- 1.9KShare sekarang!
- Email4
- Facebook1.8K
- Share
Menurut United Nation Children’s Fund (UNICEF), bagi setiap 1000 bayi yang dilahirkan di Palestin, lebih 25 daripadanya terkorban sebelum mencapai umur satu tahun. Kalaupun mereka membesar, mereka akan berdepan dengan perobohan rumah, pengusiran dan penahanan terutamanya di Area C dan Baitul Maqdis Timur.
Kalau Baitul Maqdis Timur tengah hangat dengan isu untuk dijadikan ibu negara Palestin, di Area C pula berlaku satu insiden yang viral di media sosial. Insiden ni menyebabkan seorang perempuan berumur 16 tahun, Ahed Tamimi ditahan oleh tentera Israel.
Menampar dan menyepak tentera Israel yang lengkap bersenjata serta kejadian di sebaliknya
Insiden yang viral tu menunjukkan Ahed Tamimi, seorang kanak-kanak berumur 16 tahun yang menampar dan menyepak seorang tentera Israel yang lengkap bersenjata. Video kejadian ini kemudiannya tersebar ke seluruh dunia termasuk portal berita antarabangsa. Kenapa Ahed buat benda tu?
Menurut bapa Ahed, Bassam Tamimi, setengah jam sebelum kejadian tu, seorang askar Israel menembak sepupu Ahed berumur 14 tahun. Peluru yang digunakan adalah peluru besi bersalut getah yang terkena mukanya yang menyebabkan cedera parah dan koma. Selepas tu, dua askar Israel lompat atas dinding di belakang rumah mereka dan masuk ke kawasan rumah. Daripada situ, terjadilah kejadian macam dalam video di mana Ahed cuba menghalau askar Israel yang menceroboh rumahnya tu.
Video ni juga menimbulkan kemarahan di Israel. Pada suatu tengah malam, askar menyerbu rumah keluarga Ahed dan menangkapnya. Esoknya, giliran ibu Ahed, Nariman dan sepupunya, Nour pulak ditahan. Ibu dan sepupunya tu juga terlibat dengan insiden dalam video tu.
Semua orang mesti terkejut dengan keberanian remaja perempuan macam Ahed Tamimi ni. Sebenarnya, bukanlah dia seorang je yang berani. Ianya adalah keberanian satu penduduk kampung yang diduduki oleh Ahed.
Israel cari pasal, penduduk kampung Nabi Saleh turun demonstrasi tiap minggu
Ahed tinggal di Area C yang merupakan 62 peratus tanah di Tebing Barat dibawah kawalan tentera Israel. Perjanjian Oslo II pada tahun 1995 membahagikan Tebing Barat kepada tiga zon iaitu Area A, B dan C. Area A dan B dikawal oleh gabungan Palestin dan Israel, manakala Area C masih dikawal penuh oleh Israel. Dalam Area C nilah ada kampung yang dipanggil Nabi Saleh tempat Ahed sekeluarga tinggal.
Kampung Nabi Saleh ada 500 penduduk yang kebanyakan berkongsi nama keluarga yang sama iaitu Tamimi. Penduduk sini juga menghadapi masalah perobohan rumah dan pengusiran. Sampaikan ke tahap mereka buat demonstrasi setiap hari Jumaat sejak 5 tahun lepas. Kenapa sampai tiap minggu?
Sejak tahun 1977, penempatan orang Israel (Halamish) telah dibina di kawasan ni serta ada pangkalan tentera Israel berhampiran. Sebahagiannya dibina atas tanah yang dirampas daripada keluarga Palestin. Apa yang menyebabkan penduduk kampung ni bengang adalah bila kawasan penempatan Israel tadi mula merampas sumber air segar mereka. Mereka juga dihalang untuk mendapatkan sumber air tu.
Demonstrasi setiap hari Jumaat ni ada jugalah mereka baling-baling batu. Tapi, tentera Israel balas balik dengan macam-macam senjata contohnya gas pemedih mata, peluru besi bersalut getah, semburan cecair busuk dan ada juga PELURU HIDUP.
“Siasatan oleh Pasukan Pertahanan Israel sendiri mendapati yang mana 80 butir peluru telah dilepaskan oleh tentera tanpa sebarang sebab: mereka juga menghalang penduduk kampung dari menerima bantuan perubatan kepada mereka yang tercedera.” – Petikan dari The Guardian.
Kesannya, ramai yang tercedera tak kira dewasa, remaja atau kanak-kanak. Jadi bayangkan kanak-kanak dalam kampung ni membesar macam mana.
Membesar dalam keadaan mak ayah selalu keluar masuk penjara
Kalau mengikut angka, dua orang kampung telah terkorban dan 140 orang pernah ditangkap dan ditahan. Lebih 350 orang dah tercedera di mana sebilangan besarnya adalah kanak-kanak. Bukan setakat cedera, kanak-kanak ni juga ada yang ditangkap. Apa yang menyedihkan, bila ditangkap ni, mereka akan keseorangan tanpa peguam mahupun ditemani mak ayah. Turut dilaporkan yang mereka dipaksa tanda tangan surat pengakuan kesalahan yang ditulis dalam bahasa Hebrew. Mana nak faham kan?
Ahed sebagai anak-anak yang baru nak membesar, memang hidup dalam keadaan ahli keluarganya keluar masuk penjara dan ada juga yang mati sebab demonstrasi tu. Bapanya, Bassem dah 9 kali dipenjara manakala ibunya pernah ditahan sebanyak 5 kali. Pak Cik Ahed, Rushdie Tamimi antara yang mati ditembak oleh tentera Israel pada November 2012.
Kalau anak-anak kita boleh cari taman permainan, di sana Ahed membesar melihat kawasan checkpoint dan pelbagai lagi sekatan. Rumah Ahed dan serbuan memang tak boleh berpisah. Ada sekali ni, rumahnya diserbu waktu bapanya masih dipenjarakan. Kejadian tu terjadi pada pukul 3 pagi yang mana dia bangun tengok-tengok tentera dah ada dalam bilik tidurnya. Tentera tadi kemudiannya menggeledah banyak barang untuk cari sesuatu. Akhirnya, laptop, kamera dan telefon mereka diambil.
Wartawan The Guardian pernah tanya Ahed (12 tahun masa ni) berapa kali dia pernah kena gas pemedih mata? Ahed gelak je sebab tak ingat berapa. Tapi, katanya,
“Saya tak boleh bernafas, mata saya sakit, rasa macam dicekik. Kadang-kadang ia mengambil masa 10 minit, baru saya boleh melihat semula.” – Petikan dari The Guardian.
Kalau korang perasan, sebelum video dia sepak tentera ni viral, pada umur 12 tahun ada lagi satu video viral bila dia cuba lindung adiknya yang cuba ditangkap oleh askar. Dia pukul askar tu sampai askar blah, boleh tengok video kat sini.
Dijemput bersarapan dengan Presiden Turki, Erdogan
Berita pasal Ahed ditangkap waktu umur 16 tahun ni memang mendapat liputan berita antarabangsa. Tapi, ada pihak yang berasa sangat pelik dengan sikap beberapa kumpulan hak asasi terutamanya kumpulan feminis yang tak bising sangat pun mempertahankan Ahed. Waktu Ahed umur 15 tahun, dia pernah dijemput untuk bagi bagi talk oleh satu organisasi di US, tapi visa dia tak lepas.
Ianya sangat berbeza dengan layanan terhadap seorang lagi ikon perempuan muda, Malala Yousufzai yang sampai boleh jumpa Barack Obama. Tu belum lagi dapat jemputan khas PBB. Walaupun macam tu, pengiktirafan terhadap perjuangan Ahed taklah disia-siakan oleh satu negara ni. Disebabkan video waktu dia umur 12 tahun melawan tentera Israel, dia dah menjejak kaki ke Turki.
Kerajaan Turki pernah jemput Ahed datang ke Istanbul waktu umurnya 13 tahun bersama ibunya. Presiden Turki, Erdogan juga ada bersarapan dengannya. Dia ada bersembang kejap serta diberikan sedikit hadiah oleh Erdogan.
Bukan setakat bersarapan, dia juga menjadi tetamu khas Kerajaan Tempatan Basaksehir Istanbul untuk beberapa program termasuk pameran “Being a child in Palestine”. Kerajaan Tempatan Basaksehir Istanbul juga dah bagi Anugerah Handala Courage kepada Ahed kerana menghargai keberaniannya.
Handala ni adalah satu watak kartun kanak-kanak Palestin yang diperkenalkan oleh Kartunis Palestin, Naji Salim al-Ali. Naji sangat terkenal dengan kritikan politiknya terhadap rejim Arab dan Israel dalam karyanya.
Walaupun Ahed pernah diiktiraf kerana keberaniannya tu, kini, dia dah ditahan serta bakal dibicarakan.
