- 443Share sekarang!
- Email44
- Facebook399
- Share
UPDATE 6/12/2019: Pada 22 November 2019, seorang rakyat Malaysia bernama Abd Helmi Ab Halim dah dikenakan hukuman gantung di Penjara Changi, Singapura. Dia telah disabitkan bersalah mengedar dadah selepas ditahan pada 24 Mac 2017 di sana.
Sebelum ni, kita menerima berita tentang kematian salah seorang rakyat Malaysia di Peru kerana komplikasi beberapa penyakit. Syzlin yang pernah menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa meringkuk dalam penjara lebih empat tahun, dan terkandas selama lapan tahun di negara tersebut.
Pengedar dadah merupakan satu kesalahan besar di mana-mana negara pun. Walaupun begitu, ada yang sanggup bergadai nyawa terjebak dengan pengedaran dadah disebabkan keuntungan yang berlipat kali ganda. Disebabkan kedegilan diorang jugak, sesetengah negara bertindak tegas untuk membanteras. Sampai ada yang menjatuhkan hukuman mati kepada pengedar, termasuklah di Malaysia.
Selain daripada pengedar dadah, tak kurang juga yang dijerat untuk menjadi keldai dadah. Malah, ada antara mangsa keldai dadah ni tak tahu pun isi kandungan barang yang dibawa, sampailah diorang tertangkap.
Selain daripada Syzlin, ada beberapa orang lagi mangsa keldai dadah dari Malaysia yang pernah ditangkap di luar negara…
1. Dipulaukan anak-anak bila balik Malaysia
Dalam wawancara dengan Berita Harian, perempuan tersebut cuma mahu dikenali sebagai Anita, dan pernah ditahan di Peru, Lima. Pada 12 Jun 2007, dia ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Jorge Chavez kerana membawa dadah jenis kokain seberat lima kilogram. Mahkamah Peru kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara kepada Anita.
Nasib Anita baik sebab dia dibebaskan awal, iaitu dua tahun berbanding enam tahun di penjara Santa Monica. Tapi bila Anita dibebaskan, dia mempunyai masalah kewangan yang menyebabkan dia tak boleh balik ke Malaysia. Jadi, dia diberikan perlindungan di Rumah Perlindungan Grotte of Our Lady of Lourdes yang diuruskan oleh gereja. Anita berjaya dibawa pulang ke Malaysia pada tahun 2011, dengan bantuan Berita Harian dan Kelab Putera 1Malaysia.
Sejarah hitamnya yang terjebak dengan sindiket pengedaran dadah membawanya ke negara Amerika Latin hampir 10 tahun lalu. Bila ditanya tentang penerimaan keluarga, Anita terus sebak. Mana taknya, ketiga-tiga orang anaknya tak boleh menerima kisah hitam Anita, dan bertindak memulaukannya.
“Rasa menyesal pun ada balik ke Malaysia. Kalau tahu begini cara layanan mereka, lebih baik saya tinggal saja di Peru. Mereka langsung tidak peduli dan mahu ambil tahu hal saya. Saya rasa macam tak ada anak,”-Anita, dalam wawancara dengan Berita Harian.
Sekarang, Anita terpaksa menggunakan nama samaran untuk mendapatkan pekerjaan. sebab pernah dipecat disebabkan majikan terdahulu yang dapat tahu kisah silam dia. Tak nak orang lain terlibat dengan apa yang pernah dilalui, Anita pernah memberikan ceramah tentang pengalamannya yang pernah terjebak dalam keldai dadah. Dia juga berharap yang kisah dia boleh dijadikan pengajaran berguna supaya tidak dipergunakan pihak tak bertanggungjawab.
2. Ditipu teman lelaki Nigeria untuk bercuti ke Australia
Beatrice Laus dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melbourne kerana dituduh cuba menyeludup masuk 1.5 kilogram dadah jenis heroin menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne pada tahun 2011.
Pada mulanya, Beatrice cuma diajak ke Kuala Lumpur oleh teman lelakinya Anthony, yang merupakan warganegara Nigeria. Diorang cuma berkenalan kat Facebook je. Sesampainya Beatrice di KL, dia kemudiannya mendapat kejutan ‘istimewa’ daripada Anthony yang mengatakan diorang akan bercuti ke Melbourne.
Dengan perancangan yang singkat, Beatrice setuju. Tapi masa hari diorang nak berlepas ke Melbourne, tiba-tiba je Anthony kata ada masalah visa, dan tak boleh temankan dia ke sana. Disebabkan masalah tersebut, Anthony suruh Beatrice terbang dulu, dan Anthony kata dia akan datang lepas settle masalah visa.
Sesampainya di Melbourne, Kastam Australia jumpa heroin dalam bagasi dia. Beatrice pun menafikan berkali-kali, tapi terpaksa ikut undang-undang Australia di mana dia perlu ditahan untuk penyiasatan.
Kes diterangkan oleh Dr Mohd Rameez Yahaya, iaitu Konsul Jeneral Malaysia di Melbourne pada tahun tersebut. Dalam pengakuan Beatrice kepada Dr Mohd Rameez, Beatrice bagitahu yang bagasi mengandungi dadah tu dikemaskan oleh Anthony.
Menurut laporan, beg yang dibawa oleh Beatrice memang didaftarkan ke atas nama mangsa. Tapi lepas siasatan lanjut dilakukan, pihak berkuasa kata diorang tak jumpa pun ibu jari Beatrice kat bungkusan dadah tu, menunjukkan yang Beatrice cumalah mangsa keldai dadah.
3. Dibawa lari ke Afrika Selatan, dan diberi ‘hadiah’ untuk dibawa pulang
Juga kes berkaitan dengan dadah dan lelaki Afrika, Nur Dhiya Ain Rosman dibawai ‘bercuti’ ke Afrika Selatan pada tahun 2010. Menurut ibunya sendiri, Dhiya sempat menelefon dan memberitahunya tentang perkara tu, tapi cepat-cepat memutuskan talian. Disebabkan tak dapat contact balik lepas berkali-kali mencuba, ibunya nekad membuat laporan di Balai Polis Brickfields. Dia tahu macam mana anak dia boleh dapatkan paspot, sedangkan kad pengenalan dan surat beranak anak dia ada dalam simpanannya.
“Saya tidak tahu bagaimana dia boleh berani pergi ke luar negara sedangkan di dalam negara pun saya menemani dia jika hendak ke mana-mana.”
Dhiya yang melarikan diri bersama lelaki Afrika pada 9 Ogos 2010 kemudiannya ditangkap di Lapangan Terbang Capetown lima hari selepas tu, ketika cuba untuk menyeludup keluar dadah jenis syabu sebanyak 1.2kg.
Dalam penerangan Dhiya pula, dia sebenarnya dijanjikan pekerjaan sebagai pengendali pelancong di sana.
“Saya diberi tiket percuma untuk bercuti selama empat hari di Cape Town bersama kawan, tapi last-last dia kata dia tak jadi pergi”-Dhiya, pulang ke pangkuan keluarganya selepas 7 bulan dipenjarakan di Cape Town.
Selain daripada menjadi mangsa keldai dadah, Dhiya juga adalah mangsa kepada kawan baik sendiri yang dikenali sejak kecil. Semasa kejadian pada tahun sebelumnya, dia ditinggalkan kawan pada saat terakhir sebelum berlepas. Mangsa juga diberitahu yang ada pemandu pelancong akan membawa dia bersiar-siar di sana.
Segalanya berjalan lancar, sehinggalah pada 14 Ogos, seorang wanita mengaku sebagai wakil syarikat yang menaja perjalanannya, datang dan bagi sebuah beg yang dikatakan mengandungi hadiah cenderahati.
“Sebelum saya berlepas balik pada 14 Ogos tahun lepas, seorang wanita mengaku sebagai wakil syarikat yang menaja perjalanan saya menyerahkan beg yang dikatakan mengandungi hadiah cenderahati kepada saya tanpa diketahui isinya.
Kemudian di lapangan terbang, saya ditahan oleh seorang pegawai imigresen,” katanya semasa ditemuramah The Star
Dhiya ditahan imigresen dan diletakkan di pusat tahanan Ravensmead sementara menunggu perbicaraan. Tujuh bulan ditahan di Capetown, Dhiya dibebaskan berdasarkan hasil siasatan oleh pihak berkuasa negara berkenaan yang menunjukkan dia menjadi mangsa penipuan.
Hasil siasatan ke atas mangsa telah membolehkan mereka mengesan penipuan itu dilaksanakan oleh satu sindiket yang beroperasi di Nigeria. Dhiya kemudiannya dibebaskan pada 9 Mac 2011, dan balik ke Malaysia pada hari yang sama.
4. Dilarikan selama dua bulan oleh lelaki warga Nigeria, dan dijumpai di China
Berkaitan dengan lelaki warga Nigeria lagi, Christina Luke Niju, yang baru berumur 22 tahun semasa kes berlaku (2010). Christina yang dilaporkan hilang sejak Mei tahun yang sama, merupakan pelajar dalam pengajian Diploma Perniagaan di sebuah politeknik di Kuching, Sarawak.
Christina mengenali seorang lelaki Afrika yang dikenali sebagai James melalui sebuah laman sosial. Kalau nak tahu, sindiket keldai dadah selalu menggunakan laman sosial sebagai modus operandi diorang. Terpengaruh dengan kawan yang baru dikenalinya, Christina menipu ibunya dengan memberitahu yang dia menyambung pelajaran di China, dan hilang selama dua bulan.
James, dipercayai pelajar kolej swasta di Subang memperdayakan Christina dengan membawanya ‘bercuti’ di China. Lepas dua bulan tak dapat khabar berita, ibu bapa Christina dimaklumkan oleh kawan sebiliknya di politeknik yang Christina ditinggalkan James di China selepas menerima sejumlah wang dari seorang individu. Christina pun masa tu dah takde duit untuk balik semula ke Malaysia.
Tapi tahu-tahu je, Christina kemudiannya ditahan di lapangan terbang di China oleh Biro Narkotik Anti Pengedaran Dadah negara itu pada 29 April, selepas dituduh membawa dadah yang disembunyikan dalam beg tangannya.
“Dia sebenarnya pergi ke Kuala Lumpur untuk bertemu James sebelum menaiki penerbangan ke China. Saya tidak tahu mana bahagian China sekarang, “-Elpedia, ibu Christina
Christina bukanlah perempuan Malaysia pertama yang ditangkap disebabkan kesalahan yang sama di China. Pada tahun yang sama, terdapat 10 kes mangsa keldai dadah di China, dan tujuh daripadanya dipenjara 15 tahun sehingga seumur hidup, dan seorang dihukum gantung.
5. Ada juga lelaki yang dijadikan keldai dadah
Selain daripada perempuan yang menjadi mangsa kepada sindiket pengedaran dadah, lelaki pun tak terkecuali. Pada September lepas, seorang budak tahfiz ditahan di Lapangan Terbang Jakarta.
Berbeza dengan sindiket yang lain, budak tahfiz tu disuruh hantar air mineral ke Jakarta dan berlepas balik sebaik saja pass barang pada orang yang menunggu kat sana. Tapi gerak-geri dia menimbulkan rasa curiga. Imigresen Indonesia pun soal siasat lelaki tu, dan mendapati yang penerbangan baliknya cuma setengah jam saja daripada masa dia sampai di tempat tersebut.
Disebabkan imigresen pelik dengan masa ‘melawat’ yang terlampau singkat, diorang buat pemeriksaan. Last-last diorang jumpa sekarton air mineral yang ‘ditumpangkan’ oleh kawan dia kat Kuala Lumpur tu sebenarnya dah bercampur dengan dadah jenis syabu. Disebabkan dadah sintetik tu, dia dihukum penjara 12 tahun di Indonesia.
Ibu bapa lelaki ni kemudiannya buat rayuan kepada badan bukan kerajaan (NGO) tempatan. Diorang kemudiannya buat rundingan dengan pihak berkuasa Indonesia, dan berjaya buat urusan pemindahan hukuman kat Malaysia.
Dalam hal ni, budak tahfiz yang datang daripada keluarga susah terlampau naif. Dengan kerja yang mudah dan tertarik dengan upah yang ditawarkan, dia terima kerja tersebut. Ahli sindiket biasanya memang cari mangsa yang nampak naif supaya tak kena ‘aim’ dengan pihak berkuasa. Malah, diorang ni mungkin tak akan mempersoalkan pun ‘hadiah’ atau barang yang dikirim kepada ‘kawan’ di luar negara. Jadi, penting untuk kita tanamkan sifat curiga dan berhati-hati dengan orang yang baru dikenali.
Berhati-hati dengan janji manis dan perkara yang ‘too good to be true’
Mangsa tak pernah mengenal usia. Kalau korang kenal Ringgo, iaitu drummer kumpulan Fotograf yang pernah popular masa zaman 90-an tu pun pernah jadi mangsa keldai dadah kat Venezuela. Padahal dia tak pernah ada rekod dadah langsung selama bergelar artis. Begitu juga dengan model sambilan, Raja Munirah yang ditangkap di Jepun kerana dianiaya oleh kawan sendiri.
Oleh itu, Kementerian Luar Negeri Malaysia yang juga dikenali sebagai Wisma Putra dah menggariskan beberapa langkah yang boleh diambil bagi mengelak orang lain terpedaya dengan pelbagai tawaran menarik dan menjadi mangsa sindiket jenayah antarabangsa.
- Menentukan status dan memeriksa latar belakang majikan.
- Berwaspada dengan tawaran ‘wang mudah’ yang tidak diminta.
- Berwaspada apabila disuruh membawa barangan yang tidak diketahui.
- Berhati-hati dengan jalinan hubungan yang cepat berkembang bersama kenalan baru yang menawarkan pelbagai janji dan manfaat.
- Melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai sesuatu tawaran kerja yang disyaki kesahihannya.
- Berhati-hati dan tidak melayan sebarang e-mel atau rakan sosial yang diragui terutama dalam kalangan warga Afrika.
- Jangan berbaik hati menawarkan khidmat pertolongan membawa bungkusan atau beg di mana-mana lokasi sama ada kaunter kastam dan sebagainya kerana ia mungkin satu perangkap.
- ATAU, korang juga boleh hubungi Rakan Cop di talian 03-21159999 sekiranya ada sebarang aktiviti mencurigakan.
- 443Share sekarang!
- Email44
- Facebook399
- Share