- 310Share sekarang!
- Email14
- Facebook296
- Share
Baru-baru ni dunia digemparkan dengan kebakaran sumber oksigen dunia iaitu Hutan Hujan Amazon kat Brazil. Kalau korang tak tahu pasal ni, mungkin korang antara yang tergolong penduduk gua? (Hehe). Okay tak, ni masalah serius dunia. Dan bila kebakaran hutan amazon ni berlarutan, dunia kita akan jadi parah. ?
Kenapa pulak parah ek? Hutan Hujan Amazon, Brazil ni merupakan hutan hujan terbesar kat dunia dengan menyediakan 20% sumber oksigen dunia dan penempatan khas untuk lebih daripada 3 juta spesis hidupan lain serta lebih sejuta penduduk asli kat hutan tu. Hutan Hujan Amazon jugak merupakan hutan yang terbesar dunia dengan mempunyai kawasan hutan seluas 5.5 juta kilometer persegi. Ia digambarkan macam ‘paru-paru’ dunia, jadi bila paru-paru dunia dah rosak, macam mana yang lain nak dapatkan oksigen kan?
Dah tiga minggu tapi masih tak dapat dipulihkan lagi
Kawasan hutan Amazon ni meliputi sembilan buah negara yang sebahagian besarnya terletak di Brazil iaitu 60% daripada kawasan hutan tersebut. 13% dimiliki Peru, 10% kawasan hutan Amazon tu pulak di bawah takluk Colombia. Dan selebihnya, lebih kurang 17% dimiliki oleh negara-negara lain iaitu Venezuela, Ecuador, Bolivia, Guyana, Suriname dan French Guiana.
Dan sebab tu lah ia digelar sebagai paru-paru bumi sebab kawasan hutan yang luas dengan menjadi nadi oksigen untuk atmosfera dan jugak tempat perlindungan biodiversiti berbilion spesis habitat lain. Selain daripada jadi sumber oksigen, hutan Amazon jugak mampu menyerap pelepasan gas karbon dioksida yang dibebaskan (untuk korang yang budak-budak Sains mesti lagi tahu pasal gas-gas ni semua kan).
Keadaan hutan Amazon ni makin teruk bila kebakaran tu dah berlarutan sehingga tiga minggu dan masih tak dapat dipulihkan lagi. Sebenarnya, pembakaran hutan kat Brazil ni memang selalu dilakukan yang merupakan aktiviti pembersihan tanah waktu musim kering dan panas untuk tujuan pertanian dan penternakan.
Aktiviti kebakaran hutan Amazon ni memang selalu terjadi secara semula jadi antara bulan Julai hingga Oktober, tapi tahun ni kebakaran tu meningkat sebanyak 80% berbanding tahun lepas. Tapi memandangkan kebakaran kali ni adalah yang terbesar dan terburuk, Presiden Brazil, Jair Bolsonaro tuduh ada NGO yang jadi punca kebakaran teruk tu sebab Bolsonaro ada buat potongan dana untuk pihak NGO tu.
“Tindakan jenayah oleh NGO (pertubuhan bukan pemerintah) untuk menarik perhatian menentang saya, menentang pemerintah Brazil” – Jair Bolsonaro, Presiden Brazil, sumber dari Berita Mediacorp
Disebabkan pihak kerajaan yang tak menguatkan dasar berkenaan pemeliharaan hutan kat situ, ada aktivis alam sekitar bagitahu yang kebakaran tu meningkat tahun ni disebabkan ada sesetengah petani yang bakar hutan tu untuk pertanian. Contohnya macam negeri Pará dan Mato Grosso yang merupakan pengeluar bijirin yang secara tak langsung jadi penyumbang kepada pencerobohan kawasan hutan tu.
Tapi berdasarkan laporan daripada NASA, kebakaran hutan Amazon ni antara yang terburuk berpunca daripada kemarau akibat aktiviti pembalakan yang dilakukan secara berterusan dan pemanasan global. Selain tu, ia berpunca daripada penerokaan hutan secara haram. Pada tahun 2018, dalam data kerajaan Brazil menyatakan seluas 7,900 kilometer persegi hutan Amazon dah diteroka oleh pihak yang tak bertanggungjawab. Dan luas kawasan yang diteroka tu lebih separuh daripada kawasan Jamaica (lebih kurang 5,000 km persegi) !
Dan dalam kejadian kebakaran hutan Amazon baru-baru ni, mengikut anggaran, setiap satu minit seluas satu padang bola kawasan hutan yang terbakar. Cuba korang bayangkan kalau pelindung alam semulajadi kita musnah, apa yang akan terjadi nanti? Korang tahu kan disebabkan penerokaan hutan ni lah, perubahan iklim dan pemanasan global berlaku? Dan bila ia berterusan, hutan Amazon akan jadi kawasan yang menyebabkan perubahan iklim terbesar terjadi kat dunia.
Dalam satu kajian pada tahun 2009, pada tahun 2100, anggaran suhu global akan meningkat sehingga 4 darjah Celsius, dan ia akan musnahkan 85% daripada hutan Amazon. Dan kenaikan suhu sehingga 3 darjah Celsius akan musnahkan hutan tu sekitar 75%. Ditambah dengan kebakaran yang berlarutan sampai sekarang, punca oksigen dan perlindungan haiwan pun makin hari makin menghilang.
Presiden Brazil yang bagi ‘lampu hijau’ untuk bakar hutan Amazon!?
Disebabkan macam takde apa-apa tindakan yang dibuat oleh presiden Brazil dengan situasi yang berlaku tu, demonstrasi besar-besaran diadakan di seluruh dunia untuk dapatkan tindakan segera daripada pemerintah dengan keadaan yang semakin teruk tu. Dekat Brazil, penduduk kat situ berarak dari Rio de Janeiro dan San Paulo untuk menyuarakan ketidakpuasan hati diaorang.
“Kami mahu melakukan sesuatu bersama rakyat Brazil. Kami juga ada anak-anak dan mahu mereka membesar dalam dunia yang mempunyai paru-paru,” – Luisa Steward, sumber dari BH Online
https://twitter.com/RebeccaH2020/status/1165948618035126272?s=20
Selain tu, aktivis perubahan iklim dan alam sekitar jugak menyatakan yang Jair Bolsonaro jugak merupakan salah satu punca terjadinya kebakaran besar hutan Amazon tu. Bolsonaro yang menggalakkan Brazil supaya membuka dan membenarkan kawasan Amazon untuk kepentingan perniagaan yang meliputi aktiviti pencerobohan hutan. Iaitu termasuklah aktiviti perlombongan, pertanian dan pembalakan.
Apa yang nampak ketara, sebelum dia dipilih untuk jadi presiden Brazil, dalam kempennya, dia menjanjikan pembaharuan termasuklah untuk utamakan pembangunan ekonomi secara besar-besaran. Dan bila dia jadi presiden, Brazil telah kehilangan sebanyak 1.330 kilometer persegi kawasan hutan disebabkan penerokaan hutan untuk pembangunan.
Selain tu, ada isu yang mencurigakan bila dia ada arahkan penyiasatan kat pegawai yang bertindak membakar traktor dan trak pembalak yang didakwa terlibat dengan aktiviti pembalakan haram kat Jamari National Forest bulan April dulu. ?
Walaupun bencana tu nampak macam berpunca daripada presiden Brazil sendiri dan banyak tentangan daripada penduduk seluruh negara, Bolsonaro pada mulanya langsung tak kisah pasal isu pembakaran hutan yang semakin berleluasa tu. Sampailah timbulnya demonstrasi secara global.
“Apa yang saya rasa sekarang ni adalah Brazil sedang bunuh dirinya. Presiden itu sendiri yang ‘membunuh diri’ negara tersebut. Ia adalah ekspresi yang melampau – tetapi itulah yang saya rasakan. Memusnahkan warisan anda sendiri sama seperti membunuh diri.” – Rubens Ricupero, bekas menteri kewangan Brazil, sumber dari The Guardian.
Ada jugak dakwaan yang mengatakan Bolsonaro pergi bersuka ria waktu keadaan Brazil tengah kecoh dengan bencana besar tu. Dan sebab tu lah ramai yang tak berpuas hati dengan dia sebab bencana ni akan menjejaskan perdagangan antarabangsa. Dan Bolsonaro jugak ada bagitahu yang Brazil kekurangan sumber air untuk padam kebakaran tu.
Lepas timbulnya banyak demonstrasi dan penunjuk perasaan secara global yang suarakan bantahan kat dia, dia dah mula buat tindakan dengan mengarahkan tentera Brazil untuk bantu padam kebakaran hutan tu.
Tapi pada masa yang sama, disebabkan kebakaran hutan Amazon tu, timbulnya konflik antara Brazil dengan Perancis, Finland serta Kesatuan Eropah (EU). Finland ada cadangkan supaya EU melarang mengimport daging lembu Brazil sebagai salah satu protes dan tekanan untuk Bolsonaro. Import daging dari Brazil tu merupakan salah satu perjanjian perdagangan utama Brazil dengan EU. Jadi, kalau tu terjadi, susahlah Brazil nanti.
“Terdapat kebakaran hutan di seluruh dunia dan ini tidak boleh dijadikan alasan untuk kemungkinan sekatan antarabangsa,” – Jair Bolsonaro, Presiden Brazil, sumber dari Sinar Harian.
Disebabkan pencerobohan dan kebakaran hutan, kehidupan Etnik Mura terjejas
Sejak pemerintahannya, dia macam bagi ‘lampu hijau’ untuk aktiviti penerokaan hutan tu bagi tujuan pembangunan ekonomi melalui pembalakan, perlombongan dan perladangan. Ia dilihat macam mengabaikan hak kaum asal kat hutan tu, iaitu antaranya kaum Etnik Mura.
Disebabkan pencerobohan dan kebakaran hutan Amazon tu, lebih 400 orang pribumi etnik Mura yang duduk dalam kawasan Amazon dalam bahaya. Lagi-lagi bila pemerintahan Bolsonaro ni, dia tak ambil tahu dan campur tangan dalam urusan mempertahankan tanah untuk orang Mura ni.
“Kawasan Orang Asli memiliki mineral. emas, tin dan magnesium yang berada di dalam tanah-tanah tersebut (tanah Orang Asli) terutamanya di Amazon, kawasan paling kaya di dunia. Saya tidak akan masuk campur untuk mempertahankan tanah kaum pribumi.” – Jair Bolsonaro, Presiden Brazil, sumber dari Kosmo.
Sebenarnya, etnik Mura ni adalah kaum asal kat kawasan hutan Amazon tu. Lebih kurang 18,000 orang etnik Mura yang bertapak kat situ dan mempertahankan tanah Amazon tu sejak 20 tahun lagi. Tapi sejak pentadbiran baru, nasib dan hak diaorang terabai dan ada yang dah kehilangan tempat perlindungan. Etnik Mura ni sebenarnya berasal dari campuran Amerika Selatan dan India.
Etnik Mura secara fizikalnya, kaum pribumi yang mengecat muka dengan badan diaorang dengan warna merah dan oren sebagai identiti kaum tersebut. Sebagai penduduk pribumi dekat hutan Amazon tu, aktiviti utama diaorang adalah tangkap ikan dan diaorang ada kemahiran tangkap ikan tersendiri. Disebabkan secara geografinya tempat tinggal diaorang tu berhampiran dengan Sungai Jamari dan Sungai Madeira.
Ada satu ritual unik etnik ni dengan aktiviti memancing adalah, bila diaorang nak pastikan seseorang budak lelaki tu hebat memancing, diaorang akan bawak budak tu kat sarang semut tucandeira, dan paksa budak tu letakkan dan biarkan tangan dia kena sengat semut tu. Kalau budak tu tahan, maksudnya dia dah boleh dan handal dengan aktiviti memancing.
Penempatan diaorang kat hutan tu kecil dan tak teratur. Kebanyakan kaum Etnik Mura ni berbahasa Portugis dan menjadikan kayak ataupun rakit sebagai rumah diaorang. Ritual kehidupan diaorang lebih kepada menggunakan narkotik untuk aktiviti seharian diaorang yang dihasilkan daripada pokok parica.
Diaorang jugak ada sambut perayaan dan upacara tersendiri dengan tujuan untuk menambah kekuatan seseorang dan diaorang sangat percayakan kuasa bomoh dan nenek moyang. Bila aktiviti pencerobohan hutan ni semakin berleluasa, etnik yang sememangnya dah nak pupus ni semakin pupus dan diaorang pun bergelut untuk perjuangkan kehidupan diaorang yang dah tak terbela tu.
‘I will go on until my last drop of blood.’ — Leaders of the Indigenous Mura tribe are speaking out as historic wildfires tear through their lands in the Brazilian Amazon pic.twitter.com/zLkrD3V8d5
— NowThis (@nowthisnews) August 23, 2019
Malaysia ambil serius isu pembakaran terbuka
Selain hutan Amazon, kat Malaysia pun alami nasib yang sama bila lebih kurang 40 ekar (16 hektar) hutan kat kawasan Gelang Patah, Johor terbakar. Jadi, bila situasi ni jadi, pihak berkuasa Malaysia memang atasi situasi tu dengan buat tindakan cepat, antaranya kerajaan Johor akan buat pembenihan awan untuk kawal kebakaran tu.
Bila situasi ni jadi dan ditambah pulak dengan pencemaran jerebu baru-baru ni, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan untuk tangani isu alam sekitar tersebut.
Dalam pelan tu, Malaysia akan pastikan negara ASEAN ambil tindakan proaktif kalau ada kebakaran yang berlaku kat tempat diaorang dan yang menyebabkan berlakunya jerebu yang merentasi sempadan. Selain tu, banyak tindakan lain yang akan diambil sekiranya pembakaran terbuka terus dibuat dalam negara kita.
- 310Share sekarang!
- Email14
- Facebook296
- Share