- 1.3KShare sekarang!
- Email22
- Facebook1.3K
- Share
Nama Terengganu dah pun disebut-sebut sewaktu bulan puasa dan hari raya ni. Ni gara-gara keindahan suasana di sekitar Drawbridge atau Jambatan Angkat di Muara Sungai Terengganu yang nampak macam kat London.
Namun, nama sebenar jambatan ni akan diumumkan oleh MB Terengganu ketika ia dibuka secara rasmi nanti. Cumanya, mesti ramai nak tau, macam mana boleh tercetusnya idea pembinaan jambatan ni ye? Ini semuanya bermula…
Menjadi salah satu binaan dalam Bandar Warisan Pesisir Air
Kalau korang nak tau, pembinaan jambatan ni bukanlah ia dibina secara persendirian. Ia termasuk dalam perancangan besar projek Kuala Terengganu City Centre (KTCC) atau Bandar Warisan Pesisir Air. Apa pula KTCC ni? Ada iras-iras nama KLCC pula tu.
Projek KTCC ni adalah termasuk salah satu projek di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). Negeri-negeri yang terlibat dengan ECER adalah Kelantan, Terengganu, Pahang dan Mersing, Johor. Sasaran ECER ni pula adalah 227 projek termasuk pelancongan, pertanian, pembuatan, minyak dan gas bagi tempoh 12 tahun akan datang dengan nilai RM112 bilion dilaburkan.
Maka, di bawah ECER ada projek pembangunan KTCC dengan nilai kasar RM5 bilion. Projek ni berkeluasan 1.6 juta kaki persegi iaitu 7 kilometer dari muara Sungai Terengganu. Ia melibatkan pembinaan hotel lima bintang, pusat beli-belah, kemudahan pelayaran antarabangsa dan juga kondominium. KTCC juga ada menyediakan kemudahan rekreasi dan hiburan untuk seisi keluarga macam Cineplex 10 skrin, Pacific Bowl dengan 48 lorong dan 2,500 tempat letak kenderaan.
Macam yang kami sebut tadi, projek ni memang terletak di muara Sungai Terengganu, jadi mestilah akan ada sesuatu dibina di sungai tu kan. Maka, tercetuslah satu idea…
Kalau ikut jambatan lain 30 minit, maka perlu buat jambatan baru
Idea nak buat jambatan ikonik di muara Sungai Terengganu ni timbul apabila satu kajian pelan induk dah dibuat untuk membangunkan kawasan hab pertumbuhan baru di KTCC. Idea pembinaan jambatan ni juga adalah untuk menjadikan ia jambatan alternatif kerana kedudukannya yang strategik di tengah-tengah bandar raya tu.
Ia akan memendekkan jarak perjalanan trafik dari Kuala Terengganu ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Nerus yang memakan masa 30 minit menjadi 10 minit sahaja. Ada laporan juga mengatakan ia boleh memendekkan sekurang-kurangnya 15 minit.
Mesti korang fikir yang jambatan ni dibina oleh pekerja asing je kan? Sebenarnya, hampir 80% daripada 250 pekerja yang terlibat dalam pembinaan ni adalah pekerja tempatan. Ini termasuklah penyelia, pengurus pembinaan dan pekerja pembinaan.
Bayangkan, orang tempatan bina jambatan ala-ala London Bridge? Memang hampir-hampir reka bentuk dan fungsi jambatan ni pula diambil dari idea jambatan gantung kat Kota Raya London atau London Tower Bridge.
Bukan sekadar jambatan untuk kereta lalu lalang
Kalau korang tengok Jambatan Angkat Terengganu ni, bukan je sekadar jambatan untuk menghubungkan satu tempat ke satu tempat yang lain. Ia juga adalah sistem jambatan yang boleh diangkat. Jambatan ni merangkumi panjang sejauh 632 meter dengan sokongan dua menara 15 tingkat di kiri dan kanannya. Serta bahagian tengah jambatan boleh diangkat untuk memberi laluan kepada kapal.
“Ciri-ciri menara drawbridge dan `Bascule Span’ memerlukan masa selama dua minit untuk dibuka dan jangkamasa yang sama juga untuk ditutup,”- Ahmad Razif Abd Rahman, MB Terengganu penggal lepas, petikan dari Teganukita
Kalau korang nak tau, jangka masa dua minit tak termasuk masa untuk mengosongkan laluan trafik dan penutupan pagar. Kalau campur semua waktu ni, lebih kurang 20 minit lah nak lengkap proses ni.
“Ia mengambil masa 20 minit untuk naik (dibuka untuk laluan kapal) dan kurang 20 minit untuk turun (dibuka kepada kereta dan motosikal).”- Petikan dari FMT
Apa yang menarik, di sekitar jambatan ni juga akan dibangunkan pengkalan bot dan kapal. Jadinya, golongan nelayan dan pekerja firma marin serta perkapalan yang akan melalui jambatan tu boleh melabuhkan bot-bot dan kapal-kapal mereka di muara sungai tersebut.
Dua menara di jambatan, bukan sekadar hiasan
Kalau korang perhatikan, jambatan ni ada dua menara yang begitu indah infrastrukturnya. Menara di sebelah utara akan menempatkan restoran mewah di tingkat 14 manakala di tingkat 13 pula menempatkan ruang solat dan bilik air.
Apa yang ada di menara sebelah Selatan? Kat situ akan ada galeri untuk korang semua merenung keindahan bandar Kuala Terengganu terutamanya waktu malam. Di sekeliling jambatan tu juga ada terdapat restoran dan kedai-kedai. Jadi, sambil makan minum bolehlah tengok jambatan tu buka tutup sebab…
“Pengunjung juga pasti akan tertunggu-tunggu saat dan masa apabila jambatan itu dibuka dan ditutup nanti dan pada masa ini, pelaksanaannya akan dibuat dua atau tiga kali sehari, atau mengikut keperluan dan keadaan trafik.”- Petikan dari Utusan
Waktu makan minum kat sini, bolehlah pergi merasa kerang popular di Taman Selera Tanjung, Shah Bandar, Kuala Terengganu.
Nelayan dan hidupan di muara Sungai Terengganu tak terjejas sepanjang pembinaan
Bila tengok gambar atas ni, mesti kita akan terfikir pasal nasib alam sekitar di sekitar muara Sungai Terengganu tu. Menurut Datuk Seri Jebasingam, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC menjelaskan bahawa pihaknya dah pun menjalankan kajian terperinci selama dua tahun supaya ekosistem kat sepanjang muara sungai tu tak terjejas dek kerana pembinaan dan pembangunan.
Menurutnya lagi, projek KTCC ni dah melakukan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA). Pihaknya juga dah bagi kerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk aspek hidraulik bagi projek pada masa akan datang.
Kalau korang nak tau, sewaktu pembinaan jambatan ni juga, ia dah diurus supaya tak mengganggu pergerakan bot nelayan dan kapal-kapal lain. Antara alternatif yang dibuat adalah dengan menyediakan satu laluan kecil selebar 30.4 meter untuk bot dan kapal keluar masuk bot berkenaan.
“Dari bulan Mei hingga September (2017), dua laluan pula dibuka iaitu di sebelah Seberang Takir dan di sebelah Tanjung. Bot-bot atau kapal yang hendak keluar ke laut hendaklah melalui laluan sebelah tanjung manakala untuk masuk ke limbungan dari laut, hendaklah melalui laluan di sebelah Seberang Takir,”- Petikan dari Astro Awani
Apa yang lebih menarik, lampu-lampu isyarat dah disediakan supaya bot dan kapal dapat elak bahaya.
Apa gunanya ada Jambatan Angkat kalau tak dimanfaatkan
Sama ada berbaloi atau tak adanya jambatan ikonik ni, ia bergantung kepada kerajaan negeri dan orang tempatan di sekeliling. Menurut Prof Madya Dr Nur Azura Sanusi, dia menyarankan supaya kerajaan negeri memanfaatkan sepenuhnya potensi jambatan angkat sebagai salah satu ikon kemegahan negeri tu agar menjana konsep pelancongan warisan.
Konsep pelancongan warisan ni bukan sahaja dapat bagi pulangan komersial kepada penggiat industri dan peniaga-peniaga kecil, malah dapat mengekalkan warisan asli negeri Terengganu. Dari situ, ia akan menggalakkan industri perhotelan dan restoran, kraftangan, batik, songket, keropok lekor dan lain-lain berkaitan Terengganu.
Untuk rakyat tempatan pula, peluang yang akan ada perlu diambil manfaat dengan menceburi bidang perniagaan dan penyediaan perkhidmatan untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka. Perkara ni disebut sendiri Menteri Besar Terengganu, Dr Samsuri Mohktar kerana dijangkakan kedatangan pelancong akan meningkat 20% bagi tahun pertama jambatan ni beroperasi.
Apa yang penting, korang kena bangga sebab ini adalah Jambatan Angkat atau Drawbridge pertama di benua Asia Tenggara. Maka, sama-sama kita hargai dan promosikan kepada kawan-kawan tempatan dan luar negara!
- 1.3KShare sekarang!
- Email22
- Facebook1.3K
- Share