- 3.5KShare sekarang!
- Email21
- Facebook3.5K
- Share
(Artikel ni pada asalnya disiarkan pada 25 Februari 2018, dan diedit semula untuk isu semasa)
21 Julai 2021: Rasanya sebelum ni ramai yang tahu macam mana hormatnya rakyat Thailand dengan monarki mereka yang sangat ‘untouchable’, sebab bagi mereka, raja adalah bayangan Tuhan. Tapi nampaknya sejak beberapa tahun kebelakangan ni, para belia di Thailand semakin bangkit dalam melawan kerajaan mereka yang merupakan kerajaan pintu belakang (kudeta), dan raja mereka sendiri, Maha Vajiralongkorn, yang juga merupakan anak kepada Bhumibol Adulyadej.
Malah, semalam saja kerajaan dan monarki Thailand dikritik hebat terutamanya dari golongan belia Thailand sampaikan mereka meminta supaya Perdana Menteri mereka meletakkan jawatan disebabkan kegagalannya mentadbir negara, kes Covid-19 dan vaksinasi, antaranya. Malah, mereka menggesa supaya bajet ketenteraan Thailand dikurangkan supaya vaksin boleh diberikan kepada rakyat negara tersebut yang terpaksa membeli vaksin Covid-19 melalui Shopee (ye, tak tipu!).
Bukan tu saja, sebuah poster turut tersebar yang menyamakan keluarga diraja tersebut dengan filem Parasite dari Korea Selatan. Ini adalah sangat berbeza dengan zaman ayahandanya, Raja Bhumibol Adulyadej.
___________________________________________________________________________
Korang mesti pernah dengar pasal Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej yang mangkat pada tahun 2016. Yang menariknya, masa baginda meninggal, seluruh rakyat Thailand berkumpul dan menangisi pemergian raja mereka. Malah sebelum mangkat pun, rakyat setia menunggu di luar hospital dan istana dengan memakai baju berwarna pink, simbolik kepada mendoakan kesihatan raja supaya cepat pulih.
Mungkin ada juga yang tahu bagaimana hormatnya rakyat Thailand kepada raja mereka sampaikan duit tak boleh dilangkah, dan sesiapa yang bercakap buruk pasal raja bakal menerima hukuman dalam undang-undang mereka.
Tapi, apakah sebab yang menjadikan Raja Bhumibol begitu dihormati oleh masyarakat Thailand?
Tak pernah sangka akan jadi pemerintah Thailand
Dilahirkan di Massachusets, Amerika Syarikat ketika bapanya masih lagi menuntut pelajaran di Universiti Harvard dalam ijazah kedoktoran. Raja Bhumibol merupakan anak kepada Putera Mahidol Songkla dan cucu kepada Raja Chulalongkorn. Baginda tak sempat kenal bapanya yang meninggal sewaktu baginda berumur 2 tahun. Ibu baginda, Puteri Sangwal Mahidol yang membesarkan Raja Bhumibol bersama abang dan kakaknya.
Kalau nak diikutkan susunan monarki, bukanlah baginda yang sepatutnya memerintah negara Gajah Putih tu. Segalanya bermula apabila bapa saudaranya, Raja Prajadhipok turun takhta dan ia diwarisi anak saudaranya, iaitu Ananda Mahidol, ketika baginda baru saja berumur 10 tahun. Ananda Mahidol merupakan abang kandung kepada Bhumibol. Masa tu, mereka sekeluarga masih lagi menetap di Switzerland dan terkejut dengan perkara tersebut.
Ananda Mahidol kemudiannya menjadi raja seawal umur 9 tahun, tapi keluarga mereka masih menetap di Switzerland disebabkan perang yang berlaku di Siam (nama asal sebelum Thailand). Baginda sekeluarga balik ke Siam ketika Ananda berumur 20 tahun, dan malangnya enam bulan kemudian, Ananda ditemui mati ditembak dengan pistol miliknya sendiri. Jadi, Raja Bhumibol secara automatik terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai Raja Thailand.
Tapi sebelum baginda memegang tampuk pemerintahannya tu, Raja Bhumibol mengambil langkah bijak dengan menyambung pelajarannya dalam bidang politik dan sejarah di University of Lausanne, Switzerland bagi mempersiapkan mentalnya. Baginda kembali ke Thailand pada 1945, iaitu selepas Perang Dunia Kedua.
Pada tanggal 5 Mei 1950, iaitu lebih kurang empat tahun selepas kematian abangnya, Bhumibol Adulyadej diangkat menjadi raja melalui sebuah upacara rasmi kerajaan. Pada usia cuma 19 tahun, Bhumibol dilantik menjadi raja kesembilan dinasti Chakri, juga dikenali sebagai Raja Rama IX.
Merupakan tokoh penyatu antara politik dan rakyat
Semasa zaman pemerintahannya, Raja Bhumibol terkenal dengan ketegasannya dalam pentadbiran negara. Malah, baginda merupakan tunjang utama kestabilan politik di Thailand, terutamanya dalam dua insiden terbesar Thailand:
1. Pemberontakan Besar Thailand 1973
Pemberontakan ini merupakan protes besar mahasiswa universiti terhadap pemerintahan diktator kerajaan tentera, Thanom Kittikachorn. Thanom telah mengambil alih kuasa Field Marshall Sarit Thanarat pada tahun 1959-1963. Pada tahun 1971 pula, dia membubarkan parlimen dan mengenakan one man-rule (macam Stalinism) di negara tersebut.
Ramai pelajar yang meninggal dunia disebabkan perbalahan dengan kerajaan tentera. Raja Bhumibol kemudiannya terpaksa campur tangan. Baginda menunjukkan ketegasannya dengan menyuruh para jeneral untuk melepaskan kuasa mereka. Disebabkan rasa hormat yang tinggi terhadap raja, mereka pun melepaskan jawatan.
Pada tahun 1992 pula, terdapat satu kejadian yang dipanggil Black May 1992, iaitu bantahan terhadap kerajaan diktator Jeneral Suchinda Kraprayoon. Rakyat tak puas hati sebab Suchinda melantik dirinya sendiri untuk menjadi Perdana Menteri Thailand selepas membuat rampasan kuasa setahun sebelumnya.
Bantahan diketuai oleh Jeneral Chamlong Srimuang bersama 200,000 orang bertukar keruh apabila 44 orang terbunuh dan lebih daripada 500 cedera dalam keganasan tersebut.
Tak berpuas hati dengan penderitaan yang dilalui rakyat, Raja Bhumibol kemudiannya memanggil mereka untuk menghadapnya, dan perkara ni dirakamkan.
“Saya nak kamu berdua, terutamanya Jeneral Suchinda dan Major-Jeneral Chamlong, untuk duduk dan mempertimbangkan bersama-sama cara untuk berdamai, dan bukan untuk berbalah untuk menyelesaikan masalah ini, kerana negara kita bukan milik seorang atau dua orang, tetapi kepunyaan semua orang. ”
“Kita bergaduh di rumah sendiri, tiada guna untuk tinggal kalau dah tiada apa-apa di sini (rakyat)” – kata Raja Bhumibol kepada dua jeneral tersebut.
Selepas perjumpaan tersebut, Jeneral Suchinda meletakkan jawatannya. Pilihan raya diadakan, dan Anand Panyarachun kemudiannya dilantik sebagai Perdana Menteri Thailand sementara. Dialah yang bertanggungjawab membantu memimpin Thailand kembali ke jalan demokrasi.
Bukan saja penyatu antara politik, tapi juga bangsa dan agama di negaranya
Walaupun agama Islam cumalah agama minoriti di Thailand, Raja Bhumibol tak pernah mengenepikan penganut agama ni, mahupun agama-agama lain di negaranya. Baginda selalu menekankan pentingnya hidup berdampingan secara damai di kalangan agama, budaya dan etnik yang berbeza.
“Raja adalah hidup saya. Baginda yang membawa elektrik dan membangunkan kampung kami, dan saya tahu baginda melayan kami rakyat Thailand secara sama rata. Baginda adalah orang tengah bagi Thailand.” – Kitithat Ekanansiri, 49, dipetik dari Al Jazeera.
Malah, baginda merupakan orang yang bertanggungjawab dalam penerbitan Al-Quran dengan terjemahan dalam bahasa Thailand. Segalanya bermula pada tahun 1962, apabila baginda menerima kitab Al-Quran dengan terjemahan bahasa Inggeris dari Konsul Arab Saudi. Selepas mengkaji teks itu, Raja Bhumibol sendiri meminta pemimpin Islam Thailand, iaitu Sheikhul Islam (Chularajmontri) untuk membuat terjemahan bahasa Arab yang asal secara langsung supaya salinannya dapat diedarkan ke semua bahagian kerajaan.
Selain tu, Raja Bhumibol juga menunjukkan minatnya dalam budaya dan sejarah Islam. baginda dan keluarga diraja sendiri cuba mendekatkan diri mereka dengan minoriti Islam-Thai yang kewujudan mereka pernah dianggap terabai.
Kadang-kala, Raja dan Ratu Thailand akan pergi ke Selatan Thailand dan tinggal di istana kerajaan yang terletak di wilayah Narathiwat pada waktu-waktu tertentu. Istana ini dibina dengan tujuan mendekati komuniti Muslim Thailand. Contohnya pada setiap tahun, Raja atau wakilnya akan mengambil bahagian dalam majlis Maulidur Rasul.
Undang-undang istimewa untuk keluarga diraja yang dipanggil Lèse-majesté
Walaupun baginda seorang yang berjiwa rakyat, ada sesuatu yang ditakuti oleh rakyat negara tersebut. Di Thailand, terdapat satu kod jenayah dalam undang-undang mereka yang dikenali sebagai Lèse-majesté, di mana ia adalah suatu kesalahan untuk menjatuhkan maruah seorang pemerintah. Ia juga dipanggil pengkhianatan yang tinggi dilakukan terhadap kuasa kedaulatan.
Undang-undang ni bukan saja digunakan di Thailand, tapi juga di beberapa negara lain seperti di UK, Arab Saudi, Iceland, Kemboja, dan beberapa negara lain termasuklah Malaysia.
Kalau nak dibandingkan dengan negara-negara lain, Lèse-majesté di Thailand adalah yang paling tegas, di mana pesalah boleh dipenjara selama 3 hingga 15 tahun penjara bagi setiap satu kesalahan. Malah, ada yang pernah dihukum penjara selama 30 tahun.
Warganegara bukan Thailand juga tak terlepas daripada hukuman ni, contohnya seperti seorang warganegara Amerika yang didakwa menghina monarki negara itu dengan menyiarkan buku yang diharamkan mengenai raja, dan dalam masa yang sama mencela keluarga diraja tu.
Manakala seorang warga Switzerland pula pernah dikenakan hukuman penjara 10 tahun selepas menyembur cat pada gambar raja tersebut ketika sedang mabuk, tapi kemudiannya mendapat pengampunan diraja.
Malah, ada pelbagai kes lain di mana apabila raja dihina, rakyat Thailand sendiri yang akan menjatuhkan hukuman kepada si pelaku sama ada untuk menyedarkan mereka, atau supaya mereka tak mengulangi perbuatan tersebut. Ia adalah atas dasar rakyat sama-sama menjaga nama baik diraja.
Pindaan undang-undang ni nampaknya menimbulkan kebimbangan dalam PBB sejak beberapa tahun yang lepas. Pada tahun 2017, PBB sekali lagi menyeru supaya Thailand memansuhkan undang-undang tersebut dengan mengatakan peruntukan Lese-majeste tak sepatutnya berlaku di negara demokrasi seperti Thailand.
Tapi sebenarnya, Raja Bhumibol sendiri waktu pidato ulang tahunnya pada 2005 pernah menyatakan dirinya tak takut dikritik supaya boleh terus berkembang.
“Saya juga mesti dikritik, saya tidak takut jika kritikan itu berkenaan dengan kesalahan saya kerana saya tahu, jika anda mengatakan raja tidak boleh dikritik, itu bermakna raja bukan manusia.” – Bhumibol Adulyadej
Tukar ladang candu kepada ladang buah-buahan, dan laksanakan beribu lagi projek pertanian
Raja Bhumibol berpendapat yang berbudi pada tanah akan mendapat hasilnya. Jadi, baginda banyak belajar tentang hal-hal pertanian supaya dapat membantu petani dan mengekalkan masa depan pertanian negara. Apa yang baginda fikir ialah supaya petani berdikari, terutamanya dari segi bekalan makanan mereka seperti beras, buah, dan sayur-sayuran.
Baginda kemudiannya memulakan beberapa projek yang merangkumi pelbagai aspek pertanian seperti pengairan, kesuburan tanah, penyelidikan dan pembangunan ke dalam produktiviti tanaman, serta penternakan sebagai tambahan kepada aktiviti penjanaan hujan.
Kajian baginda betul-betul membuahkan hasil. Kebanyakan projek untuk rakyat menjadi, dan sehingga kini, baginda dipuji kerana sokongan sepanjang hayat untuk pembangunan kampung. Baginda sendiri telah melancarkan lebih daripada 4,000 projek pembangunan dan kebajikan sosial bukan saja dalam agronomi, tapi juga dalam perhutanan, perikanan dan kesihatan.
Malah, Thailand pada hari ini adalah pengeksport beras no 1 di dunia, pembekal dan pengeksport terbesar buah-buahan segar, terutama sekali buah-buahan tropika di Asia kerana geografi dan iklimnya, serta disebabkan pengairan yang baik.
Selain itu, baginda juga tak melupakan penduduk di kampung-kampung terpencil. Pernah satu masa dulu, Raja Bhumibol mengembara dengan sebuah helikopter. Dari udara, baginda ternampak sebuah kampung dengan ladang yang besar, dan memutuskan untuk turun melawat penduduk kampung tersebut. Mereka memakai pakaian hitam dan membawa pedang di bahu, dan memperkenalkan diri mereka sebagai suku kaum Muser. Mereka merupakan penduduk bukit dan menanam candu.
Raja kemudiannya terus bertekad mengubah nasib penduduk kampung tu. Daripada sebuah ladang candu, baginda mengubahnya kepada ladang pertanian supaya suku kaum tu sendiri boleh memanfaatkannya berbanding candu. Ladang atau stesen tersebut diasaskan pada tahun 1969 di ChiangMai, dan kini dikenali sebagai Stesen Pertanian Diraja Angkhang.
Mesej dan nasihat dalam “The Story of Tongdaeng”, hasil penulisannya
Mempunyai sisi seni yang tersendiri, Raja Bhumibol adalah pemain saksofon, dan pernah compose muzik dan ‘berjamming’ dengan beberapa legenda jazz di dunia. Baginda juga merupakan pelayar, dan juga penulis!
Raja Bhumibol pernah menulis sebuah novel bertajuk “The Story of Tongdaeng” (2002). Novel tersebut menceritakan tentang anjing peliharaannya yang bernama Tongdaeng, yang cuma merupakan daripada baka tempatan, malah dikutip dari jalanan saja. Tapi Tongdaeng sangat istimewa kepadanya kerana ia dikatakan sangat setia berbanding anjingnya yang lain dengan baka luar negara.
Penulisannya membawa mesej tersendiri, di mana perkara sebenar yang nak disampaikan adalah tentang pesanan untuk orang-orang kaya Thailand supaya berhenti membeli haiwan peliharaan daripada baka asing yang mahal, sebab banyak lagi haiwan jalanan lain yang mampu diselamatkan. ‘The Story of Tong Daeng’ kemudiannya menjadi penjualan buku terbaik pada tahun 2002 dengan jualan sebanyak 100,000 naskhah. Novel tersebut kemudiannya diadaptasi kepada animasi.
Selain tu juga, Raja Bhumibol sangat mengiktiraf karya penulisan. Keluarga Diraja Thailand menyokong kuat Anugerah Penulis Asia Tenggara atau lebih dikenali sebagai SEA Write Award, yang menjadi salah satu anugerah yang paling berprestij di Asia Tenggara. Apa yang lebih membanggakan, orang Malaysia adalah antara penerima terawal anugerah ini. Orang itu adalah A. Samad Said.
Berakhirnya pemerintahan Bhumibol apabila baginda akhirnya mangkat pada umur 88 tahun
Tanggal 13 Oktober 2016, Raja Bhumibol akhirnya menghembuskan nafas terakhir setelah lama terlantar sakit. Bukan setakat keluarga dan sanak saudara diraja saja yang menangisi pemergiannya, tapi seluruh rakyat Thailand berkabung dengan pemergian raja berjiwa rakyat ini.
Kemangkatannya menjadikannya raja paling lama memerintah Thailand, dengan 30 orang Perdana Menteri berkhidmat dalam negaranya.
“Kita akan memerintah dengan sebaik-baiknya untuk kebaikan dan kebahagiaan orang Siam.” – Raja Bhumibol Adulyadej, pada hari penabalannya di Istana Kerajaan di Bangkok pada tahun 1950.
Nampaknya setelah 66 tahun memerintah, Raja Bhumibol Adulyadej betul-betul menepati janjinya terhadap rakyat Thailand. Perkara ni juga menunjukkan walaupun raja tak dipilih rakyat seperti ahli politik, tapi segala kebaikan yang dilakukannya terhadap rakyat Thailand telah menjamin kehidupan mereka untuk mampu berdiri di kaki sendiri dengan hasil bumi negara.
Perjuangannya telah memberi banyak manfaat kepada rakyat supaya dapat membangunkan bangsa sendiri nampaknya telah meletakkan dirinya ke dalam hati setiap rakyat Thailand.
- 3.5KShare sekarang!
- Email21
- Facebook3.5K
- Share