Media Israel mengutuk Ahed
Ahed ditahan atas sebab dia boleh menimbulkan bahaya kepada askar dan boleh mengganggu fungsi sesebuah kerajaan. Pemimpin dan media Israel pun mengeluarkan kenyataan masing-masing yang mengutuk tindakan Ahed ni. Menteri Pendidikan Israel, Naftali Bennett mahu Ahed dan keluarganya menghabiskan hidup mereka dalam penjara.
The Jewish Chronicle pulak memerli dengan mengatakan yang Ahed layak menerima anugerah Oscar dalam kategori “Pelakon Wanita Terbaik yang membintangi protes palsu”. Sebabnya, rakaman video tu cuba nak memanipulasi media. Manakala, Haaretz (media Israel) mengatakan Ahed ni sebagai punca provokasi sebenar.
Walau apa pun yang media Israel kata, pengalaman hidup Ahed adalah salah satu realiti ratusan ribu kanak-kanak yang tinggal di Tebing Barat dan Gaza. Memang nampak ganas dia pukul askar, tapi keganasan terhadap kanak-kanak oleh tentera Israel lah yang dah membentuk sikap kanak-kanak Palestin ni.
Frank Romi, bekas pakar UNICEF melaporkan yang dia sendiri dah tengok berlakunya trauma terhadap kanak-kanak yang membesar dalam kawasan Palestin yang dijajah.
“Konflik yang berterusan, kemerosotan ekonomi dan persekitaran sosial, meningkatnya keganasan – ini semua memberi kesan kepada kanak-kanak” – Petikan dari The Guardian.
Kanak-kanak tadi akan membentuk satu mentaliti gangster kampung dan hilang harapan untuk masa depan serta menjadikan mereka berputus asa.
Realitinya, ramai kanak-kanak yang juga senasib dengan Ahed yang kita tak tahu
Kes Ahed Tamimi ditahan dan ditangkap ni mungkin salah satu yang viral. Kalau diikutkan, dalam kawasan Palestin yang dijajah, ramai kanak-kanak yang sentiasa menjadi mangsa untuk ditahan atau pun juga dibunuh. Benda ni akan jadi tiap tahun seperti yang dicatatkan UNICEF. Dari tahun 2005 hingga 2008 sudah 334 kanak-kanak mati serta jumlah yang tercedera adalah 1,461 orang.
Mereka nak ke sekolah pun tak tenang sampai ada sebahagian dari kanak-kanak ni akan drop out sejak dari gred 10 atau umur 16 tahun. Antara puncanya adalah persekitaran belajar yang miskin, KEGANASAN serta aktiviti pembelajaran yang terhad.
“Menurut Biro Statistik Pusat Palestin, 53 peratus ibu di Tebing Barat melaporkan yang kanak-kanak mereka ketika berumur 5-17 tahun telah terdedah kepada keganasan… kebiasaannya di rumah (93 peratus) dan di sekolah (45 peratus).”- Petikan dari laporan UNICEF.
Keganasan yang terjadi ni adalah salah satu pencabulan terhadap hak kanak-kanak di Palestin. Sampaikan Kongres US tahu isu ni. Jadinya, satu rang undang-undang sedang diusahakan supaya bantuan yang US bagi pada Israel tak digunakan untuk merampas hak kanak-kanak Palestin. Tapi tak tahulah menjadi ke tak.
Apa yang kita boleh bantu untuk kehidupan kanak-kanak di sekeliling kita?
Bila ada kes kanak-kanak tercedera atau mati akibat konflik macam kat Palestin ni mesti ramai yang sedih. Selaku orang Malaysia yang duduk jauh dari negara tu, kita mungkin boleh salurkan bantuan kepada NGO-NGO berkaitan Palestin yang ada di Malaysia. Tapi, pastikan yang berautoriti dan dipercayai.
Dalam masa yang sama, bantulah selagi boleh kanak-kanak yang ada di negara kita. Kanak-kanak di Malaysia juga ada yang berdepan kes penderaan hingga mati. Selain tu, seramai 108,000 orang kanak-kanak pada tahun 2013 yang tercicir daripada pembelajaran kerana faktor kemiskinan. Jadinya, kalau ada wang lebih boleh bantu dari kewangan. Jika ada uruskan organisasi, bolehlah guna platform tu bagi pendidikan kepada mereka.
“Mari kita letakkan pemikiran kita bersama dan melihat, apakah kehidupan yang boleh kita buat untuk kanak-kanak kita.”- Sitting Bull, pejuang Indian Dakota yang menentang kerajaan US.
- 1.9KShare sekarang!
- Email4
- Facebook1.8K
- Share