- 660Share sekarang!
- Email4
- Facebook656
- Share
Pernah tak korang terfikir apa yang akan korang buat kalau terkandas kat sebuah pulau? Benda pertama yang korang cari mestilah air dan makanan, kan?
Lepas tu, kalau ada skill sikit bolehlah buat tempat tinggal dengan guna apa yang ada kat sekeliling korang, macam filem Cast Away lakonan Tom Hanks tu.
Tapi malangnya, ni bukanlah satu pilihan yang sekumpulan kanak-kanak Thailand dan seorang jurulatih ada. Terkandas di hujung sebuah gua yang dipenuhi air, diorang tak ada pilihan lain dengan hanya bersabar dan menunggu bantuan yang diorang sendiri pun tak tahu akan tiba atau tak pada masa tu.
Kehilangan sepasukan bola sepak Thailand yang menimbulkan persoalan
Hari tu, adalah sebuah hari yang biasa je, tak ada apa yang ganjil. Umat Islam pun dah seminggu menyambut Aidilfitri. Manakala satu kelab bola sepak – Wild Boars dari wilayah Chiang Rai, Thailand, baru je habis buat latihan.
Mereka pun pergi ke sebuah gua yang dinamakan Tham Luang untuk buat satu latihan ketahanan diri, katanya mereka nak tulis nama di dinding gua tu dan kemudiannya keluar balik dari gua.
Hujan kat luar gua nampaknya semakin lebat dan tak semena-mena, membanjiri gua tu dalam masa yang singkat. Nak tak nak, kesemua 12 orang kanak-kanak berumur antara 11 hingga 16 tahun bersama jurulatih mereka yang berumur 25 tu pun terpaksa cari tempat yang lebih selamat untuk menyelamatkan diri dari banjir dalam gua yang semakin tinggi. Jalan punya jalan, diorang pun terperangkap di hujung gua yang gelap-gelita dan dikelilingi banjir.
Di luar gua pula, hari nampaknya semakin gelap. Ibu bapa dan penjaga kanak-kanak ni mula risau bila anak-anak diorang tak balik-balik lagi lepas buat latihan. Risau dengan perkara ni, jadi laporan polis pun dibuat. Pihak polis tak buang masa, mereka terus mulakan usaha mencari yang akhirnya membawa kepada penemuan basikal, kasut bola dan beberapa barangan peribadi lain berhampiran pintu masuk gua Tham Luang.
Mereka percaya yang 13 orang mangsa tu terperangkap dalam mana-mana bahagian gua tu. Manakala ahli keluarga yang risau mula berkumpul di luar gua dan berdoa yang anak-anak mereka selamat.
Operasi menyelamat yang mengumpulkan ramai pakar dari seluruh negara
Hari ketiga kehilangan mereka, misi menyelamat mula tersebar dari berita ke media sosial tu juga menyebabkan ramai yang menawarkan diri untuk membantu. Antaranya macam penyelam laut Tentera Laut Thailand, pasukan ketenteraan A.S, pakar gua British dan pekerja sukarelawan di seluruh dunia.
Air banjir dalam gua juga dipam keluar menggunakan beratus-ratus pam industri sepanjang laluan sejauh 4km dari dalam gua, ke pintu masuk. Pasukan penyelam Thai Navi SEAL serta penyelam antarabangsa mula menyelam untuk mencari kesemua mangsa.
Malangnya hujan lebat disebabkan musim tengkujuh sekarang ni semakin membanjiri laluan bawah tanah lebih cepat daripada banjir yang dipam keluar. Jadi agensi yang terlibat kemudiannya menambah lebih banyak pam untuk menurunkan paras air supaya pasukan tentera laut Thailand SEAL dapat beroperasi dengan lebih baik.
“Kami cuba untuk mengepam air (keluar dari ruang) tetapi air terus meningkat. Ini bermakna air yang masuk dengan hujan masih jauh lebih banyak daripada apa yang kita boleh mengepam, jadi kita perlu mengepam air dengan lebih cepat.” – Gabenor Wilayah Chiang Rai, Narongsak Osatanakorn, dipetik dari National Post.
Bila tengok pelbagai benda yang tak biasa ni, kita dah confirm la panik. Tak pastilah sama ada cuma nak sedapkan hati keluarga mangsa atau dia dapat rasakan sesuatu, Timbalan Gabenor Wilayah Chiang Rai, Passakorn Bunyalak, buat satu kenyataan media meyakinkan semua pihak yang kesemua mangsa masih hidup.
“Kanak-kanak ni adalah atlet, jadi mereka ada skill. Mereka sentiasa berjaga-jaga, sentiasa aktif dan mereka akan terus bertahan dengan terus bergerak.” – Timbalan Gabenor Wilayah Chiang Rai, Passakorn Bunyalak kepada media.
Tanpa makanan, minuman dan beberapa peralatan penting lain, tipis betul harapan diorang ni untuk terus hidup. Tapi, para pasukan penyelamat tak berputus asa untuk terus mencari mangsa-mangsa yang diorang sendiri tak pasti masih hidup atau tak.
Paras air kemudiannya jatuh pada hari kesembilan. Jadi, penyelam angkatan laut SEAL pun menjalankan tugas yang terbantut disebabkan paras air banjir yang tinggi dan keruh sebelum ni. Jadi apa yang diorang buat adalah dengan menggunakan teknik teratur, bergerak bersama garis tali dan tangki oksigen tambahan, dan membesarkan laluan.
Kesemua mangsa dijumpai 10 hari kemudian, masih hidup dan tenang
Akhirnya pada 3 Julai, iaitu 10 hari selepas kehilangan pasukan bola tu, pencarian mereka membuahkan hasil bila dua orang penyelam dari England, Richard Stanton and John Volanthen akhirnya berjaya menjumpai tiga belas mangsa yang terkandas di sebuah lantai gua yang lebih tinggi, dalam keadaan yang gelap gelita dan kurus kering.
Kesemua mangsa terkejut dan ada yang sebak sebab penantian mereka tak sia-sia. Salah seorang yang mampu berbahasa Inggeris kemudiannya tanya, ‘hari ni hari apa?’, dan minta bantuan makanan sebab dah lama tak makan. Beberapa kali juga la mereka berterima kasih kepada penyelam yang menjumpai mereka. Dia juga puji kekuatan mental diorang dan yakinkan yang bantuan akan sampai tak lama lagi.
Malah bila ditanya punca mereka masih tenang dalam tu adalah dengan bermeditasi, bertenang dengan menyimpan tenaga yang ada sehingga mereka dijumpai. Perkara ni diajar oleh jurulatih mereka yang juga bekas sami yang dah berjaya menenangkan anak didiknya untuk menghadapi situasi tu.
Bila ada yang tanya, boleh tak keluar pada hari tu juga, penyelam tu kata tak boleh. Tapi, penyelam tu menenangkan mereka,
“Kami datang, ianya ok. Ramai orang yang datang. Ramai, ramai orang yang datang.”- kata salah seorang penyelam, yang juga membuatkan kitorang sebak.
Walaupun dengar macam kecewa sikit, tapi perkara tu tak melunturkan semangat mereka yang percaya yang bantuan akan tiba tak lama lagi.
“Saya sangat gembira, terima kasih”, dan diikuti oleh beberapa kawan yang lain, dan dibalas, “Kami pun gembira juga”, oleh penyelam-penyelam tersebut.
Tapi, tak semudah tu untuk selamatkan kesemua mangsa
Walaupun kesemua mereka dijumpai selamat, tapi bukan semudah tu je untuk bawa mereka keluar dengan segera disebabkan banjir dalam terowong tu. Jadi, ada 3 idea yang dicadangkan masa tu.
- Dengan menyelam – Cara ni la yang paling mudah, dan jimat untuk keluarkan kesemua mangsa yang terlibat. Tapi masalahnya pulak adalah kesemua kanak-kanak ni tak pandai berenang. Walaupun boleh diajar, tapi kalau tak biasa nanti boleh panik dan lemas.
- Dengan penggerudian – Kaedah ni pernah digunakan masa kes pelombong Chile terperangkap dalam gua sebelum ni. Tapi yang ni pulak masalahnya adalah ruang tu terletak di bawah puncak batu kapur yang ditenggelami hutan yang penuh dengan retakan. Nak gerudi pun agak susah, dan boleh meruntuhkan gua tu. Ia juga boleh mengambil masa selama berminggu-minggu.
- Menunggu sampai air surut. Jadi, mereka boleh keluar tanpa berenang dan terdedah dari bahaya. Beberapa keperluan asas juga akan dibawa masuk ke tempat mereka, contohnya seperti makanan dan minuman, lampu, alatan komunikasi dan lain-lain. Tapi masalahnya disini adalah sekarang ni tengah musim tengkujuh, jadi air mungkin akan naik lagi. Malah, kesemua mangsa mungkin dah semakin lemah dan lebih mudah diserang penyakit.
Jadi, mereka pun diberikan peralatan menyelam untuk biasakan diri. Tu pun lepas para petugas penyelamat merasakan pilihan terbaik yang ada pada masa tu adalah dengan mengeluarkan mangsa terperangkap satu persatu, dan menyelam melalui banjir gua.
Seramai 25 penyelam mengiringi mangsa dengan membawa tong oksigen sebagai sokongan dan dibantu tali kecemasan sebagai rujukan laluan keluar. Seorang lagi pasukan keselamatan akan berada di belakang mangsa sebagai sokongan sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini. Walaupun berisiko, tapi itulah pilihan terbaik yang mereka ada berbanding idea lain.
Sepanjang 4km tu, ada beberapa checkpoint dan salah satu checkpoint paling susah diorang kena hadap adalah laluan seluas 15 inci sahaja. Tempoh masa yang ada untuk para penyelam juga cumalah 6 jam. Jadi, mereka memang kena cepat keluar sebab kalau tak, bekalan oksigen akan habis.
Ada yang terkorban nyawa, dan ada yang sanggup berkorban harta
Dalam saat-saat genting misi tu juga, Saman Kunan, bekas penyelam Tentera Laut SEAL terkorban semasa dalam perjalanan balik cuba untuk keluar dari terowong lepas hantar tangki oksigen ke salah satu daripada ruang gua. Dia dikatakan pengsan sebab tak cukup oksigen, dan dah tak bernyawa selepas ditarik ke permukaan.
Malah demi menyelamatkan mangsa terperangkap, usaha tu semakin giat dijalankan tanpa henti. Salah satunya adalah dengan mengepam keluar 128 juta liter air dari gua (yang boleh memuatkan 50 kolam renang berukuran Olimpik) untuk mengurangkan banjir setakat hari ke-13 pencarian dilakukan. Dalam masa yang sama, ia dah mengakibatkan kawasan pertanian disekitar kawasan gua ditenggelami air banjir dan menyebabkan kerugian jutaan Baht.
Tapi apa yang lebih mengharukan, salah seorang petani tersebut dengan tenang menjawab,
“Tanaman padi yang musnah boleh ditanam semula tetapi nyawa 13 orang tak boleh dibeli” – Pairoj Jan, antara 100 petani yang korbankan ladang mereka demi misi menyelamat 13 mangsa terperangkap.
Yang menariknya ramai yang menghulurkan bantuan seadanya menggunakan kepakaran masing-masing, contohnya menawarkan diri untuk membasuh baju-baju askar dan penyelamat, hantar dan ambil orang bertugas gunakan motorsikal sendiri, tolong masak untuk pasukan penyelamat, tawarkan bantuan mengurut pada petugas, dan macam-macam lagi tanpa bayaran dan mengharapkan balasan.
Misi mengeluarkan semua mangsa bermula selepas 16 hari sejak hilang
Lepas berbincang dan membuat perkiraan dari pelbagai sudut, ketua misi penyelamat kemudiannya mengumumkan sesuatu. Disebabkan tak boleh keluarkan semua mangsa sekaligus, dia bercadang untuk mengeluarkan empat orang mangsa setiap hari. Sebabnya, makan masa selama 20 jam jugalah untuk isi semula semua tangki oksigen yang digunakan masa misi menyelamat tu.
Jadi pada hari Ahad, 8 Julai, usaha mengeluarkan mangsa kemudiannya bermula. Dengan hati yang berdebar dan diiringi doa dari pelbagai pihak, satu persatu mangsa berjaya dikeluarkan satu persatu pada hari tu. 4 orang kanak-kanak yang menjadi antara mangsa yang terselamat terus dibawa ke hospital.
Misi menyelamat dihentikan seketika, sekurang-kurangnya 10 jam untuk membolehkan bekalan oksigen dan bekalan lain diisi semula. Keesokan harinya, seramai empat orang lagi dikeluarkan dengan selamat.
Akhirnya pada hari Selasa 10 Julai, keempat-empat mangsa terakhir berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat, iaitu empat anggota tentera laut Thailand SEAL dan seorang ahli perubatan Australia Dr Richard Harris selamat keluar dari gua. Warga Chiang Rai yang mengikuti rapat kes ni bersorak gembira di seluruh bandar Chiang Rai, Thailand.
Kalau nak tahu, kesemua mangsa yang dikeluarkan ditutup mata apabila dibawa keluar dari gua untuk menyesuaikan diri dengan cahaya selepas sekian lama berada dalam ruang yang gelap dalam jangka masa yang panjang.
Kekuatan mental mampu mengatasi pelbagai perkara yang tak dijangka
Kecekalan kesemua mangsa, kesungguhan pasukan penyelamat meneruskan tugas mencari dan menyelamat mencerminkan rakyat Thailand bukanlah satu bangsa yang mudah berputus asa. Malah dengan pelbagai bantuan kepakaran dan sukarelawan tak berbayar dari masyarakat setempat sehinggalah seluruh dunia juga menunjukkan masih ada perikemanusiaan yang tinggi antara kita.
Walaupun ada suara-suara sumbang yang kedengaran sepanjang 17 hari tu mengatakan ia sebuah misi yang sukar, para petugas dan sukarelawan tak patah semangat dan membuktikan yang dimana ada kemahuan, disitu ada jalan.
- 660Share sekarang!
- Email4
- Facebook656
- Share