Mungkin sebab satu post kat media sosial, korang boleh dikenakan hukuman macam ni…

(This article is translation. For original, visit our sister site, CILISOS)

Mungkin korang ada perasan dan dah tahu yang sekarang ni ada seorang rakyat Malaysia yang telah dijatuhi hukuman penjara lebih daripada 10 tahun kerana menghina agama Islam dan Nabi Muhammad. Kalau korang tak tahu pasal kes ni korang mungkin tinggal kat bawah tempurung (hehe).

Dia mengaku bersalah atas tuduhan tu di bawah Seksyen 298A (1) (a) Kanun Keseksaan dan ada 5 pertuduhan lain di bawah Seksyen 233 Akta Multimedia dan Komunikasi 1998, semua kesalahan tu hukumannya maksimum 1 tahun, jadi 1 x 10 = 10 tahun lah.

Media sosial kat Malaysia sekarang ni macam jadi tempat untuk orang buat jenayah. Contohnya macam tahun lepas, ada sorang ditangkap sebab kes menghina Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Dan dalam tahun ni ada jugak orang kena tangkap sebab menghina Agong, buat berita palsu, dan yang paling terbaru sekarang ni, menghina agama Hindu.

Walaupun media sosial alat paling berkuasa sekarang ni, dan kadang-kadang bahaya jugak sebenarnya. Jadi, sekarang ni Soscili nak bagitahu korang macam mana pulak hukuman yang diberikan kat negara lain untuk orang yang salah gunakan post kat media sosial ni. Jom kita semak! Kita mula dengan nombor 5…

5. Post lirik rap terus masuk lokap 3 minggu

Kalau lirik macam ni kena tangkap jugak tak? Imej dari Giphy

Kita selalu familiar yang orang putih ataupun “mat salleh” ni ada perangai yang tak boleh dijangka dan pelik. Dan selalunya ada halangan dan sempadan yang kita tak boleh sentuh terutamanya sensitiviti seseorang contohnya macam buat lawak tentang kehilangan seseorang yang baru lepas kena culik dengan menyebarkan dan muat naik status kat Facebook.

Atau menyatakan tentang perkara yang semua orang tengah risau dan runsing tu. Tapi sebenarnya, benda-benda macam ni betul-betul jadi dan menyebabkan pelaku tersebut kena tangkap.

Matthew Woods ada komen mengenai April Jones dan Madeleine McCann yang hilang sebab kena culik kat akaun Facebooknya. Dia kena tangkap lepas ada 50 orang komuniti dalam kawasan tersebut marah dengan tindakan dia dan terus serang rumah dia. Mat Salleh ni habiskan 3 bulan dalam penjara disebabkan komen-komen yang macam ni:

“Saya bangun pagi ini di belakang van transit dengan dua anak perempuan cantik, saya jumpa April dalam tempat yang takde apa-apa yang boleh diberikan.” dan “Siapa dalam fikiran mereka yang betul akan menculik anak-anak ni?”

Dia juga ada tulis:

“Adakah baru bermula hujah dan perbalahan dalam Facebook yang TERBAIK, April Fools, siapa suka Maddie? Saya suka April Jones.”

Ada juga kes lain yang lebih kurang sama, korang rasa lah kan orang yang tahu lirik rap ni boleh masuk penjara ke? Jawapannya YA kalau lirik yang korang post tu sensitif dan boleh menyakitkan hati orang macam yang Cameron D’Ambrosio buat. Dia post kat Facebook dia tentang lirik yang didakwa komunikasi tersebut boleh mengancam keselamatan dan melibatkan keganasan, dan dia boleh dipenjarakan selama 20 tahun.

Ni yang dia post tu. Imej dari Fightforthefuture

Disebabkan lirik tu ada unsur-unsur keganasan yang membuatkan dia kena tangkap, orang ramai yang tak puas hati dan nak jamin dia ni dengan mengatakan dia ni bukan seorang pengganas tapi dia sakit. Ada satu petisyen online dah dibuat dan ditandatangani oleh lebih 90,000 orang penyokong dia untuk bebaskan dia. Disebabkan ni, dia dibebaskan lepas 3 minggu dia kena tahan kat penjara.

4. 20 tahun penjara sebab kutuk kerajaan

Ada satu lagi kes yang melibatkan perempuan Lubnan pergi melancong kat Mesir. Tapi waktu dia melancong tu dia ada update status kat FB, dia menggelar negara Mesir tu sebagai “son of b****h” dalam video yang dia muat naik kat FB tu. Apa yang membuatkan dia kena tahan dengan pihak berkuasa Mesir sebab video yang dia post tu jadi tular dan orang Mesir pun tahu pasal tu.

Tu la orangnya. Imej dari BuzzFeed News

Dalam video tu juga dia bagitahu yang dia kena gangguan seksual dengan pemandu teksi dengan orang-orang kat sana. Dia complain jugak pasal layanan restoran yang buruk dengan ada insiden duit dia kena curi waktu dia menetap kat sana.

Disebabkan hal ni, dia dijatuhkan hukuman penjara selama 8 tahun oleh pihak berkuasa Mesir atas kesalahan dia yang sebarkan khabar angin palsu yang dianggap boleh membahayakan masyarakat Mesir, memburukkan agama kat sana dan boleh membahayakan keselamatan awam. Tapi disebabkan dia mengaku kesalahan dia, dia dikenakan setahun penjara dan hukuman tu ditangguhkan. Korang boleh tengok video dia kat sini.

3. 10 tahun penjara hina Islam

Berbalik pulak kat Malaysia yang dah diceritakan sikit kat atas tu. Ada pengguna Facebook dah dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun 10 bulan disebabkan dia didapati bersalah menghina Nabi Muhammad dan agama Islam.

Dia yang guna nama sebagai Ayea Yea kat FB, mengaku yang dia muat naik komen tu kat FB dan hukuman penjara tu boleh dikurangkan kalau dia boleh bayar denda sebanyak RM50,000. Ada jugak beberapa kes yang sama jadi kat Malaysia tapi hukumannya tak seberat ni dan ada jugak beberapa kes yang masih dalam siasatan mahkamah.

Ni lah yang dia komen tu. Imej dari Serawak Edition

Dan disebabkan kes ni jadi kes hangat kat Malaysia baru-baru ni, ramai yang bagi respon kat hukuman yang dikenakan tu. Ni antara komen netizen:

”Kalau zaman Rasulullah S.A.W dah lama kena pancung. 10 tahun tu kira ringan sangat kalau hina agama Islam dan Nabi..”

Sebelum tu, ada kes yang sama berlaku kat Kuwait. Seorang aktivis yang bernama Musaab Shamsah dah dijatuhkan hukuman 5 tahun penjara disebabkan dia menghina Nabi Muhammad dengan mengatakan Nabi Muhammad tak sejujur macam saudaranya yang lain; iaitu Saidina Ali. Tapi dia buat jenayah siber tu kat Twitter pulak dan telah ditahan oleh pihak berkuasa Kuwait.

Walaupun minoriti masyarakat kat sana berpegang dengan fahaman Syiah yang mereka menjadi pengikut Saidina Ali berbanding Nabi Muhammad, tapi bukan bererti mereka boleh menghina agama lain dan hukuman tersebut tetap dikenakan kat Musaab Shamsah tu. Hati-hati! Tweet korang tu sentiasa diperhati tau.

Imej dari Twitter @Klabchat

2. 20 tahun penjara sebarkan maklumat palsu kerajaan

Mahkamah kat Vietnam ada jatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun kat seorang aktivis kat Vietnam ni sebab buat Facebook post dengan terlalu lantang. Le Dinh Luong yang dah umur 53 tahun waktu tu, mengaku bersalah sebab dalam FB post dia tu berbaur kemarahan untuk menggulingkan kerajaan Komunis kat negara dia.

Dia kena tangkap dan hukuman tu diberikan sebab FB post dia tu dah menggalakkan orang ramai untuk memberontak terhadap kerajaan dengan menggalakkan rakyat menyertai kumpulan untuk melawan pemerintah kat sana dan dia juga dianggap sebagai salah seorang ahli dalam organisasi pengganas kat Vietnam.

Le Dinh Luong. Imej dari Ifex

Ada satu lagi kes kat UAE, aktivis United Arab Emirates; Ahmed Mansoor yang dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun dan denda sebanyak 1 juta Dirham. Ini kerana dia dikatakan mengkritik dan memalukan kerajaan kat sana dalam laman media sosial dan

Dia didakwa menggunakan laman media sosial untuk merosakkan reputasi negara dan sebarkan kebencian orang terhadap negara tu. Dia juga gunakan laman sosial untuk suarakan pendapat dia dengan menyeru pembaharuan politik dan ekonomi kat negara tu, tapi post tu boleh jejaskan imej UAE dan sebab tu dia ditangkap.

Ni penyokong Ahmed Mansoor tu sebab dia aktivis yang menegakkan hak kemanusiaan kat UAE. Imej dari TRT World

Ada juga kes yang melibatkan kesalahan siber dengan orang salah gunakan akaun dan laman media sosial untuk buat dan mengancam sensitiviti dalam komuniti negara tu jadi kat Abu Dhabi. Suspek tu dikenakan hukuman penjara selama 10 tahun dan kena bayar denda sebanyak 1 juta Dirham juga. Haa kesalahan dia sama je, iaitu dia sebarkan berita palsu kat laman sosial.

Dan disebabkan jenayah siber yang macam ni dan post-post berita yang palsu inilah yang rosakkan keharmonian dan perpaduan sosial kat UAE. Bukan tu je kesalahan dia, dia dilaporkan menyebarkan maklumat palsu tu untuk rosakkan reputasi UAE kat negara luar dan menggalakkan follower dia yang baca post dia kat sosial media tu untuk tak patuhi undang-undang UAE.

Apa yang korang JANGAN buat kat akaun media sosial korang. Imej dari Step Feed

Ada satu lagi kes yang sama jadi dekat Mesir. Kes tu melibatkan sorang perempuan; Amal Fathy ni dah sebarkan maklumat palsu dalam video yang dia dah muat naik kat Facebook dia. Disebabkan kes tersebut, dia dijatuhkan hukuman penjara selama 2 tahun dan denda sebanyak $562. Video dia kat sini.

Video tu menyatakan tentang kelaziman dan kekerapan gangguan seksual kat Mesir, mengkritik kegagalan kerajaan untuk melindungi wanita tanpa ada maklumat dan fakta yang kukuh. Dalam masa yang sama, dia jugak dah mengkritik kerajaan Mesir ni yang dah rosakkan dan ancam hak asasi manusia, keadaan sosioekonomi dan perkhidmatan awam kat sana.

Kesalahan dia. Imej dari Twitter @MadaMasr

1. Dipenjara 35 tahun sebab hina keluarga diraja

Negara Thailand ni terkenal dengan undang-undang yang ketat dekat pelaku-pelaku jenayah kat sana dan akan menjatuhkan hukuman yang berat jugak. Mereka juga terkenal dengan undang-undang Lèse-majesté diaorang (jenayah melanggar undang-undang).

Ada seorang pemandu pelancong, Pongsak Sriboonpeng, ditangkap sebab hantar mesej dan gambar yang mencabuli dan menghina kerabat beraja Thailand dalam 6 posting dia kat Facebook pada tahun 2015. Jumlah hukuman yang dijatuhkan kat dia adalah sebanyak 60 tahun – 10 tahun dikenakan setiap post yang dia buat – tapi hukuman tu dikurangkan kepada 30 tahun lepas dia mengaku bersalah.

Pongsak Sriboonpeng. Imej dari The Asian Age

Dan dalam negara yang sama, pada tahun 2017, ada satu lagi kes yang seorang lelaki dijatuhi hukuman 35 tahun penjara terhadap kes yang dia buat pada tahun 2015. Vichai Thepwong dah menyuarakan penghinaan kat kerabat diraja Thailand melalui post dia kat Facebook.

Sepatutnya dia dikenakan hukuman penjara selama 70 tahun disebabkan dia disabitkan kesalahan dengan 10 tuduhan Lèse-majesté dan menghukumnya dengan 7 tahun setiap tuduhan tu. Dan sebab dia mengaku bersalah, hukuman penjara dikurangkan kepada 35 tahun je. Lama jugak tu.

Walaupun Thailand terkenal dengan undang-undang ni, Kemboja juga menggunakan undang-undang yang sama, kerajaan Kemboja dah jatuhkan hukuman 3 tahun penjara dan denda sebanyak lima juta riels (RM 5103.40) kerana menghina Raja kat Facebook (FB lagi!). Menurut media tempatan, dia juga memanggil dan menggelar raja sebagai “useless” dan “dog-king” dalam status dan post dia tu.

Haa dengar tu Donald Trump cakap apa. Imej dari Giphy

Korang perlu bertenang, tak pasti jangan kongsi…

Kalau kat Malaysia, apa-apa post yang berbaur sensitif boleh dijatuhkan hukuman di bawah Akta Komunikasi dan Media 1998 disebabkan menyalahgunakan kemudahan teknologi komunikasi dan media yang ada. Selain tu, secara umumnya, 1 kesalahan tidak boleh kurang dari 2 tahun atau tidak lebih dari 5 tahun penjara kalau ianya melibatkan kesalahan yang jatuh dalam Akta Komunikasi dan Media 1998. 

Berbalik pulak kes baru-baru ni, sebab agama Islam ni merupakan agama Persekutuan dan agama lain jugak boleh diamalkan dalam negara ni. Sebab tu lah kes ni nampak macam serius. Tapi kalau perkara yang sama jadi kat agama lain jugak, pesalah tu tetap dikenakan tindakan macam kes yang baru jadi tu.

“Agama sudah diiktiraf dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, ia berada di kedudukan tertinggi. Gangguan terhadap Islam atau mana-mana agama lain boleh menyemarakkan kemarahan dan menggugat keselamatan, maka mahkamah mestilah menjatuhkan hukuman secara berasingan.”- Prof Madya Shamrahayu Abd Aziz, pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa sumber dari FMT News. 

Lepas ni korang kenalah hati-hati ye, kalau tak puas hati dengan groupmates waktu buat assignment tu janganlah tweet ke, update status Instagram ke, nanti tak pasal-pasal korang kena tahan kat lokap. Dan kalau apa-apa yang tak pasti kat media sosial, kenalah selidik betul-betul, kan iklan TV ada bagitahu yang “Tidak Pasti Jangan Kongsi”.

About Nadiya Othman 84 Articles
Hai! Saya suka baca buku tapi saya lagi suka kalau awak baca artikel ni sampai habis :)