- 273Share sekarang!
- Email8
- Facebook265
- Share
Baru-baru ni, The Star ada keluarkan satu artikel panjang pasal Ahli-Ahli Parlimen (MP). Dalam artikel tu, dah dinyatakan banyak maklumat dan data tentang apa yang YB-YB kita buat masa Sidang Dewan Rakyat terakhir 2019 yang berlangsung dari 7 Oktober 2019 sampai 5 Disember 2019 lalu.
Rupa-rupanya, selama 36 hari persidangan tu, YB-YB kita dah bercakap lebih kurang 2.3 juta patah perkataan! Dari jumlah tu, 406 soalan dah ditanya terus kepada Perdana Menteri dan menteri-menteri yang berkaitan. Isu-isu yang ditanya pula berkaitan dengan macam-macam perkara terumatanya seperti – isu Sarawak, pembangunan luar bandar, isu Sabah dan masalah yang dihadapi golongan B40.
Maknanya di sini, aktif jugalah MP-MP kita ni di Parlimen kan? Tapi, korang jangan buat kesimpulan dulu, sebab ada banyak lagi penjelasan yang kita kena tahu. Dan ini adalah senarai 4 orang MP yang paling banyak bercakap. Kita mulakan dulu dengan…
1. Shahidan Kassim (Arau) – bercakap sebanyak 2,753 kali!
Kepada orang Perlis, nama Shahidan Kassim ni tak payah nak diperkenalkan lagi, sebab dia pernah jadi Menteri Besar negeri tu selama 13 tahun dari 1995 sampai 2008. Dia dah jadi Ahli Parlimen Arau sejak tahun 1986 (tapi tak masa jadi MB) sampailah sekarang. Boleh dikatakan, yang Shahidan ni antara ahli politik veteran di Malaysia.
Menurut laporan The Star, Shahidan jadi MP paling banyak bercakap sepanjang sidang Parlimen lepas (7 Okt – 5 Dis) iaitu sebanyak 2,753 kali! Walaupun macam tu, Shahidan tak la tanya banyak sangat soalan sebab dia cuma tanya 4 soalan je di sidang tu.
Jumlah tu berbeza dengan MP Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang cuma bercakap sebanyak 215 kali, tapi jadi MP yang paling banyak tanya soalan iaitu 9 soalan. Antara soalan-soalan yang dikemukakan Shahidan dalam Dewan Rakyat adalah (diringkaskan):
- Isu strategi kerajaan untuk mempromosikan sektor pelancongan Perlis.
- Apakah pihak kementerian akan memberi bantuan membaik pulih penyelenggaraan kawasan pelancongan ini?
- Apa yang kerajaan buat untuk perbaiki Tahun Melawat Malaysia 2020?
Jadinya di sini, apa yang membuatkan Shahidan jadi MP paling banyak bercakap bukanlah sebab dia banyak tanya soalan, tapi sebaliknya selalu terlibat dalam debat-debat dan mencelah masa MP lain tengah berucap.
Hal ni sebenarnya betul juga sebab kita memang selalu nampak rakaman sidang Parlimen yang tunjukkan Shahidan ni tengah bertekak dengan MP lain. Dan MP yang kedua paling banyak bercakap pula adalah…
2. RSN Rayer (Jelutong) – bercakap sebanyak 1,321 kali!
Antara MP yang popular di Malaysia, tak lain dan tak bukan adalah MP Jelutong, RSN Rayer. Boleh dikatakan, tiap-tiap hari sidang Parlimen kita boleh nampak dia bercakap (mencelah atau bertekak dengan MP lain). Antara isu terbarunya adalah bila MP Pasir Salak, Tajudin Abdul Rahman cuba mengaitkan simbol Hindu di dahi Rayer dengan abu mayat Chin Peng. Tindakannya tu dah membuatkan Tajudin digantung dari menghadiri Sidang Dewan Rakyat.
Dalam sejarahnya, kerusi Parlimen Jelutong sebelum ni disandang oleh mendiang Karpal Singh yang memenangi kawasan tu sejak tahun 1978 hingga 1999. Karier Rayer dalam politik juga bermula di kawasan ni apabila dia menjadi pengarah kempen Karpal Singh pada tahun 1995.
Tapi sebelum ni, pada PRU-2008 dan 2013, Rayer cuma jadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang untuk kawasan Seri Delima. Cuma pada PRU-2018, Rayer bertanding untuk kawasan Parlimen dan menang kerusi Jelutong dengan majoriti lebih 38 ribu undi.
Dari dapatan The Star, walaupun Rayer bercakap lebih seribu kali di Parlimen – jumlah soalan yang dia tanya pun sama dengan Shahidan iaitu sebanyak 4 soalan. Antara topik yang dipilih pula adalah berkaitan tentang isu Indonesia, bola sepak dan bunuh diri. Berikut adalah antara soalan-soalan yang ditanya (diringkaskan):
- Apa langkah-langkah Kerajaan Malaysia untuk menjamin keselamatan para penyokong dan pemain bola sepak Malaysia ketika berada di Indonesia?
- Bagaimana nak memastikan kejadian yang berlaku baru-baru ini (eksiden penyokong Malaysia diserang penyokong Indonesia) tidak berulang?
- Apa langkah-langkah yang akan diambil oleh kementerian untuk mengurangkan kejadian bunuh diri yang makin meningkat?
Sama juga seperti Shahidan, kebanyakan masanya Rayer bercakap adalah untuk berdebat dengan MP lain atau mencelah ketika MP sedang berucap. Tangga seterusnya jatuh pula kepada…
3. Noh Omar (Tanjong Karang) – bercakap sebanyak 980 kali!
Dalam sejarah politik, Noh Omar adalah antara ahli parlimen yang paling susah nak kalah kat kerusi dipegangnya. Dia telah pun menjadi ahli parlimen Tanjong Karang sejak tahun 1995 lagi. Dan terus memang pada pilihan raya 1999, 2004, 2008, 2013 dan 2018.
Rekodnya tak terhenti di situ sahaja, mengikut rekod Hansard Parlimen, Noh Omar pernah bercakap sebanyak 980 kali di dalam persidangan. Menjadikannya orang ketiga paling banyak bersuara. Tapi, hanya 2 kali sahaja pernah bertanya soalan. Dua soalan yang ditanya adalah:
- Daripada 9 projek PPR yang telah diumumkan untuk diteruskan oleh Kerajaan PH berapa projek yang telah mula dibina?
- Apakah implikasi terhadap penggunaan bubu naga yang mampu menggugat pendapatan nelayan pesisiran pantai?
Ini tak mengejutkan kerana Noh Omar memang aktif dalam perbahasan parlimen. Hinggakan pernah digantung 3 hari dari parlimen kerana menggunakan kata-kata kesat.
Daripada perincian data yang dikeluarkan parlimen, sudah 140 kali perkataan bodoh digunakan dalam perbahasan. Siapa paling banyak guna? Ya, betul, Noh Omar pernah guna 17 kali. Tapi, kena ingat, perkataan ‘bodoh’ yang digunakan ada yang digunakan dengan berhemah tapi banyak kali digunakan untuk kecam ahli parlimen lain.
4. Ahmad Maslan (Pontian) – bercakap sebanyak 839 kali!
Sewaktu menjadi kepimpinan kerajaan BN, nama Ahmad Maslan memang popular. Kenyataan “GST turun harga barang”, “#2Kerja” dan macam-macam lagi pastinya tak boleh dilupakan. Itu belum lagi kisah dia masak nasi goreng GST.
Sekalipun begitu, pencapaiannya dalam pilihan raya sukar digugat. Ini terbukti dengan kemenangannya selama tiga penggal (2008, 2013 dan 2018) di kerusi Pontian. Sewaktu menjadi kerajaan juga, dia mendapat banyak kepercayaan hingga pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan II.
Apa yang menariknya, sewaktu menjadi pembangkang di parlimen, dia juga mendapat pujian ramai termasuk ahli parlimen kerajaan. Pekara ni disebut sendiri oleh Nurul Izzah pada tahun 2018 ketika ramai pembangkang lompat parti.
“Saya menghargai kedudukan dan peranan Ahmad sebagai Ahli Parlimen Pontian. Dia sering berdiri dan terlibat dengan bahas (di dalam Dewan Rakyat).
Saya tidak mahu dia lompat (parti), tidak ke PKR atau ke Bersatu. Tolong kekal di dalam UMNO. Teruskan khidmat anda,”- Nurul Izzah, petikan dari Astro Awani
Berdasarkan data hansard parlimen, Ahmad Maslan adalah ahli parlimen keempat paling banyak bercakap di persidangan. Dicatatkan bahawa dia bercakap sebanyak 839 kali dengan 4 kali pertanyaan. Persoalan-soalan yang ditanya juga adalah pelbagai termasuk pengangguran graduan, harga komoditi, penjualan aset negara dan pembangunan peniaga.
Parlimen biasanya digambarkan sebagai ‘pasar borong’ sebab kecoh sangat
Pada tahun 2018, soalan ni pernah ditanya kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof. Menurutnya, ia kebebasan bersuara untuk media laporkan macam tu. Tapi jika mahu lihat perbahasan, perlu dilihat keseluruhannya.
Selain tu, perbahasan parlimen sejak PRU-14 juga ada kelainannya sendiri. Ini kerana pembangkang terdiri daripada mereka yang berpengalaman menjadi menteri dahulu. Jadi, akan ada soalan-soalan yang matang serta idea yang bernas.
Memang tak dapat dinafikan masih berlaku debat yang terlalu ekstrem dengan penggunaan kata-kata kesat. Sekaligus merendahkan kualiti debat yang ada. Apa pun yang berlaku, fungsi parlimen tetap kekal hingga hari ini iaitu sebagai lambang amalan demokrasi sesebuah negara.
- 273Share sekarang!
- Email8
- Facebook265
- Share