Yusuf berkahwin dengan Zulaikha? 7 hadis masyhur tapi ramai salah faham

Korang mesti selalu dengar kisah-kisah agama yang sering diceritakan oleh ustaz dan ustazah kan? Tapi korang tahu tak, sebenarnya terdapat banyak kisah yang diceritakan tu berdasarkan hadis-hadis palsu.

Sebahagian orang mengambil mudah dan tak peduli. Asalkan ia disebut hadis je, dorang terus terima semuanya termasuk yang lemah dan palsu. So, oleh kami kat SOSCILI nak tahu kesahihannya, kami buat research tentang beberapa kisah ni…

1. Nabi Yusuf berkahwin dengan Zulaikha?

Korang perasan tak, bila dapat kad kahwin je, banyak yang doakan pengantin yang ditulis kat dalam tu seperti:

“Ya Allah, satukanlah hati kedua-dua mempelai ini seperti mana Engkau satukan Rasulullah dan Khadijah, Yusuf dan Zulaikha…”

Kadang-kadang tu bila dalam majlis, siap ada Pak Imam turut aminkan sekali doa tersebut sebagai tanda  memohon keberkatan pernikahan. Ok lah, kisah Rasulullah dan Khadijah memang dah tercatat dalam perjalanan hidup baginda dan kita semua memang dah tahu sejak dari sekolah lagi. Tapi kisah Yusuf dan Zulaikha tu macam mana pula ye?

Selalu tak korang perasan benda ni? Imej dari Creative Labuan.

Sebelum kitorang nak cerita lebih lanjut, biar kitorang explain dulu siapa sebenarnya Yusuf  dan Zulaikha yang dimaksudkan ni. Yusuf merujuk kepada Nabi Yusuf AS yang memiliki rupa paras tampan rupawan. Manakala Zulaikha pula ialah isteri kepada Al-Aziz (pembesar Mesir).

Semasa kecil, Nabi Yusuf telah diuji dengan ujian yang berat. Dia dihina, dibenci oleh saudaranya dan dijual kat pasar. Seorang pembesar dari Mesir (Al-Aziz) telah membelinya.

Yusuf mendapat tempat di hati seseorang yang membelinya, iaitu seorang bangsawan yang berkata kepada isterinya: “Hormatilah ia, kerana barangkali ia bermanfaat bagi kita atau kita dapat menjadikannya sebagai anak.” – Dipetik dari Jabatan Agama Islam Perak. 

Oleh kerana Nabi Yusuf ni terlalu tampan, Zulaika (isteri kepada Al-Aziz) sendiri tak dapat mengawal nafsunya dan cuba menggoda serta memperdaya Nabi Yusuf ketika suaminya tiada di rumah.

Setampan abam arab ni, tak boleh lawan la dengan Nabi Yusuf. Imej dari muslimgen

Menurut sirah Ibnu Kathir, tak lama lepas kejadian tu, Nabi Yusuf dan Zulaikha akhirnya berkahwin dan mempunyai dua orang cahaya mata. Tapi menurut Ustaz Azhar Idrus, hadis tu bukanlah hadis sahih kerana ia merupakan riwayat Israiliyyat. (Israiliyat adalah berita yang dinukil dari orang Bani Israel dan umumnya berasal dari masyarakat Yahudi.
Jadi berbalik pada doa pengantin tu, ada jugak yang kata ia tak sesuai dijadikan sebagai doa kerana ianya seperti mendoakan isteri untuk berkelakuan curang. Malah Zulaikha jugak digambarkan sebagai seorang yang bernafsu tinggi.

2. Khadijah bukan berumur 40 tahun ketika berkahwin dengan Nabi Muhammad

Khadijah adalah isteri Rasulullah SAW yang pertama. Kalau korang masih ingat, kat sekolah kita sering diajar bahawa usia Saidatina Khadijah 40 tahun ketika berkahwin dengan Rasulullah SAW.

“Khadijah berumur 40 tahun ni mengikut riwayat Waqidi. Ada Riwayat dari Ibnu Ishaq mengatakan (umur Khadijah) 25 tahun. ” – Dr Rozaimi Ramle, Pakar bidang Hadis. Dipetik dari Sinar Kuliah.

Tapi ada jugak riwayat yang mengatakan umur Khadijah adalah lebih tua iaitu 65 tahun.

“Agak pelik untuk dikaitkan umur Khadijah sebegitu kerana ketika bersama Nabi, Khadijah mempunyai ramai anak.” – Dr Maza, Mufti Perlis. Dipetik dari Youtube.

Siti Khadijah yang kitorang cerita ni bukan telekung jenama Siti Khadijah tau. Imej dari anabaizuracantek

Namun menurut Dr Rozaimi Ramle selaku pakar dalam bidang hadis ada bagitahu yang dia lebih cenderung mengatakan umur Khadijah ketika berkahwin ialah 25 tahun. Ini kerana riwayat Ibnu Ishaq adalah lebih kuat dan ianya lebih logik sebab mereka mempunyai anak 6 orang ketika bersama.

3. Air zam-zam keluar dari tapak kaki Nabi Ismail

Ke sana ke sini lari-lari kecil,
Bagai Siti Hajar mencari air,
Terpancur sinar di kering pasir,
Bekas hentakan kudus kaki Ismail.

Korang mesti biasa dengan lagu nyanyian M Nasir kat atas ni kan? Kalau masih tak pasti yang mana satu lagunya, korang boleh play video kat bawah ni:

https://youtu.be/pi2hf6dmb4Q?t=25s

Ok dekat lirik lagu ni, M Nasir ada cerita mengenai air yang keluar dari hentakan kaki Nabi Ismail (ketika bayi) yang kini dikenali sebagai air zam-zam.

Cerita bermula apabila Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail AS (yang ketika itu masih bayi) ditinggalkan oleh ketua keluarganya, Nabi Ibrahim AS (ayah) kat tapak kota purba yang kini dikenali sebagai Mekah.

Masa Siti Hajar ditinggalkan bersama anaknya tu, takde sorang pun manusia yang tinggal kat kawasan tersebut dan hal ni telah menimbulkan rasa bimbang kepada Siti Hajar. Walau bagaimanapun, Nabi Ibrahim meminta supaya Siti Hajar bertawakal kerana apa yang dilakukan ni adalah atas perintah Allah. Lalu Nabi Ibrahim pun pergi dan tinggallah si ibu bersama anak kecilnya itu.

Tak lama kemudian, bayi tersebut pun menangis kehausan. Pada saat genting itulah Siti Hajar berlari 7 kali dari Bukit Safa ke Marwah sebelum air zam-zam terbit di bawah hentakan kaki anaknya, Nabi Ismail.

Itulah sejarah telaga zam-zam yang diperdengarkan kepada masyarakat sehingga kini.

Ibu mana yang tak risau bilau anak dok menangis je. Imej dari ebookanak

Tapi kat dalam Sahih al-Bukhari riwayat Ibnu Abbas ada terangkan yang air tersebut bukan keluar dari hentakan kaki Ismail. Tetapi cerita sebaliknya ialah:

Ketika Nabi Ismail a.s. dan Hajar berada di puncak bukit Marwah, mereka terdengar satu suara. Lalu Hajar berkata dalam hatinya, “Diamlah.” Hajar maksudnya “Diamlah” itu adalah dirinya sendiri. Kemudian dia berusaha mendengarkannya dan dia dapat mendengar suara itu lagi. Dia berkata, “Kamu memperdengarkan suara kamu jikalau kamu bermaksud memberikan bantuan.
Ternyata suara itu adalah suara Malaikat Jibrail a.s. yang dekat dengan tapak punca air zamzam. Lantas Malaikat Jibrail a.s menguis kawasan itu dengan sayapnya sehingga air keluar memancar. Akhirnya, Siti Hajar dapat minum air dan menyusukan anaknya, Nabi Ismail a.s. kembali.
Kemudian Malaikat Jibrail a.s. berkata kepadanya:
Janganlah kamu takut ditinggalkan. Ini adalah rumah Allah yang akan dibangunkan oleh anak ini dan ayahnya. Sesungguhnya Allah tidak akan mensia-siakan hambanyaNya. – Sahih Bukhari, no.3113. Dipetik dari buku 40 Kisah Palsu Tetapi Masyhur Yang Disandarkan Pada Agama. 

Kalau korang nak tahu lebih banyak kisah-kisah palsu, bolehlah dapatkan buku ni. Imej dari Akmalfadhil.com

Perkara ni jugak ada dinyatakan oleh Ustaz Yunus Zainal;

“Yang sahihnya adalah Malaikat Jibril yang korek keluarkan air. Bukan sebab hentakan kaki. Bayi menangis seperti biasa.” – Ustaz Yunus Zainal, dipetik dari Konvensyen Ilmu Sunnah.

4. Tiada istilah payung emas bagi isteri yang benarkan suami berkahwin lagi

Setiap kali bercakap tentang poligami, ungkapan ‘payung emas’ pasti akan timbul. Si suami tentunya akan menjadikannya modal atau ‘mengumpan’ isteri dengan ganjaran tersebut jika mahu menambah ‘cawangan’.

Lepas tu, si isteri pulak mula lah terbayang-bayang bagaimana agaknya rupa payung emas yang akan diperolehi kat akhirat kelak jika dia merelakan dirinya dimadu.

Jom kongsi payung emas ni nak tak? Imej dari beringaz

Tapi persoalannya, betul ke ada payung emas ni?

“Tidak ada dalam hadis sebut mengenai payung emas. Yang ada dalam hadis ialah mana-mana isteri yang taat pada suaminya, maka dia dapat masuk ke dalam syurga.” – Ustaz Azhar Idrus, dipetik dari Youtube.

Jadi ni bermakna, payung emas adalah satu rekaan semata-mata dan ia hanyalah satu perspektif yang tidak benar.

