- 5.2KShare sekarang!
- Email58
- Facebook5.2K
- Share
Hamba adalah orang suruhan, atau kuli kepada seseorang ‘tuan’. Pada zaman dulu, banyak perhambaan wujud hasil daripada tawanan perang, penghutang yang tak mampu untuk melunaskan hutang keluarga, dan beberapa sebab lagi. Jadi, hamba juga merupakan lambang kekayaan bagi tuannya.
Seseorang hamba tak mempunyai hak sivil macam manusia biasa. Sebab tu lah seseorang hamba tu boleh diperlakukan sesuka hati oleh tuannya, dan takkan dipersoalkan oleh sesiapa.
Salah satu jenis perhambaan yang popular adalah perhambaan Mesir purba, di mana beribu-ribu orang Yahudi dikerah untuk membina Piramid. Manakala dekat Afrika pula, warga kulit hitam Afrika diculik dan dihantar ke benua Amerika untuk menjadi hamba abdi. Diorang bekerja di ladang-ladang milik orang kulit putih di Amerika. Tapi, tu cerita yang biasa kita dengar dan berlaku sekitar abad ke-17 dan 18.
Tapi dalam artikel ni, SOSCILI nak kongsi beberapa fakta tentang perhambaan yang ramai tak tahu, termasuklah…
Orang Melayu pernah jadi hamba di Afrika Selatan
Kita biasa tengok pasal perhambaan orang kulit hitam di negara-negara Barat macam dalam movie 12 Years a Slave. Sebenarnya, orang dari kepulauan Melayu (Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina) juga tak terkecuali daripada menjadi hamba pada satu masa dulu. Kebanyakannya ditangkap oleh penjajah Belanda dan dibuang ke Afrika Selatan kerana dikatakan menentang pendudukan Belanda di Kepulauan Melayu.
Pada masa tu, perdagangan hamba merupakan salah satu sumber ekonomi utama kepada kuasa-kuasa Eropah seperti Portugal, Sepanyol, British dan juga Belanda, terutamanya selepas abad ke-15. Orang Melayu dibawa ke sana sebab nak jimatkan ekonomi, apatah lagi kewangan untuk bawa masuk pekerja ladang dari Eropah tak cukup.
Pada tahun 1795, pergolakan yang berlaku di Eropah (Perang Napoleon) menyebabkan British berjaya menakluk Cape untuk menggelakkannya jatuh ke tangan Perancis. Walaupun Cape dipulangkan semula kepada Belanda pada 1803, Namun pada 1806 Belanda dihalau dan Cape kembali ke tangan British. Kedaulatan British di sana kemudiannya diterima di Eropah.
Penguasaan British ke atas Cape ni yang menyaksikan perubahan yang amat besar terhadap sistem perhambaan. Walaupun British sendiri tak terlepas daripada sejarah di mana mereka mempergunakan bangsa lain demi kepentingan sendiri, tapi pada waktu ini British dikatakan cuba untuk menghapuskan perhambaan dengan mendesak kumpulan kulit putih di Afrika menolak sistem perhambaan. Usaha ini kemudiannya berjaya dengan pengisytiharan Penghapusan Undang-undang Perhambaan yang diluluskan oleh Dewan Rakyat British dan House of Lords pada 1834.
Melayu yang menjadi hamba di Afrika Selatan akhirnya dibebaskan dan tinggal kat sana macam rakyat biasa. Cucu-cicit dan keturunan mereka pada hari inilah yang dikenali sebagai Melayu Capes.
Orang Melayu juga pernah menjadikan Orang Asli sebagai hamba
Orang Melayu bukan je pernah menjadi hamba di negara lain, tetapi pernah memperhambakan orang lain juga. Sekitar tahun 1870-an, ada sebuah peperangan yang dinamakan Perang Sangkil yang melibatkan orang Melayu dan orang Asli pada waktu itu.
Sangkil adalah gelaran yang diberikan orang Asli kepada orang Melayu yang datang dari Kepulauan Indonesia, terutamanya orang-orang suku Rawa dan Mandailing. Orang Sangkil inilah yang dikatakan bertanggungjawab menyerang hendap kampung orang Asli untuk dijadikan hamba abdi.
Masa Perang Sangkil ni berlaku, ramai orang Asli terpaksa melarikan diri dari satu tempat ke satu tempat bagi mengelakkan diri daripada dijadikan hamba, atau dibunuh tanpa belas kasihan kalau melawan.
Orang Asli yang ditangkap oleh Sangkil akan dijual sebagai hamba atau gundik kepada pembesar Melayu. Berlainan sikit daripada sejarah dalam buku teks, perkara ni juga dikatakan sebagai salah satu sebab kenapa Residen British di Perak, JWW Birch dibunuh, iaitu sebab dia cuba untuk menghentikan perhambaan di Tanah Melayu.
Perhambaan masih lagi berlaku di negara-negara Timur Tengah
Baru-baru ni pula, CNN menyiarkan sebuah video yang mendedahkan beberapa pendatang daripada Afrika dijual sebagai hamba di Libya. Kebanyakannya dilelong sekurang-kurangnya £300, iaitu bersamaan dengan RM1638 setiap sorang!
Majlis Keselamatan PBB kemudiannya terus buat mesyuarat tergempar bagi membincangkan pemerdagangan orang Afrika di negara tersebut. Ahmed Metig, Timbalan Perdana Menteri Libya, kemudiannya buat kenyataan dalam Facebook yang dia akan siasat kejadian tu.
“Para pelarian adalah daripada beberapa negara Afrika yang terpaksa lari dari peperangan, kemiskinan, dan pengangguran di negara mereka. Mereka melalui perjalanan yang sukar melalui padang pasir dan terpaksa membayar beberapa orang penyeludup untuk ke Libya, dan melintasi Mediterranean untuk ke Eropah.
Dengan keselamatan dan kewangan yang sedang jatuh di Libya, penyeludupan manusia telah menjadi satu perdagangan yang berkembang pesat.”- Mahmoud Abdelwahed, melaporkan dari pusat tahanan di ibukota Tripoli, Libya.
Libya bukan satu-satunya negara Timur Tengah yang terpalit dengan isu perhambaan ni. Beberapa tahun lepas, Frontpage Mag pernah mendedahkan penjualan hamba yang berlaku dalam kalangan masyarakat Arab Saudi. Hamba yang dijual juga dikatakan telah dibuang kemaluan untuk bekerja dengan keluarga Arab kaya.
Perkara ni bukanlah benda baru sebab Arab Saudi dikatakan mempunyai kira-kira 300,000 hamba pada tahun 1960. Perhambaan di seluruh dunia kemudiannya dimansuhkan pada November 1962, disebabkan tekanan Presiden Kennedy setelah kesepakatan dicapai pada masa tu. Tapi nampaknya di Arab Saudi, perhambaan tak rasmi masih lagi berlaku sekarang.
Selain daripada kesalahan mempunyai hamba yang dikatakan takde hak sivil, sorang putera raja Arab Saudi pernah ditahan disebabkan membunuh hambanya di sebuah hotel di London. Tapi, dia menafikan lelaki tu sebagai hamba, dan mengatakan lelaki tu sebagai kawannya. Tapi, kawan apa yang kena pukul pun tak melawan langsung? Putera Arab tu, iaitu Saud Abdulaziz bin Nasser al Saud, kemudiannya didapati bersalah menyerang hambanya tanpa belas kasihan dalam lif pada 22 Januari tahun yang sama, dan ditahan atas arahan Raja Salman.
Perhambaan moden yang masih wujud
Selain daripada amalan hamba abdi yang dianggap kuno, sekarang ni ada pula satu bentuk perhambaan yang moden. Macam mana tu?
“Pemerdagangan manusia adalah segala perbuatan yang melibatkan pemerolehan atau pengekalan tenaga kerja atau perkhidmatan seseorang melalui paksaan, dan termasuklah perbuatan merekrut, mengangkut, memindahkan, melindungi, menyediakan atau menerima seseorang.” – Seksyen 2 Akta Anti pemerdagangan Orang dan Anti penyeludupan Migran 2007.
Antara negara yang popular dengan perhambaan moden ni adalah Uzbekistan. Sumber terbesar Uzbekistan adalah kapas, juga dikenali sebagai emas putih, dan selalunya dituai pada musim luruh iaitu bulan September sampai November. Masa ni la rakyatnya dikerah untuk mengambil hasil tuaian kapas, dari pagi sampai malam, sama ada diberi gaji yang sangat sikit, dan ada juga yang tak dapat langsung!
Selain daripada Uzbeskistan, Walk Free Foundation juga turut menyenaraikan North Korea, Cambodia dan India dalam senarai teratas negara yang mempunyai populasi ‘hamba moden’ yang paling tinggi.
Macam mana pula dengan Malaysia? Kita nampaknya berada di kedudukan 29 daripada 167 buah negara. Akhir tahun lepas, Al-Jazeera membongkar kes pemerdagangan kanak-kanak di Malaysia yang membawa kepada penahanan beberapa individu. Tapi perkara ni disangkal oleh Ketua Polis Negara masa tu, Khalid Abu Bakar yang menafikan penjualan bayi kat Malaysia tak seteruk macam dokumentari tersebut.
Pemerdagangan manusia ni ialah satu jenayah global yang amat serius dan merupakan jenayah ketiga terbesar di dunia selepas penyeludupan dadah dan senjata.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan lebih dua juta manusia dari 127 buah negara diperdagangkan dari seluruh dunia serta keuntungan yang dijana mencecah AS$40 bilion setahun dan dijangkakan keuntungan meningkat setiap tahun dengan bertambahnya permintaan.
Hari Hak Asasi Manusia pada 10 Disember setiap tahun
Simon Schama, seorang ahli sejarah tak lama dulu pernah mengulangi tulisan radikal Thomas Day:
“Sungguh mengarut apabila seorang Amerika yang patriotik menandatangani resolusi menuntut kemerdekaan dengan tangannya, tetapi sebelah tangan lagi menghayun cemati ke arah hamba-hamba abdinya.” – Thomas Day, 1776
Jadi bersempena dengan Hari Hak Asasi Manusia yang disambut hari ni, dan 10 Disember setiap tahun, kitorang kat SOSCILI percaya yang semua manusia ada hak dan kebebasan untuk menjalani kehidupan tak kisah la apa pun bangsa, agama, dan warna kulit. Jadi, kita kena la sama-sama berusaha untuk hentikan perhambaan dan pemerdagangan manusia ni.
Macam mana nak hentikan perkara ni? Sekurang-kurangnya, kalau korang tahu mana-mana kes tentang pengeksploitasian atau pemerdagangan manusia, korang boleh hubungi 999 atau Talian Nur 15999.
- 5.2KShare sekarang!
- Email58
- Facebook5.2K
- Share