Harvard buat kajian ke atas sekumpulan kanak-kanak daripada kecil sehinggalah tua, dan ini penemuan mereka

Pada tahun 2022, dilaporkan bahawa kes bunuh diri di Malaysia telah meningkat sebanyak 81% lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya. Menurut Khairy Jamaluddin, antara faktor-faktor yang dikenal pasti termasuklah masalah kewangan seperti hilang kerja; serta masalah keluarga seperti cerai, hilang orang tersayang, dan juga penderaan domestik.

Kesihatan mental memang merupakan satu perkara yang serius dan perlu ditangani secara menyeluruh, daripada segi ekonomi hinggalah ke penjagaan kesihatan seperti terapi dan kaunseling.

Tapi kami di SOSCILI tertanya-tanya, apa lagi faktor yang membuatkan seseorang itu lebih gembira berbanding yang lain? Ada tak satu aspek kita boleh usahakan, supaya kita boleh mengharungi cabaran-cabaran hidup dengan lebih teguh?

Lama kami berfikir, hinggalah kami bertemu dengan satu kajian oleh Harvard yang cuba menjawab soalan ini. Kajian ini bermula sejak 85 tahun yang dulu dan masih berjalan kini, di mana…

Sekumpulan kanak-kanak mula diperhati dan dikaji sehinggalah mereka tua

Imej dari TED Talk

Kajian ini bermula sejak tahun 1938 oleh Harvard Study of Adult Development. Era itu dikenali sebagai The Great Depression di mana ekonomi dunia sedang merudum teruk. 724 orang lelaki dipilih oleh Harvard dan kehidupan mereka dijejaki dari semasa ke semasa sehinggalah akhir hayat.

Subjek kajian ini terdiri daripada dua kumpulan:

  1. Kumpulan pertama: Pelajar-pelajar baru di Harvard seramai 268 orang. Mereka habis belajar sewaktu Perang Dunia Kedua. Sebahagian besar daripada mereka terlibat dengan peperangan ni.
  2. Kumpulan kedua: Sekumpulan budak-budak kecil di kawasan kejiranan yang miskin di Boston seramai 456 orang. Mereka datang dari keluarga yang miskin dan susah ketika tu.
Kumpulan kanak-kanak di Boston. Imej dari TED Talk

Apa yang menarik, salah seorang lelaki yang terlibat dalam kajian ini adalah bekas Presiden US, John F. Kennedy. Macam yang kita tahu, akhirnya dia ditembak mati. Satu lagi benda lagi yang menjadi persoalan adalah ketiadaaan wanita dalam kajian ini kerana pada waktu itu, wanita tidak dibenarkan belajar di kolej.

Macam mana nak kaji hidup mereka dari semasa ke semasa?

Pada awal kajian ini, semua remaja telah ditemu ramah. Setiap dua tahun, survey akan dibuat bertanyakan kualiti perkahwinan, kepuasan bekerja dan aktiviti-aktiviti sosial. Setiap lima tahun, kesihatan fizikal mereka akan dipantau termasuklah X-ray dada, ujian darah, ujian air kencing, ujian jantung serta imbasan otak. Selain itu, penyelidik juga akan bersembang dengan ibu bapa ataupun anak-anak mereka.

Hari ini, kajian ini masih diteruskan ke atas 40 orang yang masih hidup daripada 724 orang tadi. Majoriti mereka berumur dalam lingkungan pertengahan 90-an.

Setiap satu daripada subjek kajian ini ada warna-warni hidup yang tersendiri. Ada yang telah menjadi ahli perniagaan yang berjaya, doktor, peguam dan salah seorangnya jadi Presiden. Aa juga yang berakhir dengan skizofrenia dan ketagihan alkohol.

Muka budak-budak Harvard. Imej dari TED Talk.

Harvard mengumpul berpuluh ribu data untuk menjawab persoalan “Apa yang membuatkan seseorang itu gembira dan berjaya?” Dan jawapan yang mereka dapat adalah…

Dan apa yang mereka dapati adalah…

Hubungan sosial menjadi penyumbang utama ke arah kegembiraan dan kebahagiaan

Menurut Prof. Waldinger, ada tiga perkara besar yang disimpulkan daripada kajian ini yang telah berlangsung hampir seabad lamanya ini:

1) Kajian ini mendapati mereka yang mempunyai hubungan sosial yang sangat baik juga ada kehidupan yang lebih gembira, kesihatan yang baik, serta lebih panjang umur. Mereka berhubung dengan keluarga, kawan-kawan dan komuniti. Hubungan inilah yang akan melenyapkan rasa kesunyian dalam diri.

Sebaliknya, mereka yang hidup mengasingkan diri serta selalu kesunyian juga selalu rasa sedih. Kesihatan makin merudum sejak awal pertengahan umur, fungsi otak makin berkurang serta kehidupan makin pendek.

2) Daripada segi hubungan sosial, kualiti adalah lebih penting daripada kuantiti. Contohnya, ada je orang yang ramai kawan, tapi bila melepak tetap terasa sunyi. Ada pula orang yang dah kahwin tapi terasa sunyi dalam alam perkahwinan. Bayangkanlah mereka yang berada dalam perkhawinan yang penuh konflik, akhirnya dia akan mula tak jaga kesihatan serta membawa kepada penceraian.

3) Hubungan sosial yang baik akan melindungi badan dan otak kita. Walaupun dah berusia 80-an, subjek-subjek dalam kajian ini masih ada orang di samping mereka tatkala susah dan senang.

Kesan Pygmalion: Di mana orang sekeliling memberi pengaruh besar pada diri kita

Bila kita renung baik-baik poin-poin Prof. Waldinger tadi , memang orang keliling kita ni penting untuk menyinari hidup kita.

Dalam istilah psikologi, situasi ini dipanggil sebagai Pygmalion Effect (Kesan Pygmalion). Maksudnya, jatuh bangun seseorang itu dipengaruhi oleh persekitarannya. Kalau situasi di sekeliling bagi banyak harapan dan peluang, kemungkinan untuk kita meningkatkan kualiti kehidupan adalah lebih tinggi.

“Secara umumnya, orang akan cenderung meningkatkan prestasinya ke satu tahap yang dijangkakan oleh orang lain. Kalau anda tidak menjangkakan lebih dari orang yang bekerja dengan anda, ia tidak akan memberi inspirasi untuk mereka berbuat sesuatu ke tahap kemampuan sebenar mereka.”- Petikan dari Personal MBA.

Imej dari The Rosenthal Experiment

Mungkin ada yang terfikir, kalau makin banyak orang meletak harapan kepada kita, bukan lagi banyak tekanan ke?

Hakikatnya, apabila kita dijadikan tempat orang lain berharap, ia akan menjadi satu cabaran serta mampu mengubah hidup kita. Situasi ni juga menjadikan kita sentiasa muhasabah diri serta menghindari diri daripada sebarang bentuk ketagihan atau tabiat buruk yang boleh memudaratkan.

Perkara ini akan jadi bertambah positif apabila orang di sekeliling suka korang dan sentiasa membantu. Sampai perkara luar biasa atau cabaran yang getir pun dipermudahkan.

Lumrah manusia, kita perlukan sokongan daripada insan lain

Macam yang disebut oleh Prof. Waldinger, hubungan sosial yang baik akan melenyapkan kesunyian. Kena ingat kesunyian memang merupakan satu sindrom yang perlu diberi perhatian. Di UK, kabinet mereka siap ada (Minister for Loneliness) untuk menangani isu kesunyian apabila lebih 14% daripada rakyat UK mengalami masalah ini.

Selain Menteri Sukan, dia juga Menteri Kesunyian. Imej dari Smithsonianmag

Menurut Myhealth, sindrom kesunyian di Malaysia banyak terkena kepada lelaki dan wanita yang belum berkahwin. Ini berdasarkan trend kahwin lewat yang semakin meningkat saban tahun. Simptom-simptom termasuklah mudah tertekan, sukar tidur, berat badan cepat naik atau turun, keinginan membunuh diri dan penyalahgunaan bahan-bahan seperti arak, dadah dan rokok.

Dah tentunya masalah kahwin lewat ada banyak sebab seperti kedudukan kewangan, fokus kepada kerjaya, pilihan peribadi dan banyak lagi. Persoalannya, adakah masyarakat kita mempunyai sokongan sosial yang lain supaya kita tidak bergantung kepada perkahwinan semata-mata? Seperti yang disebutkan tadi, masalah rumah tangga juga menyumbang kepada tekanan mental, jadi kita tak mahulah semberono kahwin tanpa mengambil kira keserasian, kedudukan kewangan dan sebagainya.

Jadi, tiba masanya untuk kita membina kembali hubungan sosial yang berkualiti. Kena carilah siapa yang boleh beri pengaruh positif sesama kita, sama ada di kalangan keluarga, kawan-kawan, jiran, rakan sekerja, mahupun komuniti.

Pada masa yang sama, mungkin kita juga kena menjauhkan diri dengan pengaruh-pengaruh negatif. Mungkin anda ada kawan yang tak penat nak bergosip 24 jam. Dah tegur tapi terasa, jadi apa yang kita boleh buat diam sahaja dan mula menjauhkan diri daripada unsur-unsur yang tidak membawa manfaat. Bak kata pepatah, “sayang member, tinggal-tinggalkan on read”, begitulah ceritanya.

*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 7 Disember 2018

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT