Monyet pun boleh bawa wabak? Ini 5 virus yang datang dari haiwan keliling kita

*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 8 Ogos 2017

UPDATE 28/1/2020: Menurut CNN, setakat ni sudah 82 kes kematian dan lebih daripada 2,700 kes yang disahkan terkena koronavirus dari Wuhan, China. Hampir 60 juta orang di China terkesan dengan perintah berkurung sebagai langkah untuk mengurangkan jangkitan wabak.

Punca koronavirus ni tersebar masih dalam penelitian, namun ada dua ramalan awal dari saintis iaitu pemakanan hidupan liar seperti kelawar dan ular serta kebocoran virus dari makmal di situ. Bila berbincang pasal virus dari haiwan ni, bukanlah jenis haiwan tu je yang boleh sebarkan virus. Ada banyak lagi yang ada keliling kita yang kita tak perasan.

Untuk peringatan korang balik, kami terangkan semula beberapa penyakit/wabak berjangkit yang datang dari binatang yang perlu korang awasi.

1) Babi di Amerika Syarikat yang kena selsema, orang Malaysia terkena jangkitan

Pada tahun ni, tak lah kedengaran pasal tersebarnya wabak Selsema Babi (Swine Flu) yang pernah menyerang negara kita satu masa dulu. Tapi, apa yang mengejutkan apabila ada kes kematian yang melibatkan seorang wanita hamil di Terengganu baru-baru ni. Ianya disahkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu adalah kerana Selsema Babi atau Influenza A H1N1. Sedihnya…

Untuk maklumat korang, ni bukanlah kes kematian pertama di Malaysia disebabkan wabak ni. Sebelum-sebelum ni lebih 90 orang yang dah mati dan berbelas ribu terkena jangkitan.

“Di Malaysia, menurut Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Seri Liow Tiong Lai sepanjang tahun 2010 jumlah mangsa yang dijangkiti oleh Influenza A adalah seramai 16 061 orang (kes) dan jumlah kematian pula adalah sebanyak 96 orang (Bernama, 2010).” – Jurnal tulisan Mohd Hilmi Mahmud & Kamaliah Hj. Siarap 2013 (USM).

Semua pakai mask waktu wabak ni tengah hot. Imej dari The Indian Express.

Wabak ni mula tersebar April 2009 di seluruh dunia, masuk 2010 dah sampai berbelas ribu orang Malaysia terkena jangkitan ni. Sepantas kilat! Tapi, kenapa namanya Selsema babi? Sebabnya wabak ni datang dari sejenis kuman selsema yang biasa ada di persekitaran babi. Selsema Babi ni datang dari sejenis jangkitan disebabkan virus Orthomyxoviridae pada saluran pernafasan babi. Kesannya, babi tu hidungnya berair, batuk dan kurang selera makan. Babi akan kena penyakit tu seminggu atau dua minggu.

Namun, World Health Organization (WHO) telah mengubah nama Selsema Babi kepada Influenza A H1N1. Lagi pun ada kajian menunjukkan Selsema Babi ni terhasil dari campuran virus selsema dari manusia, burung dan babi. Jadi eloklah bagi adil pada nama tu.

Gabungan tiga selsema dapat H1N1. Imej dari Slideshare.

Macam mana dapat nama Influenza A H1N1 pulak? Menurut WebMD (Website kesihatan yang paling popular), selsema (influenza) ni ada tiga jenis iaitu A, B dan C. Jenis Influenza B dan C hanya ada dalam badan manusia. Manakala, influenza A ni pulak adalah selsema yang datang dari haiwan yang mana boleh merebak dan berjangkit. Biasanya dibawa oleh haiwan jenis burung (Avian) tapi ada juga pada binatang lain.

Manakala nama H1N1 pulak dapat bila ujian dibuat pada virus selsema ni, lapisan protein yang wujud pada virus tu adalah Hemaglutinin jenis 1 (H1) dan Neuraminidase jenis 1 (N1). Maka, jadilah namanya Influenza A H1N1. Oh yeah!

Akhir April 2009, menurut laporan WHO, wabak  ni mula dikesan berjangkit dari manusia ke manusia di Amerika Syarikat dan Mexico. Jadi, memang tak terkejutlah pesakit pertama wabak ni di Malaysia adalah pelajar tempatan yang balik dari Amerika Syarikat. Tapi tak eloklah nak tuduh yang pelajar Malaysia kita ni makan babi. Sebab kajian pada tahun 2009 cakap tiada sebarang bukti yang ianya tersebar dengan memakan babi (sumber jurnal pdf).

Bukan sebab makan ye. Dari Giphy.

Ianya tersebar seperti selsema manusia kepada manusia lain. Tapi selsema babi ni tersebar dari babi kepada orang yang selalu dekat dengan diorang macam peladang babi dan pekerja kilang pemprosesan babi seterusnya orang berdekatan. Tak lupa juga bahawa orang yang paling berisiko untuk terkena jangkitan ni adalah (sumber jurnal pdf):

  1. Pesakit asthma yang sedang dirawat sejak 3 tahun lepas
  2. Perempuan mengandung
  3. Mereka yang berumur 65 dan ke atas

Macam yang disebut tadi, selsema ni banyak yang dibawa oleh burung. Jadi ada jugalah tersebar selsema burung tapi tak berjangkit pada orang Malaysia tapi pada ayam dan itik di Malaysia.

2) Selsema yang membunuh 200 juta ayam, itik dan burung liar

Malaysia sebenarnya telah bebas dari  wabak selsema burung atau H5N1. Sampailah pada Ogos 2004, kes H5N1 dikesan di Kelantan. Pada tahun 2017, sekali lagi kes ni dikesan menyerang satu lokasi ternakan ayam di Kelantan. Beberapa bulan lepas tu, Kelantan isytihar wabak ni sebagai bencana negeri.  Namun, tiada jangkitan pada manusia.

Selsema ni dikesan bermula sejak 1997. Lepas tu ianya merebak ke negara-negara Asia dan Eropah yang menyebabkan banyak ayam, itik dan burung liar mati. Kalau nak diikutkan lebih 200 juta ekor ayam, itik dan burung liar telah mati atau dibunuh disebabkan virus ni. Macam mana boleh bermula?

Menurut laporan WHO (klik pdf), wabak ni mula dikesan di sebuah ladang itik di Guangdong, China pada tahun 1996. Masa tu tak berjangkit kat manusia. Pada tahun 1997 di Hong Kong, ianya dikesan di ladang ayam dan di pasar yang menyebabkan 18 kes jangkitan pada manusia. Beberapa tahun lepas tu dah mula ada kes kematian disebabkan virus ni.

Imje dari Global Meat News.

Virus H5N1 ni memang agak susah nak berjangkit pada manusia. Tapi kalau dah selalu sentuh binatang tu dan najisnys, memang boleh berjangkit dan bawa maut. Setakat ni tak ada banyak sangat kes kematian, baru dalam 140 kes kematian di peringkat dunia yang kebanyakannya di Asia Tenggara termasuk China.

Walaupun tak tersebar pada manusia, tapi jabatan berkaitan terpaksa membunuh ternakan unggas dan telur untuk hentikan wabak ni dari tersebar.

Jumlah pelupusan di dalam kawasan jangkitan adalah 56,953 ternakan unggas dan 17,531 telur yang dilaksanakan di dalam masa 24 hari. – Petikan dari Harian Metro.

Disebabkan di Malaysia ni tak ada jangkitan pada manusia, tapi penduduk Malaysia yang ada bela binatang jenis burung sama ada penternak ayam, itik dan lain-lainnya kena berhati-hati. Sebabnya dikatakan juga punca wabak ni merebak sebab aktiviti laga ayam di kawasan sempadan Kelantan.

Nampak gagah, tapi boleh bawa virus rupanya. Imej dari Wikiwand.

Untuk langkah korang berjaga-jaga, ada beberapa cara nak kesan ayam, itik atau binatang jenis burung yang kena jangkitan. Antaranya:

  1. Balung, pial (cuping merah bawah dagu) dan kaki berubah warna kepada ungu
  2. Cirit berwarna kehijauan
  3. Murung dan kurang selera

Mungkin ramai orang Malaysia yang tak terkesan dengan selsema burung ni sebab diorang tak tinggal dipersekitaran macam ladang ayam. Tapi ada juga wabak yang dibawa oleh serangga kecil yang hari-hari kita tampar kalau ada pada badan kita.

3) Virus Zika boleh tersebar melalui hubungan seks serta mengecilkan kepala bayi yang lahir

Kes pertama virus Zika di Malaysia bermula pada September 2016, dimana ia dikesan pada seorang wanita di Klang. Dia dikatakan dijangkiti virus tersebut setelah melawat anaknya di Singapura yang telah dijangkiti virus tersebut sejak awal lagi.

Macam mana dapat nama virus Zika ni? Virus Zika ni dibawa oleh nyamuk Aedes. Virus ni telah ditemui di sebuah hutan bernama Zika di negara Uganda. sejak dari 1947. Kalau di Afrika kira lama dahlah. Tapi apa yang mengejutkan, ia mula tersebar ke seluruh dunia bermula dari Brazil.

Orang Uganda cari virus tu. Dari Giphy

Virus ni merebak sebab gigitan dari nyamuk. Lepas dah kena pada manusia ia boleh tersebar dari manusia ke manusia melaui tiga cara:

  1. Gigitan Nyamuk Aedes
  2. Hubungan Seks
  3. Pemindahan Darah

Turut menggemparkan dunia adalah ketika virus ni tersebar terutamanya di negara Brazil, kes bayi terkena penyakit Microcephaly juga bertambah. Penyakit apa ni?

Virus Zika ni boleh berjangkit pada sesiapa sahaja. Apabila ia terkena kepada wanita hamil ianya memberi kesan kepada bayi apabila dilahirkan. Microcephaly ialah satu penyakit yang menyebabkan kepala bayi jadi kecil dan perkembangan otak pula tak lengkap. Disebabkan tu ia boleh membawa kepada lumpuh dan mati.

Bayi yang terkena Microcephaly. Imej dari Medscape.

Di Malaysia, seperti dilaporkan sudah ada 8 kes virus Zika. Untuk wanita hamil juga perlu ambil perhatian sebab negara kita dah ada satu kes wanita hamil yang terkena virus Zika di negeri Johor. Walaupun masih belum pasti macam dia boleh kena, laporan mengatakan yang dia pernah melawat Singapura serta lelakinya kerap kali ke Singapura.

Itu kes nyamuk bawa virus. Ada juga satu wabak ni yang mana nyamuk ambil virus tu dari binatang lain bawa kepada manusia.

4) Nyamuk bawa kuman malaria dari monyet kepada manusia

Kalau nak ikutkan malaria ni adalah penyakit yang boleh membawa kepada demam panas yang sangat tinggi. Dia macam virus Zika juga, yang mana pembawa kumannya tak lain tak bukan adalah nyamuk. Nyamuk yang sering bawa kuman malaria ni adalah nyamuk tiruk atau ‘anopheles’

Tapi malaria tu bukanlah dari nyamuk ni sebenarnya. Dia hanya membawa kuman tu dari monyet ‘macaque’. Monyet yang tengah sakit malaria ni dalam badannya ada kuman Plasmodium knowlesi. Nyamuk yang gigit ni akan bawa sekali kuman tu dan gigit pula pada badan manusia. Jadi manusia pun kenalah penyakit malaria.

Kalaulah nyamuk tu faham. Imej dari Isthm.

Memang terbukti kebanyakan kes malaria di negara ni datangnya dari malaria yang dihidapi monyet.

Sebanyak 2,584 daripada 3,923 kes atau 66 peratus penyakit malaria di negara ini pada tahun lepas, dikesan berpunca daripada monyet (zoonotik) dengan membabitkan paling banyak pesakit di Sabah, Sarawak dan Kelantan. – Malaysiakini

Walaupun monyet tu jauh di dalam hutan. Tapi, seperti dilaporkan, pembalakan di hutan macam Sabah menyebabkan orang awam semakin dekat dengan hutan. Bila dekat dengan hutan, dekatlah dengan monyet dan nyamuk yang bawa kuman malaria tu. Pekerja-perkeja di ladang tanaman juga adalah orang yang paling berisiko untuk kena.

Malaysia kira sederhana lah. Imej dari Healthdirect.

Malaria ni kesannya boleh menyebabkan kadar pertumbuhan darah jadi cepat dalam masa yang singkat serta boleh membawa maut. Itu kira nyamuk yang bawak. Ada jugak yang memang asal dari binatang di sekeliling kita. Macam…

5) Virus Rabies dari gigitan anjing boleh buat kita takut nak minum air

Rabies ni adalah salah satu penyakit disebabkan ada sejenis virus bernama Lyssavirus genus yang berjangkit dari haiwan kepada manusia. Virus rabies ni juga dikatakan berbentuk peluru. Bayangkan peluru bergerak dalam badan.

Virus dia macam peluru kot. Imej dari Cronodon.

Virus ni seperti dilaporkan oleh WHO banyak dibawa oleh anjing. Disebabkan tu lah, tahun ni kita dikejutkan dengan kes pesakit Rabies pertama di Malaysia adalah disebabkan gigitan anjing. Kemudian ianya meningkat kepada 3 orang yang mana semuanya adalah kanak-kanak.

“Kes mempunyai sejarah gigitan anjing kira-kira 2-3 bulan sebelum onset gejala.” – Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.

Seperti dilaporkan, keadaan pesakit kanak-kanak ni semakin tenat. Antara kesan penyakit yang dihadapi adalah:

  1. Kesukaran bernafas
  2. Bersifat agresif
  3. Takut kepada air atau takut minum air (hidrofobia)

Apa yang menyedihkan kalau terkena gigitan anjing ni, pesakit 100% akan menemui kematian. Sebab virus ni akan terus menyerang otak. Dan perlahan-perlahan ia akan merosakkan otak dan organ-organ lain.

Virus ni terus menyerang otak. Imej dari kpkesihatan.

Wabak ada disekitar kita, apa yang perlu korang buat?

Setiap tahun kita tak boleh jangka wabak apa yang akan merebak. Macam sebelum ni, dunia dikejutkan dengan virus Ebola yang menyerang negara-negara Afrika. Ribuan orang mati tak kira jantina dan umur.

Untuk negara kita sekarang ni, wabak koronavirus Wuhan semuanya masih terkawal. Mungkin ada beberapa langkah yang kita boleh ambil seperti yang dicadangkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kalau ikan yang gila. Anjing pun takut. Dari Giphy.

Untuk kita sebagai individu, gaya hidup yang sihat perlu diteruskakan dan tak lupa juga keadaan di kejiranan kita untuk sentiasa dipantau. Sebarang punca wabak mesti dihentikan secepat mungkin.

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT