- 814Share sekarang!
- Email40
- Facebook774
- Share
Banyaknya pakej umrah dan haji yang ada sekarang ni. Mudah memang mudah. Sampai rambang mata nak pilih yang mana. Tapi, bila fikir dua tiga kali, boleh percaya ke pakej-pakej ini?
Malah baru-baru ni pun, Astro Awani ada keluarkan berita menyatakan seramai sepuluh orang didakwa telah ditipu oleh seorang wanita bergelar ustazah yang menawarkan pakej umrah. Kerugian tersebut adalah berjumlah RM71,000.
“Duit yang nak pergi itu pun kami dah bayar selesai habis semua. Kenduri pun kami dah buat. Duit nak pergi sana pun kami dah tukar. Sekarang kami sedang tunggu, tapi tak pergi juga. Malu dengan kawan-kawan…jadi tekanan bagi kami bila orang tanya bila nak pergi?” – Mangsa penipuan Umrah. Dipetik dari Awani.
Tapi ni bukan pertama kali pun berlaku kes penipuan umrah, malah ia dah banyak kali terjadi kat Malaysia.
Golongan VIP turut ditipu sehingga RM1.6 Juta
Semalam ada berita menyatakan terdapat sekumpulan 453 jemaah umrah yang sepatutnya pulang ke Malaysia pada 22 Disember, tapi sekumpul tersebut telah terkandas kat lapangan terbang Arab Saudi.
Sebenarnya bukan nak balik je ada masalah, waktu dorang memula nak pergi lagi dah ada masalah. Penerbangan pergi sepatutnya 3 Disember tapi pihak agensi telah tunda kepada 5 Disember. Tapi bila tiba 5 Disember tu, penerbangan sekali lagi ditunda pada 11 Disember.
Apa yang sedihnya, masa kat Makkah (selepas selesai menunaikan umrah), jemaah terpaksa berpindah hotel beberapa kali semasa menunggu tarikh dan masa penerbangan untuk pulang ke Malaysia.
“Saya mendapat tahu mengenai pakej yang ditawarkan daripada rakan yang pernah mengerjakan umrah menggunakan khidmat agensi ini, dan ketika itu semuanya berjalan lancar.
Pakej umrah ketika ini biasanya sekitar RM6,800 tetapi kami hanya membayar RM3,800 sahaja.” – Izura, mangsa umrah yang terkandas. Dipetik dari mStar.
Ini pulak cerita dimana seorang pesara kerajaan berusia 71 tahun menanggung kerugian RM25,360 setelah diperdaya oleh seorang ustaz yang ‘lenyap’ bersama duit berkenaan selepas mangsa menjelaskan bayaran bagi pakej mengerjakan umrah bersama keluarga.
“Pengadu merancang menunaikan umrah bersama isteri, anak dan cucu pada musim cuti akhir persekolahan tahun 2015 dengan pakej RM6,790 bagi dewasa dan RM4,990 bagi kanak-kanak sepanjang tempoh bulan Ogos hingga November 2015.
Pengadu kemudian telah beberapa kali menyerahkan baki wang pembayaran sehingga bayaran penuh sebanyak RM25,360 selesai pada penghujung 2015.” – Dipetik dari Bernama.
Apa yang sedihnya ialah ketika mangsa pergi ke pejabat suspek, premis tu didapati telah ditutup.
Malah baru-baru ni pun kalau korang masih ingat, seramai 35 individu telah kerugian sebanyak RM1.6 juta akibat ditipu oleh sebuah syarikat yang mendakwa memberikan perkhidmatan pakej Haji VIP ataupun Haji Furada.
Kesemua mangsa ni telah membelanjakan antara RM50,000 hingga RM200,000 untuk mendapatkan perkhidmatan pakej haji tersebut.
Tapi bila mangsa dah buat pembayaran dan tarikh menunaikan haji pun dah hampir tiba, pihak pengurusan tersebut pun bagi tahu kononnya visa-visa mangsa ni telah ‘dirampas’ oleh syarikat lain.
Kalau sorang mangsa dia dah dapat RM50,000 agak-agak dah berapa banyaklah si penipu ni kaut untung agaknya…
Kerugian mangsa penipuan umrah dan haji mencecah RM30.8 juta
Menurut laporan dari Berita Harian, sepanjang tempoh enam tahun je, Polis Diraja Malaysia telah menerima aduan membabitkan kes penipuan umrah dan haji dengan nilai kerugian sebanyak RM11.1 juta.
Statistik sejak 2012 hingga Ogos tahun ini (2017), telah membabitkan sebanyak 287 kes (penipuan umrah dan haji). – Dipetik dari Berita Harian.
Tapi menurut Utusan pulak, sejak 2012 hingga Oktober 2017, jumlahnya meningkat sehingga mencecah RM30.8 juta. Malah kalau nak diikutkan, jumlahnya adalah lebih daripada ini, sebab ramai lagi yang tak report kerana ‘malu’ atau menganggap ‘tiada rezeki’ untuk mengerjakan ibadah.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, biasanya penipu ni menggunakan modus operandi dengan menawarkan pakej umrah murah dan mampu menguruskan urusan umrah. Tapi bila mangsa dah buat bayaran, dorang akan terus menghilangkan diri.
“Biasanya pakej ini (penipuan) ditawarkan oleh syarikat pelancongan dengan harga murah. Saya nasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan pakej umrah yang terlalu murah.” – Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, IPPK Kelantan. Dipetik dari Berita Harian.
Sebelum membuat pembayaran, korang jugak kena pastikan pakej yang ditawarkan tu mestilah dah termasuk dengan tiket penerbangan pergi dan balik. Sebab baru-baru ni terdapat kes di mana, sekumpulan jemaah ni tak dapat nak tunaikan haji apabila syarikat tu hanya membelikan tiket penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Dubai, Emiriyah Arab Bersatu tapi takde sambungan penerbangan ke Jeddah pun.
Selain tu, korang jugak kena tahu detail pasal tempat penginapan, makan dan minum sepanjang kat sana, bayaran visa dan upah mutawif seperti yang telah dijanjikan oleh syarikat tersebut.
So kerajaan takde ambil apa-apa tindakan ke untuk elak perkara ni dari terus berleluasa?
IMAMS mengatasi masalah penipuan umrah
Baru-baru ini, Jabatan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan ada mewajibkan semua agensi pelancongan berstatus muassasah (Muassasah adalah suatu badan institusi yang melayani jemaah haji dari mula sampai habis) yang mempunyai Lesen Khas Umrah, supaya menggunakan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS).
Hah? Apa tu IMAMS? Ok, IMAMS ni merupakan akses rasmi tunggal permohonan visa umrah untuk diproses oleh kedutaan Arab Saudi. Tujuannya adalah untuk membanteras aktiviti penipuan pakej umrah yang semakin berleluasa.
“Kegagalan pihak yang menguruskan jemaah umrah untuk mematuhi arahan ini akan diambil tindakan keras oleh kementerian dan boleh menyebabkan lesen perniagaan mereka dibatalkan.” – Mas Ermieyati Samsudin, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan. Dipetik dari Awani.
Walau bagaimanapun, sistem ini hanya bertahan sehari je selepas pelancarannya setelah ianya dibatalkan. Tapi kenapa dibatalkan?
Menurut Mas Ermieyati Samsudin, dorang membatalkan sistem ni kerana ianya diuruskan oleh orang bukan Islam. Tapi, menurut Nazri Aziz selaku Menteri Pelancongan dan Kebudayaan pulak cakap ianya takde kena mengena pun dengan syarikat bukan Islam tu. Sebaliknya, ianya dibatalkan kerana pelaksanaan sistem tu berbeza daripada apa yang dimaklumkan kepadanya dan dilaporkan kepada Kabinet.
Kementerian memutuskan untuk membatalkan IMAMS kerana tidak bersetuju dengan bayaran yang dikenakan iaitu RM90 dan bukannya RM40. – Dipetik dari Mstar.
Melalui sistem ni, jemaah akan dikenakan tambahan RM90.10 yang meliputi bayaran RM5.10 untuk GST, RM40 bagi insurans dan RM45 bagi sistem yang digunakan IMAMS. So sebab ni lah, kenapa IMAMS dibatalkan.
Malah tindakan mengenakan beberapa bayaran bagi umat Islam yang nak mengerjakan umrah ni jugak merupakan satu tindakan yang kurang bijak.
“Tindakan ini bukan sahaja tidak bijak malah langsung tidak cerdik!”- Nazir Hussin Akhtar Hussin, Exco Pemuda UMNO. Dipetik dari Malaysia Gazette.
Perdana Menteri kita pun setuju IMAMS ni dibatalkan.
“Saya tidak bersetuju sistem IMAMS dikenakan untuk urusan visa umrah. Pengumuman ia dibatalkan adalah sangat tepat.” – Najib Razak. Dipetik dari Utusan Malaysia.
So macam mana cara nak elak diri kita dari kena tipu ni?? Hmm
Ini apa yang perlu korang amik tahu untuk elak jadi mangsa penipuan
1. Harga minimum untuk tunaikan umrah ialah RM4,900
Harga yang murah selalu menjadi pilihan kenapa kita memilih pakej tersebut. Oleh itu, Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) telah ditubuhkan untuk membuat pemantauan mengenai pengendalian pakej umrah kat Malaysia.
Menurut MKSU, harga pakej minimum yang ditetapkan buat masa ini adalah RM4,900 untuk tempoh umrah 12 hari 10 malam. Sekiranya kurang daripada harga ini, cuba dapatkan kesahihannya daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.
2. Faktor perubahan harga
Walaupun harga minimum telah ditetapkan, tapi harga tu boleh berubah-ubah. Antara punca ianya berubah ialah:
- Tarikh – Waktu peak season seperti cuti sekolah, atau akhir Ramadhan biasanya lebih mahal
- Penerbangan transit atau terus
- Kekerapan makanan
- Petugas & Mutawwif
- Jenis pengangkutan di sana – bas, van, limosin, dan sebagainya
- Jarak penginapan dengan Masjidil Haram
3. Semak daftar lesen syarikat
Korang kena tahu bahawa tak semua ‘travel agent’ boleh menawarkan pakej umrah. So masa korang nak pilih tu, apa kata korang pastikan dulu yang agensi pelancongan tu berlesen dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.
Adalah berisiko jika korang membuat pembayaran melalui wakil syarikat persendirian, yayasan, atau koperasi kerana mereka sebenarnya tidak dilesenkan sebagai pengendali umrah. So tolonglah jangan ambil risiko ye.
4. Ganti rugi jika berlaku pembatalan
Korang jugak sebenarnya perlu bertanya tentang terma dan syarat sekiranya berlaku pembatalan atau kepalsuan pada pakej yang telah dorang janjikan tu tau. Sekiranya ada, korang kena pastikan caj pembatalan atau peruntukan ganti rugi tu dinyatakan dengan jelas.
5. Pembayaran
Kalau korang dah semak semua-semua tu, last sekali masa nak buat pembayaran tu, korang jangan tergopoh-gopoh pulak nak bayar sekali semua tu. Apa kata korang just bayar je dulu deposit. Bila dah nak dekat tarikh tu baru selesaikan semua bayaran tersebut.
Bila dah bayar tu, jangan lupa pula minta resit rasmi syarikat tu. Tak kiralah bayaran deposit atau pun keseluruhan.
Jika tidak berhati-hati korang akan menjadi mangsa penipuan
Sebenarnya apa yang paling penting sekali, korang janganlah terpedaya dengan tawaran pakej umrah yang terlalu murah. Pastikan yang korang pilih tu mestilah daripada 65 agensi pelancongan berstatus muassasah yang sah dan berpengalaman mengendalikan umrah.
Korang jugak harus membuat penilaian dan semakan terlebih dahulu sebelum membeli pakej yang ditawarkan sebaik mungkin. Jika tidak berhati-hati, sesiapa saja boleh menjadi mangsa penipuan.
Ini ada beberapa senarai nama syarikat yang menipu pakej umrah:
Untuk lebih lanjut, korang boleh tengok kat sini senarai syarikat dan agensi yang telah berdaftar. InsyaAllah melalui syarikat ni korang tak kan ditipu.
Kami harap setiap bakal jemaah dapat menjadikan perkara penting ini sebagai panduan asas bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan. Moga kita semua dijauhkan dari perkara yang tidak diingini.
- 814Share sekarang!
- Email40
- Facebook774
- Share