Diculik di Sabah, pasangan Jerman ni pernah jadi mangsa tebusan di Somalia pada 2008

(This article is translation, for the original visit our sister site, CILISOS)

Seperti mana yang kita semua tahu, sejak beberapa tahun kebelakangan ni, kita dah dengar pelbagai kes penculikan di Sabah. Mangsanya pulak tak kira siapa, ada orang tempatan dan ada juga orang luar.

Tapi, masa kitorang research pasal kes-kes penculikan ni, kitorang dapat tahu satu kes yang menarik, tapi dalam masa sama cukup tragik. Kisahnya adalah tentang pasangan pengembara –  Jurgen Kantner dan Sabine Merz yang dibunuh oleh kumpulan militan Abu Sayyaf di Tanjung Luuk Pisuk. Dikatakan, tempat ni berada di Selatan Filipina (The Star), dan ada juga yang kata dekat Sabah (Manila BulletinThe Sun, dan Mapcarta).

Tapi apa yang mengejutkan, kejadian penculikan ni sebenarnya bukan kali pertama untuk diorang.

Masa diorang diculik di Somalia, diorang cuba gunakan perbezaan diorang untuk perdaya penculik

Sabine Merz & Jurgen Kantner. Imej dari Stuff NZ.

Kitorang sebenarnya tak dapat banyak maklumat pasal kehidupan Kanther sebelum dia terlibat dalam dunia pelayaran. Tapi apa yang kitorang dapat tahu adalah dia pernah ada restoran dan pernah jadi seorang jurutera.

“Pada usia 28 tahun, saya beli bot pertama saya. Saya telah hidup di atas air selama lebih dari 30 tahun, dengan bekerja di kapal, membuat pemindahan bot, dan saya dibayar dengan baik.

Saya tinggal bersama keluarga saya selama 14 tahun di kapal layar. Kedua – dua anak saya dibesarkan di atasnya.” – Kanther, katanya kepada Stern magazine.

Melalui interviu di Stern, kitorang juga dapat tahu yang Merz rupanya bukan isteri pertama Kanther. Sebabnya, Kanther dan Merz cerita yang diorang berjumpa masa umur diorang masing-masing dalam 50-an dan 60-an.

Mereka ketika zaman bahagia. Imej dari SAIL.

Lepas beberapa tahun bersama, pasangan tu ambil keputusan untuk buat satu benda yang mencabar. Benda ni nampak normal untuk Kanther, tapi tak untuk Merz. Sebabnya, inilah kali pertama dia terlibat dalam perjalanan pelayaran.

Lepas jual semuanya dan berhenti kerja, pasangan tu mulakan pengembaraan diorang pada musim panas 2007 dengan bawa kapal layar diorang dari Perancis, masuk ke Mediterranean, dan singgah kat beberapa tempat macam – Crete, Terusan Suez dan Laut Merah. Diorang rasa pengembaraan tu macam “syurga”.

Bagaimanapun, pada pertengahan 2008, diorang tergoda nak lalu jalan pintas ke Asia – melalui Teluk Aden, antara Yaman dan Somalia. Kanther tak kisah sangat, sebab dia dah pergi sana tiga kali tanpa apa-apa masalah. Tapi kali ni, nampaknya nasib tak menyebelahi diorang.

Teluk Aden. Imej dari ontheworldmap.com

Sebaik je diorang meninggalkan laluan perkapalan Aden, Kanther dengar bunyi enjin bot yang sangat laju. Bila dia dengar bunyi tu, dia dah tahu yang diorang akan ada masalah. Sebabnya, nelayan tak akan bawa bot diorang dengan kelajuan macam tu. Jadinya, dia pun beritahu Merz, “Pergi belakang dek dan pakai baju”, sementara dia ambil shotgun untuk tindakan berjaga-jaga.

Tapi rupa-rupanya, tindakannya tu tak berhasil sangat, sebab semua benda tu jadi macam sekelip mata je. Salah satu daripada dua bot merempuh kapal layar diorang (bernama Rockall) dan sekumpulan lelaki bersenjata terus menyerang naik kapal. Jadi Kanther pun ambil keputusan simpan balik senjata, untuk elak sebarang tindakan tembak menembak.

Lanun-lanun tu kata pada Kanther yang diorang cuma nak tunggu dekat bot Kanther je, untuk serang kapal yang lebih besar. Untuk elakkan apa-apa tindakan yang ganas, Kanther lepas tu cuba ambil hati lanun-lanun tu dengan masak dan baiki tangga diorang. Tapi apa yang peliknya, bila ada kapal besar yang lalu, lanun-lanun tak pulak rampas kapal tu dan nampaknya diorang memang nak Kanther dan isterinya.

Lanun Somalia. Imej dari Africanews.

Ada juga lanun-lanun ni bertekak antara sesama sendiri dalam kapal, dan akhirnya – lanun-lanun ni arahkan Kanther bawa kapalnya tu ke Somalia. Tapi dalam masa sama, Kanther nak pastikan yang kapalnya tu tetap berada dekat laluan perkapalan, supaya ada orang perasan apa yang jadi. Jadinya, Kanther beritahu lanun-lanun tu yang enjin kapal rosak.

“Salah seorang dari mereka meletakkan senapangnya di kepala saya dan ugut saya: Kalau anda tak on enjin, saya akan tembak anda sekarang. Sabine (Merz) masa tu berada di belakang saya…” – Kanther.

“… dan saya (Merz) berdiri di depannya (Kanther) dan kata: Kalau kamu tembak suami saya, kamu tembaklah saya juga. Salah seorang daripada mereka menarik senjata, dan meletakkan ia terus ke kepala kami,” – Merz.

Kapal Rockall. Imej dari Der Tagesspiegel.

Jadi, untuk elakkan apa-apa kejadian tak baik, diorang berdua pun cuba ambil kesempatan dari pengetahuan rendah lanun-lanun tu pasal enjin dan pelayaran. Kanther pun sembunyikan kunci dari wayar pencucuh dan tunjukkan salah satu suis yang dah rosak sebagai bukti yang kapalnya tak boleh berjalan.

Tapi agak lama juga Kanther nak yakinkan lanun-lanun tu, sampaikan ada seorang dari lanun tu letakkan tali kat leher Kanther dan ancam nak menggantungnya.

Merz pula masa tu dah dipegang oleh empat orang lanun dan diorang nak campak Merz masuk ke bot diorang. Merz ada cuba nak pertahankan diri, tapi nampaknya tak berjaya dan dia akhirnya dicampak masuk ke bot lanun tu.

Jadi, Kanther pun kata: “Okay, bawa isteri saya masuk kapal saya balik, saya akan buka mesin ni”. Sambil macam cuba nak betulkan suis yang “dikatakan rosak”.

Tapi bila lanun-lanun tu akhirnya terima yang memang betul kapal rosak, diorang arahkan Kanther belayar ke Somalia. Tapi sebagai pelayar berpengalaman, Kanther beritahu diorang yang angin masa tu hanya akan bawa diorang ke Asia dan bukannya Somalia. Disebabkan lanun-lanun ni tak tahu pasal ilmu pelayaran, jadinya diorang ni terima je temberang Kanther.

Imej dari tenor.com

Masa belayar, pasangan ni sebenarnya ada peluang nak lepas diri, memandangkan lanun-lanun tu dalam keadaan lapar, penat dan mabuk. Pasangan ni nak bunuh diorang guna kapak dan paip besi, tapi takut pulak bila nanti akan ada bunyi bising – kalau diorang pukul seorang lanun. Maka, diorang pun lupakan idea tu.

Lepas dua hari masa berlalu, lanun-lanun tu ambil keputusan untuk tarik kapal Kanther dengan gunakan bot kecil diorang. Lepas 11 jam, diorang semua mendarat di Puntland, dan di sana diorang dalam tawanan selama 52 hari.

Dalam satu interviu pada 2008, Kanther ada beritahu yang – mempunyai senjata sebenarnya berguna sebagai cara mempertahankan diri. Terutamanya bila dia dah lalui pelbagai jenis cubaan untuk menakut-nakutkan macam – cubaan bunuh dan rogol.

Lanun-lanun yang berjaya ditangkap oleh tentera laut pada 2011. Imej dari maritime-executive.com

“Kami banyak terseksa semasa tempoh menjadi tawanan. Contohnya, lepas lanun-lanun tu membawa kami ke persisir, salah seorang dari mereka cuba merogol Sabine.

Dan sekali kami terpisah, saya terdengar bunyi dua tembakan. Mereka beritahu saya yang mereka baru saja bunuh Sabine dan sekarang ni giliran saya pula.

Mereka pukul saya dengan rifel – gigi saya masih longgar – dan mahu menutup mata saya, tapi saya tolak. Saya nak berdepan dengan pembunuh saya.

Dia datang kepada saya menarik trigger dan menembak saya. Rupanya senjata tu tak ada peluru. Ia adalah pembunuhan, tanpa kematian.” – Kantner.

Dalam masa sama, lanun-lanun tu tetap bertegas nak dapatkan wang tebusan dari Jerman. Jadinya, Kanther terpanggil nak buat rundingan. Kanther pun cuba eksploitasi kelemahan lanun-lanun tu dari berbahasa Jerman, dengan dedahkan lokasi sebenar diorang menggunakan peranti GPS yang diseludup.

Lepas tu, dia minta pegawai di Jerman hantar helikopter untuk selamatkan diorang. Tapi benda tu tak menjadi. Lepas beberapa hari berlalu, lanun – lanun ni mula hilang sabar dan tambahkan lagi ancaman.

Scene filem – Kapringen. Imej dari Film Doktoru.

Syukurlah, dia terselamat…tapi dia pergi balik Somalia sebab nak dapatkan semula kapalnya

Akhirnya, penantian tu berakhir bila wang tebusan $600,000 dilaporkan dah disampaikan oleh pegawai Puntland. Diorang pun dibebaskan dan kembali semula ke Jerman. Tapi rupanya, kepulangan tu lebih menambahkan lagi kegelisahan.

“Perspektif saya di Jerman adalah nak sambung tidur di lantai bersama ibu saya di rumah persaraan, seperti mana yang kami lakukan berbulan selepas kami dibebaskan. Jadi, apa saya patut buat di sana?

“Selain itu, selepas masa yang panjang di luar negara, saya tak ada kawan – kawan di sana.” – Kanther.

Tambahan lagi, Kanther masih lagi terkilan dengan dakwaan kurangnya bantuan dari pihak berkuasa Jerman. Bagaimanapun, keadaan tak la muram je selamanya, sebab pada 2009, sorang rakyat Somalia yang tinggal di Jerman ada hubungi Kanther dan beritahu kedudukan di mana kapalnya yang dah dirampas tu.

Kanther & Merz dekat Somalia tahun 2009. Imej dari Newsweek.

Walaupun dinasihatkan supaya duduk kat rumah je, “pelayar Jerman” dan isterinya ni tetap berlepas ke Kenya dan seterusnya memandu ke Somalia dengan kereta untuk cari balik kapalnya yang dirampas tu. Diorang pun jumpa kapal tu, tapi malangnya banyak barang-barang dalam kapal tu dah pun dicuri.

Apa yang lebih pelik, diorang dapat tahu bukan je lanun yang curi duit, baju dan alkohol diorang, tapi juga pengawal pantai yang kemudiannya jual barang-barang tu kepada penduduk tempatan. Oleh itu, dia dan Merz, dengan bantuan penduduk setempat, terpaksa mencari bahagian ganti, dan salah satunya adalah dengan pasang enjin Toyota lama dekat kapal.

Merz dengan pengganti enjin. Imej dari Yacht.

Sementara tu, diorang juga buat persediaan mempertahankan diri untuk pelayaran seterusnya ke Malaysia, supaya dapatlah diorang enjoy percutian diorang tu.

“Saya mengisi botol Schapp dengan acid. Lepas tu saya buat molotov cocktail dan saya simpannya di kokpit.”  – Kantner.

Tapi malangnya, pengembaraan diorang tergendala, bila diorang diculik sekali lagi. Dan kali ni di Tanjung Luuk Pisuk.

Malangnya, nasib diorang tak baik untuk kali kedua…

Bila militan Abu Sayyaf memintas kapal Kanther dan Merz di Tanjung Luuk Pisuk, militan tu pun memulakan serangan. Tukang cakap Abu Sayyaf kata – Merz cuba melawan dan cuba tembak diorang, jadi diorang pun bunuhnya. Kanther pulak di tangkap dan ditahan sebagai tebusan.

Sampai Februari 2017, video dari Abu Sayyaf mula tersebar. Video tak lebih 2 minit tu menunjukkan Kanther dan kata yang diorang akan penggal Kanther nanti, kalau diorang tak dapat wang tebusan – $600,000 dalam masa yang ditetapkan.

“Sekarang, mereka akan bunuh saya.” – Kata Kanther dalam video tu.

Sebelum dibunuh. Imej dari Straits Times.

Walaupun merayu, dia tak diselamatkan. Seminggu lepas tu, dia dah dipenggal oleh militan, dan tentera juga jumpa badan dan kepalanya. Mayatnya kemudian dibawa ke rumah mayat hospital di Sulu, sementara urusan membawa balik mayat ke Jerman dibuat.

Pasangan ni memang menghadapi satu pengakhiran tragik, bila nyawa diorang berakhir di tangan militan. Tapi, pasangan ni juga nampaknya tak ada jalan lain, bila diorang dengan tegas pernah kata – yang diorang lebih rela hidup dan mati ketika belayar di atas kapal, dari hidup bosan di rumah.

“Belayar adalah cara yang saya mahu untuk hidup dan mati.” – Kanther.

 

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.