5. Kisah anak derhaka terhadap ibunya

Korang tahu tak cerita mengenai Al-Qamah dengan ibunya, di mana dia telah melebihkan isterinya sendiri dari ibu kandung. Hadis ini mengisahkan bahawa pada zaman Rasulullah ada seorang pemuda yang bernama Al-Qamah. Dia seorang pemuda yang kuat beribadah, rajin solat dan berpuasa serta suka bersedekah. Namun satu hari, dia telah dilanda sakit, maka isterinya pun mengirim utusan kepada Rasulullah untuk memberitahu keadaan suaminya itu.

Maka, Rasulullah pun mengutus Ammar bin Yasir, Shuhaib ar-Rumi dan Bilal bin Rabah untuk melihat keadaannnya. Baginda bersabda, “Pergilah ke rumah Al Qamah dan talqin lah untuk mengucapkan La Ilaha Illallah” sebab waktu tu dia dah dalam keadaan nazak. Tapi apa yang menyedihkan ialah, ketika ingin mengucap tu, tiba-tiba lidah dia terkelu tak boleh nak mengucap.

Rasa terkesan tak dengar cerita ni? Tapiiii apa yang kitorang terkejut ialah….

“Kisah ini dan hadisnya adalah hadis yang mungkar. Memang tak sampai tahap palsu tapi mungkar. Mungkar ni maksudnya hadis yang tak sahih, terlalu dhaif.” – Dr Rozaimi Ramle, dipetik dari Sunnah Film.

Hadis dhaif bermaksud hadis yang lemah. Menurut sarjana hadis, hadis dhaif tidak menepati ciri-ciri hadis sahih dan hadis hassan. Namun, hadis dhaif boleh dinaikkan taraf sekiranya ada hadis lain yang boleh menguatkannya.

6. Syaitan menangis bila korang berkahwin

Biasa tak korang dengar hadis kat bawah ni:

“Mana-mana pemuda yang berkahwin pada awal umurnya maka menjeritlah syaitan (dengan berkata): celaka dia, celaka dia. Terpelihara daripadaku agamanya.” – Dipetik dari blog Dr Rozaimi Ramle.

Sebenarnya hadis ni tak sahih pun. Mungkin yang mereka-reka hadis ni, dia bertujuan baik. Sebab dia tengok banyak percampuran lelaki dan perempuan dan nak galakkan dorang supaya berkahwin awal supaya tak terjebak dengan zina. *Husnuzon lah*

Alolololo. Nak aiskrim? Imej dari Detik Islam

7. Tuntut ilmu sampai ke negeri China

Hadis ni sangat masyhur di kalangan pelajar lebih-lebih lagi bila membicarakan topik menuntut ilmu. Tapi korang tahu tak sebenarnya ia telah dipalsukan oleh seorang pelapor yang bernama Abu Atikah Tharif bin Sulaiman. Dia ni dikhabarkan seorang yang lemah dan salah seorang yang memalsukan hadis.

Menurut Dr Maza, hadis ni tak sahih. Malah semua ulama hadis pun dah bersepakat mengatakan yang ianya adalah palsu. Tapi dalam kalangan masyarakat kita agak susah nak terima sebab kita semua dah terbiasa dengar hadis ni.

“Saya juga agak terkejut bila mendengar perkara ni sewaktu belajar hadis di universiti. Dan boleh kata semua pensyarah-pensyarah hadis saya mengatakan ianya palsu. Dan bila dikaji memang tidak ada dalam kitab-kitab hadis muktabar.” – Imam Muda Hassan Adli, dipetik dari Facebook.

So kalau korang dah terbiasa guna kata-kata ni, apa kata lepas ni korang anggap ianya sebagai kata-kata motivasi, bukannya sebagai hadis lagi.

Pastikan kesahihan sesuatu hadis sebelum dijadikan rujukan

Sebenarnya ada banyak lagi hadis-hadis palsu mahupun hadis-hadis lemah yang tak boleh dijadikan hujah tapi sering digunakan oleh masyarakat kita dalam kehidupan harian contohnya seperti kisah Nabi Yusuf dan Zulaikha yang sering kita gunakan dalam doa pengantin.

Malah terdapat jugak sesetengah amalan hadis palsu yang disandarkan sumbernya kepada Rasulullah. Jika tak dibendung, dikhuatiri menimbulkan amalan yang dianggap sahih tetapi sebenarnya adalah terpesong daripada ajaran Islam.

“Sesungguhnya berdusta atas namaku tidaklah sama dengan berdusta pada selainku. Barangsiapa yang berdusta atas namaku secara sengaja, maka hendaklah dia menempati tempat duduknya di neraka.” – HR. Bukhari no. 1291 dan Muslim no. 4. Dipetik dari Muslim.or.

Jadi korang kenalah pastikan kesahihan suatu hadis tu terlebih dahulu sebelum dijadikan sebagai asas dan sumber rujukan dalam agama. Pastikan riwayat tersebut adalah sahih (benar), bukan riwayat yang palsu (direka-reka) atau lemah dan diragui.

Research dulu kesahihannya ye kawan-kawan. Gif dari giphy

About Irma Musliana 73 Articles
Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan :)