Lelaki Cina ni buat video pasal Islam, dan menang anugerah?!

Tengah kitaorang lepak-lepak dan bincang nak cari idea artikel, kitaorang terjumpalah satu cerita pendek yang ada mesej yang power. Video ni menang BMW Shorties untuk tahun 2017, bagi yang tak tahu apakah benda BMW Shorties – ia adalah pertandingan video pendek tahunan yang dianjurkan BMW. Dah 12 tahun diorang anjurkan benda ni, dah dekat 840 video yang dihantar.

So, meh kita sembang bab video yang kitaorang terjumpa ni. Untuk pastikan korang dapat maklumat yang betul, kami siap buat interview dengan pengarah filem pendek ni. Niat Lim Kean Hian (pengarah video pendek tu) agak murni – dia nak bawak isu yang yang jarang dibincangkan dan tengok dari prespektif seorang muslim dan seorang yang berbangsa cina.

Meh kita korek lebih isi yang mendalam tentang cerita pendek ni sampai diorang boleh menang pertandingan BMW Shorties. Kita akan mulakan dengan…

Orang Islam kalau mati, memang kena tanam cepat-cepat ke?

Masa kitaorang first tengok video ni, kitaorang terkejut jugak. Apasal mamat Cina buat video pasal orang Islam? Hampir kitaorang triggered dan keluarkan keris Melayu. Kitaorang pun tanyalah pengarah filem pendek ni – dia kata, diorang ada penulis skrip yang berbangsa Melayu. Dialah yang bagi nasihat kat diorang tentang hukum-hakam Islam. Jangan-jangan anak mufti kot.

Dalam cerita pendek ni, si Arif memang tegas gila babi nak kebumikan jenazah ayahnya cepat-cepat. Tapi John yang jadi abang tiri Arif nak jenazah tu dikebumikan lepas kakak tiri dia tiba dari London. Benda-benda macam ni memang selalu berlaku, jadi hari ni kitaorang cuba tengok pandangan famous ulama tentang wajib ke mayat kena tanam cepat-cepat ke? Apasal tak boleh tunggu lama-lama?

Aduh sakit kepala kitaorang fikir. Imej dari Giphy

Meh kita fikir secara logik dulu, apasal mayat kena dikebumikan cepat-cepat. Kalau korang tak tahu lagi jawapan logik tu, biar kitaorang beritahu. Dah sedia nak dengar jawapan yang mind blowing ni? Jawapan adalah – jasad manusia yang dah mati akan berbau. Simplekan? Tapi dalam filem ni, Arif tu ekstrem sangat – sebenarnya dia boleh je tunggu kakak tiri dia balik dari London. Sebab ada ilmuan Islam sebut..

“Tidak mengapa sekiranya berlaku kelewatan dalam pengkebumian jenazah atas alasan menunggu sanak saudara (harus), ini bagi membolehkan mereka mendoakan jenazah tersebut. Tetapi tidak terlalu lewat sehingga menyeksa jenazah.”- Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili, dipetik dari UTUSAN

Umat Islam tak boleh meratap masa kematian. Saja, bagi korang tazkirah sikit. Imej dari Giphy

Mualaf masuk Islam, bukan masuk Melayu

Bila ada mualaf masuk Islam, terutamanya bangsa Cina atau India, diorang akan ada dilema tentang adat-adat diorang sebelum ni. Adakah diorang kena hapuskan terus? Atau masih ada ke amalan-amalan yang diorang boleh teruskan? Kitaorang rasa, jawapan yang diberikan oleh Dr Ridhuan Tee dah cukup gempak dan menyeluruh. Dia kata;

“Hal ini menunjukkan bahawa kita tidak masuk Melayu, tetapi masuk Islam. Maknanya, kita akan mati dengan agama dan bangsa kita. Jika kita Cina, maka ia akan berakhir dengan Cina Muslim. Namun, bila berlaku pertembungan antara agama dan bangsa, sudah tentu agama lebih penting.” – Dr Ridhuan Tee, dipetik dari blog peribadinya

Dr Ridhuan Tee. Imej dari MStar

Kalau korang perasan, dalam video ni Arif tu agak anti-Cina sebab tanggapan dia pada keluarga tiri yang takde datang jenguk mak dia masa mak dia meninggal. Lagi satu, keluarga angkat Arif nampaknya tuduh mak Arif perampas bapak diorang. Sebab tu Arif jadi macam tu – padahal dia boleh je terima adat-adat Cina yang tak bercanggah dengan Islam, sebab dia ni half Melayu dan half Cina. Melana? Cilayu? Hmmm…dari koranglah nak gabung macam mana.

Cuba korang baca pengalaman Dr Ridhuan Tee ni, awal-awal masuk Islam dulu – dia memang tegas nak mampus, sampai level tak nak datang ke majlis pengebumian ayah dia. Tapi lepas dia banyak menuntut ilmu, barulah dia sedar Islam tak larang amalkan budaya selagi tak babitkan akidah Islam. Kitaorang sebut benda ni – sebab tak nak lah orang pandang serong kat Islam. Cehh…kitaorang dah jadi Pencetus Ummah lah pulak!

Hah?! Semudah tu? Bukan Islam ni susah ke? Imej dari Giphy

Non Muslim tak boleh terima harta pusaka dari orang Islam

Masalah paling besar bila seseorang tu dah mati adalah pembahagian harta, lebih-lebih lagi kalau si mati takde tinggalkan apa-apa wasiat. Korang macam tak biasa dengar, ada je orang putus pertalian saudara sebab bergaduh bab harta ni. Dalam video kat atas memang takde sebut berkenaan harta bapak Arif, tapi agak-agaknya apa jadi dengan status harta bapak Arif?

Sebelum kita sembang lebih panjang, korang kena tahu istilah faraid dalam Islam. Istilah faraid ni rujuk kaedah pembahagian harta pusaka dalam Islam. Korang kena tahu gak, kalau bapak Arif ni tak tinggalkan wasiat – memandangkan dia dah Islam, dia tak boleh berikan harta dia kepada keluarga bukan Islam. Sama jugak dia dah tak boleh terima harta dari keluarga bukan Islam. Sebab tu wasiat ni penting, kalau ada wasiat takde masalah, kita follow wasiat.

Kitaorang harap kalau kejadian macam ni betul-betul berlaku kat dunia sebenar, moga-moga sempatlah bapak dia tu tulis wasiat untuk anak-anak dia. Kalau tak confirm diorang akan anjurkan perang besar…

Azimat segi tiga yang Arif pegang tu dinamakan Fu

Untuk permulaan, kitaorang ni Melayu Islam Mazhab Syafie taw. Tapi kitaorang beruntunglah, sebab adik-beradik kitaorang ada sentuh bab-bab budaya Cina kat artikel diorang. Salah satu benda yang paling menarik perhatian – ada “tangkal segitiga” masa cerita ni nak habis. Bapak ahh, last kitaorang tengok tangkal-tangkal macam ni kat filem hantu cina kat TV2 masa kecil-kecil dulu. Sebenarnya tangkal segitiga ni untuk apa?

Ni hahhhh. Apa ke benda ni? Imej dari Youtube

Kalau korang nak tahu – azimat kuning berbentuk segi tiga ni disebut Fu. Bukan orang Melayu je ada tangkal, orang Cina pun ada. Biasanya Fu ni dibuat menggunakan kain kuning dan ada simbol dan doa yang ditulis kat dalamnya. Ada macam-macam jenis Fu dengan maksud yang tersendiri.

“Azimat tu – seperti yang abang tiri Arif masukkan ke dalam bantal. Ketika saya masih kecil, ibu saya pergi ke kuil untuk mendapatkan salah satu azimat ini untuk dimasukkan ke dalam bantal atau dompet saya.” – Lim Kean Hian, CILISOS

Inilah Fu sebelum diorigamikan. Imej dari CILISOS

Masa video ni nak habis – ada satu scene tu, Arif jumpa Fu kat bantal arwah bapaknya. Dia pun ambik Fu tu dan bawak pulang. Kitaorang ada tanya pengarah filem pendek ni pasal benda tu, dia kata – ia sebagai simbolik toleransi Arif pada kepercayaan yang dimiliki oleh ayah dan abang tirinya. Masa awal-awal tu, garang gila Arif – tapi akhirnya dia faham kadang-kadang ada benda yang kita boleh toleransi.

Benda Fu ni buktikan – walaupun Melayu dan Cina dah lama hidup bersama, tapi masih banyak budaya bangsa lain yang kita tak tahu. Benda ni kena diubah kot, Malaysia Barukan? Tahu tentang budaya masyarakat lain, tak bermaksud kita abaikan agama sendiri, tapi untuk elakkan salah faham.

Cerita ni sebenarnya kisah benar yang dilaporkan di akhbar

Masa kitaorang borak dengan Lim, pengarah cerita pendek ni – dia kata; dia dapat idea nak buat cerita ni bila terbaca kes kematian seorang mualaf. Cerita ni epik jugaklah, mualaf tu masuk Islam senyap-senyap tanpa pengetahuan keluarga dia, bila dia meninggal – jabatan agama datang kat rumah mualaf untuk uruskan jenazah dia.

Kitaorang tak dapat pastikan Lim tengah cakap kes yang mana, tapi kitaorang jumpa kes yang lebih kurang sama dengan kes yang Lim sebut. Kes ni berlaku di Pulau Pinang pada tahun 2014 – jabatan agama datang ambik mayat Teoh Cheng Cheng yang dikatakan dah masuk Islam. Keluarga Teoh Cheng Cheng masa tu tak setuju dan bawak kes tu ke mahkamah.

Woi ada orang curi mayat! Imej dari Giphy

“Dia kekurangan masa kerana dia terpaksa memeriksa dokumen Jaipp untuk mengesahkan status keagamaannya dan dalam keadaan tergesa-gesa, dia tidak bertindak secara profesional atau mempertimbangkan perasaan keluarganya,” – Abdul Malik Abul Kassim, Exco Kerajaan Pulau Pinang, dipetik dari Malay Mail

Pengkebumian cara Islam sangat berbeza dengan kaum Cina. Kalau Islam – selalunya sehari je settle. Upacara berkabung pun macam takde sangat, kalau Cina upacara berkabung ni boleh cecah 49 hari lamanya. So perbezaan kaedah mengkebumikan jadi isi utama filem pendek yang power ni.

Perpaduan tunjang kemakmuran negara, bersatu teguh bercerai kita kahwin lain

Malaysia unik sebab ada rakyat yang berbilang bangsa, tapi kadang-kadang sebab perbezaan ni jugak ada yang nak mulakan perang dunia ketiga. Kita sepatutnya tak diskriminasi dan cuba bertoleransi dengan perbezaan yang ada. Kita sama-sama makan nasi lemak dan marah kalau makanan kenan sailang, sebab tu ahh kita kena bersatu padu! Bolehlah korang guna ayat ni untuk ucapan hari merdeka.

Kitaorang ucapkan tahniah kat Lim Kean Hian, lepas ni buat filem gempak lagi yer. Imej dari CILISOS

Kitaorang harap industri filem lepas ni buatlah filem-filem yang menyentuh isu perpaduan dan patriotisme, sebab dah banyak sangat filem suamiku-suamiku abang bomba, polis atau doktor haiwan. Bukan kitaorang movie macam ni tak bagus, kalau banyak sangat pun tak syok gak. Generasi muda mana nak dengar ceramah-ceramah perpaduan ni, kitaorang tengok movie je. So, mari kita jadikan movie sebagai alat perpaduan!

About Man Hamka 74 Articles
Man Hamka