- 605Share sekarang!
- Email15
- Facebook590
- Share
Bagi sesiapa yang suka tengok cerita superhero, mesti korang pernah ada angan-angan nak jadi macam diorangkan? Siapa tak nak ada super power, kalau dapat kuasa macam Superman mesti seronok, tak payahlah hari-hari nak hadap traffic jam. Kalau korang nak berangan-angan tak salah, tapi jangan sampai jadi macam seorang budak yang terjun bangunan sebab nak tiru aksi kartun.
Baru-baru ni filem Black Panther dah keluar, sekali dengan filem Badang. Dua filem ni adalah contoh filem superhero, kalau kami tanya korang nak jadi Black Panther atau Badang, korang nak jadi siapa? Shhh…Tak perlu jawab, kami dah tahu jawapan korang. Kalau hero-hero dalam filem ni betul-betul wujud, mesti senang sikit kerja polis nak tangkap orang jahat. Tapi kalau mereka gaduh macam Captain America lawan Iron Man tu, siapa nak settlekan?
Tony Stark dalam kehidupan sebenar
Baru-baru ni ada sebuah syarikat lancarkan roket ke angkasa, nama syarikat tu SpaceX. Kalau korang nak tahu, nama CEO kepada syarikat ni adalah Elon Musk. Ramai yang kata Elon Musk ni adalah Iron Man dalam kehidupan sebenar sebab dia buka banyak syarikat teknologi. Hari ni kami akan beritahu korang siapa sebenarnya Elon Musk sehingga dia boleh terfikir nak hantar roket ke Marikh.
Elon Reeve Musk ni sebenarnya lahir dekat Afrika Selatan, dia berhijrah ke USA sebab tak setuju dengan dasar Afrika masa tu yang wajibkan lelaki kulit putih ikuti latihan ketenteraan. Untuk elakkan tersepit dengan dasar afrika ni, dia pun pergilah ke USA sebab yakin peluang pekerjaan lebih besar dekat sana. Elon belajar dua tahun kat Queen’s University sebelum berpindah ke University of Pennsylvania.
Elon Musk ni memang genius sejak dia zaman kanak-kanak lagi, kalau kita masa 12 tahun baru nak belajar naik basikal, dia dah mula cipta permainan video dia sendiri dan jual dengan harga 500 USD. Dia ada ijazah dalam bidang Fizik dan Perniagaan. Pada tahun 1995, dia nak ambil PhD dalam bidang Fizik, tapi dua hari lepas tu dia berhenti dan mulakan perniagaan.
Zip2, syarikat yang buat Elon Musk jutawan
Pada tahun 1995, orang masa tu baru nak kenal apa tu internet. Kalau korang ingat, komputer masa tu punyalah besar, kalau kepala kita kena hempuk dengan komputer dulu-dulu confirm masuk ICU. Elon Musk nampak peluang yang ada pada internet, dia pun mulakan satu syarikat yang mereka namakan Zip2.
Zip2 ni satu pangkalan data untuk syarikat-syarikat terbitkan maklumat berkenaan syarikat mereka dekat internet. Cuba korang bayangkan mudah.my, tapi website ni spesifik untuk cari maklumat syarikat je, macam tulah fungsi Zip2. Apabila Elon Musk ditanya pasal Zip2, ini jawapan dia;
“Saya menulis sesuatu yang membolehkan anda memaparkan peta dan arah di internet. Sesuatu yang membolehkan anda melakukan manipulasi pada kandungan dalam talian; seperti sistem blogging yang canggih. Kemudian kami mula bertemu dengan syarikat surat khabar kecil dan syarikat media. Pada asasnya, kami hanya berenam. Saya, adik saya, yang saya yakinkan datang dari Kanada, dan kawan ibu saya. Tiga lagi pekerja di bahagian jualan.” – Elon Musk
Pada tahun 1999, Zip2 telah dijual kepada syarikat Compaq dengan harga 220 juta USD. Melalui pembelian ni, Elon Musk dapat lebih kurang 22 juta USD dari 7% saham yang dia miliki di Zip2. Masa ni umur Elon Musk baru 27 tahun, muda-muda macam ni dah jadi jutawan. Kebanyakan kita masa umur 27 tahun sibuk nak semak bila dapat duit BR1M.
Kalau duit dah banyak sangat, bakar rokok pun guna duit. Imej dari Giphy
PayPal pun bekas syarikat Elon Musk
Kalau korang tak familiar dengan PayPal maksudnya korang tak biasa lagi dengan internet. PayPal ni membolehkan korang lakukan transaksi duit secara online masa nak buat urusniaga dekat internet. Alaa, macam bank online gitu. Selepas mendapat duit daripada penjualan syarikat Zip2, Elon Musk mulakan sebuah syarikat online banking. Nama projek tu x.com.
Pada tahun 2000, x.com dengan Confinity Inc telah bergabung untuk melakukan servis transaksi wang secara online. Pada tahun 2001, nama PayPal diperkenalkan kepada pengguna. Kalau korang nak tahu, Elon Musk pernah dipecat daripada jawatan CEO PayPal sebab ada staf dia kata Elon Musk ni tak mampu nak jadi CEO yang baik. Dia dikatakan suka bercuti dan buat keputusan yang tak munasabah.
Pada tahun 2002, PayPal telah dibeli oleh Ebay dengan harga 1.5 bilion USD. Masa PayPal ni dibeli oleh Ebay, Elon Musk dapat lebih kurang 160 juta USD. Kalau kami dapat duit banyak tu, dah tentu-tentu kami berhenti kerja sebab 7 keturunan boleh makan. Eh…mungkin 5 keturunan je kot, sebab harga barang dah mahal.
Dia nak cipta kereta yang tak perlukan minyak petrol
Syarikat Tesla Inc ni syarikat yang fokus untuk keluarkan kereta elektrik. Asalnya syarikat ni ditubuhkan oleh Martin Eberhard dan Marc Tarpenning. Kalau korang tertanya-tanya daripada mana datang nama Tesla, Tesla ni berasal daripada nama seorang saintis kacukan Serbia-Amerika yang bernama Nikola Tesla. Pada awalnya Elon Musk hanyalah pelabur yang beri duit kepada syarikat ni, tapi pada tahun 2008 dia telah dilantik sebagai CEO.
Ketika Elon Musk ditanya sebab utama dia berminat nak melabur dengan banyak dekat Tesla, dia jawab;
“Minat utama saya dalam kereta elektrik dan tenaga solar bermula ketika saya berada di universiti. Ia bukanlah semata-mata kerana alam sekitar, tapi ia berdasarkan kelestarian dalam memastikan tamadun dapat terus berkembang.” – Elon Musk
Cuba korang bayangkan kalau korang ada kereta yang tak perlukan minyak, dan apabila korang sampai dekat rumah ia akan dicas secara automatik. Mesti korang takkan bising dengan masalah minyak yang selalu naik. Setakat ni, Tesla dah ada 8,496 “supercharger” di seluruh dunia untuk pengguna kereta Tesla cas kereta.
Kalau korang nak tahu spesifikasi kereta Tesla, korang boleh baca dekat sini.
Tak puas dengan syarikat sedia ada, dia nak hantar roket ke Marikh
Kalau kami kata kita boleh melancong di Marikh, mesti korang rasa kami dah gilakan? Tapi itulah apa yang syarikat SpaceX percaya akan berlaku. Syarikat SpaceX ni dimulakan oleh Elon Musk pada tahun 2002 yang fokus untuk menjadikan roket boleh digunakan semula. Kami rasa korang mesti dah tahu, kos untuk lancarkan roket ke angkasa mahal. Jadi Elon Musk fikir kalau kita boleh gunakan semula roket, kosnya akan lebih murah.
Idea paling gila Elon Musk adalah dia nak buat pelancongan angkasa. Fuhh, cuba bayang korang bercuti dekat angkasa, mesti boleh selfie dengan background bumikan? Kecuali korang penyokong teori bumi flatlah. Video kat bawah ni tunjukkan penerangan Elon Musk tentang roket yang boleh digunakan untuk melancong ke angkasa.
Baru-baru ni SpaceX lancarkan roket Falcon Heavy, roket yang terbesar pernah dilancarkan syarikat swasta ke angkasa. Untuk jadikan pelancaran roket tu lebih stylo, Elon Musk letakkan kereta dia dekat Falcon Heavy untuk ambil imej kat angkasa. Apabila ditanya tentang kereta dia, Elon Musk jawab;
“Ia hanyalah sebuah kereta biasa di angkasa, saya agak suka kebodohan itu, ia agak mengarut dan menyeronokkan, tetapi saya fikir perkara yang bodoh dan menyeronokkan itu penting. Saya fikir imej itu akan membuatkan orang teruja di seluruh dunia, dan ia mengujakan saya.” – Elon Musk
Korang percaya tak nama syarikat suka-suka Elon Musk adalah Boring Company?
Kalau korang kerja dekat bandar-bandar besar dan ada kenderaan sendiri, kami yakin setiap hari mesti korang fed up menghadap traffic jam yang tak habis-habis. Situasi inilah yang buat Elon Musk buka syarikat baru, dan dia namakan syarikat tu Boring Company. Cuba bayangkan korang kerja dekat Boring Company, kalau orang tanya kerja mana? Korang jawab Boring…
Kalau korang fikir syarikat Boring yang ditubuhkan pada tahun 2016 ni lakukan aktiviti yang membosankan, korang dah silap. Mereka bercadang nak buat laluan bawah tanah yang akan bawa kereta dengan kelajuan yang tinggi. Kalau laluan bawah tanah ni siap, Boring Company percaya masalah traffic jam akan selesai. Ramai yang rasa projek ni tak masuk akal, tapi ayat tu jugaklah yang muncul masa Elon nak hantar roket ke Marikh.
Baru-baru ni, Boring Company ada keluarkan flamethrower untuk dijual kepada orang ramai. Apa yang buat kami terkejut, lebih kurang 20,000 unit terjual. Harga untuk satu unit flamethrower ni 500 USD. Kalau korang cemerlang matematik masa sekolah dulu, mesti korang tahu Boring Company berjaya kutip 10 juta USD dari jualan ni.
https://www.youtube.com/watch?v=gqjvtcnI09A
Elon Musk dah bercerai tiga kali
Disebalik kejayaan Elon Musk dalam syarikat-syarikat yang dia uruskan, terselit kisah sedih. Elon Musk pernah berkahwin selama tiga kali, dan ketiga-tiga perkahwinan itu berakhir dengan perceraian. Dia berkahwin dengan Justine Musk (2000-2008), kemudian dia berkahwin dengan Talulah Riley dua kali (2010-2012) dan (2013-2016). Macam koranglah masa bercinta dulu-dulu, kejap break, kejap sambung balik, lepas tu break lagi.
Elon Musk ada 6 orang anak, seorang meninggal ketika berumur 10 bulan. Elon Musk tak nak hantar anak-anak mereka ke sekolah biasa, sebab dia kata sekolah terlalu meminta pelajar menghafal dan mengajar formula tanpa menerangkan kepentingan formula tu. Sebab inilah dia buka sekolah sendiri untuk 5 anak-anaknya. Mesti seronok kalau dapat masuk sekolah tu, sebab takda gred dan takda hafal buta-buta.
Tips yang Elon Musk berikan kalau nak berjaya
Selain daripada syarikat-syarikat yang kami sebut kat atas, ada banyak lagi syarikat yang Elon Musk kendalikan. Antaranya Solar City, Hyperloop, OpenAI dan Neuralink.
Sepanjang hidup Elon Musk, dia suka buat benda yang orang lain tak berani nak buat. Pernah sekali Tesla hadapi masalah kewangan, dia laburkan duit peribadi untuk pastikan syarikat tu terus hidup. Kalau korang, berani tak buat macam tu? Ramai orang kata Elon Musk ni berjaya sebab dia berani untuk ambil risiko. Bak kata orang dulu-dulu, kalau tak berani dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.
Lagi satu tips yang Elon Musk selalu berikan adalah korang kena kerja gila-gila kalau nak capai kejayaan. Elon Musk terkenal dengan cara dia bekerja selama 100 jam seminggu, lebih kurang 14 jam sehari. Korang boleh tak? Kalau kerja waktu pejabat pun korang dah kata kerja lama sangat, memang susahlah korang nak berjaya macam Elon Musk.
“Bekerja dengan keras, anda hanya perlu meletakkan dalam 80 hingga 100 jam waktu bekerja setiap minggu, ini meningkatkan keberangkalian kejayaan. Jika orang lain bekerja selama 40 jam seminggu dan anda meletakkan 100 jam kerja seminggu, dengan melakukan perkara yang sama, anda tahu bahawa anda akan memerlukan tempoh empat bulan apa yang mereka perlukan setahun untuk dicapai. “- Elon Musk
- 605Share sekarang!
- Email15
- Facebook590
- Share