DBKL nak ‘hapuskan’ taman di TTDI, tapi dorang SILAP BESAR cari pasal dengan penduduk mana…

(Artikel ini diterjemah dan diolah daripada CILISOS di sini).

[UPDATE 14/12/2017]: Menurut Malaysian Insight, hari ni, mahkamah telah menolak permintaan penduduk TTDI untuk bawa kes untuk menghentikan projek apartment di Taman Rimba Kiara ke mahkamah.

Balan Nair, peguam yang mewakili penduduk TTDI menerangkan sebab permohonan ditolak kerana projek ni melibatkan pihak ketiga (third party). Pihak ketiga tu adalah pemilik tanah Yayasan Wilayah Persekutuan (pemilik tanah) dan Memang Perkasa Sdn. Bhd (pemaju). Selain tu, kes ni kalau masuk mahkamah akan menyebabkan pemaju dan pemilk tanah hilang duit yang dah dilabur untuk bangunkan projek ni.

Penolakan permohonan ni juga menyebabkan diorang (persatuan penduduk TTDI) kena bayar RM10, 000-RM40, 000 kepada setiap pihak yang terlibat termasuk City Hall, Yayasan Wilayah Persekutuan, Memang Perkasa dan Persatuan Penduduk Sunderem. Nak tahu apa yang penduduk TTDI buat untuk selamatkan Taman Rimba Kiara? Sambung baca bawah ni.

Kawasan rekreasi yang ada macam-macam hidupan di tengah bandar KL

Dalam bulan Jun tahun lepas, penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) telah memprotes projek pembangunan baru yang akan dibina atas tapak Taman Rimba Kiara.

Bagi penduduk TTDI (atau pun orang luar dari TTDI), Taman Rimba Kiara ni tempat terdekat yang diorang ada untuk release tension, bersenam, berbasikal, dan lepak dengan keluarga. Dan apa yang paling penting adalah taman ini mempunyai sumber biodiversiti (kepelbagaian tumbuhan dan haiwan) di bandar ni.

Bayangkan kalau tempat ni ditukar menjadi bangunan-bangunan tinggi oleh DBKL?

Kalau dah penat tengok manusia, tengoklah pokok-pokok ni, sejuk mata memandang Taman Rimba Kiara ni. Imej dari The Star.

Bulan Mac tahun ni, nampaknya projek tu semakin hampir untuk dibangunkan. Sebabnya permohonan projek pembangunan DBKL telah mula dilakukan. Apa yang pasti, kawasan projek ni pastinya menguji penduduk TTDI yang prihatin.

“DBKL mahu membangunkan Taman Rimba Kiara menjadi kondominium mewah, dan juga menjelaskan bahawa keuntungannya itu akan digunakan untuk penempatan semula penduduk rumah panjang (longhouse) yang sudah lama tinggal disitu.”

Lokasi penduduk rumah panjang. Imej dari The Star & Tamanrimbakiara.net

Tapi ada beberapa fakta yang perlu kita ambil tahu. Antaranya:

  1. Penduduk rumah panjang merupakan keluarga dalam kalangan pekerja ladang estet di Bukit Kiara yang telah lama menetap disitu. Diorang sebenarnya tak nak ada kaitan dengan projek kondominium mewah DBKL tu.
  2. Bahagian Taman Rimba Kiara yang akan dibina kondominium tu adalah milik kerajaan, tapi telah diberi kepada Yayasan Wilayah Persekutuan. Pengarahnya pulak Menteri Wilayah Persekutuan sendiri, Tengku Adnan.

Sekarang, penduduk TTDI bersetuju dengan penyediaan perumahan mampu milik untuk penduduk rumah panjang yang sudah lama menetap. Tapi taklah sampai perlunya projek kondominium mewah berharga RM3 billion tu.

Kenapa protes penduduk TTDI berbeza dengan yang lain

Memang banyak kita dengar pasal protes penduduk untuk projek-projek pembangunan yang menggugat kawasan diorang. Tapi, kebanyakan protes penduduk ni mula-mula je bising, lepas tu terpaksa mengaku kalah.

Pada tahun 2014, penduduk Kampung Chubadak Tambahan telah dipindahkan dari rumah diorang lepas pemaju dapat kontrak. Apa yang menyedihkan, diorang tak dapat apa-apa pampasan. Jadi kes ni dibawa ke mahkamah. Keputusannya diorang kalah dan turut digelar penduduk setinggan oleh mahkamah. Bawa masuk pulak ke mahkamah rayuan di mana pemaju diarahkan untuk bagi pampasan.  Apa pun, diorang dah tak ada rumah.

Penduduk Kg. Chubadak Tambahan lepas rumah kena roboh. Imej dari The Malay Mail Online.

Sebelum ni jugak ada satu protes besar yang menentang pembinaan lebuhraya. Penduduk telah menentang pembinaannya sebab kawasan hutan dan tadahan hujan di Lembah Klang bakal digantikan dengan lebuhraya DASH, SUKE dan EKVE. Protes ni berjaya mengumpul 15 ribu tanda tangan. Tapi, pembinaan lebuhraya tetap akan diteruskan.

Protes penduduk TTDI ni lain macam sikit. Jadi, website kembar kami, CILISOS telah berhubung dengan Hafiz Abu Bakar yang merupakan Pengerusi Persatuan Penduduk TTDI serta Leon Koay yang merupakan ahli Kumpulan Pekerja Taman Rimba Kiara. Jom kita hayati semangat tak nak putus asa diorang ni.

DBKL nampaknya buat projek kat kawasan yang penduduknya ada semangat melawan

Notis dari DBKL. Imej dari CILISOS.

Pada Jun 2016, ada satu notis telah ditampal oleh DBKL pada satu papan tanda ni. Dengan pantasnya, persatuan penduduk terus kumpul ahli diorang untuk buat perjumpaan di dewan pada hari Sabtu.

“Lebih dari 200 orang yang datang. Tujuannya untuk memberitahu penduduk mengenai projek itu, apa pendapat kita pasalnya dan kenapa kita mahu membantah pada esoknya. Jadi, pada hari Ahad, kami mengadakan protes pertama di Taman Rimba Kiara sendiri yang dihadiri 1,ooo orang.” – Hafiz memberitahu CILISOS.

Diorang berjaya kumpulkan ramai orang menggunakan media sosial. Disebabkan Taman Rimba Kiara memang ramai yang selalu lepak, jadi orang luar pun turun bagi sokongan sebab tak sanggup nak tengok hutan kat sini ditebang serta digantikan dengan bangunan konkrit.

Setaman turun ni. Imej dari NST.

Beberapa bulan lepas tu, diorang telah mengadakan protes kedua dengan pendekatan yang lebih mesra iaitu dengan cara berpiknik santai! 200 hingga 300 penduduk datang dan mereka buat makan-makan BBQ, main game dan protes tu dihiasi dengan belon-belon. Cara ni digunakan bagi menunjukkan kepada pihak berkuasa yang taman ni ramai orang guna, terang Hafiz, yang sudah lebih 30 tahun tinggal di sana.

Di samping tu, persatuan penduduk telah memulakan petisyen serta berjaya mengumpulkan lebih dari 5,000 tanda tangan. Barulah bersatu teguh! Susah nak cari persatuan penduduk semantap ni, sebab biasanya nak kumpul penduduk untuk meeting pun payah. Masing-masing sibuk itulah inilah. Pada masa yang sama, perjumpaan seterusnya pula dihadiri oleh 700 peserta. Hafiz cakap diorang tak pernah tengok penduduk berkumpul seramai ni macam sebelum ni.

Meeting penduduk TTDI. Imej dari CILISOS.
DBKL mula kesan benda ni, jadinya, diorang jemputlah penduduk TTDI untuk dengar luahan mereka. Perjumpaan ni telah dipengerusikan oleh Datuk Najib (bukan I Love My PM tu ye). Ianya dihadiri oleh 20 wakil penduduk, wakil pemaju dan pegawai DBKL. Jadi, perbincangan telah berlaku di mana pemaju terangkan pasal projek tu. Tapi pendirian diorang tetap tak berubah.

“Daripada hari pertama kami telah menyatakan yang mana projek untuk rumah panjang (longhouse) tu patut diteruskan. Mereka adalah penoreh getah estet dan dijanjikan perumahan yang elok. Tapi kamu tak perlu membina 8 blok multi-storey kondominium untuk mereka. Kami mahu projek tu dibatalkan sama sekali.” – Hafiz.

Setelah mendengar luahan diorang, DBKL tetap terus mengabaikan petisyen yang diorang telah kumpulkan tu. Akhirnya, penduduk TTDI bawa kes ni ke mahkamah. Sesi pendengaran akan berlangsung pada 12 Oktober. Diorang bukan setakat bantah dan bawak pergi mahkamah je. Ada banyak lagi yang diorang buat.

Kumpulan kerja melawan DBKL yang terdiri dari jurutera, arkitek dan peguam yang merupakan penduduk sana

Dua orang yang CILISOS interview. Imej dari Tamanrimbakiara.net.

Persatuan Penduduk TTDI terdiri daripada penduduk yang ada macam-macam profesion dan kemahiran. Dah tentu diorang tak memerlukan kemahiran luar untuk selesaikan kes ni. Jadinya, Peguam, jurutera dan arkitek yang ada kat TTDI ni secara sukarela menawarkan kepakaran masing-masing. Untuk media pulak, diorang ada CEO syarikat media, Association of Accredited Advertising Agents (4As), Khairudin Rahim. Dia telah mengarahkan beberapa media dan NGO untuk cover pasal isu ni.

Mereka telah menubuhkan satu jawatankuasa khas yang terdiri dari 10 orang sebagai Kumpulan Kerja. Selebihnya, seramai 10-12 membentuk Kumpulan Kerja Teknikal dan Kumpulan Strategi. Nak tahu apa lagi yang diorang buat?

Arkitek mereka telah melukis binaan alternatif untuk rumah mampu milik bagi pemilik rumah panjang! Dimana ianya tak perlu rosakkan Taman Rimba Kiara. Kos pembinaan tu memerlukan kos RM15 juta dan taklah semahal macam DBKL nak buat tu sampai RM3 bilion. Sebelum siapkan lukisan tu, diorang sendiri pergi jumpa penduduk rumah panjang kat sana untuk tanya rumah macam mana yang diorang nak. Contohnya, bilangan bilik dalam satu rumah.

Inilah lukisan cadangan dari arkitek TTDI. Memang power! Imej dari CILISOS.

“Lukisan itu disiapkan oleh sebuah firma arkitek yang terletak di TTDI. Kami juga ada perancang bandar yang merupakan seorang penduduk. Mereka telah bekerjasama dengan firma kejuruteraan sekarang. Sebahagian darinya bekerja dengan Kementerian, sebahagiannya pencen. Kami memiliki jurutera, jurutera alam sekitar, perunding dan sebagainya.” – Leon memberitahu CILISOS.

Melalui group Whatsapp dan mesyuarat di mamak, mereka telah membahagikan tugas masing-masing. Korang patut tengok sejumlah dokumen yang diorang email kepada CILISOS. Memang terperinci gila! Penduduk juga mengambil gambar waktu diorang buat survey sebagai bahan bukti.

Dokumen-dokumen yang di-emel pada CILISOS. Imej dari CILISOS.
Imej waktu diorang buat survey construction. Imej ni diorang emel.

Seperti yang diterangkan Leon dan Hafiz, isu ni telah dibawa ke mahkamah sebab respon manghampakan dari DBKL masa diorang guna cara yang lembut. Sebelum boleh bawak masuk mahkamah, diorang kena cari punca atau sebab utama benda ni sesuai untuk tindakan undang-undang (legal standing).

Cari punya cari, jumpa jugak puncanya. Di kawasan tu ada 5 kondominium yang berada dekat dengan tapak pembinaan kondo mewah DBKL tu. Jadinya, Leon dan pasukannya pergilah berbincang dengan pengurusan 5 kondominium tadi. Lepas tu, penduduk 5 kondominium tu buat perjumpaan dengan semua penghuni. Diorang buat keputusan untuk sertai bantahan projek DBKL tu sebab bagi kesan kepada kondominium diorang.

Seterusnya diorang pun kumpullah dana untuk dapatkan khidmat peguam Alliff Benjamin Suhaimi dari Thomas Philip.

“Kami pergi melawat komuniti dan bertanya secara rahsia siapa yang nak derma. Kami bercakap dengan mereka yang berada dan isu itu turut menggangu mereka, jadi mereka menyumbang. Kami ada dana bersama, beberapa belas ribu. Kami perlu sediakan dana dulu, untuk menunjukkan kepada mereka yang lain…kita bukannya tak ada duit” – Leon.

[P/S: Sebab kenapa diorang kumpul dana senyap-senyap dulu kerana ada beberapa penduduk TTDI yang ada pangkat dalam kerajaan, mereka tak boleh tunjuk sangat penentangan, tapi diorang sayang Taman Rimba Kiara.]

Betapa bersatunya diorang ni. Imej dari The Star.

Lepas dah kumpul berbelas ribu, diorang pun kutip dana secara terbuka dengan menyediakan tabung derma waktu mesyuarat. Walau apa pun status kewangan diorang sekarang, paling penting adalah penduduk TTDI benar-benar bersatu.

Taman Rimba Kiara sangat bermakna kepada semua penduduk TTDI

Apa yang menariknya, Hafiz dan Leon cakap tak ada seorang pun yang menentang usaha ni. Ini maknanya, semua sayang Taman Rimba Kiara. CILISOS pun tanyalah pada Hafiz dan Leon, kenapa taman ni sangat bermakna untuk diorang.

“Di situ ada banyak pokok buah-buahan yang menarik minat banyak burung. Kehidupan burung-burung dalam taman ini memang mengagumkan. Anda boleh jumpa burung Enggang (hornbill) disana. Mana dekat KL ini anda boleh jumpa burung Enggang? Biodiversiti (pelbagai pokok dan haiwan) menunjukkan betapa kayanya tempat ini. Kita tak ada banyak tempat macam ini di KL. Jadi jika kami tak lindung, kita takkan ada apa yang tinggal.” – Leon.

Gambar burung-burung yang ada di Taman Rimba Kiara. Gambar ni juga di-emel oleh mereka. Imej dari CILISOS.

“Kebanyakan kami di KL selalunya tak ramai yang ada kawasan rumah yang besar dan taman. Jadi sebuah taman adalah sangat berharga kepada kami. Kami ada satu tempat di mana kami boleh bersiar-siar, anak-anak kami boleh bermain bola sepak. Orang telah datang dan berkenal-kenalan antara satu sama lain. Kami mahukannya hidup selagi boleh.” – Hafiz.

Parti pembangkang tawarkan bantuan, diorang tolak dengan baik

Seingat Hafiz, persatuan penduduk tak pernah mengadakan protes sebesar ni. Tapi, mereka agak bersungguh untuk melindungi taman tu. “DBKL memperuntukan RM30 juta membina taman ini, kalau taman ni pun diorang boleh hapuskan, padang sekolah pun diorang boleh ambil dan bina kondominium”, tambah Hafiz lagi.

Isu sangat rapat dengan hati penduduk TTDI dan ramai yang menyumbang masa, wang dan sumber yang diorang ada dengan bersemangat. Ini menunjukkan, persatuan penduduk memang boleh menjadi matang, berdikari dan tersusun. Apa yang mengagumkan, apabila parti pembangkang tawarkan bantuan, diorang menolak dengan baik. Penduduk TTDI cakap diorang boleh buat benda ni sendiri.

“Ianya menimbulkan kemarahan apabila DBKL mengatakan kami telah dipengaruhi oleh pihak pembangkang. Kami boleh berfikir sendiri, kami tiada hubungan dengan sebarang ahli politik dari mana-mana pihak. Ianya bukanlah agenda politik, ianya agenda komuniti” – Hafiz.

Ni semuanya jiran-jiran jumpa kat mamak. Imej dari The Star.

Isu ni juga menyebabkan penduduk TTDI jadi makin rapat. Kesannya, makin ramai yang daftar diri untuk menyertai persatuan penduduk sebagai ahli. Seperti diterangkan Hafiz, tahun lepas sahaja, diorang menerima 70 ahli baru. Itu lebih banyak dari jumlah sebelum-sebelum ni.

Kalau penduduk TTDI boleh buat benda ni, persatuan penduduk lain pun semestinya boleh buat jugak. Kalau korang nak jadi macam penduduk TTDI, sebar-sebarkanlah artikel ni pada jiran-jiran korang.

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT