ROTI JOHN dan AYAM antara makanan yang tak digalakkan beli kat BAZAR RAMADHAN. Tapi kenapa?

Sedar tak sedar kita semua dah berada kat penghujung Ramadhan. Korang dah pergi belum port bazar Ramadhan kegemaran korang? Lagi-lagi cuti sekolah ni, bazar Ramadhan mesti padat. Kat situ lah kita boleh jumpa orang buat jejak kasih.

Kadang-kadang kalau kita pergi beli makanan kat bazar mesti kalau nasib tak baik, ada je kes keracunan makanan timbul, tak pun beli makanan tapi basi, atau pun ada lipas, lalat.  Dan tak lain tak bukan kita akan salahkan makanan yang kita dah beli tu (tak baik salahkan rezeki tau). Bukan apa, bila jadinya kes macam tu, ia membawa kepada kes pembaziran. Contohnya, kalau dah beli makanan banyak-banyak, tiba-tiba basi, maka ke tong sampah lah akhirnya.

Ergghhh… Imej dari Giphy

Bila jadinya kes makanan basi, tak bersih dan keracunan makanan ni, peniaga lupa yang diaorang kena…

Ambil satu suntikan boleh selamatkan nyawa semua orang…

Untuk nak elakkan kes macam tu daripada terus terjadi, Malaysia ada keluarkan Akta Makanan 1983 dan Akta Kawalan Penyakit 1988 yang menetapkan semua pengendali makanan megambil vaksin Typhoid / tifoid.  Suntikan dan vaksin tifoid tu memang diwajibkan untuk setiap peniaga makanan sama ada dia ada premis makanan sendiri ataupun berniaga kat kedai je. Dalam Peraturan 11, Peraturan Kebersihan Makanan 2009, ada kenyataan yang menetapkan, pemilik ataupun pengendali kedai makan dilarang menggajikan pekerja yang tak ambik suntikan vaksin ni.

Vaksin tersebut bertujuan untuk mengelakkan daripada pengusaha kedai makan ataupun orang yang menjual makanan tu dijangkiti penyakit. Selain tu, untuk mencegah penyakit tersebut daripada terus menular kat pelanggan, pembeli dan orang awam melalui makanan atau minuman.

Kalau ada tanda-tanda macam ni, pergi klinik cepat. Imej dari Doctor MJ

Tapi penyakit apa pulak ni kan? Penyakit tersebut menular menerusi makanan yang dikenali sebagai Demam Tifoid. Ataupun nama Melayunya Demam Kepialu. Penyakit tersebut merupakan jangkitan yang dibawa daripada makanan, yang disebabkan oleh bakteria Salmonella typhi (S. typhi).

Bakteria yang membawa jangkitan ni berkoloni kat dalam saluran darah, urin, dan najis manusia yang dah dijangkiti penyakit tersebut. Kalau seseorang tu diserang penyakit tersebut, bakteria tersebut akan serang saluran penghadaman pesakit tersebut. Penghidap penyakit ni selalunya sukar dikesan kalau tak ada pemeriksaan kesihatan yang teliti dan daripada pakar. Walaupun macam tu, penyakit ni senang tersebar dan berjangkit menerusi bakteria yang tersebar kat dalam najis pesakit tu.

Bila seseorang tu kena keracunan makanan secara tiba-tiba, tu bermakna makanan yang dia dah makan tu ada lah terkandung sikit-sikit bakteria tu. Sebab bakteria tersebut pun boleh merebak menerusi lalat yang hinggap kat makanan tak bertutup dengan penyediaan makanan yang menggunakan bekalan air yang tak bersih.

Kalau kita perhatikan, makanan yang dijual kat bazar ataupun kedai-kedai makan kadang-kadang cara penyediaannya tak bersih dan selalu je kita nampak makanan tu terbiar tak bertutup. Dan, menerusi makanan terbiar tu lah bakteria Salmonella typhi ni boleh merebak.

Bila kena jangkitan tu, usus pun boleh bocor tau. Imej dari MY HEALTH

Dan… jangan ambil mudah dengan penyakit ni, menurut pakar, penyakit ni boleh menyebabkan kematian. Bakteria yang menyerang saluran penghadaman manusia, juga akan merosakkan organ-organ dalaman manusia. Dan dalam satu kajian ada nyatakan yang risiko kematian bagi penghidap penyakit ni adalah sebanyak 10-30%.

Peniaga selalu ambil mudah dengan tagline ‘Lihat, Hidu & Rasa’

Selalu jugak tersebar berita yang menceritakan tentang banyak keadaan restoran yang mempunyai struktur dapur yang kotor dan tak terurus. Bukannya 1 atau 2 kedai, banyak dah perkara yang sama kerap berlaku.

Dulu, ada jugak kempen “Lihat, Hidu & Rasa” oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengurangkan risiko keracunan makanan dan penyakit demam tifoid ni serta untuk pastikan keselamatan makanan yang dijual tu. Tapi, kalau bulan puasa macam mana nak rasa tekstur makanan tu okay ke tak? Tu yang bila nampak sedap dan okay, beli jelah. Sampai rumah, tiba-tiba sakit perut.

Kalau bulan puasa tak boleh rasa tau! Imej dari Kementerian Kesihatan

Dan, baru-baru ni pihak Pejabat Kesihatan Daerah Pontian, Johor ada buat pemeriksaan kat 9 bazar Ramadhan kat kawasan tersebut. Bila diaorang buat pemeriksaan tu, hasilnya kebanyakan peniaga bazar Ramadhan kat kawasan tersebut tak ambil pun vaksin tifoid ni. Dan daripada pemeriksaan yang diaorang dah buat, cuma ada 198 gerai yang bersih daripada jumlah keseluruhan gerai iaitu 215 gerai di sekitar bazar Ramadhan kawasan tu.

“Masih ada peniaga tidak memahami kepentingan suntikan typhoid. Sepatutnya mereka (peniaga) yang terlibat dalam rantaian penyediaan makanan perlu mendapatkan suntikan tersebut.

Selain itu, masih terdapat pengendali-pengendali makanan yang tidak mematuhi peraturan iaitu seperti tidak memakai tutup kepala, tidak memakai apron dan tidak membawa sijil suntikan,” – Dr Surinah Asan, Pegawai Kesihatan Daerah Pontian, sumber dari Sinar Harian. 

Dan, bukan kat kawasan tersebut je ada kes macam ni terjadi. Sebenarnya, kat sekitar Malaysia, banyak je kes yang sama selalu terjadi. Dan daripada situasi dan aspek kebersihan yang selalu diambil mudah ni lah tercetusnya banyak penyakit berjangkit.

Bila sakit perut pernah tak rasa perut bergetar? Imej dari Giphy

Sebelum ni, di Kedah satu serbuan dalam Operasi Pra Ramadhan oleh Jabatan Kesihatan Kedah dah mengarahkan sebanyak 16 premis makanan supaya ditutup. Ia disebabkan keadaan premis tersebut terlalu kotor dan menyebabkan wabak demam kepialu tersebar. Dan ada sebanyak 211 premis dan bazar Ramadhan yang diberikan notis kompaun disebabkan kualiti pengendalian makanan yang kotor dengan tak ada rekod pengambilan suntikan tifoid. Lepas ni jangan ingat nak meniaga kat bazar Ramadhan tu senang je tau.

Dalam satu negeri, setiap hari akan ada 2 kes keracunan makanan

Memandangkan suntikan tifoid ni memang sangat penting, kerajaan ada bagitahu yang denda dan saman akan dikenakan kalau diaorang dapat tahu peniaga tak ada rekod suntikan tifoid ni. Diaorang ni boleh didenda sehingga RM10,000 ataupun penjara maksimum dua tahun disebabkan tak ikut pada peraturan kebersihan makanan yang dah ditetapkan. Denda yang ditetapkan tu mengikut Akta Makanan 1983 di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Dan, sebenarnya ambil suntikan tifoid ni tak sampai beratus pun daripada kena denda RM10,000, tak beraya lah jawabnya.

Harga untuk suntikan tu. Imej dari Kursus Pengendalian Makanan

“Kita akan keluarkan notis kepada mana-mana pengendali makanan yang didapati gagal mendapatkan suntikan berkenaan,” – Dr Zaini Hussin, Pengarah Jabatan Kesihatan Perlis, sumber dari mStar.

Kita semua tahu bila bulan puasa, semua orang akan serbu bazar Ramadhan sebab semua jenis makanan ada dijual. Tapi, disebabkan faktor kebersihan dan kelalaian pengambilan suntikan ni, ada banyak kes kematian disebabkan keracunan makanan lepas beli makanan kat bazar Ramadhan direkodkan. Dulu, ada direkodkan hampir 40% makanan kat bazar Ramadhan tu tercemar. Kalau kita perhatikan dan fikirkan betul-betul, bila agaknya peniaga ni sediakan dan masak makanan yang diaorang jual tu?

Walaupun pihak kerajaan dah keluarkan Garis Panduan Pengurusan Bazar Ramadhan, tapi masih ada lagi kes-kes keracunan makanan dan kualiti makanan tercemar yang terjadi kat bazar Ramadhan. Dan daripada kes-kes yang berpunca dari situlah, ada yang sampai meragut nyawa. Jangan terkejut, sebenarnya kat Malaysia dah banyak jadi kes macam tu tau.

Ni haa bakteria yang selalu ziarah kat makanan tu. Imej dari KPKesihatan

Dan kalau mengikut laporan media semasa, dekat seluruh negeri, akan ada dua kes keracunan makanan direkodkan setiap hari. Siapa kat sini salah seorang daripada tu, angkat tangan. ?‍♀️

Mengikut pemantauan dan pemeriksaan daripada pihak jabatan kesihatan, makanan yang selalu didapati tercemar kat bazar Ramadhan tu, antaranya Roti John dengan makanan yang berasaskan ayam. Makanan-makanan jenis macam ni akan dibungkus terlebih dulu. Sebab tu lah cepat rosak. Korang pernah tak kalau kat rumah, mak korang marah kalau bungkus atau simpan makanan tu waktu panas-panas? Haa sebab tu lah, nanti dia cepat basi. 

Disebabkan faktor penyimpanan yang begitulah, bakteria dan mikroorganisma jahat yang menyebabkan keracunan makanan ni cepat membiak. Dan ada satu kes terbaru, seorang penggiat media tempatan dimasukkan ke hospital sebab jadi mangsa pertama kat Kelantan yang kena keracunan makanan. Dalam laporan tu dia bagitahu yang dia beli lauk ayam yang dah basi dan busuk kat bazar Ramadhan. Tapi, lain pulak jadinya.

Tapi jangan makan sampai macam ni pulak. Imej dari giphy

Bila kes macam ni banyak sangat terjadi kat sekitar bazar Ramadhan, baru kita sedar yang tak semua peniaga, meniaga dengan cara yang betul. Ada yang hanya fikirkan faktor keuntungan, sampai mengenakan harga yang tinggi kat makanan tak memadai dengan struktur makanan tu sendiri. Kiranya macam indah khabar dari rupalah ni.

Kalau ada yang dah kena, korang lapor je

Kes keracunan makanan ni dapat dibendung kalau semua peniaga dan pengendali makanan patuh dengan arahan kerajaan berdasarkan apa yang diaorang dah tetapkan. Iaitu dengan ambil suntikan tifoid ni.

Dan, kalau korang ada mengalami benda sama dan rasa ada yang tak kena dengan tempat korang beli makanan kat bazar Ramadhan tu, korang boleh buat laporan kat pejabat kesihatan terdekat. Sekarang ni pun setiap kali bulan Ramadhan, pegawai kesihatan akan buat operasi kat bazar dan buat ujian kesihatan kat setiap sampel makanan yang dijual. Pihak kesihatan pun ada nasihatkan supaya peniaga ni jangan pentingkan keuntungan je, faktor kebersihan yang utama. Ingat ye kawan-kawan.

 

About Nadiya Othman 84 Articles
Hai! Saya suka baca buku tapi saya lagi suka kalau awak baca artikel ni sampai habis :)