Tak faham sepenuhnya lirik Melayu, pengaruh Alleycats sampai ke Hong Kong!

Pada 26 Disember 2019 lalu, kita dikhabarkan tentang pemergian pemain bass kumpulan legenda Alleycats, Frank Ong akibat kanser paru-paru. Frank atau nama Islamnya, Abdul Rashid Ong Abdullah dah menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 4.30 pagi dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Raudhatul Sakinah, Gombak pada hari sama.

Pemergian Frank ini merupakan satu lagi kehilangan anggota Alleycats selepas pemergian penyanyinya – Loganathan Arumugam pada Jun 2007. Tapi apa yang pasti, masyarakat Malaysia dah ditemani oleh Alleycats sejak sekian lama, dan siapa yang tak kenal dengan trademark rambut afro mereka tu.

Frank meninggal dunia selepas dua tahun bertarung dengan kanser paru-paru. Imej dari BH Online.

Malah, mereka juga menemani kita dengan pelbagai lagu hits seperti – ‘Sampaikan Salam Cinta ku’, ‘Suara Kekasih’, ‘Andainya Aku Pergi Dulu’, ‘Senandung Semalam’ dan banyak lagi. Jadinya, kali ni SOSCILI nak la bawa korang menyelusuri perjalanan panjang kumpulan legenda ini, terutamanya peranan mereka dalam menjadi simbol kepelbagaian etnik di Malaysia.

Nama Alleycats muncul kerana lorong-lorong di Pulau Pinang

Alleycats bergerak dengan gaya tersendiri. Imej dari kord-gitar-lagu-melayu.blogspot

Kumpulan Alleycats sebenarnya diasaskan oleh tiga beradik iaitu – David, Shunmugam dan Loganathan (mendiang) di Pulau Pinang pada tahun 1969. Menurut David, bakat dan jiwa seni mereka ni kemungkinan besarnya diwarisi daripada ibu mereka yang juga merupakan seorang penyayi Carnatic.

“Dia (ibu) adalah seorang penyanyi Carnatic yang hebat. Saya selalu ikutnya membuat persembahanan atau sesi rakaman dan akan bertanya-tanya bagaimana jadinya kalau saya yang berada di tempatnya dan dia melihat saya membuat persmbahan. Ya, semuanya menjadi kenyataan!” – David Arumugam, katanya kepada The Sun.

Tapi sebelum tu, pada tahun 1960-an, David bersama Loga dah menubuhkan satu kumpulan yang dikenali sebagai The Beads di Pulau Pinang. Lepas tu kumpulan ni masuk pertandingan anjuran Radio Malaysia Talentime dan menang tempat pertama. Bila dah menang, mereka pun dapat banyak tawaran menyanyi di radio dan kelab-kelab.

Masa inilah mereka dididekati oleh syarikat rakaman dan mula membentuk satu lagi kumpulan yang dikenali sebagai Alleycats. Menurut David, idea nama Alleycats tu muncul sebab di Pulau Pinang masa tu banyak lorong-lorong di antara rumah-rumah kolonial (heritage houses) dan di situ juga ada banyak kucing. Maka muncullah nama – ALLEYCATS atau lorong kucing pada tahun 1969.

Bila dapat tahu korang jadi inspirasi kumpulan muzik. Imej dari Tenor.

Apa yang menariknya, bila Alleycats ni ditubuhkan semua ahlinya bukan dikalangan orang Melayu, tetapi dari etnik India dan Cina. Antaranya adalah:

  • David (vokal)
  • Loganathan (vokal)
  • Shunmugam (gitar)
  • Frank Ong (bass)
  • Tan Chin Hock (drum)
  • Chester Danielle Pasarella (saksofon)
  • Khoo Fok Sin dan selepas tu Grenville Pereira (keyboard)

Berganjak ke tahun 1970, mereka pun berpindah ke Kuala Lumpur bila dapat kontrak 3 tahun bersama Discotheque Tin Mine, Hilton KL. Pada tahun 1973 dan seterusnya, Alleycats bertambah sibuk lagi bila buat banyak persembahan di KL, Pulau Pinang, dan Singapura.

Tin Mine, antara tempat hiburan paling popular dulu. Imej dari Tin Mine disco, KL Hilton.

Bagaimanapun, pada masa tu, kebanyakan lagu yang Alleycats bawa adalah lagu-lagu Inggeris. Tapi bila mereka buat persembahan di KL, ada juga orang minta mereka nyanyikan lagu Melayu dan bila di majlis kahwin orang Cina, ada pula yang minta lagu Cina. Jadinya, mereka pun mulalah belajar untuk nyanyi lagu Melayu dan Cina.

Alleycats bertambah terkenal lagi bila mereka dapat kontrak buat persembahan di Central, Hong Kong. Di sana, mereka dah jadi cukup popular dan buat banyak kemunculan di rancangan-rancangan TV Hong Kong.

Tapi ada satu peristiwa yang mereka tak dapat lupakan di sana, bila berlakunya…

Pentas persembahan runtuh yang mengorbankan beberapa nyawa

Album Alleycats pada tahun 1979. Imej dari Jake “Ziggity” Steven (Youtube channel).

Selama 3 tahun Alleycats di sana, banyak peristiwa pahit manis yang mereka dah lalui dan antaranya adalah satu peristiwa yang tak dapat dilupakan buat selama-lamanya. Peristiwa tu jadi dalam satu program rancangan terbitan TVB (Television Broadcasts Limited of Hong Kong).

“Kami adalah sebahagian dari yang membuat persembahan di acara terbesar TVB (Television Broadcasts Limited Hong Kong) pada waktu itu… kami baru saja selesai buat bersembahan dan turun dari pentas.

“Kurang dari satu minit kemudian, pentas yang hanya beberapa meter di belakang kami runtuh dan beberapa orang terbunuh.

“Syukur kepada tuhan, kami selamat… tapi itu adalah satu peristiwa yang saya tak akan lupakan… ia masih jelas dalam ingatan saya.” – David katanya kepada The Sun.

Mula menyanyikan lagu-lagu Melayu, dan munculnya trademark ‘Terima Kasih!’

Album Alleycats bertajuk ‘Terima Kasih’. Imej dari Discogs.

Masa di Hong Kong, Alleycats ada keluarkan beberapa album, yang juga terjual di Malaysia dan dapat sambutan luar biasa. Tapi masa tu, mereka tak tahu yang mereka popular di Malaysia, sampailah bila mereka ditawarkan untuk buat jelajah di seluruh Malaysia.

Bila balik ke Malaysia, mereka masih keluarkan album lagu-lagu Inggeris, tapi kutipan jualan masih lagi belum memuaskan. Jadinya, syarikat rakaman berikan peluang kedua kepada mereka untuk terbitkan satu lagi album, tapi kali ni dalam bahasa Melayu berjudul ‘Terima Kasih’ pada 1978.

Antara lagu yang dipertaruhkan dalam album ni adalah ‘Senandung Semalam‘ dan ‘Jika Kau Bercinta Lagi‘. Album ni kemudiannya meletup di kalangan para peminat muzik tempatan, khususnya orang Melayu. Nah, layan satu lagu:

Maka, bermula dari situlah Alleycats mula mendendangkan lagu-lagu Melayu. Bagi David, lagu-lagu Melayu mereka dapat perhatian tinggi sebab ia unik dan mempunyai gaya tersendiri.

“Sebelum saya masuk ke studio rakaman, sesiapa yang menulis lagu itu akan berjumpa dengan saya dan beritahu cerita lirik lagu itu.

Lepas itu, saya boleh gambarkan posisi itu, barulah saya boleh bawa lagu itu dengan emosinya.” – David, katanya kepada Jurnal Ikon.

Alleycats juga mula bekerjasama dengan komposer dan penulis lirik hebat seperti Wan Ibrahim, M Nasir dan S Amin Shahab. Malah, Alleycats pun ada tulis lirik untuk lagu-lagu mereka seperti – ‘Ke Pulau Permai’, ‘Kisah Semalam’ dan ‘Sejak Ketiadaanmu’.

Dua orang komposer dan penulis lirik lagenda Malaysia. Imej dari S.AMIN Shahab Legacy.

Menjelang tahun 1980-an, nama Alleycats terus melonjak naik, sampaikan ia mula setaraf dengan kumpulan-kumpulan hits lain ketika itu, seperti Sweet Charity, Black Dog Bone, Blues Gang dan ramai lagi. Antara lagu yang sangat popular masa tu adalah ‘Hingga Akhir Nanti’ pada tahun 1981.

Jadinya pada tahun 1982, mereka dah buat satu konsert besar di Stadium Negara yang kehadirannya cukup luar biasa. Lautan manusia datang sebab nak tengok Alleycats buat persembahan.

“Bila kita naik ke atas pentas, kita lihat peminat begitu ramai. (Kami) terkejutlah. (Saya pun kata) TERIMA KASIH!! Kekallah trademark itu sampai sekarang.” – David, katanya kepada Jurnal Ikon.

Imej asal dari Astro Gempak.

Dengan gaya rambut afro, Alleycats juga dah membina trademarknya yang tersendiri. Tapi, di sebalik gaya rambut afro itu, masih ada kisah dukanya, kerana – rambut afro Loga pernah terbakar ketika dia tidur di sebuah hotel di Subang pada akhir 1994. Akibat kejadian itu, mukanya melecur dan terpaksa menarik diri daripada membuat persembahan di hotel itu.

Bagaimanapun, Alleycats tetap terus menghiburkan rakyat Malaysia dan telah menerbitkan sekurangnya 30 buah album.

Alleycats – rentas sempadan bangsa dan lambang Malaysia

Mendiang Loga ketika membuat persembahan bersama allahyarhamah Sharifah Aini. Imej dari NST.

Sehingga tahun 2000-an, walaupun menerima pelbagai saingan, Alleycats tetap utuh dan berjaya mengekalkan popularitinya. Malah, pada tahun 2007, M. Nasir telah menerbitkan sebuah album tribut khas untuk memberi penghormatan kepada Alleycats.

Album berjudul ‘Tribute Alleycats’ tu dah mempersembahkan pelbagai lagu Alleycats yang dinyanyikan semula oleh beberapa orang artis seperti, Salim, Hattan, Awie dan M.Nasir sendiri.

Apa yang pasti, menjadi sebuah kumpulan bukan berbangsa Melayu, tetapi menyanyikan lagu-lagu Melayu, telah menggambarkan Alleycats sebagai sebuah kumpulan rentas sempadan bangsa.

Seperti mana yang pernah dikatakan oleh David, lirik bahasa Melayu sangat indah maksudnya, walaupun dia tidak faham sepenuhnya tentang lirik-lirik itu.

“Sebutannya juga cukup manis. Kerana itu saya hairan kenapa ada artis sekarang termasuk artis Melayu yang kadang-kadang seperti merosakkan bahasa?

Ada yang menyebutnya seperti orang Inggeris baru belajar bahasa Melayu. Saya tak faham kenapa mereka (artis-artis masa kini) tidak mahu jaga (memelihara) bahasa kebangsaan kita.” – Katanya dipetik dari sebuah artikel bertajuk: Jiwa David pada lagu Melayu.

David & Khadijah Ibrahim ketika menerima darjah kebesaran Datuk dari Istana Pahang. Imej dari The Star.

Selaras dengan peredaran zaman dan segala macam perkara yang berlaku, adakah kita mungkin akan melihat penghibur lambang Malaysia di waktu ini?

 

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.