- 278Share sekarang!
- Email9
- Facebook269
- Share
(This article is translation, for the original visit our sister site, CILISOS)
Baru-baru ni Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Universiti Malaya (UM) keluarkan satu laporan yang dinamakan Panduan Belanjawanku. Laporan ni tunjukkan berapa banyak duit yang diperlukan sebulan untuk hidup bagi beberapa kategori orang yang berbeza.
Bagi yang belum tengok laporan ni – cadangan perbelanjaan ni adalah untuk keperluan asas, ada kehidupan sosial dan supaya hidup korang ada makna kat Lembah Klang.
Baru-baru ni jugak ada orang tulis – Jabatan Perangkaan Malaysia tunjukkan hampir separuh rakyat Malaysia berpendapatan rendah, iaitu RM1,700 ke bawah. Sebab benda ni lah ramai orang yang terpaksa pergi ke luar negara untuk mencari pekerja. Selalunya kita dengar orang pergi Australia untuk kutip buah.
Kitorang lakukan kajian, dan nampaknya kiraan gaji minima ni pun bukan suka-suka hati je, ada kiraan dia…
Ada formula matematik yang khusus untuk kira gaji minima…meh kitorang tunjukkan
Sebelum kitorang tunjukkan nombor-nombor yang boleh buatkan kepala korang berasap, meh kitorang beritahu beberapa benda. Bila kita sembang tentang gaji minima, maksudnya gaji basic, tak termasuk elaun atau komisyen lah. Semua pekerja di Malaysia sepatutnya dapat gaji minima. Cuma benda ni tak terpakai untuk pekerja domestik (tukang sapu dan pembantu rumah contohnya). Mana-mana majikan yang tak patuhi benda ni boleh didenda sehingga RM10,000 tau.
Gaji minima ni bermula pada tahun 2012, bila kerajaan tubuhkan Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan (NWCC). Diorang sepatutnya lakukan kajian untuk gaji minima setiap tahun. Kitorang pun tak tahu macam mana diorang kaji, tapi menurut Persatuan Buruh Antarabangsa (ILO), ada formula matematik untuk kira gaji minima:
Bahagian pertama formula tu (yang ada kurungan) adalah untuk kira ‘gaji lantai’, asas kepada gaji minima yang tak ambik kira faktor luar macam kadar pengangguran dan inflasi. Formula ni ambik kira dua benda;
- Berapa banyak yang pekerja secara realistiknya perlukan dalam sebulan, dengan bahagikan Indeks Kadar Kemiskinan (PLI) dengan jumlah tanggungan.
- Kadar gaji penengah (median), dalam artikel ni kitorang akan gunakan gaji kelas 40% ke bawah (B40%).
Jumlah sebenar adalah berdasarkan rundingan dan pertimbangan
Kalau korang baca betul-betul formula yang kitorang bagi tadi, korang mungkin perasan satu benda yang pelik: walaupun PLI dan hasil kiraan paling rendah kat Semenanjung, gaji diorang lebih tinggi pada tahun 2016, apa pasal eh?
Ingat tak Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan yang kitorang sebut awal-awal tadi? Kerja diorang adalah keluarkan formula dan kriteria untuk membimbing kerajaan supaya dapat keluarkan gaji minima yang terbaik. Pada akhirnya, semua tu akan bergantung dengan keputusan kerajaanlah. Diorang boleh terima cadangan NWCC atau datang dengan perancangan lain…
Dalam kes kat Sabah dan Sarawak – bila gaji minima ni dilaksanakan (2013), gaji purata untuk syarikat kecil dan sederhana kat dua negeri ni amat rendah. Terus majikan kat sana kata kalau gaji minima ni lebih dari RM800, diorang mungkin akan tutup kedai dan bankrup.
Lepas lakukan rundingan, ia diputuskan bahawa gaji untuk Semenanjung Malaysia akan jadi RM900, dan gaji Sabah & Sarawak RM800. Cuma dengan syarat Sabah dan Sarawak kena kurangkan kadar (PLI) diorang untuk seimbangkan Semenanjung Malaysia.
Tahun lepas, bila kerajaan selaraskan gaji minima kepada RM1,050 untuk ketiga-tiga kawasan kat Malaysia, ada beberapa majikan yang bangkitkan rasa tak puas hati, sebabnya infrastruktur kat sana tak sama dengan Semenanjung Malaysia. Apabila kerajaan kata nak bagi gaji minima ke RM1,500 dalam masa lima tahun, nampaknya laluan tu macam sukar je.
Salah satu sebabnya, katanya keadaan ekonomi negara kita tengah teruk. Kalau ikutkan Perdana Menteri kita, duit negara diutamakan untuk bayar hutang, dan dia jugak kata kita mungkin akan tak kompetitif kalau kadar gaji minima terlalu tinggi.
“Tetapi kita berada dalam keadaan di mana banyak dana yang digunakan untuk membayar hutang – hutang besar – dan memberi layanan faedah hutang. Jadi kita tidak dapat meningkatkan perbelanjaan. Dan kita perlu ingat, kita bersaing dengan negara lain. Sekiranya kos meningkat terlalu tinggi, kita akan kehilangan kelebihan daya saing kita, “- Tun Mahathir, dipetik dari MalayMail
Banyak benda yang kena dipertimbangkan kalau nak laksanakan gaji minimum RM1,500
Kalau tengok dari sudut majikan pulak, peningkatan gaji akan tingkatkan kos operasi. Bukan setakat gaji je, KWSP, SOCSO, dan upah gaji lebih masa pun akan turut terkesan. Dan selalunya bila pekerja yang dapat upah paling rendah dinaikkan gaji, pekerja yang lain pun kena naik jugak. Jadi, benda ni akan beri bebanan pada majikan dan boleh buat pelabur lari.
Lagi satu, punyalah isu gaji minima ni panas – sampai tahap ada majikan yang nak saman kerajaan kat mahkamah sebab naikkan gaji minima lagi RM50 hari tu.
Untuk keadaan sekarang, naikkan gaji minima ni mungkin boleh berlaku, tapi bukan untuk semua orang. Baru-baru ni Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran ada cakap yang gaji RM1,100 ni terlalu tinggi untuk sesetengah sektor pekerjaan. Dia cakap macam ni lepas dapat aduan dari majikan.
Walaupun kerajaan kata akan kekalkan gaji minima RM1,100 tu, tapi diorang tetap tengok kalau-kalau ada gaji minima yang lebih realistik. Kali ni berdasarkan jenis perniagaan dan pekerjaan.
“Berdasarkan maklum balas, kementerian telah mendapati bahawa kenaikan tu adalah satu lonjakan yang telah menyebabkan kos operasi menjadi lebih tinggi.
Kita akan mempertimbangkan gaji minimum berdasarkan sektor, sebagai contoh, menetapkan gaji minimum untuk perladangan, hotel dan kedai kopi, antara lain, berdasarkan gaji minimum yang lebih realistik,”- M Kula Segaran, dipetik dari The Star.
Sepatutnya perbincangan gaji ni melibatkan semua pihak
Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) tak setuju dengan idea itu, dia kata sepatutnya gaji dibincangkan di antara majikan dan pekerja, dan tak elok hanya pihak-pihak tertentu je yang terlibat dalam hal nak bincang gaji ni. Setiausaha MTUC kata – idea untuk perkenalkan idea gaji minima mengikut sektor tak baik – sebab ada je syarikat yang sama sektor, tapi jumlah keuntungan jauh gila berbeza.
Ada jugak yang cadangkan gaji minima ni sepatutnya ditentukan ikut kawasan, sebabnya kos sara hidup pun berbeza – lain tempat, lainlah kos sara hidup dia. Salah seorang yang kata macam ni adalah ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, dia kata;
“Kos hidup di kawasan bandar jauh lebih tinggi daripada di kawasan luar bandar, oleh itu upah di kawasan bandar harus lebih tinggi. Semakin banyak bandar anda, semakin tinggi kos sara hidup dan oleh itu, gaji minimum anda harus berdasarkan itu. Itulah sebabnya kita patut mengambil pendekatan upah minimum berasaskan kawasan,”- Charles Santiago, dipetik dari FMT
Jadi, korang rasa macam mana sepatutnya gaji minima yang ada kat Malaysia ni ditentukan? Ikut kawasan atau ikut sektor? Korang rasa patutkah gaji minima kita ditukar ke RM1,500? Cuba beritahu kitorang…
- 278Share sekarang!
- Email9
- Facebook269
- Share