Boring duduk di rumah? Kini ratusan manuskrip Melayu di UK boleh diakses secara digital

*Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 21 September 2019. 

Salah satu khazanah Melayu adalah manuskrip-manuskrip lama yang bertebaran di serata dunia. Walaupun khazanah ini suatu ketika dulu dianggap tak berharga kerana masih tak digambarkan nilai komersial dan estetikanya, ia nampaknya telah berubah pada hari ini.

Khazanah-khazanah inilah yang menyimpan perjalanan sejarah, cerita silam nenek moyang, ilmu, petua dan sebagainya tentang bangsa Melayu. Tapi, disebabkan ia bertaburan di serata dunia, agak payah untuk kita mencapainya, apatah lagi untuk dibaca dan dikaji.

Namun, apa yang telah dilakukan oleh British Library nampaknya dah memberi jalan untuk negara dan masyarakat Melayu mengenali khazanah manuskrip mereka. Ini kerana…

Ratusan manuskrip Melayu kini dapat dilihat dan dibaca dengan satu klik saja!

Muka depan Spraeck ende Woord-boeck In de Maleysche ende Madagaskarsche Talen (kamus loghat Melayu dan Madagaskar). Imej dari UKM.

Sebenarnya, sejak sekian lama – British Library dah menyimpan sejumlah besar manuskrip Melayu di dalam repositorinya. Kebanyakan manuskrip ini adalah sekitar bidang kesusasteraan, sejarah dan undang-undang yang ditulis dalam skrip Jawi, bermula dari abad ke-17 sampai akhir abad ke-19.

Tapi, korang sekarang tak payah nak pergi ke UK sana tu untuk baca manuskrip-manuskrip ni, bila mana semuanya dah boleh dibaca dalam bentuk digital melalui – http://www.bl.uk/manuscripts/ atau klik sini.

Korang cuma perlu masukkan kata kunci, seperti – ‘Melayu’ atau ‘Jawi’, untuk cari dan baca manuskrip-manuskrip tersebut. Cumanya, korang kenalah tahu baca jawi dan jawi klasik.

Tinggal cari je. Imej dari British Library.

Jadinya, kitorang di SOSCILI ni pun, cubalah tengok manuskrip-manuskrip Melayu apa yang disediakan…

Dari kitab lama, hikayat, sampailah surat ada dipamerkan

Bila kitorang taip perkataan ‘Melayu’ dan ‘Jawi’ dalam sistem Perpustakaan British ni, macam-macam yang kami jumpa. Antaranya…

1. Kitab Obat-Obatan dan Azimat (1813)

Kitab ni ditulis ketika pemerintahan Sultan Syariff Kassim (memerintah: 1809 – 1819), dari Pontianak, Kalimantan Barat. Ia dipercayai ditulis oleh Tabib Diraja Kesultanan Pontianak.

Kitab Obat-Obatan dan Azimat (1813). Klik sini kalau nak baca. Imej dari British Library.

2. Hikayat Raja Babi (1775)

Dengar nama hikayat ni pun, kita dah tertarik nak baca kan? Hikayat berusia lebih 200 tahun ni dipercayai dikarang oleh seorang pedagang dari Semarang bernama – Usup Ibn Abdul Kadir. Ia mengisahkan tentang pengembaraan seorang putera yang telah disumpah untuk lahir sebagai seekor babi.

Hikayat Raja Babi (1775). Klik sini kalau nak baca. Imej dari British Library.

3. Surat Daeng Ibrahim kepada Napoleon III (1857)

Seperti mana yang kita tahu, Kerajaan Johor di bawah pemerintahan Dinasti Temenggong bermula apabila Engku Temenggung Seri Maharaja (Daeng Ibrahim) menggantikan ayahandanya sebagai Temenggong pada tahun 1825.

Pemerintahan Johor kemudiannya diserahkan kepada Temenggong Daeng Ibrahim daripada Sultan Ali melalui Persetiaan 10 Mac 1855. Dengan itu bermulalah Kesultanan Johor moden di bawah pemerintahan Dinasti Temenggong. Hubungan kerajaan Johor ni cukup luas dan antara buktinya adalah surat Temenggong Daeng Ibrahim kepada Napoleon III pada tahun 1857 ni.

“Bahawa ini surat menyatakan tulus dan ikhlas serta suci putih hati hening dan jernih yang tiada menaruh syak dan waham di dalamnya selagi ada peridaran cakrawala matahari dan bulan perkitaran malam dan siang thabit jua ‘ala al-dawam iaitu daripada saya Engku Temenggung Seri Maharaja Johor yang ada bertahta kerajaan kuasa memerintahkan kepada masa ini di dalam negeri Johor…” – Antara isi surat.

Surat Daeng Ibrahim kepada Napoleon III (1857), klik sini kalau nak baca. Imej dari British Library.

4. Caritanya Nabi Muhammad (Abad ke-18)

Selain dari hikayat, kitab cerita berkaitan agama juga ada, seperti kitab Caritanya Nabi Muhammad ni. Bagaimanapun, ada juga pengkaji yang mengatakan kitab ini menceritakan kisah Nabi Sulaiman AS.

Caritanya Nabi Muhammad, klik sini kalau nak lihat. Imej dari British Library.

5. Buku surat Farquhar (1818-1822)

Kalau korang nak tahu, Major-Jeneral William Farquhar pernah menjadi Residen Melaka dari tahun 1808. Bapa sastera moden Melayu, Abdullah bin Abdul Kadir atau lebih dikenali sebagai Munsyi Abdullah pernah hidup di zaman pentadbiran Farquhar. Malah, ada satu bab khusus tentang Farquhar dalam Hikayat Abdullah yang dikarangnya.

Buku ini memaparkan surat-surat dari raja-raja Alam Melayu dan surat-surat Farquhar kepada mereka, ketika dia menjadi Residen British di Singapura (1819-1823).

Buku Surat Farquhar, klik sini kalau nak baca. Imej dari British Library.

Walaupun begitu, apa yang dipaparkan oleh British Library ni sebenarnya sikit je, kalau nak dibandingkan dengan pelbagai lagi dokumen sejarah dan manuskrip Melayu yang ada.

Lebih 20,000 manuskrip Melayu tersimpan di Belanda

Pada ketika ini, dianggarkan lebih 20,000 manuskrip Melayu tersimpan di perpustakaan Universiti Leiden di Belanda. Manuskrip itu merangkumi negara-negara Nusantara seperti Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura.

Apa yang menarik, tak mustahil untuk manuskrip-manuskrip ini didigitalkan, jika pihak universiti dan semua negara terlibat bekerjasama.

“Kiraan kos untuk mendigitalkan semua manuskrip itu belum pernah dilakukan, namun sebagai pedoman di Leiden, kos untuk mendigitalkan selembar naskhah adalah 1 euro (RM4.83) dengan tambahan RM72 bagi tempahan baharu.” – Dr Surya Suryadi,  pensyarah Universiti Leiden. Dipetik dari BH Online.

Lokasi manuskrip Melayu di seluruh dunia. Imej dari BH Online.

Selain dari tulisan jawi, terdapat juga manuskrip yang ditulis dengan – tulisan rencong, Bugis, Bali, Sunda dan Jawa. Bagaimanapun, masalah masih ada sebab ketika ni, kita kekurangan pengkaji yang nak mengkaji manuskrip-manuskrip lama. Untuk pengkaji sedia ada pula, kebanyakannya di usia nak pencen.

Maka persoalan yang timbul sekarang, macam mana nasib manuskrip-manuskrip Melayu ini? Walaupun, telah didigitalkan, cabarannya masih ada sebab ramai di antara kita yang tak tahu membaca jawi, apatah lagi jawi klasik.

 

 

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.