- 589Share sekarang!
- Email5
- Facebook584
- Share
Rasanya, semua di antara kita ada ternampak ataupun terlibat sama dengan pembelian panik baru-baru ni. Semuanya jadi sebab ada khabar angin yang kata kerajaan akan buat perintah berkurung atau lockdown. Bagaimanapun, semuanya terjawab malam tadi apabila Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bermula pada 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020.
Antara yang ditetapkan dalam perintah tu, termasuklah penutupan semua rumah ibadat dan premis perniagaan, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka. Malah, semua premis kerajaan dan swasta juga diarahkan tutup kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (klik sini untuk senarai).
Disebabkan arahan-arahan ni, muncul juga persoalan tentang – boleh ke kita lepak mamak, beli burger atau datang majlis perkahwinan nanti? Sebelum menjawab persoalan tu, lebih baik kita tahu dulu beza antara Perintah Kawalan Pergerakan, Perintah Berkurung dan Darurat.
1. Perintah Kawalan Pergerakan – Taklah setegas Perintah Berkurung dan Darurat
Sebenarnya, untuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ni – ia taklah setegas Perintah Berkurung dan Darurat. Menurut pakar undang-undang, Prof Madya Dr Hazmi Rusli, apa yang dilaksanakan oleh Malaysia ni lebih kepada langkah untuk mengurangkan pergerakan dan pertemuan masyarakat bagi membendung penularan Covid-19. Maknanya, masyarakat masih boleh keluar dan perkhidmatan penting masih berjalan seperti biasa.
“Cuma yang tak boleh adalah masyarakat berkumpul.” – Dr Hazmi, katanya kepada SOSCILI.
Seperti mana yang diumumkan oleh PM kita, antara akta yang terlibat dalam menguatkuasakan perintah ni adalah Akta Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. Menurut peguam Haniff Khatri Abdulla, sesiapa yang melanggar perintah ni, dia boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 24, Akta Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
- Mana-mana orang yang melakukan kesalahan pertama di bawah akta ini, dia boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau didenda atau kedua-duanya.
- Untuk kesalahan kedua, boleh dipenjara tidak melebihi lima (5) tahun atau denda atau kedua-duanya.
- Dan bagi kesalahan berterusan, didenda tidak melebihi RM200 bagi tiap-tiap hari kesalahan berterusan.
Berkenaan dengan kompaun kesalahan pula, Seksyen 25, Akta Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 menyatakan:
“Ketua Pengarah atau mana-mana pegawai awam yang diberikuasa olehnya bagi maksud ini secara bertulis boleh mengkompaun apa-apa kesalahan di bawah Akta… dengan mendapatkan daripada pesalah itu sejumlah wang yang tidak melebihi seribu ringgit (RM1,000).”
Sementara itu, Akta Polis 1967 pula merujuk kepada bidang kuasa dan tindakan yang diberi kepada pihak berkuasa keselamatan. Jadi persolannya sekarang, boleh ke kita beli burger, lepak mamak dan datang majlis perkahwinan?
Berdasarkan kenyataan Majlis Keselamatan Negara (MKN), kedai makanan seperti restoran dan penjaja masih boleh dibuka, tapi hanya untuk makanan yang dibawa pulang atau yang menggunakan perkhidmatan penghantaran je macam Grab Food atau Food Panda.
Untuk majlis perkahwinan pula, hanya pernikahan yang dibenarkan dan ia mesti tak melibatkan kehadiran orang ramai. Manakala untuk majlis perkahwinan (wedding) menurut Haniff – ia dilarang kerana melibatkan ramai orang. Kalau buat juga, penganjur dan pengunjung kedua-duanya boleh didakwa di bawah Akta Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 seperti dinyatakan tadi.
“Dua-dua pihak boleh didakwa (penganjur dan pengunjung) kerana telah ada perintah larangan, tapi anda tetap buat juga. Walaupun anda dijemput (ke majlis itu), jemputan anda dibatalkan oleh perintah kerajaan.” – Haniff Khatri, katanya kepada SOSCILI.
2. Perintah berkurung – Korang keluar nak beli burger pun boleh kena tangkap
Sebenarnya, sebelum ni ada ramai pihak yang mendesak kerajaan supaya melaksanakan Perintah Berkurung atau Lock Down. Sampaikan, #MalaysiaLockdown jadi trending di media sosial dan ada juga infografik yang dikongsikan. Tapi Kementerian Kesihatan lepas tu dengan pantas dakwa perkara tu sebagai palsu dan pihak polis sekarang dalam usaha menjejaki siapa yang kongsi infografik tu.
Sebenarnya, Presiden Majlis Peguam Malaysia, Salim Bashir sebelum ni ada menggesa kerajaan supaya menggunakan Akta Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (PCIDA) untuk melaksanakan Lock Down di seluruh negara.
“Menurut seksyen 11 PCIDA, kerajaan boleh mengisytiharkan bahawa kawasan tertentu dijangkiti, dan di bawah seksyen 31 (t) PCIDA, kerajaan memiliki budi bicara yang luas untuk membuat peraturan-peraturan untuk pencegahan atau pengurangan penyakit berjangkit.” – Katanya dipetik dari The Star.
Tapi korang tahu tak apa akan jadi kalau ada Lock down? Berdasarkan Merriam-Webster, Lock down ni boleh bermaksud dua perkara:
- pengasingan banduan ke sel mereka atau sebahagian besar hari sebagai langkah keselamatan sementara, atau
- langkah kecemasan atau keadaan di mana orang dicegah sementara untuk memasuki atau meninggalkan kawasan atau bangunan yang terhad (seperti sekolah) semasa ancaman bahaya
Jadinya di sini, kalau korang masuk atau keluar dari kawasan terhad (sebab nak beli burger), korang sebenarnya berisiko ditahan atau didenda, bergantung kepada undang-undang apa yang digunakan oleh sesebuah negara tu.
Kalau kita lihat balik pada 9 Julai 2011, kerajaan masa tu ada umumkan yang KL di bawah lock down untuk menghalang perhimpunan Bersih 2.0 daripada berlaku. Kesannya, hampir 1,667 orang dilaporkan ditahan. Antara yang ditahan tu termasuklah pemimpin Bersih 2.0 dan ahli politik di bawah Seksyen 27, Akta Polis (sekarang dah tak ada). Seksyen ini membolehkan pegawai polis mengawal perhimpunan.
Sehingga ketika artikel ni ditulis, terdapat beberapa negara yang dah melaksanakan Lock Down ni, seperti China, Perancis dan Itali. Keadaan di Itali cukup teruk sekarang sebab negara tu jadi negara kedua yang mencatatkan kematian tertinggi akibat Covid-19.
Perintah berkurung di sana bermula pada jam awal 6 petang dan tu membuatkan semua kedai hanya boleh dibuka sampai jam 6 petang je. Kedai yang boleh dibuka tu pulak cuma kedai runcit dan farmasi je.
Rakyat Itali juga kena duduk rumah dan hanya boleh keluar kalau diorang betul-betul perlukannya. Selain tu, diorang juga kena bawa borang ‘auto certification’ untuk keluar rumah dan nyatakan sebab kenapa keluar rumah. Kalau sebab tu tak munasabah (macam nak jogging atau date), diorang berisiko didenda 206 Euros (RM999) atau dipenjara 3 bulan.
Malah, diorang juga tak boleh tinggalkan negara kecuali untuk kerja atau hal berkaitan keluarga. Tapi, walaupun dengan sebab itu, diorang masih tak boleh keluar kalau pihak polis tak benarkan.
Jadi, korang rasa seronok ke dengan Lock Down ni?
3. Darurat – Jangankan beli burger, rumah kita pun kerajaan boleh guna untuk keselamatan
Dalam banyak-banyak perkataan, darurat adalah perkataan yang mudah orang sebut tapi pelaksanaannya sangat berat. Boleh jadi ia adalah perkara terakhir sekali dalam membuat keputusan jika berdepan sesuatu situasi.
Berdasarkan Kamus Dewan, darurat bermaksud keadaan yang mencemaskan atau menyusahkan (biasanya berlaku secara tiba-tiba atau dengan tidak disangka-sangka). Dari segi undang-undang, ada satu peruntukan di dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut mengenai Proklamasi darurat.
Secara ringkasnya, ia menyatakan mengenai kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk isytihar darurat jika baginda berpuas hati bahawa darurat besar sedang berlaku menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam. Walaupun banyak peruntukan kena dapatkan nasihat Perdana Menteri, tapi tidak untuk isytihar darurat. Contoh darurat terkenal ini adalah sewaktu ancaman Komunis 1948-1960 dan Rusuhan 13 Mei 1969.
Pada tahun 2016, Akta Majlis Keselamatan (MKN) diwartakan setelah dipersetujui oleh majoriti ahli parlimen. Akta MKN ni memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk isytihar darurat bagi satu kawasan atau kawasan-kawasan tertentu je. Ia kerana mengambil iktibar isu pencerobohan yang berlaku di Lahad Datu.
Untuk memudahkan penerangan, kita bayangkan Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin isytiharkan darurat bencana atas syor Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) di bawah Akta MKN kat sesuatu kawasan, maka ini contoh yang akan terjadi menurut Salkukhairi Abd Sukor, pengerusi Gabungan Peguam Hartanah Rakyat (GEMPHAR):
- Kerajaan (sila baca Perdana Menteri) boleh membuat atau mengeluarkan, atau menggubal sebarang perintah atau undang-undang yang dipanggil sebagai undang-undang darurat di kawasan yang disytiharkan darurat tersebut, tanpa perlu di bawa ke Parlimen untuk diluluskan.
- Secara automatiknya undang-undang biasa yang terpakai dalam keadaan aman tidak lagi terpakai dalam situasi darurat tersebut sehinggalah pengisytiharan darurat tersebut ditarik balik oleh kerajaan.
- Contohnya, pengambilan tanah dan tempat-tempat persendirian seperti rumah atau bangunan persendirian untuk dijadikan pusat pemindahan atau bilik gerakan tanpa kerajaan perlu membayar apa-apa saguhati atau pampasan kepada pemilik tanah atau bangunan tersebut.
- Setiap arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa terutamanya oleh MKN, termasuk arahan untuk berpindah dan juga arahan untuk menggunakan aset yang lain wajib dipatuhi.
- Kerajaan Persekutuan boleh mengarahkan dan memberi kuasa penuh kepada semua agensi di bawahnya termasuklah tentera, bomba dan penyelamat, polis dan lain-lain untuk melakukan apa sahaja yang dirasakan perlu termasuklah mengambil alih kawasan yang diisytiharkan darurat tersebut dan sebagainya.
Nampak, sangat genting situasinya kan. Kerajaan boleh buat apa-apa je mengikut perkiraan mereka jika ia perlu dilakukan. Jika berlaku perkara macam ni, jangan haraplah kita boleh pergi beli burger kat luar ke atau pergi majlis perkahwinan. Memang sangat mencemaskan.
Tidak perlu panik, korang adalah hero bila duduk di rumah
Bila difikirkan balik, ini mungkin masa terbaik untuk korang manfaatkan masa di rumah. Di negara lain, kita boleh tengok macam mana rakyat Itali yang dikenakan perintah berkurung hiburkan diri menyanyi di balkoni masing-masing. Sebab terlalu bosan.
Kita Malaysia beruntung, pergerakan masih tidak terlalu terhad tetapi adalah lebih baik habiskan masa di rumah. Buatlah apa pun yang bermanfaat – baca buku, luangkan masa dengan anak-anak kecil, buat benda DIY dan layan movie yang menambah ilmu. Dalam keadaan sekarang, kalau korang duduk rumah, korang adalah hero kerana menyelamatkan nyawa orang lain.
*Artikel ini ditulis secara bersama dengan rakan kami di CILISOS
- 589Share sekarang!
- Email5
- Facebook584
- Share