Dunia kesusasteraan Melayu nampaknya masih lagi bersedih dengan pemergian seorang sasterawan dan budayawan yang cukup berani. Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad telah kembali mengHadap Ilahi 26 Disember lalu, pada usia 84 tahun. Sebelum ini, kita juga telah kehilangan seorang pemikir dan sasterawan (yang juga rakan sedarjah Shahnon) Dr Kassim Ahmad pada 9 September lepas.
Pemergian Shahnon ini dah meninggalkan kita dengan pelbagai kenangan, karya dan pemikirannya yang akan terus menjadi kajian dan renungan. Perjalanan Shahnon sangat panjang dan banyak boleh diceritakan. Dari sejarah awal lahir di desa, menjadi cikgu dan pendidik, sehinggalah menjadi Sasterawan Negara dan ahli parlimen. Shahnon melalui perjalanan yang penuh makna.
Mungkin kontroversi paling diingati adalah novelnya bertajuk ‘Shit’ terbitan tahun 1999. Tapi selain itu, hidup dia penuh dengan warna. Jadi kali ni SOSCILI nak menyelusuri perjalanan insan yang bernama Shahnon Ahmad ini.
Shahnon jadi orang pertama di kampungnya yang masuk sekolah Inggeris
Shahnon Ahmad dilahirkan pada 13 Januari 1933, di Kampung Banggul Derdap, sebuah kawasan pedalaman di Sik, Kedah. Ketika Shahnon lahir, Tanah Melayu masa tu berada di penghujung penjajahan British sebelum tercetusnya Perang Dunia Kedua. Bapa Shahnon – Ahmad bin Abu Bakar berasal dari Sumatera dan ibunya – Kalsom binti Mohd Saman berasal dari Pattani.
“Aku dilahirkan dan dibesarkan di sebuah kampung kecil bernama Banggul Derdap. Selama tiga puluh enam tahun kebelakangan ini aku tidur dan makan minum bersama-sama dengan orang-orang Melayuku yang buta huruf dan mundur itu.” – Shahnon Ahmad. Dipetik dari UM Students’ Repository.
Berbeza dengan anak-anak kampung yang lain, Shahnon dapat pendidikan yang baik. Bermula dari Sekolah Melayu, Shahnon seterusnya masuk ke Maktab Inggeris. Shahnon juga jadi orang pertama dalam kampung tu yang masuk ke sekolah inggeris. Apa yang lebih menarik, antara kawan sedarjah Shahnon adalah Kassim Ahmad yang juga seorang sasterawan.
Lepas keluar dari Kolej Sultan Abdul Hamid dan selesaikan Senior Cambridge, bermulalah kareer Shahnon sebagai seorang cikgu Bahasa Inggeris. Selain jadi cikgu, Shahnon juga pernah jadi tentera tapi kemudiannya masuk balik dalam bidang pendidikan sebab tercedera. Tapi dunia kerjaya Shahnon mengalami perubahan apabila…
“Pada tahun 1968, beliau menerima pelantikan sebagai pembantu penyelidik bagi Projek Perkamusan Inggeris-Melayu di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Indonesia, Australian National University, Canberra.
Pada masa sama, beliau juga mengambil kesempatan untuk melanjutkan pelajarannya secara separuh masa… dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengajian Asia dengan pengkhususan dalam bahasa Melayu.” – Dipetik dari UM Students’ Repository.
Shahnon lepas tu balik ke Malaysia dan jadi pensyarah bahasa dan kesusasteraan Melayu di Maktab Perguruan Sultan Idris (UPSI sekarang). Lepas dapat Master, Shahnon masuk pula ke Universiti Sains Malaysia (USM). Akhirnya pada tahun 1982, Shahnon dapat pangkat Professor penuh dalam bidang kesusasteraan Melayu moden dari universiti yang sama.
Terlibatnya Shahnon dalam bidang penulisan
Bidang penulisanlah yang menaikkan nama Shahnon Ahmad sebagai seorang sasterawan dan pemikir yang disegani. Beliau sebenarnya mula aktif menulis sejak tahun 1956, dengan menulis cerpen, esei dan kritikan. Pada permulaannya, penulisan cerpen-cerpen Shahnon membawa persoalan yang berunsur sinis dan seks.
Tapi nama Shahnon mula jadi terkenal bila terbitnya novel Rentong (1965) dan Ranjau Sepanjang Jalan (1966). Kedua-dua novel ni ambil latar belakang masyarakat di Kampung Banggul Derdap, tempatnya dilahirkan.
“Ranjau Sepanjang Jalan dan Rentong dapat dianggap sebagai kemuncak daripada kegiatan penulisan novel Shahnon Ahmad. Ranjau Sepanjang Jalan telah pun diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Adibah Amin dengan judul No Harvest But A Thorn.
Panel The Sydney Morning Herald pada tahun 1973 telah menempatkan novel ini sebagai satu daripada 10 novel yang memikat hati untuk tahun 1972..” – Dipetik dari Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kalau kita lihat novel – Ranjau Sepanjang Jalan, Shahnon menceritakan tentang keperitan hidup dalam kemiskinan. Cerita ni mengisahkan tentang macam mana sepasang suami isteri petani dengan tujuh anak mereka hidup dalam keadaan bergantung kepada sawah pusaka.
“Dalam proses menyudahkan Ranjau Sepanjang Jalan itu, ada satu isu yang aku tidak bisa singkirkan dari fikiranku. Isu itu ialah kemiskinan… Kemiskinan bangsaku. Bangsa Melayu.” – Shahnon Ahmad, dipetik dari UM Students’ Repository.
Selain dari itu, Shahnon juga ketengahkan tema-tema berat seperti ketuhanan dalam Protes (1976) dan tema-tema politik orang Melayu dalam Menteri (1967) dan Perdana (1969). Melalui Perdana, Shahnon menceritakan tentang keperitan perjuangan kemerdekaan dan bagaimana perjuangan itu akhirnya dipersia-siakan.
Berlakunya debat antara Shahnon Ahmad dan Kassim Ahmad tentang sastera Islam
Shahnon juga terkenal sebagai seorang yang membawa sastera Islam. Shahnon membuka perbincangan tentang sastera Islam dengan kata – seni adalah cabang kebudayaan, manakala kebudayaan adalah cara kehidupan dan kehidupan pula adalah anugerah Allah S.W.T.
“Setiap aspek cara kehidupan adalah kebudayaan kecuali Islam kerana Islam bukan hasil pemikiran dan pembikinan manusia. Islam adalah ciptaan Allah untuk kesejahteraan dan kesentosaan kehidupan manusia sejagat.” – Dipetik dari jurnal tulisan: Prof Madya Dr Adli Bin Yaacob.
Jadinya, pada tahun 1970-an, Shahnon dah mengisytiharkan yang dirinya berpegang dan berjuang untuk sastera Islam. Hal ni dah jadi kejutan dalam dunia sastera Melayu moden. Sebabnya, masa tu sastera Malaysia mula menuju ke arah Barat. Karya-karya Shahnon juga lepas tu lebih terarah kepada Islam, maka terbitlah karya-karya seperti Al-Syiqaq, Tok Guru, Riak, Mayat dan Keluarga.
Tapi apa yang menariknya adalah, masa tu juga wujud polemik antara Shahnon dan Kassim Ahmad tentang sastera Islam. Sebabnya Shahnon tafsirkan sastera Islam kepada tiga kategori iaitu:
- Kesusasteraan yang dihasilkan oleh orang-orang Islam untuk manusia.
- Kesusasteraan yang dihasilkan oleh orang-orang Islam mengikut estetika Islam untuk manusia.
- Kesusasteraan yang dihasilkan oleh manusia dan yang selaras dengan estetika Islam untuk manusia.
Tapi tafsiran Shahnon ni berbeza dengan pandangan Kassim Ahmad. Sebabnya, kalau seseorang Islam tu hasilkan karya, ia masih tak cukup untuk kata karya tu sebagai karya kesusasteraan Islam. Ditambah lagi, bila ada karya-karya yang dihasilkan oleh orang Islam boleh bertentangan dengan prinsip-prinsip estetika Islam.
“Beliau (Kassim) juga menambah bahawa orang yang bukan beragama Islam, dapat menghasilkan karya atau kegiatan selaras dengan Islam. Kassim turut mengambil contoh dengan mengatakan bahawa tidak sedikit pula penulis Barat yang bukan Islam bersemangat dan berjiwa Islam.
Shahnon Ahmad menolak pendapat Kassim Ahmad, kerana kunci definisi bagi dirinya sebenarnya tersimpul dalam ungkapan ‘kerana Allah’, di samping soal-soal kebenaran, kebaikan dan keindahan. Shahnon Ahmad turut menjelaskan bahawa pencipta karya mestilah orang Islam; kerana tersimpul dalam ungkapan ‘kerana Allah’. – Dipetik dari Utusan Malaysia.
Menurut orang-orang sastera, debat antara Shahnon dan Kassim ni sebenarnya cukup menarik. Ia juga adalah debat sastera dan ilmiah yang membuka pemahaman kita tentang hal sastera dan agama.
Menjadi Sasterawan Negara, masuk al-Arqam, masuk PAS dan terbitnya novel kontroversi ‘Shit’
Menjelang tahun 1982, Shahnon Ahmad telah diberikan penghormatan tertinggi sebagai seorang penulis di negara ini, iaitu sebagai Sasterawan Negara. Dengan kehebatan dan ketokohan Shahnon, tak ada sesiapa yang dapat mempersoalkan kelayakannya itu.
Selain itu, mungkin ada yang tak sangka Shahnon juga pernah jadi ahli al-Arqam. Seperti mana yang kita tahu, ajaran al-Arqam dah difatwakan sesat dan pertubuhan ni diharamkan. Tapi, kita juga kena ingat yang Shahnon bukanlah orang yang taksub kepada mana-mana kumpulan. Prinsipnya adalah mencari kebenaran dan akhirnya beliau keluar dari al-Arqam kerana prinsip itu juga.
“…Shahnon menjadi tokoh besar yang diagung-agungkan oleh kumpulan Al-Arqam pada tahun 80-an. Tetapi sensitivitinya terhadap kebenaran menyebabkan beliau meninggalkan kumpulan itu.
Maka novel-novel beliau tanpa segan silu selepas meninggalkan Arqam mengkritik cara kehidupan Al-Arqam. Terutama dalam soal seks dan poligami. Tulisannya hanya hendak menggambarkan kebenaran.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.
Selepas meninggalkan al-Arqam pada tahun 1999, muncul berita yang kata beliau sekarang ni jadi ahli seumur hidup PAS. Perkara tersebut mengejutkan banyak pihak, apatah lagi orang melihatnya sebagai bekas penjawat awam dan dah terima banyak anugerah dari kerajaan.
Berita ni nampaknya terbukti benar bila Shahnon sendiri bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1999 sebagai calon PAS. Dengan pengaruhnya yang cukup besar, Shahnon akhirnya menang kerusi Parlimen Sik dan sekaligus menjadikannya sebagai ahli parlimen. Tapi pada tahun tu juga, Shahnon dah terbitkan karya yang paling kontroversi iaitu novel bertajuk Shit @ PukiMak @ PM.
Melalui novel ni, Shahnon menggambarkan PukiMak atau PM sebagai seorang ahli politik yang mempunyai sikap negatif. PM juga digambarkan sebagai ketua yang ada kuasa dominan, tanpa ada sesiapa pun yang berani bersuara. Jadinya, PM buat apa saja untuk kekalkan kuasanya.
“… ahli sejarah menggelar ku sebagai PukiMak. Tentu saja panggilan itu bernada jerkahan dalam perasaan panas baran tapi aku tidak ambil kisah sangat. Dalam seruan kemarahan itulah aku terkenal dengan nama julukan Shit! Aku terkenal dengan nama julukan PukiMak! Lebih terkenal lagi dengan nama kependekan nama jilikan pm!” – Petikan dari novel Shit.
Sebenarnya karya ni muncul di era reformasi selepas pemecatan Anwar Ibrahim. Orang yang Shahnon maksudkan tak lain dan tak bukan adalah Dr Mahathir Mohamad. Ketika itu, Shahnon boleh dikira sebagai salah satu dari musuh utama yang berjaya menggugat Dr Mahathir.
Disebabkan dengan novel ini, ramai pihak yang minta supaya buku ini diharamkan, gelaran Datuk dan Sasterawan Negara Shannon ditarik balik.
“Novel ‘Shit’ dibakar, dijual secara haram, ditipu jualannya dan banyak menerima bayaran melalui cek tendang. Kawan kini menjadi lawan. Kebanyakan mereka dulunya nampak jujur dan alim, tiba-tiba kerana ‘Shit’ mereka jadi penipu dan saling bermusuhan sampailah sekarang. Hutang beratus ribu pun langsung tidak berbayar.” – Shahnon Ahmad, dipetik dari buku: Setitis Embun Semarak Api.
Tapi nampaknya sampai ke akhir hayat, gelaran Datuk dan Sasterawan Negara Shahnon tak ditarik balik. Dalam bidang politik pula, Shahnon hanya jadi ahli parlimen selama satu penggal (5 tahun). Dalam waktu sama, Shahnon juga dikatakan kecewa dengan politik yang penuh dengan kepalsuan. Shahnon juga menceritakan masa di dalam PAS, beliau lebih banyak menangis dari ketawa, banyak berdukalara dari tersenyum gembira.
“Sewaktu dalam harakah (pergerakan) ini jugalah aku dapat membezakan antara kepimpinan yang sejati dengan pemimpin yang palsu.
… Pada ketika-ketika tertentu, penyesalan kadang-kadang melanda hati. Mengapa gerangan aku boleh terjebak dalam jaringan politik murahan begini? Apakah hanya melalui penglibatan secara langsung dalam kancah politik, baru boleh mengecapi pengalaman itu?” – Shahnon Ahmad, dipetik dari buku: Perjalanan Ku Sejauh Ini.
Shahnon seorang penulis dan seniman, bukan ahli politik
Bermula dari tahun 2000 sampai tahun 2004, Shahnon mengaku yang beliau melalui tempoh kegersangan dan ketandusan yang amat sangat. Sebabnya ada dua iaitu: tekanan politik yang hebat dan tekanan penyakit. Kerana itulah, Shahnon tak keluarkan apa-apa karya kreatif sepanjang tempoh itu.
Dalam masa sama, Shahnon diserang penyakit ‘Myasthenia gravis’ (MG), salah satu penyakit yang jarang kita dengar. Bila penyakit ni menyerang, sistem daya tahan badan kita tak boleh lagi berfungsi dengan normal. Seseorang tu juga akan susah bernafas dan rasa terlalu lemah.
“MG juga menyebabkan saya lemah tidak bermaya terutama bila matahari tergelincir di sebelah petang sehingga tak terdaya bergerak ke mana-mana lagi kecuali dipimpin; malah mengangkat kelopak mata, menggerakkan kedua bibir mulut dan mengerutkan kening pun merupakan satu kerja yang amat membebankan.” – Shahnon Ahmad, dipetik dari buku: Setitis Embun Semarak Api.
Shanon akhirnya meninggalkan kita semua pada 26 Disember lalu. Tetapi Shahnon tetap dikenang sebagai seorang seniman yang berjaya menggunakan kesenimanannya untuk menegur kepincangan politik dan kepimpinan semasa.
Allyarham Tun Abdul Razak pernah menggelar Shahnon sebagai Victor Hugo Melayu, kerana keprihatinannya terhadap keperitan dan kemiskinan petani-petani Melayu. Rakan sedarjahnya, Kassim Ahmad pernah berkata: Shahnon seorang penulis. Beliau bukan ahli politik.
“Mengarang tidak lagi main-main dengan kata-kata… Mengarang harus mempersoalkan keadilan dan ketidakadilan dalam masyarakat… juga perlu mempersoalkan keganasan dan keamanan, rasuah dan penipuan dalam masyarakat, pembohongan dan korupsinya para pemimpin,
… dan kalau perlu mengarang perlu berani mendedahkan segala kepalsuan supaya masyarakat terbanyak tahu segala pembohongan yang sedang berlaku.” – Shahnon Ahmad, dipetik dari buku: Perjalanan Ku Sejauh Ini.