Wanita agung ini berkahwin dengan Nabi pada usia 6, 12 atau 20 tahun? Ini hujah ulama!

Rasanya semua orang dah dengar pasal perkahwinan kontroversi antara seorang lelaki berumur 41 tahun dengan seorang kanak-kanak berumur 11 tahun baru-baru ni. Disebabkan isu ni, maka ramailah pihak yang beri pandangan masing-masing, sama ada tindakan tu betul atau tak.

Pernikahan yang dibuat kat Thailand ni mulanya-mulanya dibuat secara rahsia sampailah dua orang isteri lelaki tadi tahu bila dapat gambar dari suami.

“Isteri pertama menerima gambar perkahwinan si suami tiga hari lepas dan berkongsi dengan isteri kedua. Si suami kata ‘Nabi dan Siti Aishah boleh berkahwin dan dia ingin mengikut sunah’.” – Dipetik dari Sinar Harian.

Sementara ramai yang kritik, tapi masih ada yang menyokong. Imej dari mStar.

Tapi, bila si lelaki tadi kata – apa yang dia buat ni ikut sunnah, tu yang agak menjadi isu sebenarnya. Sebabnya, masih ada persoalan sama ada betul atau tak Aisyah berkahwin dengan Nabi pada usia kanak-kanak.

Ada ulama yang berpendapat Aisyah sebenarnya berkahwin pada usia 19 atau 20 tahun

Dari Ubaid ibn Ismail yang mendengar daripada Abu Usamah daripada Hisyam daripada ayahnya (bernama Urwah) yang berkata:

“Khadijah meninggal dunia tiga tahun sebelum Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah dan baginda kemudiannya menduda selama dua tahun atau mendekati dua tahun sebelum hijrah (ke Madinah) setelah itu Siti Aishah menikah (dengan Nabi) pada umur enam tahun dan tinggal serumah (dengan Nabi Muhammad) tatkala berumur sembilan tahun.” – Hadis riwayat al-Bukhari.

Tanah perkuburan Baqi, sebelum dirobohkan pada 1806 oleh keluarga al-Saud. Imej dari Wikipedia.

Sesuai dengan kedudukan hadis ni yang ada dalam Sahih Bukhari (rujukan kedua selepas al-Quran), ia dianggap sebagai hadis yang cukup kuat dan boleh dipercayai. Walaupun macam tu, kesahihan hadis ni masih lagi diperbahaskan oleh para ulama. Sebabnya, hadis ni diriwayatkan oleh Hisham bin Urwah. Siapa dia Hisham bin Urwah ni?

Hisham sebenarnya adalah orang Iraq tapi tinggal kat Madinah. Masa dia berumur 71 tahun, Hisham balik semula ke Iraq. Menurut Ya’qub bin Syaibah, Hisham adalah seorang perawi yang dipercayai dan dapat diterima, kecuali apa yang dia ceritakan lepas pindah ke Iraq, kerana…

“Uqaili berkata, di akhir riwayat Hisham, dia ini nyanyuk atau kurang ingatan. Tetapi bila dia pergi ke Iraq, dia banyak meriwayat hadis-hadis yang dikaitkan dengan ayahnya Urwah, yang mana ayahnya tidak ada menyebut hadis itu…kerana itu riwayat-riwayat Hisham yang dicatat oleh ahli Iraq tidak boleh dipercayai.” – Maulana Asri Yusuf, pakar hadis.

Mungkin ramai yang masih ingat kehancuran Iraq pada tahun 2003. Imej dari The New Yorker.

Disebabkan hadis tentang perkahwinan Aisyah datang dari Hisham dan dicatat oleh orang Iraq, maka ulama pun mengkaji ketepatan hadis ni. Dan ada kajian dapati, umur Aisyah bukanlah 6 tahun masa berkahwin dengan Nabi SAW.

Salah satu hujahnya adalah bila Imam Ibn Hajar ada mengatakan – Fatima RA (anak Rasulullah SAW) dilahirkan pada tahun yang sama Kaabah dibina semula, iaitu pada usia Nabi 35 tahun. Tapi umur Fatimah 5 tahun lebih tua dari Aisyah.

Kalau macam tu, Aisyah dilahirkan masa Nabi berumur 40 tahun, dan ada riwayat yang kata Nabi bernikah dengan Aisyah masa Nabi berusia 52 tahun. Maknanya, Fatimah masa tu berumur 17 tahun, jadi umur Aisyah masa berkahwin dengan Nabi sebenarnya 12 tahun.

Selain tu, ada juga pendapat yang kaitkan umur Aisyah dengan kakaknya – Asma yang mana umur mereka berbeza 10 tahun. Asma wafat masa berumur 100 tahun.

“Asma, saudara tertua daripada Aisyah berbeza usia sebanyak 10 tahun. Jika Asma wafat pada usia 100 tahun pada tahun 73 Hijrah, Asma seharusnya berusia 27 atau 28 tahun ketika hijrah (622M).” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Kalau Asma berumur 27 atau 28 tahun masa Hijrah (tahun yang sama Aisyah berkahwin), Aisyah sepatutnya berumur 17 atau 18 tahun.

“Jadi, Aisyah, berusia 17 atau 18 tahun ketika hijrah pada tahun di mana Aisyah berkahwin. Berdasarkan pendapat Ibn Hajar, Ibn Kathir, dan Abdul Rahman bin Abu al-Zinad, usia Aisyah ketika berkahwin dengan Rasulullah adalah 19 atau 20 tahun.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Keadaan Kaabah pada tahun 1937. Imej dari flickr.com

Walaupun macam tu, masih ada ulama yang berpegang dengan hadis riwayat Bukhari dan kata Aisyah berkahwin dengan Rasulullah SAW masa umur 6 tahun. Selain tu, kita kena ingat yang peristiwa ni jadi pada 1,400 tahun yang lalu dan ia mungkin bukan satu perkara yang asing masa tu.

Apa yang pasti, perkara ni sedikit sebanyak memberi kesan terhadap pandangan-pandangan ulama dalam menetapkan isu perkahwinan kanak-kanak.

Ada ulama yang kata boleh berkahwin dengan kanak-kanak dan ada juga yang kata tak boleh

Sebelum kita nak bincang soal perkahwinan kanak-kanak, kita kenalah dulu bincang pasal akil baligh. Akil Baligh ni adalah satu peringkat dalam hidup, bila tubuh badan berubah dari seorang kanak-kanak ke seorang dewasa. Dari segi perubatan, umur baligh untuk lelaki dan perempuan boleh jadi antara 9 sampai 16 tahun.

Dari pandangan Islam pula, Imam Syafie, Imam Hanafi dan Imam Hanbali kata umur baligh pada 15 tahun, manakala Imam Malik – 17 tahun. Untuk hukum perkahwinan kanak-kanak pula, majoriti ulama kata hukumnya dibenarkan. Tapi bagi mereka, cuma wali mujbir je yang boleh buat.

“Mengikut mazhab Maliki hanya bapa sahaja dianggapkan sebagai wali mujbir, dan ini tidak termasuk datuk sebelah bapa. Manakala, mazhab Syafie dan Hanbali hanya menerima bapa dan datuk sebelah bapa sebagai wali mujbir.” – Dipetik dari jurnal terbitan UPSI.

Turutan wali nikah. Imej dari munajahcinta.wordpress

Walaupun macam tu, ulama masih lagi kata – hukumnya sunat untuk bapa kahwinkan anak perempuan diorang yang dah baligh dan dapat persetujuan anak tu sendiri.

“Ibn Hazm pula berpendapat hanya kanak-kanak perempuan sahaja dibenarkan untuk dikahwinkan, tetapi kanak-kanak lelaki tidak diharuskan berkahwin sehinggalah dia mencapai tahap baligh, dan jika dia dikahwinkan juga akad nikah tersebut adalah batal.” – Dipetik dari jurnal terbitan UPSI.

Walaupun macam tu, masih ada ulama yang tak setuju dengan perkahwinan kanak-kanak ni, tak kisahlah diorang ni lelaki atau perempuan. Antaranya macam Ibn Shabramah yang berhujah – perkara macam ni hanya khusus untuk Nabi je (dalam hal Aisyah), sebagaimana hukum poligami lebih dari empat isteri yang hanya dikhususkan kepada Nabi.

Tambahnya lagi, perkahwinan kanak-kanak bukan untuk manfaat, seperti mana orang dewasa. Selain tu, ia juga tak digalakkan untuk elak sebarang mudarat dan pandangan negatif.

Ulama tanah Melayu pernah bantah perkahwinan bawah umur, dan ada ulama kata haram kahwin paksa

Sebenarnya, isu pasal had umur dan perkahwinan kanak-kanak ni dah pun dibincangkan sejak lama dulu, lebih-lebih lagi bila datangnya arus pemodenan. Pada tahun 1923, satu pertubuhan feminis dah ditubuhkan kat Mesir oleh Huda Sha‘rawi. Pertubuhan ni kemudiannya bagi cadangan supaya kerajaan Mesir tetapkan had umur minima perkahwinan – perempuan pada 16 tahun dan lelaki 18 tahun.

Cadangan ni lepas tu dibawa ke Mufti Besar Mesir dan beberapa ulama lain untuk dibincangkan.  Akhirnya, cadangan ni diluluskan Parlimen dan mula dikuatkuasakan pada tahun 1924. Dekat Malaysia pula, perkahwinan bawah umur banyak terjadi terutamanya sebelum tahun 1930-an.

Huda Sha‘rawi (1879 – 1947). Imej dari African Heritage.

Walaupun macam tu, muncul juga ulama yang membantah perkahwinan kanak-kanak kat Tanah Melayu masa tu. Antaranya macam Syeikh Fadhlullah Suhaimi yang kata – kanak-kanak perempuan berumur 13 -14 tahun tak sesuai berkahwin. Tambahnya lagi, tak kiralah kanak-kanak lelaki atau perempuan, masa umur macam tu diorang sepatutnya bersekolah dan bukannya bercinta cintun.

Walaupun macam tu, apa yang Syeikh Fadhullah buat ni lebih kepada usaha nak ubah budaya dan cara hidup tradisi Melayu. Sebabnya, bila isu had umur nak dibincangkan secara serius dari segi undang-undang kat Singapura, Syeikh Fadhullah membantah.

“Dalam kritikan beliau terhadap rang undang-undang menghadkan umur minimum perkahwinan di Singapura pada tahun 1950-an, beliau mengatakan rang undang-undang tersebut tidak boleh dilaksanakan dalam masyarakat Islam kerana bertentangan dengan hukum syarak.” – Dipetik dari jurnal terbitan UPSI.

Syeikh Fadhlullah Suhaimi meninggal dunia pada tahun 1964. Imej dari ibnyahya.com.

Dalam kes kahwin paksa pulak, ada ulama yang berpendapat bapa boleh paksa anak perempuan diorang berkahwin dengan pilihannya. Tapi dalam masa sama, ada juga pendapat yang kata tak tak boleh dan haram, berdasarkan beberapa hadis, antaranya:

“Wanita yang pernah berkahwin tidak boleh dikahwinkan sehinggalah diminta permintaan daripada wanita itu untuk dikahwinkan, wanita yang dara tidak boleh dikahwinkan sehingga diminta keizinannya. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah, bagaimanakah bentuk izinnya? Baginda menjawab: Apabila dia diam.” – Hadis riwayat Bukhari.

https://www.youtube.com/watch?v=LJYnap8gNdE

Undang-Undang Keluarga Islam di seluruh negeri Malaysia dah tetapkan had umur

Dekat Malaysia ni, kita ada dua jenis undang-undang iaitu sivil dan syariah. Undang-undang sivil untuk peringkat Persekutuan, tapi undang-undang syariah untuk negeri masing-masing. Jadinya, dalam hal perkahwinan, ia juga terbahagi dua iaitu untuk masyarakat Islam dan bukan Islam.

  1. Untuk bukan Islam – Had umur boleh berkahwin adalah 18 tahun, tapi masih lagi kena  dapat restu ibu-bapa kalau di bawah umur 21 tahun. Tapi kalau pasangan tu berumur antara 16 -18 tahun, diorang kena dapatkan kebenaran Ketua Menteri dan mahkamah.
  2. Untuk orang Islam – Had umur boleh berkahwin untuk lelaki 18 tahun dan perempuan 16 tahun. Ia ada dalam Enakmen Keluarga Islam kat semua negeri.

Walaupun macam tu, perkahwinan bawah umur 18 dan 16 tahun untuk orang Islam masih lagi dibolehkan kalau pasangan tu dapat kebenaran ibu-bapa dan mahkamah syariah. Buktinya, sebelum ni banyak je kes perkahwinan bawah umur yang dilaporkan:

  1. Seorang lelaki (20 tahun) berkahwin dengan seorang wanita (12 tahun) pada tahun 2012. Perkahwinan ni tak tahan lama, bila suami ceraikan isteri dengan talak tiga.
  2. Se­orang lelaki pengusaha restoran (21 ta­hun), ber­­kahwin dengan seorang gadis berusia 15 tahun, pada tahun 2014.
  3. Seorang pelajar tingkatan lima (17 tahun) berkahwin dengan teman lelakinya yang berusia 15 tahun pada tahun 2014.
Perkahwinan Muhd. Muaz Mislan, 15 dan Nur Izzati Amiera Ishak, 17, pada November 2014. Imej dari Kosmo.

Walaupun begitu, kalau kita tengok hal ni kat peringkat antarabangsa – mana-mana pasangan yang berkahwin di bawah umur 18 tahun, ia dianggap sebagai satu pelanggaran hak asasi manusia oleh UNICEF. Ia sebenarnya selaras dengan ketetapan UN Human Rights Council yang kata perkahwinan bawah umur sebagai pelanggaran hak asasi manusia.

Sebab tu jugalah, banyak negara kat dunia ni tetapkan had umur minima perkahwinan. Sebagai contoh, India dah kuatkuasakan had umur perkahwinan sejak tahun 1929 lagi. Dekat Pakistan pula, ada undang-undang yang halang perkahwinan di bawah umur 18 tahun, dan kalau ada yang buat juga, diorang boleh dipenjara tak lebih dari tiga tahun atau denda.

“Kesimpulannya, Malaysia adalah (antara) satu-satunya negara yang membenarkan pasangan muda berkahwin walaupun mereka belum berusia 18 tahun (bagi perempuan) dan 21 tahun (bagi lelaki).” – Prof Dr Salleh Buang, dipetik dari Utusan Malaysia.

Walaupun undang-undang dah tetapkan had umur, tapi perkahwinan bawah umur masih lagi biasa jadi di India. Imej dari globalcitizen.org

Dari tahun 2005 sampai 2015, lebih 10 ribu lelaki Islam mohon menikah kanak-kanak perempuan bawah umur

Menurut data dari UNICEF, lebih dari 650 juta wanita yang hidup kat atas dunia ni berkahwin di usia kanak-kanak, dengan anggaran 12 juta kanak-kanak perempuan berkahwin setiap tahun. Manakala, kat Malaysia pulak…

“Di antara tahun 2005 dan 2015, seramai 10,240 lelaki Islam memohon untuk menikahi kanak-kanak perempuan sementara dari kalangan bukan Islam pula, terdapat 7,719 permohonan dari 2000 hingga 2014 untuk berkahwin dengan kanak-kanak perempuan berusia antara enam dan 18 tahun.” – Roos Niza Mohd Shariff, pensyarah kanan UUM. Dipetik dari Utusan Malaysia.

Tambah dari tu, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) merekodkan sebanyak 6,268 kes perkahwinan bawah umur bagi orang Islam dari tahun 2010 sampai 2015. Dalam tempoh yang sama, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga merekodkan yang 2,775 kes perkahwinan bawah umur dicatatkan untuk orang bukan Islam.

Imej dari Giphy.

Dari statistik yang kita dapat ni, ia sebenarnya amat mengejutkan dan perlu ada tindakan serius untuk mendepaninya. Sebab itu jugalah, Badan Peguam Malaysia ada minta kerajaan supaya tubuhkan Suruhanjaya Kanak-Kanak yang akan mengkaji perkahwinan kanak-kanak dan isu-isu lain berkaitan kanak-kanak.

Kerajaan juga ada kata yang Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk perkahwinan bawah umur akan diwujudkan tak lama lagi. Dengan SOP ni, perkahwinan bawah 18 tahun, tak lagi hanya kena dapat persetujuan mahkamah, ketua menteri atau sebagainya, tapi akan ada prosedur-prosedur lain.

“Kedua-dua lelaki dan wanita mesti menjalani ujian atau pemeriksaan yang merangkumi kesihatan dan pendidikan untuk membolehkan keluarga itu menjalani kehidupan biasa.” – Dipetik dari Astro Awani.

Negara yang banyak catatkan kahwin bawah umur. Imej dari UNICEF.

Diharapkan, pelaksanaan SOP ni akan dipercepatkan dan masalah ni boleh diselesaikan dengan segera. Sudah tiba masanya untuk kita pandang serius dengan hal-hal begini dan ambil tindakan sewajarnya sesuai dengan peredaran zaman dan masa.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.