Orang Yaman ni diugut bunuh hanya kerana sekeping gambar, apa yang berlaku di sana sebenarnya?

Baru-baru ni telah berlangsung Anugerah Festival Filem Malaysia 2017. Kalau korang tak tahu, pemenang kesuluruhan filem tu adalah filem Adiwiraku tanpa menampilkan sebarang pelakon yang famous pun dalam cerita tu.

Selain tu, Malaysia juga mempunyai beberapa lagi festival filem yang mendapat perhatian penggiat seni antarabangsa. Contohnya macam Freedom Film Festival yang mendapat penyertaan pengarah-pengarah pelbagai negara. Festival ni telah memberi peluang kepada filem-filem berkonsepkan dokumentari memaparkan isu-isu mengenai hak asasi manusia.  Untuk tahun ni, ada banyak gila filem yang kalau korang tengok boleh menguji cara korang berfikir selama ni.

Lepas dah tengok filem, director akan di soal penonton. Imej dari MyDocs.

Antara yang kami terkesan adalah bila menonton filem pendek bertajuk Not Covered arahan Ezat Wadi dari Universiti Malaya (korang boleh tengok filem pendek ni kat YouTube). Filem ni telah menceritakan bagaimana hanya dengan sekeping gambar korang boleh dianggap pencetus huru-hara. Biar betul?

Not Covered: Hanya kerana ambil gambar, dia dituduh merosakkan keamanan

Waktu melawat Mesir, Fras Samson telah hadir ke Pameran Buku Antarabangsa Kaherah (Cairo). Disebabkan dia ni wartawan mestilah ada kamera dia bawa sekali. Di pameran tu, dia telah menemu ramah pengunjung untuk menerangkan buku pilihan masing-masing. Apa yang mengejutkan, dia kemudiannya telah ditahan oleh pihak polis Mesir dan dipenjarakan. Dia dituduh sebagai wartawan Al-Jazeera yang cuba menggulingkan kerajaan Mesir waktu tu.

Seksaan fizikal dan mental yang dia dapat kat penjara Mesir telah menyebabkan dia mengalami kecederaan pada anggota kakinya (sekarang jalan bertongkat weh!). Akhirnya, ada empat peguam yang secara sukarela bawa kes dia ni ke mahkamah sehingga dia dibebaskan setelah 36 hari meringkuk dalam penjara.

Hanya kerana gambar ni. Nak tengok full filem ni boleh tekan pada gambar. Imej dari Not Covered.

Waktu kat Yaman pulak, dia teruskanlah minat dia ambil gambar dan buat liputan sebagai aktivis media. Kali ni, dia kena ancam bunuh pulak dengan sekumpulan pemberontak yang dikenali sebagai Houthi hanya sebab dia ambil gambar satu bangunan televisyen! Teruknya! Ambil gambar pun sampai nak dibunuh? Apa yang berlaku kat Yaman sampai jadi macam ni?

Ni memang cari pasal kalau duduk Yaman.

Yaman Utara dan Yaman Selatan bersatu menjadi sebuah negara Republik

Yaman ni kalau orang Malaysia biasa dengar adalah tempat ustaz-ustaz kat Malaysia ni pergi belajar dulu. Jarang kita dengar sejarah negara ni yang asalnya adalah dua negara yang berbeza. Yaman ni dari dulu sudah ada dua bahagian Utara dan Selatan yang tak diketahui siapa yang cipta sempadan tu. Cumanya, ada dua empayar besar yang menguasai dua kawasan tersebut iaitu Kerajaan Uthmaniyyah (Utara) dan British (Selatan) yang membezakan lagi pengaruh dua sempadan ni.

Waktu berlakunya perpecahan empayar Uthmaniyyah yang bermula pada tahun 1918, Imam Yahya yang merupakan penganut Syiah Zaidiyah (satu dari mazhab Syiah) telah membentuk sebuah kerajaan yang bernama Mutawakkil Yaman di bahagian Utara Yaman. Pada tahun 1962, telah berlaku revolusi yang menggulingkan Imam Badr pemerintah terakhir dari Syiah Zaidiyah. Akhirnya, terbentuklah negara yang dikenali sebagai Republik Arab Yaman.

Harap semua faham. Imej dari European Council On Foreign Affair.

Manakalah di bahagian Selatan, British jadikan ianya kawasan jajahan untuk menjana kewangan dan ketenteraan. Kawasan tu juga merupakan pesaing kepada kerajaan Uthmaniyyah. Perjanjian juga telah dibuat antara British dan sheikh-sheikh Arab untuk menamakan kawasan jajahan tu sebagai Persekutuan Arab Selatan dan Protectorate Arab Selatan. Tapi antara tahun 1950 hingga 1960 kerajaan British telah menghadapi tekanan dari kumpulan tentera nasionalis di bawah:

  1. National Liberation Front (NLF)
  2. Front for the Liberation of Occupied South Yemen (FLOSY).

Pada 1967, akhirnya British meninggalkan kawasan tersebut yang menyebabkan tertubuhnya negara merdeka Republik Rakyat Yaman Selatan (PRSY). Tapi, ekonomi Yaman Selatan mula merudum dan ia memberi peluang untuk National Liberation Front (NLF) untuk memegang tampuk pemerintah dengan membuang sekutunya, FLOSY. NLF telah menggunakan konsep ‘socialism in one country’ yang menjadikannya satu-satunya negara Arab yang menggunakan ideologi Marxist.

Dulu dua negara. Fanack Chronicle.

Jadinya, dua negara ni terus wujud hinggalah muncul idea penyatuan dua negara selepas berlaku peperangan bersenjata di sempadan keduanya pada tahun 1972. Idea ni ada tapi tak pernah menjadi sampailah berlaku beberapa perkara yang menjadikan mereka betul-betul nak bersatu. Antaranya:

  1. Pemimpin Republik Arab Yaman (Yaman Utara), Presiden Ali Abdullah Saleh telah berjaya menyatukan pihak berkuasa kat tempatnya untuk menerima idea ni.
  2. Republik Rakyat Yaman Selatan (Yaman Selatan) menghadapi krisis ekonomi apabila Kesatuan Soviet telah mengurangkan bantuan ketenteraan dan ekonomi kepada mereka. Jadinya ekonomi makin teruk dan rakyat mula turun ke jalanan membantah kerajaan waktu tu.
  3. Ada sumber minyak dijumpai disempadan iaitu Sahbwah yang merupakan sempadan antara dua negara.

Jadinya, rakyat waktu tu lebih memilih untuk bergabung. Akhirnya, pada 22 Mei 1990, sejarah tercipta melalui penggabungan dua negara yang dinamakan sebagai Republik Yaman.

Boleh bertahan tak ni? Imej dari Foreign Policy Journal.

Penggabungan yang menyebabkan lebih banyak pertempuran

Setelah bergabung, semua pihak bersetuju menjadikan Presiden Saleh sebagai presiden pertama negara Republik Yaman. Timbalan Presidennya pula, Ali Salem Al-Baidh yang merupakan pimpinan Parti Sosialis Yaman (Selatan). Namun, ianya tetap menghadapi cabaran yang banyak. Banyak pertembungan yang berlaku sepanjang perkongsian kuasa antara dua negara. Antaranya:

  • Perang Saudara Yaman 1994

Ketika permulaan perkongisan kuasa antara pemimpin Selatan dan Utara, Presiden Saleh dan pimpinan utaranya menguasai lebih dua per tiga dari kerusi pemerintahan. Presiden Saleh juga ketika itu menguasai kementerian kewangan dengan mengurus keuntungan sumber negara termasuk minyak yang berada di kawasan Selatan Yaman.

Pada tahun kedua pemerintahan, mula berlaku konflik apabila berlaku percubaan membunuh yang kebanyakan disasarkan kepada pimpinan Parti Sosialis Yaman (Selatan). Jadinya, pimpinan dari Selatan meninggalkan ibu kota Sana’a dan mula menugurus sumber dan kuasa di Selatan. Perkara ni bertambah parah, selepas tamatnya pilihan raya 1993.

Rakyat di bahagian Selatan Yaman tunjuk perasaan tak puas hati. Bendera asal pun dikibarkan semula. Imej dari Yourmiddleeast.

Selesai pilihan raya, berlaku banyak konflik antara pimipinan yang akhirnya menyebabkan perang saudara berdarah muncul pada April 1994. Namun, kemenangan berpihak kepada kumpulan dari Parti yang diketuai Presiden Saleh yang menyebabkan terhapusnya Parti Sosialis Yaman. Naib Presiden Yaman, Al-Baidh telah meninggalkan kerajaan dan lari ke Oman. Maka, kesannya wujud kumpulan yang tidak setia kepada kerajaan Yaman hinggalah sekarang.

  • Enam kali bertempur dengan Gerakan Houthi

Pada tahun 2004, berlaku pemberontakan senjata dari kumpulan pemberontak Houthi. Macam mana ianya boleh timbul? Sepanjang sejarah terdahulu, penganut Syiah Zaidiyah merupakan golongan pemerintah masa kerajaan Mutawakkil Yaman. Selepas berlakunya revolusi yang menjadikan bahagian Utara Yaman sebagai Republik Arab Yaman, golongan ini telah dipinggirkan dari segi ekonomi dan politik. Perasaan terpinggir tu makin menjadi-jadi sekitar 1980-an, bila kerajaan Republik Arab Yaman mula memberi subsidi kepada sekolah-sekolah Sunni yang dibina di kawasan Syiah Zaydiyah.

Dalam keadaan macam tu, akhirnya muncul satu gerakan dari golongan ini iaitu Houthi dengan tujuan untuk melindungi dan menghidupkan tradisi keagamaan dan kebudayaan Syiah Zaydiyah. Gerakan ni juga turut menubuhkan organisasi dibawahnya untuk pemuda yang dipanggil Youthful Believers yang memiliki kem sendiri. Kem ni pernah dilawati oleh ketua Syiah Lubnan dari Hezbollah iaitu Sheikh Fadlallah serta Hassan Nasrallah yang juga memberi syarahan kepada mereka.

Ketua Houthi siap masuk tv kot. Imej dari Islamic Invitation Turkey.

Beberapa lama selepas penyatuan negara Yaman, Houthi mula terjun ke kancah politik apabila ketua mereka iaitu Hussein Badreddin al-Houthi mula mengkritik kerajaan. Kritikan yang diberikan adalah mengenai pencerobohan US terhadap Iraq. Presiden Yaman ketika tu, Saleh rasa tercabar sebab dia menyokong US. Selain tu, ketua Houthi turut mengumumkan tertubuhnya kerajaan Islam dikawasan mereka iaitu Saada.

Maka bermulah operasi kerajaan terhadap mereka yang mencetuskan pertempuran senjata antara Houthi dan kerajaan. Akhirnya, Badreddin al-Houthi berjaya dibunuh dan ketua baru mereka adalah Abdul Malek Al-Houthi.

  • Berlaku pertempuran dengan kumpulan Al-Qaeda

Selama bertahun-tahun, golongan yang menyertai pertempuran di Iraq dan Afghanistan telah pulang ke Yaman. Mereka masih lagi meneruskan peperangan di kawasan padang pasir dan gunung-ganang. Ia menyebabkan munculnya kumpulan yang dikenali sebagai Al-Qaeda in the Arabian Peninsula (AQAP). Disebabkan kumpulan ni dikatakan pernah nak serang US, maka kempen drone terus dilaksanakan terhadap AQAP. Ketika ni, US telah membantu Saleh untuk melawan Al-Qaeda yang menyerang kapal US (USS Cole) di pelabuhan Aden, Yaman pada tahun 2011.

Serangan drone Amerika juga terkena kepada orang yang tak terlibat. Imej dari MintPress News.

Setelah rakyat menggulingkan Presiden Saleh, Yaman memasuki kancah perang yang lebih besar

Ketika berlaku Arab Spring (Kebangkitan Negara Arab) pada tahun 2011, Yaman juga antara negara yang menerima kesannya. Rakyat Yaman telah turun ke jalanan menuntut perletakkan jawatan Saleh yang sudah lama memerintah. Tekanan dari banyak pihak telah menyebabkan Saleh meletakkan jawatan Presiden Yaman-nya dan menyerahkan jawatan tu kepada Naib Presidennya, Abdrabbuh Mansur Hadi untuk sementara waktu.

Pada Januari 2012, telah berlaku pilihan raya yang mana Hadi menjadi satu-satunya calon yang bertanding serta menjadikannya presiden baru Yaman. Disebabkan banyak kumpulan rakyat yang terlibat dengan revolusi menggulingkan kerajaan terdahulu, maka pada Mac 2013, telah diadakan Konferens Dialog Kebangsaan Yaman yang berlangsung selama sepuluh bulan. Hasil konferens menyaksikan semua bersetuju untuk mengekalkan kerajaan sedia ada selama setahun lagi.

Rakyat Yaman fokus waktu konferens tu. Ni gambar sebelum perang bermula. Imej dari CS Monitor.

Tekanan dari Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menyebabkan kerajaan pimpinan Hadi menaikkan harga minyak serta menghapuskan subsidi minyak. Ia menyebabkan Gerakan Houthi mengetuai satu demonstrasi besar membantah tindakan kerajaan tersebut. Namun, tetap ada demonstrasi jalanan yang menyokong Hadi oleh rakyat Yaman. Demonstrasi yang diketuai Houthi untuk membantah kenaikan harga minyak bertukar pemberontakan apabila gerakan ini mula menguasai pusat pemerintahan kerajaan di Sana’a.

Bila tahu harga minyak naik lagi.

Pemberontakan ini mula menyasarkan rumah presiden yang menyebabkan Hadi meninggalkan pejabat dan menguruskan pemerintahan di Aden (kota yang lain). Tak berapa lama, Aden pula di kuasai oleh Houthi yang menyebabkan Hadi terpaksa meninggalkan negaranya dan berlindung di Arab Saudi. Maka bermulalah campur tangan Arab Saudi.

Wujud beberapa kumpulan yang berperang untuk menguasai pemerintahan

Arab Saudi dan Majlis Negara Teluk (Bahrain, Mesir, Jordan, Kuwait, Morocco, Qatar, Sudan dan UAE) ni telah menyokong Hadi lalu menghantar bantuan ketenteraan dan logistik untuk mengundurkan gerakan Houthi kembali ke kawasan Utara mereka. US juga turut menyokong tindakan Arab Saudi dan sekutunya dalam isu ini dengan menghantar bantuan perisikan (Intelligence). Kerajaan pimpinan Hadi dan Arab Saudi pula telah menyalahkan Iran yang dilaporkan telah menyokong Houthi dan memberikan senjata kepada mereka walaupun Iran menafikannya.

Apa yang mengejutkan, kumpulan Houthi yang telah menguasai beberapa tempat telah bertemu dengan kumpulan penentang lain antaranya kumpulan tentera yang masih setia dengan Presiden terdahulu, Saleh. Saleh yang juga digulingkan rakyat, telah menyatakan sokongan terhadap Houthi. Sokongan Saleh ni telah menyebabkan Briged ke-33 Tentera Yaman dan Briged ke-22 Pasukan Pengawal Republikan bertukar arah dan bergabung dengan Houthi.

Masih ada lagi yang sayang pada Saleh walaupun digulingkan. Imej dari Middle East Eye.

Dalam keadaan tentera kerajaan pimpinan Hadi sedang fokus berlawan dengan tentera gabungan Houthi dan Saleh, kumpulan Al-Qaeda pula mula menguasai beberapa tempat di Yaman. Begitu juga kemunculan Islamic State (IS) yang menyerang masjid milik Syiah Zaydiyah di Sana’a (ibu kota). Maka, sekarang ada banyak kumpulan yang sedang bertempur di Yaman.

Rakyat Yaman kebuluran dan mati kerana jangkitan kuman

Konflik di Yaman masih berterusan hingga sekarang. Kesannya, sudah 17 juta rakyat Yaman mengalami masalah untuk mendapatkan makanan. Seramai 6.8 juta pula sudah berada pada tahap kecemasan untuk mendapatkan makanan yang boleh membawa kepada kebuluran.

“Jika hal ini tak diselesaikan sekarang, kita akan kembali ke belakang dan melihat jutaan kanak-kanak mati kebuluran…Ini akan memalukan kita sebagai komuniti antarabangsa untuk tahun-tahun mendatang” – Mark Kaye, Jurucakap Save The Children’s Yemen, petikan dari The Guardian.

Kanak-kanak Yaman mati setiap ari. Imej dari Alwaght.

Kesan peperangan ni juga menyebabkan rakyat tak dapat bekalan air bersih dan sisa sampah juga tak dapat diuruskan. Ini menyebabkan terlalu ramai rakyat Yaman yang terkena penyakit taun (Cholera). Berdasarkan laporan, sudah ada 500 ribu kes dengan 2 ribu kematian.

Pendirian pimpinan Malaysia dalam isu Yaman

UPDATE 6/10/2017: Menurut Al-Jazeera, PBB dah masukkan semua kumpulan bersenjata yang terlibat dalam pertempuran di Yaman dalam blacklist termasuk yang diketuai Arab Saudi dan sekutunya. Apa yang mengejutkan, satu daripada sekutu tu adalah Malaysia.)

Ini adalah data menurut Al-Jazeera. Imej dari Al-Jazeera.

Sebelum ni pun, ada dakwaan dari ahli politik Malaysia, Mujahid Yusuf Rawa mengatakan Malaysia telah terlibat dengan operasi ketenteraan bersama Arab Saudi. Tapi, perkara ni telah dinafikan oleh Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein. Dia mengatakan yang operasi itu bukan bertujuan untuk membantu Arab Saudi. Tambahnya lagi, Malaysia mengamalkan sikap berkecuali dalam konflik luar negara.

Sama seperti isu di negara Arab yang lain, konflik di Yaman bukan sahaja setakat perang saudara, tapi mendapat campur tangan Arab Saudi dan Amerika (yang kita tahu semakin rapat sekarang ni). Adakah ini cara halus sesetengah pihak untuk memecah-belahkan negara Arab?

Walaupun konflik di Yaman taklah dicanang hangat di media antarabangsa seperti Syria dan Rohingya, tapi kita janganlah lupa mengambil berat kepada mereka sekali. Jika betullah Malaysia bersikap berkecuali, kami harap ia akan kekal begitu, pada masa yang sama menghantar bantuan terhadap rakyat Yaman yang menjadi mangsa perebutan kuasa politik.

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT