3 kontroversi atlet transgender dalam sukan kategori wanita

Dalam negara kita, jarang isu transgender ni naik dalam dunia sukan. Kebanyakan isu sukan kita berkisarkan ranking bola sepak makin jatuh menjunam-junam, badminton tiada pelapis macam Lee Chong Wei atau pun orang ramai kecam atlet yang buat silap macam dalam kes pemain skateboard hari tu.

Sekarang ranking bola dah 169. Imej dari FIFA.

Kalau di luar negara, ada juga bincang pasal kualiti-kualiti atlet dan sebagainya. Cumanya, ada perbincangan hangat apabila ada atlet transgender yang menang bila masuk sukan kategori wanita. Dalam dunia sukan, golongan Transgender ni dibenarkan bertanding dalam acara sukan yang mereka terlibat.

Tapi, nampaknya ada satu isu besar berlaku apabila seorang wanita Transgender dah menjadi juara acara basikal UCI Masters Track World Championship iaitu Rachel McKinnon berusia 36 tahun. Namun, pemenang tempat ketiga, Jen Wagner-Assali dah menulis dalam twitter-nya bahawa benda ni tak adil. Maka dari situ, isunya ni jadi semakin besar.

Jen Wagner minta maaf, tapi dia akan usahakan supaya peraturan diubah

Dalam gambar senyum. Kat Twitter macam perang. Imej dari Cycling Weekly.

Semuanya bermula apabila Rachel McKinnon berumur 36 tahun menjadi juara bagi kategori 35 hingga 44 tahun. Dia dah mengalahkan dua atlet wanita lain, Caroline van Herrikhuyzen dan Jen Wagner-Assali. Cumanya, Rachel ni adalah seorang wanita yang pada asalnya lelaki atau bahasa mudahnya transgender lah.

Selepas semua dah senyum kat podium ambil pingat, Jen Wagner yang berada di tempat ketiga dah meluahkan perasaan di Twitter-nya dengan mengatakan perlumbaan tu tak adil. Kuasa media sosial dah menghangatkan tweet si Jen yang juga dibalas semula oleh Rachel.

Berlainan pula dengan pemenang tempat kedua, Caroline yang menegaskan bahawa perlawanan tu adil. Sepatutnya kalau Jen tak puas hati dengan perlumbaan, dari awal lagi tak perlu sertai kejohanan tu.

“Tiada seorang transgender pun yang mencuri pingat sesiapa. Kita mempunyai perlumbaan yang jujur dibawah peraturan Union Cycliste Internationale (UCI). Jika anda bersaing bermakna anda menerima undang-undang itu, jika sebaliknya, jangan bersaing.

Saya hanya boleh membayangkan apa yang telah Rachel lalui dalam hidupnya hingga ke mana dia sekarang, betapa susahnya untuk dia menyesuaikan diri.”- Caroline van Herrikhuyzen, petikan dari Daily Mail.

Apa barang gaduh kat Twitter. Gaduh lah depan-depan.

Dalam undang-undang sukan berbasikal di US yang turut merujuk ICU dan IOC, untuk atlet yang menukar jantina dari lelaki kepada perempuan memang dibenarkan untuk bertanding dalam kategori wanita. Antara perkara penting yang atlet kena patuh adalah:

  1. Atlet kena isytihar identiti jantinanya adalah perempuan. Pengisytiharan tu tak boleh diubah untuk tujuan sukan, sekurang-kurangnya empat tahun.
  2. Atlet perlu buktikan jumlah tahap testosteron dalam serum adalah di bawah 10 nanomole per liter (Nmo/l), sekurang-kurangnya 12 bulan sebelum pertandingan pertama.
  3. Jumlah tahap testosteron dalam serum bagi atlet kena sentiasa bawah 10 Nmo/L sepanjang kelayakan yang diperlukan untuk bersaing dalam kategori wanita.

Mesti ramai yang tengah garu kepada bila baca perkataan testosteron tu. Dah macam nama restoran hipster dah. Testosteron secara ringkasnya adalah hormon seks bagi lelaki dan wanita. Cumanya, ia adalah hormon utama seks lelaki. Testosteron ni lah yang menjadi kunci utama tumbesaran tisu organ pembiakan macam testis. Begitu juga tumbesaran otot dan tisu-tisu tulang dalam rangka (bone mass) serta pertumbuhan bulu badan.

Secara puratanya, tahap testosteron bagi lelaki dewasa adalah 7 atau 8 kali lebih tinggi berbanding wanita dewasa. Macam yang diterangkan kat atas tadi, atlet transgender yang pilih kategori wanita mesti punyai tahap testosteron dalam serum kurang dari 10 Nmo/L. Ianya boleh diukur dengan ujian darah dalam makmal yang dikenali sebagai Ujian Serum Testosteron.

Perempuan paling power pun 2.4. Imej dari Gendertrender.

Macam tu lah peraturan yang mesti atlet transgender patuh. Berbalik kepada Jen Wagner yang tak puas hati tadi, dia minta maaf tapi takkan mengalah. Sebabnya ada sekumpulan dalam kalangan atlet basikal ni sedang berusaha untuk mengubah peraturan ini diluar talian. Tak nak lah memekak dalam media sosial saja.

Untuk pengetahuan korang, isu atlet transgender bukan dalam kejohanan atlet profesional saja. Ianya dah menjadi perbincangan melibatkan sukan di taraf sekolah tinggi lagi tau.

Baru pertama kali masuk, terus jadi juara kejohanan

Untuk kes ni, ianya bermula pada tahun 2017 apabila Andraya Yeawood mula memenangi perlumbaan 100m dan 200 meter lumba lari kategori perempuan. Ini adalah pertandingan bagi pelajar-pelajar sekolah tinggi di dalam negeri Connecticut, US. Andraya ni lahir sebagai lelaki tapi dah dikenal pasti sebagai perempuan dan masih belum menjalani rawatan hormon ketika tu. Kemunculan Andraya ni masa tu belum buat orang lain panas lagi.

Sehinggalah tahun 2018 apabila Andraya dapat tempat kedua dalam kejohanan lumba lari peringkat Connecticut bagi pelajar sekolah tinggi, manakala tempat pertama adalah Terry Miller. Si Terry ni juga adalah atlet transgender kerana dilahirkan sebagai lelaki tapi akhirnya dikenal pasti menjadi perempuan. Ramai gila tak puas hati termasuklah atlet perempuan lain, ibu bapa dan para jurulatih.

“Saya rasa ianya tak adil kepada perempuan-perempuan yang telah berusaha bersungguh-sungguh dan layak untuk kejohanan ini.”- Selina Soule yang berada di tempat keenam.

Tahniah! Imej dari WNG.

Seorang ibu dalam kalangan atlet ni dah buat satu petisyen yang berjaya mengumpul sebanyak 60 tandatangan. Ianya diserahkan kepada persatuan lumba lari negeri tu (Connecticut Interscholastic Athletic Conference) supaya atlet hanya boleh bertanding dalam kategori yang jantinanya dah betul-betul dikenal pasti. Kemudiannya, muncul lagi satu gerakan petisyen yang dihantar kepada semua pengarah sukan olahraga di sekolah tinggi dalam negeri Connecticut. Petisyen ni berjaya mengumpul 80 tanda tangan sokongan.

Dalam ramai-ramai yang tak puas hati, nampaknya pemenang tempat ketiga acara lumba lari 100 meter, Bridget Lalonde tak rasa kecewa pun apabila dua atlet transgender mengalahkannya.

“Sejujurnya, saya rasa ianya bagus apabila mereka berpeluang untuk bersaing dan selagi mereka gembira, saya rasa tak banyak yang boleh saya buat. Peraturan tetap peraturan.

Pesaingan adalah masa kerana anda hanya boleh berlari selaju yang boleh.“- Bridget Lalonde, petikan dari Hartford Courant.

Kalau zombie Kg Pisang ni kejar. Siapa-siapa pun boleh lari laju.

Daripada dua kes yang kami dah tulis ni, semuanya kalah dengan atlet transgender. Bayangkan kalau atlet transgender tu pula kalah dengan wanita. Apa yang berlaku?

Fallon Fox tumbuk muka lawan sampai retak tulang mata

Imej dari The Libertian Republic.

Dalam sejarah sukan Mixed Martial Art (MMA) wanita, Fallon Fox adalah atlet transgender yang pertama yang bertanding. Tapi, macam mana seorang yang pada mulanya lelaki ni, boleh terjebak ke dalam MMA ni?

Sejak berumur lima atau enam tahun, Fallon dah pun bertarung secara psikologi mengenai identiti jantinanya. Lama kelamaan, dia percaya bahawa dirinya merupakan lelaki gay. Namun, dia mendirikan rumah tangga dengan kekasih wanitanya sewaktu berumur 19 tahun serta punyai seorang anak perempuan. Kemudiannya, dia memilih untuk menyertai pasukan Askar Laut US serta berkhidmat sebagai Pakar Operasi dalam USS Enterprise.

Selepas meninggalkan dunia askar, dia pergi sambung belajar di Universiti Toledo. Tekanan psikologi terhadap identiti jantinaya dah menjadi punca pelajarannya tak dapat ditamatkan. Hidupnya diteruskan sebagai pemandu trak bagi mengumpul duit untuk melakukan Pembedahan Sex Reassignment (SRS). Dia juga ada pergi Bangkok bagi menjalani pembedahan jantina, membesarkan payu dara dan pemindahan rambut di sana.

Pembedahan pasang siap…

Pada tahun 2013, Fallon Fox muncul dalam temu bualnya bersama penulis Outsport, Cyd Zeigler selepas dua perlawanan profesionalnya di MMA. Kontroversi mula tercetus apabila ada semacam kekeliruan dalam pemberian lesen MMA kepada dia melalui Majlis Olahraga Negeri California dan Florida. Dia menjawab kontroversi tu dengan mengatakan bahawa transgender boleh berlawan dalam kategori wanita.

Kritikan dari ramai pihak ni juga dah menyebabkan perlawanan Fallon Fox pernah ditangguhkan. Namun, pihak MMA tetap teruskan sebab dia ada lesen. Dalam kebanyakan perlawanan yagn disertainya, dia menang secara Technical KO (TKO) dan KO. Ada satu tahap ni, dia kalahkan Tamikkan Brents hingga dia mengalami retak tulang mata (orbital bone) serta gegaran otak.

“Saya dah berlawan dengan ramai wanita dan tak pernah merasa kekuatan yang saya rasa dalam perlawanan malam itu. Saya tak boleh jawab sama ada ia kerana dia lahir sebagai lelaki atau bukan sebab saya bukan doktor.”- Tamikka Brents, dari Twitternya.

Kalau fikir balik, perempuan mana yang boleh kalahkan dia ni? Sebaliknya, dah berlaku kejutan apabila Ashlee Evans-Smith bertemu Fallon. Dua orang ni dah bertemu dalam perlawanan akhir Championship Fighting Alliance (CFA) 12. Macam biasa, Fallon dah menguasai pusingan pertama. Bila masuk pusingan kedua, Ashlee dah mula tunjuk taring. Di pusingan ketiga, segalanya berakhir buat Fallon apabila pengadil terpaksa hentikan perlawanan kerana tumbukan Ashlee secara bertubi-tubi. Ashlee menang melalui TKO.

Ni kalau gaduh dengan suami. Tak tahulah macam mana. Imej dari Excelle Sports.

Sampai sekarang, hanya Ashlee satu-satunya atlet yang berjaya mengalahkan Fallon dalam sejarah MMA. Tapi, komen Ashlee terhadap Fallon macam tak ada beza dengan orang lain.

“Saya rasa seperti perlunya ada organisasi transgender, saya tak rasa Fallon perlu berlawan dengan lelaki. Saya tak rasa dia perlu berlawan dengan wanita. Di sana perlu adanya organisasi yang unik untuk mereka yang memerlukan.”- Ashlee Evans Smith, petikan dari  MMAinterviews.

Ashlee juga mengatakan kalau ada lagi pihak tawarkan satu kontrak perlawanan dengan Fallon, dia takkan lawan. Baginya, dia nak lawan dengan seseorang yang lahir dengan asal-usul yang sama. Dia harap pihak komuniti LGBT tak pandang serong terhadap pendapatnya kerana dia merasakan Fallon mempunyai kelebihan kalau berlawan dengan wanita.

Sukan dan isu transgender juga ada masalahnya yang tersendiri

Ada banyak lagi isu atlet transgender dalam beberapa sukan lain yang kami tak sentuh. Isu ni juga tak terhenti di peringkat tertentu sahaja. Dua tahun dari sekarang, semua negara akan menyaksikan Sukan Olimpik Tokyo 2020. Setakat ni tak ada atlet transgender yang pernah bertanding dalam Olimpik melainkan Olimpik Musim Sejuk sejak 2004.

Laurel Hubbard atlet angkat berat New Zealand yang mendominasi acara ni. Dia adalah wanita transgender. Imej dari Newshub

Beberapa prestasi atlet transgender dalam beberapa sukan wanita antarabangsa sebenarnya dah menimbulkan keraguan oleh pihak antarabangsa termasuk Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC). IOC dah meletakkann syarat yang lebih ketat bagi Olimpik 2020 dengan merendahkan lagi tahap testosteron bagi atlet transgender kategori wanita dari 10 Nmo/L kepada 5 Nmo/L. Undang-undang tu bakal dikenakan pada 55 kategori sukan termasuk memanah dan gusti.

Kalau korang nak tahu, orang yang minta undang-undang ni diketatkan lagi adalah Joanna Harper. Dia adalah atlet perempuan transgender dan menjadi ahli penasihat IOC. Baginya, dalam sukan bertaraf tinggi, wanita transgender akan ada kelebihan fizikalnya yang tersendiri. Begitulah isu ni diuruskan oleh dunia sukan, korang rasa macam mana?

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT