko ni adalah seorang wartawan berkelahiran Ukraine serta seorang graduan Universiti Washington. Sepanjang tinggal di Amerika, dia mempunyai seorang kawan rapat bernama Dana yang juga seorang muslim.
Sepanjang dia bekerja sebagai wartawan, banyak berita negatif mengenai Islam dipaparkan. Ia sedikit sebanyak dah menguji kekuatan dalaman dirinya. Kewujudan Dana dalam kehidupannya juga telah menyebabkan rasa ingin tahu terhadap agama Islam wujud.
“Saya bukan beragama Islam; Saya bukan Kristian; Saya bukan Yahudi; Saya bukan apa-apa – rasa ingin tahu adalah agama saya.” – Kseniya Sovenko, petikan dari Seattle Globalist
Sepanjang merasai pengalaman berpuasa, dia telah berpeluang merasai sendiri apa nilai yang umat Islam rasai. Apa yang menjadi lebih menarik, dia berpeluang merasai pengalaman berbuka puasa di masjid.
“Memakai gaun berwarna hitam dan panjang serta hijab berwarna merah jambu, Dana menyambut saya dengan pelukan hangat dan senyuman menawan. Baginya, hijab adalah kesopanan dalam semua aspek perkataan. Bagi saya pula, ia adalah kecantikan dalam semua aspek perkataan.” – Kseniya Sovenko, petikan dari Seattle Globalist
Dia pula dipakaikan dengan hijab berwarna biru laut tapi dilonggarkan sedikit oleh Dana. Sepanjang berbuka di sana, dia dapat merasakan betapa nikmatnya memulakan buka puasa dengan sebiji kurma. Dia juga tidak berasa terasing kerana tiada orang muslim di sana yang memandang serong.
“Ketika para lelaki dan wanita berdoa dan berlutut ke tanah, warna tudung dan kemeja terang bergerak masuk dan keluar dari barisan badan seperti koreografi berstruktur. Keharmonisan gerakan mereka mengingatkan saya akan gelombang di lautan, dengan hanya beberapa kepala yang keluar secara serentak untuk membuat air berombak.
Suara, masing-masing berdiam sendiri, bergema dengan sinergi sempurna ketika mereka mengikuti pergerakan imam.” – Kseniya Sovenko, petikan dari Seattle Globalist
3) Elaine – Teruja tengok orang Islam bekerja bersungguh walaupun lapar dan dahaga
Kalau dua cerita di atas ni datang dari dua negara yang jauh, kali ni yang berkongsi pengalaman adalah rakyat Singapura yang sebelah je dengan negara kita. Namanya Elaine, merupakan antara pengasas bersama laman sesawang Have Halal Will Travel. Dia pula satu-satunya orang bukan Islam dalam syarikat tersebut. Maka, dia banyak belajar mengenai Islam dari rakan sekerja terutamanya Suzana.
Dia ni dapat dua pengalaman, iaitu pengalaman memerhati orang muslim berpuasa waktu kerja dan pengalaman sendiri berpuasa. Menurutnya, sewaktu bulan puasa, dia dapat merasakan kesedaran komuniti yang cukup kuat. Contohnya, sifat keterbukaan orang Muslim yang ajak makan sekali sewaktu berbuka.
“Lebih menyentuh hati apabila melihat rakan-rakan saya bekerja bersungguh-sungguh pada bulan Ramadhan walaupun saya tahu betapa lapar dan penatnya mereka!” – Elaine, petikan dari Have Halal Will Travel
Melalui pengalaman, dia dapat rasakan bahawa puasa bukanlah sekadar menahan lapar dan dahaga. Bulan ramadhan telah mengingatkannya mengenai hubungan seseorang dengan makanan, lebih menjaga adab pada percakapan dan perbuatan serta menjauhi perkara tidak baik.
“Puasa benar-benar menguji kehendak, kesabaran dan produktiviti anda. Saya rasa sangat kagum apabila ramai umat Islam melakukan lebih banyak perkara daripada yang biasa mereka lakukan seperti solat tambahan pada waktu malam, walaupun anda akan berfikir bahawa mereka kurang bertenaga kerana tak makan!”- Elaine, petikan dari Have Halal Will Travel
Selagi berpeluang berpuasa, lakukanlah sebaik-baiknya
Selepas membaca pengalaman-pengalaman berpuasa yang dikongsikan, tak sangka orang yang jarang berpuasa boleh belajar benda sama macam kita yang dah lama berpuasa. Mereka juga nampak, orang Islam ni bukan sekdar menahan lapar dan dahaga. Malah, menjaga adab dari segenap sudut serta bertambah aktiviti kerohanian.
Pada zaman moden ini, puasa kita juga diuji dengan teknologi yang pelbagai termasuk media sosial. Mungkin kita tak perasan yang sepanjang puasa, kita gunakan media sosial untuk sebarkan fitnah dan kebencian. Jika itu masih dilakukan, maka orang bukan Islam yang berpuasa lebih fahma makna puasa berbanding kita. Renung-renungkanlah!
- 74Share sekarang!
- Email4
- Facebook70
- Share