Jenayah & Undang-undang

Kebangkitan Nasionalisme Hindu di India: Ancaman untuk Islam dan Kristian?

India bukanlah negara asing dalam sejarah Malaysia. Dicatatkan sejak zaman kegemilangan Melaka lagi kita dah jalinkan hubungan perdagangan dengan negara itu. Pada zaman moden ni pulak, India jadi antara penerima utama pasaran minyak sawit kita. Mungkin ada di antara kita yang pernah pergi India dan lawat tempat-tempat menarik kat sana.

Siapa tak tahu dengan keindahan Taj Mahal yang dianggap sebagai salah satu ‘7 keajaiban dunia’. Tapi nampaknya baru-baru ni ada kontroversi pasal bangunan bersejarah tu. Seorang Ahli Parlimen (MP) India mendakwa yang Taj Mahal sebenarnya dibina kat atas tapak sebuah kuil Hindu. MP tu juga ada kata – tak lama lagi Taj Mahal akan ditukar jadi kuil.

Dakwaan yang muncul. Imej dari harekrsna.de

Sebelum ni, Pejabat Pelancongan Uttar Pradesh (negeri tempatnya Taj Mahal) dah keluarkan Taj Mahal dari senarai tempat pelancongan kat negeri tu. Apa yang pasti, semua kontroversi ni dikaitkan dengan Parti Bharatiya Janata (BJP) yang menguasai Uttar Pradesh dan kerajaan India sekarang.

Orang bergaya inilah Nerendra Modi, Perdana Menteri India sekarang. Dia juga pemimpin BJP. Imej dari The Express Tribune.

Berbeza dengan Parti Kongres (parti tinggalan Mahatma Ghandi) yang berfahaman sekular, BJP nampaknya berfahaman ‘Nasionalisme Hindu’. Sejak Modi jadi Perdana Menteri pada tahun 2014, semangat ‘Nasionalisme Hindu’ ni semakin kuat diperkatakan.

Sampaikan fahaman ni dah buatkan orang Islam dan Kristian tak tenang hidup sebab diancam dengan pelampau-pelampau Hindu. Justeru, kita nak tahu juga sejak bila fahaman ni muncul dan apa yang dimaksudkan dengan nasionalisme Hindu?

Fahaman ni anggap Hindu sebagai budaya dan kena diikut tanpa mengira agama

Fahaman ni sebenarnya dah wujud sejak zaman penjajahan British kat India lagi. Fahaman ni juga digunakan dalam usaha menentang penjajah British dan Dinasti Islam yang pernah berkuasa kat India. Pada tahun 1920-an, muncul satu gerakan yang dipanggil sebagai The Rashtriya Swayamsevak Sangh (RSS). Boleh dikatakan gerakan ni antara yang terawal mempromosikan nasionalisme Hindu.

“Perlu diingat BJP adalah parti politik untuk organisasi RSS yang bermatlamat untuk menjadikan India negara Hindu. RSS begitu berpengaruh di kalangan rakyat India sebab itu begitu mudah BJP dapat sokongan kerana dalam benak hati kebanyakan rakyat mereka mahukan India sebagai negara Hindu dan BJP boleh bantu capai matlamat ini melalui politik.” – Azmi Hassan, Geostrategis. Katanya kepada SOSCILI.

Menurut Dewan Bahasa, nasionalisme bermaksud perasaan cinta pada negara dan bangsa sendiri. Tapi lain pulak dengan apa yang BJP faham.

Hai semua~~~. Imej dari Hindustan Times.

Menurut Zin Mahmud, Janata bermaksud bangsa dan Bharatiya bermaksud India. Jadinya Parti Bharatiya Janata bermaksud Parti Bangsa India. Walaupun macam tu…

“Kalau bangsa India, ia merujuk kepada semua rakyat negara itu dengan kepelbagaian kaum dan agama. Tetapi istilah bangsa Bharatiya pula bermaksud India yang berasaskan pada budaya Hindu. Jadi Hindu itu dilihat juga sebagai budaya yang perlu diterima oleh rakyat India tanpa mengira agamanya.” – Zin Mahmud, dipetik dari Utusan Malaysia.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Lamaran tak diterima. Imej dari Giphy.

Penyokong nasionalisme Hindu ni sejak dulu lagi tak setuju dengan polisi sekular India. Diorang juga marah sangat bila ada wilayah India yang dibagi kepada orang Islam iaitu Pakistan sekarang ni. Macam mana-mana fahaman lain, ada yang terima fahaman ni dengan cara sederhana dan ada juga dengan cara ekstrem.

Gandhi & Nehru, dua orang pengasas India selepas merdeka. Imej dari gohighbrow.com

Hal ini jugalah yang buatkan pelampau Hindu menembak mati Mahatma Gandhi pada tahun 1948 dulu. Fahaman ni semakin kontroversi bila ada penyokongnya yang anggap penganut-penganut agama selain Hindu sebagai musuh.

“Mereka menganggap Islam adalah agama penakluk yang pernah memerintah India pada zaman Moghul. Sementara Kristian pula dianggap agama penjajah British.” – Zin Mahmud, dipetik dari Utusan Malaysia.

Scene Gandhi kena tembak dalam filem. Imej dari Giphy.

Pernah jadi rusuhan agama yang membunuh 2,000 nyawa

Perdana Menteri India sekarang, Nerendra Modi adalah antara orang penting yang mulakan karier politiknya dengan RSS sebelum masuk BJP. BJP mula dapat sokongan dan popular kat India bila parti ni gerakkan usaha memusnahkan Masjid Babri pada tahun 1992. Sebabnya, diorang percaya yang masjid tu dibina kat atas tapak kuil tempat lahirnya Dewa Rama. Akibatnya, dah berlaku rusuhan yang mengorbankan hampir 2,000 nyawa.

Keadaan Masjid Babri yang diserang dan dimusnahkan. Imej dari India Today.

10 tahun lepas tu, jadi lagi rusuhan berdarah melibatkan penganut Hindu dan Islam. Rusuhan ni jadi kat Gujarat yang masa tu Modi jadi Ketua Menterinya. Kes ni jadi bila kereta api yang penuh dengan penganut Hindu berhenti kat satu bandar. Tapi lepas tu ada jadi perbalahan antara orang Hindu dengan orang Islam.

Kesannya, salah satu dari gerabak kereta api dah dibakar dan mengorbankan 59 orang Hindu. Bila jadi macam tu, masyarakat Hindu pun balas balik dengan serang orang Islam kat Gujarat. Dianggarkan 1,000 orang Islam terbunuh, dengan rumah dan tempat ibadat diorang dimusnahkan.

Rusuhan agama Gujarat. Imej dari The Daily Star.

Kes ni juga dikaitkan dengan peranan Modi yang gagal tamatkan rusuhan. Disebabkan kes ni jugalah Modi pernah dilarang dari masuk Amerika Syarikat beberapa tahun.

“Seorang pegawai tinggi negeri ada memberitahu satu panel penyiasatan bahawa Modi memerintahkan para pegawai untuk tidak melakukan tindakan terhadap para perusuh… Beribu-ribu kes terhadap perusuh dibuang oleh polis kerana kekurangan bukti walaupun mempunyai saksi.” – Dipetik dari The New York Times.

Antara tunjuk perasaan yang minta Modi dibicarakan. Imej dari twocircles.net

Bila BJP menang pilihan raya dan berjaya buat kerajaan pada tahun 2014, fahaman nasionalisme Hindu nampaknya semakin dikuatkan. Sekarang ni, kerajaan Modi tengah buat patung raksasa Raja Shivaji kat Mumbai sebagai lambang mercu tanda nasionalisme Hindu.

Raja Shivaji adalah orang yang berjaya mengalahkan pihak Moghul (Islam). Kalau patung ni siap nanti, ia akan jadi patung paling tinggi kat dunia dan Modi menggelarkannya sebagai ‘Patung Kebebasan’. Tapi apa yang pasti, sejak BJP memerintah India banyak kes serangan terhadap orang Islam dan Kristian dilaporkan terjadi.

Peranan kerajaan BJP dipersoal dalam menghadapi tindakan radikal pelampau Hindu

Walaupun Perlembagaan India jelas melindungi kebebasan beragama dan melarang diskriminasi, tapi nampaknya hal ni tercabar bila muncul pihak-pihak radikal dan pelampau.

Pada tahun 2015, seorang Muslim dah dibunuh oleh sekumpulan pelampau Hindu sebab dituduh makan daging lembu. Seperti yang kita tahu, lembu adalah antara haiwan suci dalam ajaran Hindu. Amnesty International pula melaporkan, sekurang-kurangnya 10 orang Islam terbunuh sejak April 2017. 

“Pola jenayah kebencian terhadap umat Islam kebanyakannya di negeri-negeri BJP berkuasa sangat membimbangkan. Malangnya, kedua-dua Perdana Menteri dan Ketua Menteri tidak tegas dalam menunjukkan rasa tidak bersetuju dengan keganasan ini.” – Aakar Patel, Pengarah Eksekutif Amnesty International India.

Antara cadangan pelampau Hindu. Imej dari rt.com

Masyarakat Kristian juga tak kurang dapat kesannya. Pada tahun 2015, sebuah gereja dekat Kerala dah diserang 50 orang pelampau Hindu. Serangan tu dah mencederakan beberapa orang dan seorang pastor.

Pada tahun lepas pulak, seramai 300 pelampau Hindu dah menyerang sebuah gereja. Kanak-kanak dan wanita dipukul dalam serangan tu. Pastor gereja dalam satu kenyataan ada kata yang serangan tu disokong oleh BJP. Kes kebakaran gereja juga dilaporkan pada tahun ini.

“Apabila orang Kristian dipukul oleh pelampau, mereka cedera dan kebanyakannya di kepala atau bahagian tubuh yang penting. Terdapat satu kejadian awal tahun ini apabila mangsa diserang dengan pedang di kepalanya…

Penyerang tak peduli kalau orang itu mati. Mereka tahu yang mereka tak akan dihukum kerana kerajaan akan memihak kepada mereka. Dalam banyak kes, penyerang tak dihukum.” – Dipetik dari World Watch Monitor.

Penganut Kristian yang diserang di tempat awam. Imej dari asianews.it

BJP juga dikritik bila pilih pemimpin kontroversi – Yogi Adityanath sebagai Ketua Menteri baru kat Uttar Pradesh, negeri paling banyak penduduk kat India. Sebelum ni, Adityanath pernah kata kalau seorang Hindu dibunuh, diorang akan balas balik dengan bunuh 100 orang Muslim.

Dia juga pernah kata yang Mother Teresa sebenarnya konspirasi untuk mengkristiankan India. Bukan setakat ustaz-ustaz kat Malaysia je yang ada teori konspirasi.

“Fahaman Nasionalisme Hindu juga mendorong kepada sebilangan orang India menolak ilmu Barat yang dianggap sebagai anasir asing. Maka timbullah sains Hindu, matematik Hindu dan juga sejarah menurut tafsiran Hindu hinggakan ia membimbangkan sebahagian daripada ilmuwan.” – Zin Mahmud. Dipetik dari Utusan Malaysia.

Yogi Adityanath & Modi. Imej dari The Print.

Walaupun kita nampak kes ni macam bertambah serius, tapi sebenarnya sejarah India mengajar kita tentang konsep kerjasama politik tanpa mengira agama. Hal ni terbukti bila…

Pejuang kemerdekaan dan empat dari bekas Presiden India juga datang dari kalangan orang Islam

Dalam perjuangan menuntut kemerdekaan kat India, nama Mahatma Gandhi dan Jawaharlal Nehru selalu disebut-sebut. Tapi sebenarnya ada banyak lagi tokoh lain, macam Muhammad Ali Jinnah. Perjuangan Jinnah pada mulanya bersama-sama dengan Gandhi, tapi akhirnya Jinnah ambil keputusan nak tubuhkan negara sendiri untuk orang Islam. Maka lahirlah Pakistan.

Jinnah & Gandhi. Imej dari Wikimedia.

Walaupun macam tu, masih ada pemimpin Islam yang setia dengan berjuang bersama Gandhi seperti Maulana Kalam Azad. Beliau juga adalah antara pemimpin terawal dalam Parti Kongres. Masa terjadinya keganasan dalam usaha pemisahan India dan Pakistan, Maulana Azad antara orang yang bertanggungjawab menjaga keselamatan orang Islam kat India.

Dari kiri: Gandhi, Nehru & Azad. Imej dari gandhiheritageportal.org

Lepas merdeka, Maulana Azad dilantik jadi Menteri Pelajaran pertama India. Beliau meninggal dunia pada tahun 1958 dan beliau dianugerahkan anugerah tertinggi ‘Bharat Ratna’ pada tahun 1992.

Walaupun majoriti penduduk India beragama Hindu, Perlembagaan negara tu tak halang orang Islam dari bertanding merebut jawatan Presiden. Hasilnya, sampai hari ni ada empat orang Islam yang pernah dilantik jadi Presiden India. Diorang adalah…

Dr Zakir Husain – Presiden Muslim pertama India

Dekat Malaysia ni nama Dr Zakir Naik cukup terkenal, tapi rupa-rupanya orang Islam pertama yang jadi Presiden India pun bernama Zakir. Dr Zakir Husain jadi Presiden India dari tahun 1967 sampai 1969. Dia juga terkenal sebagai seorang intelektual yang terlibat sama dalam perjuangan kemerdekaan bersama-sama dengan Gandhi.

Imej dari twocircles.net

Muhammad Hidayatullah – Dua kali dilantik jadi pemangku Presiden India

Sebelum jadi pemangku Presiden, Hidayatullah pernah jadi Ketua Hakim Negara India. Tapi pada tahun 1969, dia dah dilantik sebagai pemangku Presiden bila Naib Presiden – V.V Giri meletakkan jawatan dan buat keputusan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden.

Imej dari The Hindu.

Kali kedua pulak adalah pada Oktober 1982 bila Presiden Zail Singh pergi ke Amerika Syarikat (AS) untuk buat rawatan. Hidayatullah yang masa tu Naib Presiden, dilantik sebagai pemangku Presiden. Beliau meninggal dunia pada pada tahun 1992.

A.P.J Abdul Kalam – Saintis yang dilantik menjadi Presiden India

Berbeza dengan presiden-presiden sebelumnya, Abdul Kalam tak datang dari latar belakang politik, tapi sebaliknya dari bidang sains. Beliau adalah seorang saintis yang buat sumbangan besar dalam program satelit India, projek peluru berpandu balistik dan program nuklear.

Disebabkan tu, Abdul Kalam digelar sebagai ‘Missile Man of India”. Beliau meninggal dunia pada tahun 2015 di usia 83 tahun.

A.P.J Abdul Kalam. Imej dari The Economic Times.

Senarai ni belum lagi masuk nama-nama selebriti dan ahli sukan Muslim kat India. Sebab itulah, kalau kita perhati betul-betul India sejak dulu taklah mendiskriminasikan orang Islam. Cuma sejak kebelakangan ni keadaan tu agak berubah sikit.

Barat masih harapkan ekonomi India untuk imbangi kuasa China

Sekarang ini, ramai pemerhati politik antarabangsa nampak India cuba untuk meninggalkan sistem yang diamalkannya dulu. Malah gerakan nasionalis Hindu semakin meresap masuk dalam setiap kehidupan masyarakat.

“Festival tradisional juga kini telah diberikan slogan-slogan nasionalis… Gudi Padva iaitu festival Tahun Baru di Maharashtra telah bertukar kepada sambutan militan Hindu, yang disertai slogan untuk menjadikan India negara Hindu.” – Dipetik dari al-Jazeera.

Modi terima bunga dari seorang ulama India. Imej dari rediff.com

Konflik serantau antara India dan Pakistan dalam isu berebut wilayah Kashmir juga sampai sekarang masih belum selesai. Bagaimanapun menurut Zin Mahmud, dunia Barat sekarang masih lagi mengharapkan India sebagai pengimbang kemaraan China. India dijangka akan jadi ekonomi kelima terbesar di dunia dalam masa terdekat. 

“Sukar bagi parti yang tidak berpegang kepada Hindu sebagai prinsip ideologi seperti Parti Kongres untuk raih sokongan…Parti Kongres tidak punya ikon kepimpinan ketika ini yang mampu menyatu padu rakyat India tanpa kira pegangan agama.” – Azmi Hassan, Geostrategis. Katanya kepada SOSCILI.

Mahatma Gandhi tetap kekal sebagai tokoh legend India. Imej dari Cultural India.

Apa yang pasti, untuk bergerak maju – India perlu ada keharmonian di antara rakyatnya yang pelbagai etnik dan agama. Ke mana seterusnya India selepas ini? Semua itu akan ditentukan oleh lebih 1 bilion rakyatnya. Semangat yang dibawa oleh Mahatma Gandhi dahulu tidak boleh dilupakan begitu saja, India akan terus diperhatikan oleh dunia.

Popular

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend